KISAH UYAD 2.0 PART 2

Aku terkebil-kebil dengar cerita Kak Long dengan abang ipar aku. Ayah tarik nafas dalam. Berat bunyinya.

Sebelum ni kami tengok orang sekeliling je yang kena. Kali ni keluarga kami yang alami.

“Benda apa sebenarnya ayah?” soal Kak Long. Nampak muka Kak Long tengah kusut. Ye la, dah sebulan dia hadap benda tu.

“Benda ada orang hantar ni. Kamu ada bermusuh dengan sesiapa ke?” tanya ayah sambil memeluk tubuh. Menyandar di kerusi meja makan.

“Tak ada pula ayah. Saya menyewa rumah ni dari zaman saya bujang. Tak ada pulak bergaduh dengan jiran. Saya bukan ada ramai kenalan, musuh pun jauh sekali. Naurah lagi la, memang di rumah je” jawab Abang Ram, memandang ayah. Seolah-olah menunggu ayah memberikan jalan penyelesaian.

“Ke ada orang yang dengki kamu buka bengkel sendiri” tanya mak.

Mungkin juga ada orang dengki. Ye la, abang ipar aku ni, muda lagi dah boleh buka bengkel sendiri. Mana la tahu. Orang ni rambut je sama hitam, hati perutnya lain.

“Sudah la tu, jangan fikir bukan-bukan. Nanti sibuk syak orang buat kita. Tuduh orang yang tak betul nanti jatuh fitnah. Tak apa la, petang nanti kita jemput Pak Man. Dia mahir dalam hal ni” terang ayah.

“La, ayah bukan pandai ke bab benda-benda ni?” soal Kak Long pelik. Ye la. Dah ayah pandai. Buat terus la. Halau haram jadah mana yang buat onar dalam rumah Kak Long ni.

“Tak apa la, ayah pun bukan pandai mana. Lagi pun kalau minta tolong Pak Man kau tu boleh juga bagi dia upah. Boleh tolong dia. Nak bagi duit free macam tu je tidak nya dia ambil. Kalau asbab kerja ni mungkin dia terima” terang ayah aku ringkas. Masing-masing pun diam, seolah-olah besetuju dengan cadangan ayah.

Seperti yang dirancang, petang tu lepas zohor ayah bertolak pergi ke rumah Pak Man bersama abang ipar aku. Tinggallah aku, mak dan Kak Long di rumah. Melissa dan medina, Abang Ram dah hantar ke rumah maknya. Ayah dah pesan awal-awal. Dalam dua hari ni biar anak buah aku tu tidur sana. Ayah kata Melissa dan Medina tiada apa-apa sebenarnya, cuma benda tu gunakan anak buah aku tu untuk ganggu Abang Ram dan Kak Long.

Aku pula pada mulanya nak ikut ayah pergi jemput Pak Man. Tapi bila difikirkan lagi bosan terperam dalam kereta, aku tak jadi ikut. Puas tidur, aku tengok TV. Sehari dekat sini macam setahun. Kalau dekat rumah, aku tak layan sangat TV. Sibuk main. Sekarang ni tengah gian main guli. Ada satu tin Milo tu aku kumpul guli setelah mengalahkan budak-budak kampung. Balik dengan bangga pikul guli tu. Kelmarin mak lempar guli aku tu dalam sungai tepi rumah, sebabnya lepas siap mengaji malam tu aku tak balik rumah terus. Aku melepak dekat rumah Zaki main guli. Sedih jugak aku. Letih kumpul guli tu, sekarang tengah kumpul semula. Tapi kali ni aku bijak, aku simpan guli tu dekat rumah Mamat. Tak bawak balik rumah, risau kena lempar lagi.

“Adik, jom teman Kak Long kejap. Tolong jiran Kak Long angkat barang. Dia nak pindah” ujar Kak Long yang dah siap bertudung, menunggu depan pintu rumah.

Aku tengah baring depan TV, bergeliat malas.

“Pergi la, ada juga faedah tolong orang” arah mak aku.

Aku kalau tak kenangkan Kak Long yang suka layan aku, rajin bancuh susu masa aku kecil tidaknya aku nak ikut. Kak Long suka layan aku. Kak Ngah pula jenis kaki TV. 10 kali aku minta bancuh susu pun tak buat lagi. “Kejap ye Dik, Kak Ngah tunggu habis kartun ni kejap”. Lepas satu, satu kartun tu main dekat TV. Tak habis-habis kartunnya. Tak tahu la aku, dia nak tunggu kartun yang mana satu habis baru dia bancuh susu aku. Sudahnya aku baling botol susu ke kabinet TV. Berderai pecah cermin kabinet. Sampai sekarang kabinet tu buta sebelah mata tak ada cermin.

Aku bangun daripada telentang depan TV membontoti Kak Long. Aku tengok selang tiga buah rumah dari rumah Kak Long ni ada lori besar di depan halaman rumah. Ada la dalam 2, 3 orang lelaki tengah angkat barang.

Eh?, rumah Kak Nah dengan Kak Siti ni. Aku kenal, sebabnya aku pernah ikut Kak Long pergi rumah tu dulu. Kak Nah dengan Kak Siti ni menyewa sekali. Rapat sejak sekolah lagi. Sorang nurse, sorang lagi cikgu. Dua-dua tak kahwin lagi, umur lewat 30-an.

Aku berjalan malas ikut belakang Kak Long. Dalam selang sebuah rumah lagi aku nak sampai rumah Kak Nah dan Kak Siti, tiba-tiba aku rasa ada angin berlalu kuat dari belah kiri aku. Angin tu macam ada benda berlari melintasi. Macam kau berdiri tepi jalan lepas tu ada lori besar lalu tepi kau. Macam tu la anginnya. Bulu leher aku serta merta tegak. Seram sejuk terasa badan aku.

Aku berkalih pandang ke kiri. Seberang jalan ni rumah jiran baru Kak Long. Tak sampai setahun lagi dia tu duduk sini. Seingat aku nama dia Yus. Kadang-kadang masa aku datang menziarah Kak Long, aku selalu dengar suara Si Yus ni memekik marahkan suami dia “Woi bodoh!! Aku suruh kau masak nasi kau masak dah ke?”, “Jantan sial, kau dah basuh ke lantai depan tu?”. Kata-kata makian tu macam makanan laki dia je. Aku pun tak dengar laki dia balas apa-apa. Takut bini la kot.

Selalunya aku dengar suara je, tapi hari ni aku nampak tuannya. Kurus, rendah, rambut pendek kerinting. Muka macam nak telan orang. Masa aku berkalih tu aku nampak muka dia tersenyum sinis memandang tepat ke rumah Kak Nah. Dia nampak aku pandang dia, cepat-cepat dia masuk ke rumah. Dah kenapa senyum dari jauh, mari la tolong angkat barang ni sekali.

“Kak Siti banyak lagi ke barangnya?” tegur Kak Long aku mesra. Menepuk belakang Kak Siti yang tengah leka angkut kotak.

Kak Long ni mudah mesra dengan orang. Semua orang dia tegur. Peramah macam ayah. Aku jenis pemalu. Susah nak bercakap dengan orang aku tak rapat.

“Oh Naurah, tak banyak dah. Tinggal sikit dah ni” kata Kak Siti sambil angkut kotak naik ke atas lori.

Aku jenguk ke dalam rumah, nampak Kak Nah tengah sibuk mengemas barang dekat dapur. Tak tanya banyak, aku tolong sekali angkut yang mana aku boleh angkut. Tak banyak sangat dah barangnya.

Seingat aku, rumah ni dulu penuh dengan pasu bunga. Kak Nah suka tanam bunga. Segala jenis bunga ada. Sempat la juga aku curi-curi petik masa datang rumah Kak Long. Tapi sekarang aku tengok semua pokok bunga habis m**i. Dalam pasu semua hanya tinggal tanah kering. Pasu tu semua dikumpulkan di satu sudut halaman rumah.

“Kak Siti, pasu ni semua nak angkat ke?” Tanya aku pada Kak Siti yang tengah duduk di muka pintu. Melepaskan lelah sekejap.

“Tak tahu la Kak Nah kau. Dia je yang rajin menanam ni. Angkat la Uyad, mungkin Kak Nah nak menanam pulak dekat rumah baru ni” ujar Kak Siti sepatah-sepatah. Mengahnya masih ada.

Aku duduk bertinggung depan pasu-pasu yang telah dihimpunkan di hujung halaman rumah. Banyak juga ni. Terberak aku kalau angkat sorang-sorang. Ada dalam 20 pasu. Macam-macam saiz ada. Entah kenapa dalam banyak-banyak pasu tu, aku capai pasu yang berada di hujung sekali padahal boleh je capai pasu yang depan tu dulu. Pasu tu sebesar cebok air, setinggi botol mineral kecil.

Aku angkat lalu letakkan kembali di lantai. Aku terkejut. Badan aku tiba-tiba macam kena renjatan elektrik masa aku pegang pasu tu.

Tangan aku masih pegang, melekat di birai pasu tu. Dalamnya hanya berisi tanah kering separuh pasu. Ada pokok kecil yang telah m**i kering di dalam. Tak pasti aku pokok apa. Aku masih duduk bertinggung. Aku nak bangun, nak lepaskan tangan aku dari pegang pasu tu. Tapi tak boleh.

Badan aku terasa berat. Macam ada orang tekan bahu, nak halang aku dari berdiri.

Persekitaran aku tiba-tiba sunyi. Tiada suara bunyi riuh orang angkat barang, tiada suara Kak Long berbual dengan Kak Siti. Tiada satu suara pun di sekeliling aku, malah aku tak nampak sesiapa pun.

Aku panik. Nak menjerit, tapi mulut aku tak boleh buka langsung. Nak gerak kepala berpaling pun tak boleh. Aku masih duduk bertinggung memegang pasu tu.

Tiba-tiba hidung aku terhidu satu bau yang paling busuk pernah aku bau dalam hidup aku. Selain bau kentut Tapik la, bau ni tak boleh lawan bau kentut Tapik. Bau ni macam bangkai bercampur dengan bau hanyir d***h. Menyengat, terasa lekat di hujung hidung dan anak tekak kau.

Aku yang dari tadinya keras bertinggung depan pasu, ternampak ada sesuatu di sebalik tingkap nako rumah. Aku nampak jelas sebab tingkap tu tidak berlangsir. Di sebalik tingkap tu ada satu tubuh. Air mata aku mula keluar. Aku menangis. Tapi tak bunyi suara. Nak pejam mata pun tak boleh masa tu. Berhuhuhu sambil tengok benda di sebalik tingkap tu.

Tubuh benda tu seperti manusia tapi bentuk muka dia panjang macam kuda. Mata, hidung mulut semua macam anjing. Kulit dia hitam pekat. Dia menyeringai perlahan-lahan tengok aku dah sebak tahan nafas macam nak m**i. Seringai dia datang sekali pakej air liur pekat warna kelabu. Meleleh keluar dari celah gigi tajam halus macam pencungkil gigi tu. Banyak gigi dia, panjang pulak tu. Ada dalam 5 cm sebatang gigi. Tidak la tepat ukuranya. Macam tu la panjangnya. Takkan la aku nak pergi ukur ye dak?

Aku masih duduk bertinggung dekat situ. Terketar-ketar kaki aku cuba nak bangun. Ayat yang ayah ajar, surah yang aku hafal semua hilang entah ke mana. Lagu yang tak berguna je tengah main dalam otak aku. Nak azan pun aku tak ingat. Aku m**i kutu. Kena ngap dengan benda ni dah aku hari ni sudahnya.

“Tap..Tap”

Aku rasa ada orang tepuk bahu aku. Nak berkalih belakang tengok aku tak boleh. Benda ni kalau nak makan orang dia main tepuk dulu ke? Nak tau empuk ke tak daging tu?

“Adik? Cepat la angkat. Dah kenapa termenung?” Kak Long cekak pinggang, tengok aku pelik.

Kak Long yang tepuk bahu aku rupanya. Tepukkan Kak Long tu menyebabkan aku terduduk. Aku dapat kawal badan aku semula. Rasa lama aku bertinggung hadap benda tu tadi. Lembik kaki aku. Aku kalih kiri kanan. Semua normal. Benda tu pun dah tak ada dekat tingkap.

“Dah kenapa berpeluh? Tak sihat ke?” soal Kak Long aku.

Aku masih terkebil-kebil. Cuba proses kejadian tadi dalam kepala otak aku. Nak bagi tahu sekarang macam takut. Benda tu mesti ada dekat-dekat sini je. Kalau aku cerita masa ni juga mesti benda tu dengar. Macam mengumpat depan muka dia. Nanti tak pasal-pasal benda tu ikut balik rumah Kak Long. Yang ada dekat rumah tu pun tak selesai lagi, takkan nak tambah bala baru.

“Naurah, tak payah pegang pasu tu. Nak sedekah dekat orang pasu-pasu tu semua” aku dengar Kak Nah jerit dari jauh. Tergopoh-gopoh dia berlari ke arah aku dan Kak Long.

“Tak payah Naurah, pasu ni Kak Nah sengaja tinggal. Kejap lagi ada ustaz datang ambik. Tak nak bagi Kak Siti kau tahu. ” terang Kak Nah separuh berbisik pada Kak Long.

La, takkan pasu pun nak tunggu ustaz angkut?. Lantak la malas fikir. Aku kena tadi pun tak hilang seriau lagi. Aku cuba juga bertahan sambung tolong angkat barang tapi badan terasa lemah sangat. Macam tenaga aku dah kering. Lepas daripada tu aku minta dengan Kak Long nak balik rumah memandangkan barang pun dah tak banyak. Selang 10 minit Kak Long balik, Kak Nah pun ada sekali, datang nak bertegur sapa dengan mak aku.

“Duduk la Kak Nah, Naurah buat air”

“Tak payah la Naurah. Sekejap je ni sementara tunggu Kak Siti kau kemas barang dia”

Aku terlentok sebelah mak. Macam hilang tenaga. Mak aku pun tepuk-tepuk badan aku. Macam dodoikan aku. Dia tahu kot aku penat.

“Kenapa Nah dengan Siti nak pindah?” tanya mak aku.

“Tak tahan dah saya ni makcik, selalu kena ganggu”

“Ganggu?”

“Ya makcik. Ada orang hantar benda ke rumah saya. Ustaz kata ada orang marah saya sebab kacau suami dia. Padahal saya ni habis masa dengan kerja je, bila masa nak goda laki orang pun saya tak tahu”

Kak Nah ni cantik. Kulit pun putih mulus. Tak nampak macam umur lewat 30-an. Bercakap pun sopan je. Lemah lembut sangat orangnya. Kalau tengok dari gayanya tak mungkin Kak Nah kacau suami orang sebab dia memang jenis gila kerja, jarang ada di rumah. Sebab tu juga sampai sekarang tak kahwin.

“Naurah hati-hati la dengan Yus tu. Akak bukan nak menuduh tapi akak rasa benda yang ada dekat rumah akak tu Yus yang hantar. Ustaz pun ada kata yang buat akak ni, orang dalam kawasan ni juga. Tapi akak tak bagi tahu Kak Siti kamu. Tak nak dia risau. Lagi pun dia jarang kena ganggu. Akak je yang selalu kena. Mungkin memang dia tuju pada akak kot”.

Aku tengok muka Kak Long aku berubah. Kak Nah tak tahu apa yang berlaku dalam rumah Kak Long sebab Kak Long memang tak cerita pada orang luar. Aku rasa dia pun syak yang benda jadi dalam rumah ni disebabkan perempuan tu.

Kak Nah cerita, dia pernah pergi kawasan rumah yang Yus menyewa dulu. Nak korek cerita pasal Yus. Bekas jiran Yus bagitahu yang Yus ni memang kaki bomoh, memang terbiasa dengan benda ni semua. Ulang alik ke Thailand ambil barang untuk kerja syirik dia tu perkara biasa. Ada juga jiran dia terkena dengan buatan Yus tu. Orang juga syak yang laki dia tu kena ilmu penunduk, sebab tu jadi lurus bendul. Kena ketuk, kena maki dengan Yus pun masih terima. Jenis cemburu satu hal lagi. Kalau laki dia tu handsome lain la, ni muka macam tapai pulut kena hempas dekat lantai. Ada hati fikir yang orang gilakan laki dia.

“Teruk ke Nah tu kena long?” tanya mak pada Kak Long sambil memerhatikan Kak Nah berlalu tinggalkan rumah.

“Teruk juga. Mak tak perasan ke tadi?. Kak Nah kurus cengkung tinggal tulang. Dah 3 bulan rasanya. Ada jugak dia bercerita pada Long, nampak macam-macam dekat rumah tu. Balik rumah je badan jadi sakit dan berbisa. Kalau dekat tempat kerja tak ada apa pulak. Kak Nah sampai syif kerja dah habis pun sanggup tumpang duduk dekat wad tak nak balik rumah” terang Kak Long panjang lebar.

“Asal balik rumah je meracau. Ustaz yang Kak Nah panggil tu kata ada orang tanam atau tabur benda dalam pasu bunga rumah dia. Tapi tak pasti pasu mana, tu pasal semua pasu dia tak angkut pergi rumah baru”

Mak dengar penuh teliti. Aku pun tumpang sekaki dengar. Kalau tak menyibuk bukan aku la kan?.

“Banyak kali Kak Nah nampak benda pelik-pelik dalam rumah dia. Tapi benda yang paling kerap Kak Nah nampak, lembaga yang bentuk muka macam kuda tapi rupa anjing”

Aku dengar kata-kata Kak Long aku telan air liur. Pahit. Nak menyampuk cerita apa yang aku nampak, percaya ke tak nanti mak dengan Kak Long ni. Nanti kata imaginasi aku je.

“Tapi kan mak, Long rasa benda yang dalam rumah ni pun kerja si Yus tu. Sebab dah 3 malam Long mimpi yang Yus tu datang berdiri depan pintu rumah Long ni sambil baca sesuatu. Takkan la tak ada angin, tak ada ribut Long mimpi macam tu” ujar Kak Long sambil berkalih pada mak. Mengharapkan mak balas, menerima dakwaan dia.

“Tak usah fikir bukan-bukan la. Jangan tuduh sebarangan. Tak baik” kata mak tegas.

Muka Kak Long nampak hampa. Memandang televisyen dengan pandangan kosong.

“Lama betul ayah kamu ni. Dah dekat isyak belum balik lagi. Rumah Osman tu bukannya jauh mana. Ke melencong ke lain dulu ni” Bebel mak sambil ligat tolong Kak Long lipat kain depan TV.

Lepas kejadian Kak Long nampak lembaga dalam bilik pakaian, terus Kak Long tak guna bilik tu. Bila suami dia tanya Kak Long kata bilik tu panas, kipas perlahan sangat. Masa tu abang ipar aku tak kena lagi. Kak Long aku malas nk cerita panjang. Kalau cerita bukan dia percaya. Tapi tu dulu la, dah nampak Naurah tak ada kepala tu baru dia percaya.

Jam pun dah tunjuk pukul 11 malam, ayah dan abang ipar aku masih belum balik. Dari tadinya menunggu di ruang tamu Kak Long minta diri naik ke atas. Nak tidur katanya.

“Adik, mak nak ikut Kak Long tidur. Tak nak tidur lagi ke soal mak aku. Sambil menguap.

Aku kalau datang rumah Kak Long, jarang sangat tidur dekat atas. Aku suka tidur bawah. Boleh tengok TV.

“Mak naik la dulu, adik nak tengok WWE kejap” aku suka layan WWE ini. Aku akan test skill dekat Mamat. Terbatuk-batuk dia tahan nafas bila aku try headlock. Layan la kejap, nak habis siaran dah pun fikir aku. Tapi mata mengantuk dah ni, tak tengok rugi.

Aku tak sedar masa bila aku tertidur. Aku terjaga pun sebab aku terasa ada orang hembus telinga aku. Sebab kejadian ni la sampai besar aku tidur tutup telinga. Aku buka mata pelik. Siapa pula main hembus telinga ni. Disebabkan badan terlampau penat ditambah dengan mengantuknya aku tak fikir bukan-bukan. Angin kipas la kot. Aku tengok jam, 2 pagi. Lama dah aku tertidur ni. Lampu dapur menyala tapi ruang tamu dah gelap. TV pun dah tak nyala. Mungkin ada orang tutup masa aku tidur tadi. Ayah dah balik ke? Takkan la aku tak dengar ayah balik. Pintu masuk sebelah aku ni je.

Aku cuba lelapkan semula mata. Tidur bawah je la, alang-alang tunggu ayah. Malas nak naik atas. Penat angkut barang petang tadi tak hilang lagi.

“Tap..Tapp..Tapp… “ bunyi orang turun tangga

Mata aku masih pejam, terbaring peluk bantal golek. Mak la kot yang turun tu. Tak pun Kak Long.

“Tap…Tap..Tap..”

Eh? Takkan turun tak sampai bawah lagi. Bukan banyak pun anak tangga rumah Kak Long ni ada dalam 13 anak tangga je.

“Tap..tapp..tap…tap..tapp”

Aku cuba kira bunyi tapak kaki tu sambil mata terpejam. Dah lebih 20 kali. Apa ke halnya main turun naik tangga? Nak marah juga aku. Rasa tidur terganggu. Aku dah la letih petang tadi tak hilang lagi. Aku celik mata. Sambil baring, aku angkat sikit kepala dongak toleh ke arah tangga yang berada di hujung kepala aku

Kosong. Tiada siapa dekat tangga. Salah dengar la kot aku ni. Aku letak semula kepala. Golek-golek kepala atas bantal cari posisi selasa.

“Tap…Tap..Tapp…” dia bunyi lagi.

Aku angkat kepala, toleh ke arah tangga. Kosong. Tak ada orang. Tapi bunyi orang turun tangga tu ada.

Mungkin dia dekat hujung tangga lagi baru nak turun. Sebabnya sebahagian tangga ni tertutup dengan bahagian atas/atap tingkat bawah rumah. Jadi hanya separuh anak tangga tu kau nampak kalau tengok dari bawah.

Aku yang tadinya baring. Aku angkat belakang aku. Duduk tegak. Tak sabar sebab siapa la yang lama sangat nak turunnya. Aku duduk. Menghadap tangga dalam keadaan separuh mengantuk separuh lagi nak maki orang.

“Tap..Tapp…Tap..aku nampak macam ada bayang-bayang. Sedang turun tangga.

Aku nampak kaki. Kurus kecik kakinya, Dina mungkin.

“Dina ke?, Usu ada dekat bawah ni, Dina nak kencing ke?” tanya aku separuh lali mengantuk.

Diam pulak budak Dina ni. Kalau nak kencing tu cepat la, dah la main kira anak tangga. Usu kau dah mengantuk sangat ni. Aku perhati je kaki Dina turun tangga perlahan.

“Tap..tapp..tap.. “

Sambil duduk aku pejamkan mata semula tunggu Dina turun sampai ke bawah.

“DINA TAK ADA DEKAT RUMAH!!!!” aku rasa aku dengar suara aku sediri dalam kepala aku. Seolah-olah cuba mengejutkan aku.

Serta merta aku buka mata aku. Mata aku terbuntang luas. Hilang serta merta mengantuk aku. macam baru kena tampar. Aku rasa muka aku panas.

Benda yang berjalan turun tu bukan Dina. Kaki yang kurus tu bukannya kaki. Itu tangan. Yang aku sangka kaki Dina rupanya tangan sesuatu. Sesuatu yang menyerupai manusia.

Kini separuh badan dia aku nampak.

“Tap..Tapp..Tapp..” Dia turun tangga merangkak. Kalau kau rasa kau tengok hantu turun tangga merangkak dah ngeri. Kamu boleh bayang tak benda tu merangkak secara terbalik? Maksud aku dada menghadap ke atas bukan ke lantai?. Aku nampak benda tu perlahan-lahan turun tangga. Rambut dia panjang, mengurai ke belakang. Muka dia menghadap ke atas. Yang ni tipikal hantu orang Melayu. Pakai baju warna putih.

“Tolong jangan paling..tolong jangan paling kat aku..tolong…” aku berdoa dalam hati. DUP DUP DUP DUP bunyi jantung aku. Semua hantu fleksibel eh?

Dia turun tangga tu betul-betul sampai semua badan dia aku nampak. Sikit lagi nak habis anak tangga. Dia berhenti situ. Letih kot. Dah orang turun tangga jalan elok, dia turun merangkak.

Aku masih keras macam posisi aku dari awal tadi. Duduk tercongok macam orang dengar khutbah jumaat. Nak gerak pun tak boleh. Nak jerit lagi la. Dua kali aku kena hari ni. Tak boleh gerak macam kena petang tadi.

Benda tu berpaling perlahan-lahan ke arah aku. Aku dah mengeletar. Muka dia sebiji macam muka Kak Long aku, tapi sebelah muka dia hitam, buruk. Terkopak sana sini kulitnya. Dia tersengih. Sengih dia tu menambahkan gerun pada mata dia yang berwarna putih.

“Takut ke?” halus suaranya, macam sinis.

Boleh dia tanya aku? dasar setan. Lepas tu dia ketawa mengekek macam menganjing aku. Tiba-tiba pandangan aku kelam. Itu pertama kali aku pengsan…

Bersambung…Harap bersabar…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

2 thoughts on “KISAH UYAD 2.0 PART 2”

  1. “Aku rasa ada orang tepuk bahu aku. Nak berkalih belakang tengok aku tak boleh. Benda ni kalau nak makan orang dia main tepuk dulu ke? Nak tau empuk ke tak daging tu?”

    Bodoh tau. Ko make sure pasni ada kisah uyad 3.0 dan seterusnya. Seronok aku baca citer kau walaupun meremang2 bulu tiak aku.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.