Korban Bunian

Segalanya berpunca dari seketul donut. Cerita ini terjadi pada tahun 2006, sewaktu saya berada di tingkatan dua. Saya mempunyai seorang kakak, Sarah. Waktu itu kakak mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di sebuah Matrikulasi di Taiping, Perak. Saya putuskan untuk memberikannya sebuah hadiah sebagai tanda tahniah dan berbangga di atas pencapaiannya itu. Tetapi wang saku yang tinggal hanya beberapa ringgit sahaja. Tak cukup untuk saya membeli sebuah hadiah yang mahal. Jadi saya putuskan hanya mahu membelanjakannya seketul donut. Jujurnya keputusan untuk membeli donut bukan dibuat atas faktor kegemaran kakak tetapi atas kegemaran saya. Saya fikir apa salahnya saya memberi orang lain rasa makanan yang saya suka makan. Hehe

Disebabkan saya masih belum cukup umur, saya perlu meminta pertolongan orang lain untuk membawa saya keluar. Kebetulan pula pada waktu itu Firhan, sepupu saya mahu keluar ke kedai. Bersungguhlah saya melobinya untuk turut keluar bersama semata-mata mahu membeli donut. Apalagi kedainya yang terletak jauh di tengah pekan Teluk Intan. Firhan yang mungkin sudah tak tahan akhirnya akur membawa saya bersama. Jadi malam itu kami keluar berdua menaiki sebuah motosikal Kriss.

Malam itu sunyi. Jalan agak lengang kerana hujan renyai. Dari kampung, kami perlu melalui sebuah jalan kampung yang lurus tetapi pada waktu itu jalan tersebut kerap kali terjadi kemalangan yang meragut jiwa. Tiada apa yang berlaku waktu kami ke pekan. Semuanya bermula waktu kami dalam perjalanan pulang.

Firhan, yang pada awalnya membawa seperti biasa tiba-tiba berubah watak. Motor yang dibawa pada kelajuan sederhana tiba-tiba seperti mahu terbang lagaknya. Tersangat laju, motor dipulas sehingga habis. Saya dibelakang memukul dan mula memarahinya. Namun langsung tidak diendahkan. Waktu itu saya mula menangis ketakutan. Firhan yang ceria (suka bersembang di atas motor) berubah menjadi pendiam dan yang terdengar hanya dengusan kuat bertalu-talu! Dia terus memecut laju sambil merendahkan sedikit badannya seperti orang yang mahu berlumba motor.

Badannya keras tetapi tegap. Dipukul, ditarik langsung tidak bergerak. Seolah hanya focus dilitar lumba. Waktu saya mendengar dengusan yang pertama, saya sudah rasa akan adanya ‘sesuatu’. Dia seperti tidak sedarkan diri. Senang cerita dia sudah menjadi orang lain! Bayangkanlah saya yang duduk dibelakang. Hendak terjun, motor terlalu laju. Hendak duduk saja, saya takut jika kemalangan. Jadi dalam pada takut, saya mula membaca ayat suci al-Quran.

Tetapi dia menjadi semakin marah dan agresif. Jalan yang lengang dan langsung tiada lampu jalan hanya ada kami berdua saja. Firhan masih tak berhenti mendengus seperti terlalu marahkan sesuatu. Benda nak jadi. Ditakdirkan pula waktu itu saya ternampak cahaya motosikal yang beriringan. Saya menjerit ke tepi! Ke tepi! Tetapi semuanya terjadi dalam sekelip mata. Suara saya tenggelam dan seakan menghilang.

Tak disangka, rupanya motor yang dihadapan kami adalah motor kakak bersama seorang lagi sepupu ,Amir. Mereka beriring bersama seorang rakan. Mungkin kerana terlalu leka bersembang, mereka tidak perasan akan kami yang semakin menghampiri laju. Apalagi, memang sudah tidak dapat mengelak.

Dummm!!! Berdentum kuat! Siapa sangka kami akhirnya bertembung dan berlanggar sesama sendiri. Kejadian berlaku di antara persimpangan Taman Melati dan simpang ke Kampung Banjar. Saya yang membonceng dibelakang melambung tinggi dan terterap di atas jalan raya. Pandangan terus gelap, telinga terus senyap sunyi tidak terdengar sebarang bunyi.

Mujurlah waktu itu jalan lengang. Kalau tidak, mungkin kami dilenyek dan diseret pula selepas melambung. Rupanya motor yang dipandu Firhan, masuk mencelah di antara motor Amir dan rakannya. Firhan juga tercampak jauh ke tengah jalan. Kakak, Amir dan rakannya tidak cedera tetapi motornya agak teruk juga.

Saya cuba untuk bangun walau terasa seperti hendak tercabut badan! Saya lihat jalan, kosong. Saya lihat motor sudah tercampak jauh ke semak. Firhan entah di mana. Akhirnya saya terlihat Firhan di tengah jalan terbaring kaku. Ya Allah! Kaki bagaikan lemah untuk melangkah. Saya menjerit, memanggil namanya tetapi langsung tidak disahut! Mereka pula mungkin kerana marahkan kami yang cuai, hanya berdiri diseberang jalan sambil memeriksa diri dan motor masing-masing.

Saya meraung meminta bantuan. Saya menangis sekuat-kuatnya. Kakak, yang mulanya berdiri ditepi motor…tiba-tiba seperti mengintai kami. Iyalah jalan sudahlah gelap gelita. Hinggalah akhirnya kakak menjerit memanggil nama saya. Iya, kakak baru sedar yang melanggarnya tadi adalah kami. Ketiga-tiga mereka bergegas menghampiri kami. Saya memeluk erat kakak sementara Amir dan rakannya memeriksa keadaan Firhan. Masih sama. Tidak bergerak dan hanya memejamkan matanya. Saya semakin kuat menangis kerana menyangka bahawa dia sudah tiada.

Tiba-tiba Firhan membukakan matanya perlahan-lahan. Tetapi masih tidak bersuara. Saya yang duduk disebelah tiba-tiba terlihat seperti suatu benda bergerak-gerak bewarna putih! Seakan berdenyut-denyut! Rupanya akibat dari perlanggaran tadi, lutut Firhan terkena tepat pada ekszos motor. Lututnya koyak hingga menampakkan tempurung lutut! Allahu..ngeri rasanya lihat secara dekat apalagi dengan lumuran d***h dibadan.

Kami cuba menggangkat tetapi gagal. Secara tiba-tiba kami terlihat cahaya lampu kereta. Kami membuat keputusan untuk meminta tolong orang awam. kami cuba lambaikan tangan seakan meminta tolong, minta berhenti. Tetapi semakin dekat kereta tersebut, kami rasakan semakin laju pula dia memecut. Sudahlah Firhan ditengah jalan, kereta pula seperti tidak mengendahkan kami.

Saya yang kesakitan, membantu menarik Firhan ke tepi jalan. Celaka punya kereta! Sudahlah tidak menolong, perlahankan kenderaan pun tidak! Mungkin dia fikir kami berlakon, mahu merompak dan sebagainya. Kebetulan tidak lama selepas itu, ada orang lain yang melalui jalan tersebut. Semakin lama, semakin ramai. Saya dan Firhan dibawa pergi menaiki ambulan.

Akibat hentakkan yang kuat, saya retak sedikit dibahagian rusuk kiri. Mujur tiada kecederaan lain. Firhan pula hanya mengalami kecederaan di lutut. Tiada sebarang kecederaan dalaman. Seingat saya, doktor mengambil sedikit kulit dipaha bagi merawat lututnya.

Cerita tidak terhenti di sini..tetapi disinilah segalanya bermula. Sejak malam pertama selepas kejadian.. Firhan kerap diganggu sepasang suami isteri berpakaian serba putih sambil mengendong sesuatu. Difahamkan mereka mengendong jenazah seorang anak kecil yang dikatakan maut dilanggar kami waktu perjalanan balik ke rumah pada malam kemalangan tersebut. Kedua-dua pasangan tersebut kelihatan sugul dan bersedih. Dakwa mereka, kami melanggar anaknya sewaktu anaknya sedang melintas jalan. Mereka menangis dan marahkan perbuatan kami. Waktu itu, saya teringat. Sebaik sahaja melintasi sebuah surau, Firhan terus berubah. Mungkin pada waktu itulah kami terlanggar, lalu kerana marahkan kami..mereka mengganggu kami hingga kami hampir kehilangan nyawa adik-beradik.

Pada masa itu, memang kecoh tentang kemalangan kami. Ada yang bertanya mengapa begitu, mengapa begini namun kami masih belum boleh berkongsi kerana kes diantara kami dan pihak ‘di sana’ masih tegang! Hinggalah kami berjumpa dengan seorang hamba Allah ini yang mahu membantu. Alhamdulillah..sekurang-kurangnya ada jalan untuk selesaikan semuanya.

Kata perantara tersebut, pihak Bunian (mereka kenalkan diri sebagai Bunian. Yang tidak boleh dilihat guna mata kasar). Tersebut tidak berpuas hati kerana anaknya sudah tiada. Waktu itu juga Firhan dirumah seperti sudah tidak senang duduk. Nampak di sana, nampak di sini. Hinggakan pasangan tersebut muncul dan berdiri betul-betul dihujung kakinya! Orangnya agak berusia. Secara logiknya, takkan lah kami sengaja mahu melanggar. Tambah pula benda yang kami memang tidak nampak. Seperti tidak adil kami dihukum di atas kesilapan yang satu dalam sejuta ini. Iyalah siapa yang boleh mengelak terlanggar dengan bunian? Saya tertanya-tanya juga mengapa saat kami lalu, anaknya mahu melintas? Sedangkan dia boleh melihat kami, kami tidak boleh melihatnya. Mengapa dia tidak mengelak? Mengapa itu, mengapa ini..terasa berjuta persoalan berada difikiran.

Setiap hari, setiap malam mereka akan munculkan diri. Mengingatkan kami akan kesalahan dan juga menggesa kami mengikut kata mereka. Tak silap saya, mereka juga ada memberi masa untuk perbetulkan kesalahan. Tetapi akhirnya melalui individu tersebut, kata sepakat telah dapat dicapai. Kami diminta untuk bersabar dan menunggu kerana pasangan tersebut telah bersetuju untuk memaafkan kami. Bagaimana caranya atau apa syaratnya, kami tidak diberitahu apa-apa. Yang penting tiada lagi gangguan yang perlu kami hadapi siang dan malam.

Sehingga sekarang, setiap kali melalui jalan tersebut, saya pasti akan terkenang peristiwa hitam. Segalanya masih segar dan seakan berputar kembali. Malam yang gelap, jalan yang lengang, motor yang laju, dengusan yang kuat, badan yang keras kaku dan yang paling saya ingat..perasaan takut yang teramat sangat! Yang tidak boleh digambarkan tatkala bersama orang di ‘rasuk’ sesuatu. Belum lagi dengan d***h yang membasahi baju. Jeritan,tangisan di dalam pekat malam. Semuanya tersemat rapi. Cukuplah hanya sekali, peritnya sakit dan diganggu itu tak terperi! Tak cukup siang, malam apatah lagi.

Sejak kejadian itu, saya menjadi sedikit trauma. Tidak boleh keseorangan dan saya juga mengelak melalui jalan itu buat sementara waktu. Sekarang jalan itu sudah tidak lagi bersilih ganti kemalangan. Mungkin juga kerana sudah banyak pembangunan kedai dan perumahan. Entahlah. Atau mungkin juga ‘mereka’ telah berpindah pergi. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.

Hantar kisah anda : fiskyenshasha.com/submit

RainaS

7 thoughts on “Korban Bunian”

  1. Salam Sejahtera kepada RainaS. Saya orang Teluk Intan jugak, tinggal kat Taman Melati tuh sehingga tahun 2008
    Saya lahir tahun 1991 dan saya bersekolah di SMK St. Anthony time tuh. Hang tinggal kat mana dan bersekolah dimana???

    Reply
  2. wow…. cerita yang menarik….
    tapi part doktor ambil kulit pastu letak kat lutut tu sekali badan saya menggeletar….

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.