Laluan

CERPEN SERAM – LALUAN

Awal 90-an

Saufi membersihkan halaman rumahnya lewat pagi itu. Peluh yang membasahi dahinya dikesat kasar dengan belakang tangannya. Dia meluruskan badan. Pinggangnya terasa lenguh. Matanya memandang sayu ke arah halaman yang ditumbuhi semak samun bersebelahan rumahnya. Halaman sebuah rumah kosong yang telah hampir 10 tahun tidak berpenghuni. Keluhan kecil kedengaran. Ada sesalan yang tidak mampu dilafazkan oleh Saufi.

Dulu rumah itu turut berpenghuni seawal dia berpindah ke kawasan penempatan peneroka FELDA itu. Tetapi…

************************************************

Awal 80-an

Di awal penempatan peneroka FELDA di kawasan itu masih tiada kemudahan asas seperti air dan elektrik. Oleh kerana itu pihak pengurusan telah membina sebuah tangki air betul-betul di atas bukit berhadapan dengan rumah Saufi. Ketika itu jiran sebelahnya itu baru sahaja berpindah ke situ. Kisahnya bermula selang seminggu selepas jirannya itu berpindah.

“Lan, akak dah sediakan selimut dengan bantal kat depan tu. Tidurlah sekali dengan budak-budak tu. Jangan tidur kat luar bahaya.” Salma berpesan kepada adiknya sebelum dia melangkah masuk ke dalam biliknya sendiri. Malam sudah terlalu lewat saat itu. Kawasan penempatan FELDA yang masih baru itu sunyi sepi. Rumah di kiri dan kanan juga sudah lama gelap menandakan penghuninya sudah lama lena.

“Baiklah kak.” Balas Azlan sambil berjalan menuju ke ruang tamu. Langkahnya diatur berhati-hati kerana lantai papan itu akan berbunyi tiap kali kakinya melangkah.

“Rimas pulak malam ni.” Bisik Azlan sambil memerhati anak saudaranya yang sedang lena diulit mimpi. Dia membuka baju yang dipakai lalu mengambil bantal dan selimut yang disediakan oleh kakaknya. Dia tidak berbaring di situ tetapi mengubah arahnya menuju ke pintu hadapan rumah. Berhati-hati dia membuka selak pintu bagi mengelakkan bunyi bising yang hanya akan mengganggu lena penghuni rumah itu apatah lagi kakaknya. Sudah pasti dia akan dimarahi. Dia melangkah keluar lalu daun pintu dirapatkan. Dia benar-benar rimas malam itu dan mengharapkan hembusan angin malam di anjung rumah itu dapat meredakan semua itu. Bantal diletakkan di atas lantai. Dia terus berbaring sambil lengannya diletakkan di atas dahi. Mindanya mula terhanyut dengan khayalan. Dia terasa nyaman dengan tiupan angin yang membelai dadanya yang tidak berbaju. Mamai yang semakin memberat membuatkan matanya tidak mampu lagi dibuka. Suasana persekitaran yang sunyi dan berangin mempercepatkan lagi lenanya saat itu.

“Nak…” Panggil satu suara. Azlan tidak mengendahkan. Dia semakin erat menarik selimut yang membaluti tubuh kekarnya itu.

“Nak… Bangun, tak elok tidur di sini.” Tegur suara itu lagi. Azlan yang terasa terganggu merengus kecil. Matanya di buka kecil. Mulutnya yang menguap kecil terhenti. Pandangannya terpaku.

“Kau ni siapa?” Tanya Azlan. Dia membuang pandang ke arah kelibat yang berada di belakang lelaki tua berwajah manis itu. Kesemua mereka berserban putih. Semuanya tersenyum memandang ke arahnya. Wajah mereka seperti bercahaya. Yang anehnya suasana sekitar yang kelam kerana kegelapan malam langsung tidak memberi kesan. Azlan dapat melihat wajah-wajah itu dengan jelas.

“Pak cik jiran kamu. Kami sudah lama tinggal di sini.” Jawab lelaki tua itu lagi.

“Rumah kau kat mana?” Tanya Azlan semula. Jawapan lelaki itu mengundang rasa sangsi kepada Azlan.

“Pak cik rasa ada baiknya anak tidur di dalam. Tidak baik anak tidur di luar ni. Kawasan ini laluan utama penduduk sekitar ini. Bimbang anak akan diapa-apakan oleh mereka nanti.” Balas lelaki itu tanpa menjawab soalan Azlan.

“Baiklah pak cik. Tapi pak cik tak jawab soalan saya.” Tanya Azlan.

“Tak mengapalah. Pak cik beransur dulu ya, ingat pesan pak cik. Masuk tidur di dalam.” Nasihat lelaki itu lagi.

Azlan hanya mendiamkan diri sambil memerhati kumpulan lelaki itu melangkah perlahan menuju ke kawasan berbukit di hadapan rumahnya itu. Jelas di penglihatan Azlan bayangan tangki air yang betul-betul berada di atas bukit itu. Tanpa sedar kelibat kesemua lelaki itu menghilang ditelan kegelapan malam. Azlan yang sedia mengantuk kembali berbaring. Nasihat yang diberikan lelaki tua itu langsung diabaikan. Azlan kembali lena.

“Cu!” Suara seseorang kedengaran berbisik memanggil Azlan seketika kemudian. Azlan yang baru ingin terlena merengus kasar. Marah benar tidurnya terganggu.

“Cu…” Panggil suara itu kembali lembut.

“Apa lagi ni. Aku nak membuta ada je yang nak kacau. Kalau nak kacau sangat, kacaulah orang lain.” Marah Azlan secara tiba-tiba langsung bangkit dari pembaringan. Susuk tubuh dihadapannya diperhatikan. Mulutnya bergerak-gerak seperti ingin melafazkan sesuatu.

“Nen… nenek?” Tanya Azlan antara pasti dengan tidak.

Perempuan tua itu mengangguk. Senyuman manis terukir di bibirnya. Azlan tergamam. Ada genangan air mata di tubir matanya. Ada rindu yang tidak terluah. Azlan segera bangkit lalu memeluk tubuh kurus perempuan tua di hadapannya itu.

“Lan rindu nenek.” Esak tangis Azlan kedengaran.

“Nenek pun rindu kan Lan. Sebab tu nenek datang ni. Boleh Lan temankan nenek?” Perempuan tua mengusap lembut bahagian belakang Azlan. Azlan yang masih dibuai emosi semakin reda esak tangisnya. Dia benar-benar rindu susuk perempuan tua itu. Bertahun-tahun rindunya tidak terluah.

“Lan boleh temankan nenek?” Tanya perempuan tua itu.

“Boleh nenek.” Jawab Azlan ringkas. Dia bangkit lalu memimpin tangan wanita tua itu menuruni anak tangga. Perlahan-lahan dia melangkah bagi mengimbangi langkah perlahan neneknya itu. Laluan di hadapan rumah yang sedikit semak di redah tanpa menghiraukan miang lalang yang bakal menguris kulitnya. Satu persatu rumah di kejiranan itu dilewatinya.

“Lan nak ke mana tu?” Tegur seseorang dari anjung rumah tidak jauh dari situ.

“Aku nak pergi ke tangki air kejap.” Balas Azlan menoleh sekilas ke arah rakan sekerjanya itu.

“Eh! Kau biar betul malam-malam pergi ke tangki tu. Dah malam wei! Pontianak je ada kat atas tu.” Balas rakannya itu sambil ketawa. Dia sekadar hanya ingin bergurau dengan rakannya itu.

Azlan tidak membalas. Langkahnya diteruskan sambil tangannya terus erat memegang tangan neneknya.

“Gila agaknya budak Lan ni. Dah malam-malam nak panjat bukit ke tangki air tu sorang-sorang cari apa.” Mail melurut lengannya yang tiba-tiba sahaja meremang. Dia memang ke arah Azlan yang semakin berbalam kelibatnya ditelan kegelapan malam. Mulutnya terlopong. Jelas di penglihatannya seorang perempuan tua berjalan beriringan dengan Azlan saat itu. Rambut wanita itu yang panjang mengurai keras seperti akar kayu yang mengurai. Sebentar tadi tidak pula dia melihat perempuan itu. Hanya kelibat Azlan sahaja yang lalu di hadapannya tadi.

Ketika itu suara mengilai sayup-sayup kedengaran. Mail yang sedia kecut hatinya tanpa menunggu lama terus melangkah masuk. Pintu hadapan rumah ditutup kuat sehingga hampir menggegarkan seisi rumah itu.

“Lantak kau lah Lan… Eh! Kejap. Tadi tu betul-betul ke Lan?” Mail bermonolog sambil dia merapatkan pembaringan bersebelahan isterinya. Tubuhnya menggigil kuat.

************************************************

Salma terbangun dari lena. Dia memandang kiri dan kanan seperti ingin memastikan sesuatu. Sebentar tadi lenanya terganggu kerana namanya dipanggil adiknya Azlan. Dia kenal benar suara adiknya itu. Wajahnya berkerut. Salma mengambil jam tangan yang terletak di atas meja bersebelahan katil.

‘4.30 pagi.’ Bisik Salma. Dia terus menolak selimutnya ketepi lalu bangkit sambil mengemaskan sanggul rambutnya. Suaminya Jamal yang masih lena dibiarkan. Telah menjadi kebiasaan seawal pagi begitu Salma akan bangun untuk menguruskan urusan rumah tangga. Dia perlu segera menuju ke tangki air di atas bukit berhadapan rumahnya untuk membasuh dan mandi. Jika kesiangan nanti terlalu ramai pula jiran yang akan turut sama berurusan di situ sehingga akan menggundang gendala urusannya hari itu. Salma mengambil bakul baju kotor lalu melangkah keluar dari biliknya. Baju kotor anak-anaknya satu persatu dikutip sebelum dia membuka pintu hadapan rumah.

“Allah…” Bakul di tangannya hampir-hampir sahaja terlepas kerana terlalu terkejut. Di hadapannya sekujur kelibat berselubung terbaring kaku.

“Bertuah betul budak ni. Lan oh Lan… bangun. Berapa kali akak cakap jangan tidur di luar ni. Bahaya.” Panggil Salma sambil menggerakkan tubuh adiknya itu. Tetapi langsung tiada reaksi.

“Lan bangun! Tidur kat dalam sana. Nanti apa jiran-jiran akak cakap kalau nampak Lan tidur kat luar. Nanti mulalah semua mengata akak dera kau.” Bebel Salma.

Perlahan-lahan jasad berselubung itu bangkit dari pembaringan. kain putih yang menyelimuti jasad itu perlahan-lahan melurut. Salma mula merasakan sesuatu yang tidak kena. Dia mengundur beberapa tapak ke belakang. Bulu romanya terasa meremang. Tambahan pula kawasan anjung rumahnya itu gelap, sedikit sebanyak mindanya mula mencanai benda-benda yang kurang enak.

“Akak ni bising jelah.” Marah Azlan sambil bangkit dari pembaringan. Bantal dan selimut di bawa dalam pelukannya masuk ke dalam rumah. Salma yang terkaku tidak bernafas seketika tadi menjeling ke arah Azlan.

“Bertuah punya budak. M**i-m**i aku ingatkan hantu tadi.” Marah Salma sambil menuruni anak tangga. Dia berjalan ke arah tangki air. Setibanya di situ beberapa orang jirannya telah pun sampai terlebih dahulu dan melakukan aktiviti masing-masing. Ada yang membasuh baju ada juga yang sedang mandi. Semuanya itu pemandangan normal walaupun jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Hal ni kerana kebanyakkan penduduk di situ adalah buruh ladang yang akan keluar bekerja seawal jam 6.30 pagi.

“Lewat kau Salma. Selalunya kau yang sampai dulu.” Tegur salah seorang jirannya.

“Aku terlajak.” Jawab Salma ringkas. Tangannya sedang sibuk memasukkan sabun serbuk ke dalam besen yang telah diisikan air.

“Lan tak kejut kau ke?” Tanya jirannya itu kembali.

“Budak tu bukan boleh harap sangat. Dia pun tengah sedap membuta kat rumah tadi.” Balas Salma.

“Kau biar betul ni Salma. Habis tu siapa?” Jirannya itu memuncungkan bibirnya menunjuk ke satu arah.

“Aku sampai-sampai tadi adik kau dah ada kat sini.” Tambah jirannya itu lagi. Salma melopong. Tidak jauh dari tempatnya mencuci pakaian, adiknya Azlan sedang mandi bersama beberapa orang lagi jiran mereka. Mereka semua sedang rancak berbual. Sesekali Lan memandang ke arah Salma. Pandangan mereka bertaut, tetapi tiada senyuman yang terukir di bibir adiknya seperti yang selalu adiknya lakukan. Apa yang Salma perasan, renungan adiknya itu menakutkan. Senyuman sinis terukir di bibir adiknya itu seketika kemudian.

Salma terdiam. Tangannya yang lincah memberus pakaian sebentar tadi juga terkaku.

“Kau kenapa ni Salma.” Tegur jirannya itu semula.

“Aku nak balik.” Tiba-tiba Salma bangun. Basuhannya tidak dihiraukan.

“Salma! Salma!” Panggil jirannya itu berkali-kali sehingga menarik perhatian kumpulan pemuda yang sedang mandi bersama-sama dengan adiknya Azlan. Salma berpaling memandang adiknya untuk seketika. Ketika itu juga dia hampir-hampir jatuh terduduk. Kelibat-kelibat pemuda yang dilihatnya tadi kini telah berbungkus kain kafan memandang ke arahnya.

“Allah!” Jerit Salma dengan kuat sambil berlari tidak tentu arah menuju ke rumahnya.

“Salma! Tunggu! Kau kenapa?”

************************************************

Jamal menyentuh dahi isterinya yang menggigil sejak tadi. Dia mengambil sebiji Panadol lalu diserahkan kepada isterinya. Isterinya mengambil lalu ditelan sebelum Jamal membantu isterinya meminum air dari gelas yang di bawa dari dapur.

“Awak rehat je dulu. Kerja rumah biar saya yang buat.” Beritahu Jamal.

“Abang tak kerja?” Tanya Salma dengan suaranya yang serak.

“Dengan keadaan awak macam ni takkanlah abam sanggup nak pergi kerja.

“Abang percayakan cerita saya?” Tanya Salma. Ada genangan air mata di tubir matanya.

“Sudah. Awak berehat saja dulu.” Balas Jamal sambil menarik selimut menutupi tubuh isterinya sehingga ke dada. Dia ingin keluar, banyak kerja rumah yang sedang menanti untuk diselesaikan.

“Abang teman saya bang. Saya takut.” Pinta Salma sambil menarik tangan suaminya yang mula bangkit dari duduknya.

“Awak nak takut apa siang-siang buta ni.” Suara Jamal sedikit tegas sambil tangannya melepaskan pegangan tangan isterinya itu.

“Awak dengar sini, saya tahu awak tak berapa suka dengan keputusan saya untuk pindah ke FELDA ni. Tapi awak kena kuat, kena kuat demi keluarga kita. Abang buat semua ni demi anak-anak dan awak. Di kampung tu apa yang kita ada. Kerja abang pun tak tentu arah. Abang nampak FELDA ini lah masa depan kita. Abang mohon awak kuatkan semangat demi masa depan kita.” Panjang lebar Jamal memujuk. Walaupun nada suaranya kedengaran tegas tetapi dia tidak mahu isterinya itu terus-terusan terhanyut dengan emosi. Kehidupan keluarga kecilnya itu baru sahaja bermula di sini. Dia ada impian, dia ada angan-angan untuk keluarganya. Dia tidak mahu ada gendala dalam perjalanannya mencanai impiannya itu. Tekadnya telah bulat ketika membuat keputusan berhijrah ke perkampungan FELDA ni.

Salma terdiam. Wajah suaminya direnung sekilas sebelum dia menundukkan kepalanya. Esakan tangisannya kedengaran. Jamal langsung tidak mengendahkan. Dia berlalu keluar. Anak-anaknya yang masih tidur perlu dikejutkan. Semakin hari beransur siang semakin ramai orang di tangki air. Jika terlewat maka semua urusannya akan turut tergendala.

“Aim, Mat bangun nak.” Kejut Jamal dengan lembut. Ibu jari kaki kedua anaknya itu ditarik lembut. Tubuh kecil anak-anaknya kelihatan bergerak. Terkebil-kebil mata kecil itu memandang ke arahnya.

“Jom ikut ayah mandi.” Ajak Jamal sambil menarik perlahan anak-anaknya untuk bangun dari pembaringan. Tanpa banyak karenah anak-anaknya itu menuruti walaupun jam baru sahaja menunjukkan angka 6 pagi. Anak-anak itu sudah terbiasa dengan corak kehidupan yang ibu dan ayahnya aturkan. Jamal melangkah ke muka pintu, barang mandian dan sepersalinan baju anak-anaknya turut di bawa. Satu persatu anak tangga di turuni.

“Arghhhh!!!” Suara jeritan isterinya dari dalam bilik merencatkan langkah kakinya.

************************************************

“Salma tak ada apa-apa. Cuma lemah semangat je tu. Aku dah pulihkan. Ni ada air yang aku dah bacakan doa. Nanti bagi Salma minum.” Lewat petang itu Jamal terpaksa meminta bantuan salah seorang jirannya yang dikenali sebagai Tok Imam dalam kalangan penduduk di situ. Keadaan Salma semakin bertambah buruk berbanding pagi tadi. Isterinya itu hanya termenung. Kadang-kadang kedengaran esak tangis. Langsung tidak mahu menjamah makanan yang dihidangkan. Bersuara pun tidak.

“Baik. Tapi betul ke apa yang salma mengadu kat aku Saufi. Katanya dia ternampak pocong pagi tadi kat kawasan tangki air tu.” Tanya Jamal menginginkan kepastian.

“Jamal, kau kena tahu. Tempat tinggal kita ni dulu kawasan hutan belantara. Jadi aku tidaklah mahu mengiyakan apatah lagi menidakkan kata-kata isteri kau tu. Tetapi memang itu tugas ‘dia’ seawal kejadian manusia dulu. Jadi kita sebagai hamba-Nya kenalah sentiasa berusaha, berdoa agar terus dilindungi dari tipu daya Syaitan.” Jawab Saufi penuh berdiplomasi.

“Ni mana adik ipar kau? Tak nampak pun dari tadi. Waktu kerja tadi pun dia tak datang. Sihat ke tidak Lan tu?” Tanya Saufi sambil memerhati sekitar ruang tamu rumah itu. Hanya kelibat anak-anak Jamal bermain di satu sudut, Azlan tidak berada di situ.

“Eh! Aku pun tak perasan mana perginya Lan. Tadi aku sibuk uruskan Salma dengan budak-budak.” Balas Jamal.

“Aim nampak tak Pak Su?” Tanya Jamal kepada salah seorang anaknya. Kanak-kanak itu berpaling lalu menggeleng kecil.

“Lan!” Panggil Jamal sedikit kuat. Panggilannya tidak berbalas. Ketika itu remang senja semakin menebarkan kelam ke kawasan sekitar. Seketika nanti pasti suasana akan bertambah gelap tambahan pula kawasan tersebut masih belum mempunyai bekalan elektrik.

“Aku balik dulu lah ye. Kejap lagi Maghrib dah. Aku nak ke surau.” Saufi meminta diri untuk beransur.

“Kejap wei, adik ipar aku entah ke mana. Selalunya lepas je balik kerja dia lepak kat rumah je. Paling-paling pun dia ke rumah Mail kat depan tu.” Riak kerisauan jelas terpancar di wajah Jamal.

Kawannya itu terdiam. Mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu. Sebenarnya seawal kehadirannya di rumah itu tadi dia sudah merasakan sesuatu yang aneh. Seperti ada sesuatu yang memerhati setiap tindak tanduknya.

“Macam nilah. Aku ke surau untuk maghrib dulu. Nanti lepas maghrib aku datang semula. Kau tu tolong tutup semua pintu dan tingkap. Maghrib-maghrib ni tak baik orang tua kata biarkan tingkap dan pintu terdedah.” Pesan Saufi sambil melangkah keluar. Di anak tangga terakhir dia berdiam diri buat seketika. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya saat itu.

“Assalamualaikum.” Dia memberi salam kepada sekumpulan lelaki berjubah putih yang lalu di hadapan rumah Jamal.

Jamal memandang ke arah Saufi. Ada sesuatu yang tidak kena. Tetapi berat pula mulutnya ingin bertanya. Dia hanya membiarkan Saufi berjalan meninggalkan rumahnya.

“Sihat semua.” Tanya Saufi sambil berbalas-balas salam dengan kumpulan lelaki itu. Wajah bersih lelaki-lelaki itu kelihatan bercahaya.

“Alhamdulillah.” Jawab kumpulan itu bersilih ganti. Saufi menyertai kumpulan itu. Langkah mereka semakin menjauh. Semuanya itu diperhatikan oleh Jamal dengan riak terpinga-pinga.

“Gila agaknya budak Saufi ni cakap sorang-sorang.” Ucap Jamal sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Pesanan Saufi tetap dilaksanakan walaupun hatinya semakin meragui kewarasan kawannya itu.

“Saya nak minta tolong dari kamu.” Ujar Saufi sambil memandang wajah sahabatnya yang baru dikenali sejak dia berpindah ke perkampungan FELDA itu.

************************************************

Sejurus sahaja selesai mengimamkan jemaah yang tidak sampai pun lima orang itu Saufi berpaling dan duduk di suatu sudut. Jemaah yang lain sudah beransur pulang kerana awal-awal lagi Saufi telah memaklumkan hari ni tiada kelas mengaji yang biasa dijalankan olehnya.

Saufi berbalas pandang dengan rakan-rakannya yang duduk bersila di hadapannya saat itu. Satu persatu wajah itu diperhatikan. Dia tidak pernah bosan meneliti wajah-wajahnya itu. Entah kenapa hatinya tenang setiap kali memandang wajah-wajah itu.

“Apa sebenarnya yang berlaku?” Tanya Saufi. Sebenarnya sepanjang perjalanan tadi pelbagai soalan telah ditanyakan Saufi kepada rakannya itu. Dan kini dia mahukan penjelasan yang lebih lanjut.

“Saufi, sebelum kehadiran kamu di sini. Kawasan ni sememangnya hutan belantara pada pandangan mata kasar manusia. Tetapi di hijab yang berbeza. Kawasan ini telah sedia ada 2 buah kerajaan yang berbeza menguasainya sejak ribuan tahun yang lampau. Jiran kami itu memang kasar perilakunya. Banyak sudah manusia yang terperangkap di perkampungan mereka. Jujur saya tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya kepada manusia-manusia itu apabila masuk ke dalam perkampungan mereka. Kami sendiri terhalang untuk ke sana. Semuanya kerana perjanjian antara nenek moyang kami yang memisahkan dua kawasan kerajaan ni. Apabila kawasan ini diterokai dan penempatan dibina kebetulan rumah kawan kamu itu terletak betul-betul di atas laluan mereka.”

“Jadi kehilangan adik ipar kawan saya ada kaitan dengan mereka?” Tanya Saufi lanjut.

“Saya tidak mahu menuduh. Tetapi cuba Saufi cari di kawasan tangki air.” Balas rakannya itu perlahan

“Baiklah.” Ringkas Saufi membalas.

“Sebelum itu Saufi, saya nasihatkan agar kawan kamu itu berpindahlah dari rumahnya sekarang. Robohkan sahaja rumah itu bagi mengelakkan malapetaka yang kita tidak mampu bayangkan berlaku.” Nasihat rakannya itu sambil menyentuh lembut tangan Saufi.

Saufi tidak tahu bagaimana untuk menjawab permintaan rakannya itu. Dia bukannya pihak pengurusan FELDA itu sehingga boleh mengarahkan penduduk berpindah sesuka hati.

“Saya akan cuba.” Itu sahaja yang mampu dilafazkan.

************************************************

Jamal berjalan bersama beberapa orang jirannya yang lain menuju ke arah bukit di hadapan rumahnya. Anak dan isterinya telah ditinggalkan di rumah dengan ditemani oleh jiran-jirannya yang lain. Isterinya masih lemah. Kadang-kadang meracau secara tiba-tiba. Keadaan itu sedikit sebanyak merisaukan Jamal seandainya dia meninggalkan isterinya itu bersama dengan anak-anak sahaja. Kawasan sekitar tangki air itu gelap gelita. Tidak ada penduduk yang berurusan di situ. Jamal meliarkan pandangan mencari arah.

“Mana adik aku Saufi?” Tanya Jamal setelah buat seketika matanya masih tidak dapat melihat kelibat adiknya di situ.

“Aku pun tidak pasti.” Balas Saufi.

“Kau ni biar betul Saufi. Jangan main-main. Ni soal nyawa adik aku.” Tiba-tiba sahaja Jamal naik berang. Dia terasa tertipu.

“Maafkan aku. Aku hanya mendapat maklumat adik kau berada di sini.”

“Siapa yang bagitahu kau? Kawan-kawan hantu kau tu ke?” Marah Jamal. Entah mengapa amarahnya terasa tidak mampu dikawal saat itu. Dia mara berhadapan dengan Saufi.

“Baik kau cakap betul-betul. Mana adik aku. Entah-entah ni semua kerja kawan kau.” Jerkah Jamal sambil mencekak leher baju Saufi. Beberapa orang penduduk kampung yang turut bersama cuba untuk meleraikan pegangan Jamal.

“Sabar Jamal. Kita usaha dulu.” Pujuk Saufi.

“Ah! Baik kau suruh kawan-kawan kau tu pulangkan balik adik aku! Syaitan!” Tempelak Jamal.

Dalam kekalutan itu tanpa sesiapa sedari kelibat seseorang kelihatan sedang menuruni satu persatu anak tangga dari atas tangki air itu. Perlahan-lahan kelibat itu melangkah…

“Lan!” Teriakan satu suara merencatkan kekalutan yang sedang berlaku di bawah tangki air itu. Semua beralih pandang mencari arah.

Azlan merenung ke arah kumpulan itu. Wajahnya tidak beriak. Saufi mara memanjat satu persatu anak tangga menghampiri. Mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu. Perlahan-lahan dia melangkah.

“Lan…” Tegurnya lembut. Azlan langsung tidak membalas. Pandangan jauh ke hadapan.

“Lan buat apa kat sini?” Tanya Jamal tidak sabar.

“Aku nak teman nenek. Kesian nenek keseorangan di sini.” Balas Azlan. Riak wajahnya masih tidak berubah.

“Lan… mari kita balik.” Pujuk Saufi. Tangannya cuba menarik pergelangan tangan Azlan.

“Tak! Aku nak teman nenek!” Jerit Azlan dengan kuat. Serta merta dia berpaling lalu berlari ke atas tangki air itu. Suasana mula kecoh dengan suara penduduk kampung. Saufi bertindak pantas mengejar. Begitu juga dengan Jamal. Saufi mengejar dari belakang. Terjerit-jerit dia memanggil Azlan yang semakin laju lariannya.

“Lan tunggu.” Ketika itu Azlan sedang berdiri di atas palang pagar yang mengelilingi bahagian atas tangki air itu.

“Jangan kacau aku.” Tanpa sempat Saufi dan Jamal berbuat sesuatu Azlan terus terjun dari tangki air itu.

“Lannnn!!!”

************************************************

Berita Azlan terjun dari kawasan tangki air itu benar-benar mengejutkan penduduk sekitar. Penuh kawasan sekitar tangki air itu dengan penduduk yang ingin menyaksikan kejadian dengan lebih dekat. Percikan d***h kelihatan mengotori lantai bawah tangki air itu. Kelihatan juga serpihan daging dan rambut milik Azlan yang terkoyak melekat di tepi longkang. Kepalanya pecah. Wajahnya hampir tidak sempurna lagi. Tetapi bukan itu yang menjadi bualan penduduk. Bibirnya. Ya bibir Azlan seolah-olah mengukir senyuman. Senyuman yang mengundang seriau sesiapa yang memandangnya. Azlan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.

Sejak kematian Azlan. Keadaan Salma semakin tidak stabil. Hampir setiap malam Salma meracau histeria. Beberapa kali Salma terlepas dari pemantauan Jamal berjalan seperti orang tidak siuman menjerit-jerit nama arwah Azlan sekeliling kawasan penempatan FELDA itu. Berkali-kali cuba dipulihkan oleh Saufi tetapi usahanya gagal. Saufi juga pernah meminta bantuan rakan-rakannya dari hijab berbeza tetapi masih menemui jalan buntu. Gangguan juga semakin teruk berlaku di rumah Jamal. Jamal dan anak-anak berhadapan dengan pelbagai jenis gangguan sehingga menyebabkan anak-anak Jamal fobia untuk tinggal di rumah mereka. Kelibat arwah Azlan juga sering dilihat berlegar-legar di dalam rumah itu. Anak bongsu Jamal Aim sendiri pernah hilang beberapa hari. Mujur dengan bantuan ‘rakan-rakan’ Saufi anaknya itu dijumpai semula. Bahkan rumahnya juga beberapa kali hampir rentung terbakar. Genap sebulan Azlan meninggal dunia. Jamal mengambil keputusan untuk membawa isteri dan anak-anaknya berpindah semula ke kampung. Impian yang ditanam oleh Jamal untuk keluarga kecilnya musnah. Walaupun pihak pengurusan berhasrat memindahkan keluarga Jamal ke rumah yang lain tetapi Jamal telah tekad untuk keluar dari rancangan FELDA itu.

Sekian….

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

************************************************

Faizul bin A Rahim

1 thought on “Laluan”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.