Lampu Tidur dan Jelmaan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih kepada admin kerana approve dan siarkan cerita aku sebelum ini. Terima kasih juga kepada yang membaca. Kalau belum baca, boleh cari kisah “Pagi Raya”. Baiklah, kali ini, dua kisah misteri ringkas (mungkin lagi tak seram berbanding kisah sebelum ini), harapnya cukup segala keperluan untuk disiarkan. Sekali lagi, bukan aku yang mengalaminya. Kedua-dua kisah ini berlaku di kampung sebelah mak aku. Kita mula dengan kisah pertama.

LAMPU TIDUR

Kejadian ini berlaku ketika mak aku pulang ke kampung untuk mengundi pada pilihan raya umum lalu. Selepas menghantar mak aku ke kampungnya, ayah aku pulang ke kampungnya sendiri untuk mengundi di sana. Aku tidak ikut serta kerana mengundi di rumah kami di bandar. Adik-adik aku pula, oleh kerana ada “tukang masak” (akulah tu), maka mereka pun turut tidak ikut pulang ke kampung. Pakcik dan makcik yang lain pula hanya akan pulang ke kampung keesokannya (hari mengundi).

Malam itu, biasalah duduk di kampung, lekas sedikit mengantuknya. Atuk dan nenek aku tidur di bilik mereka manakala mak aku, berseorangan tidur di bilik sebelah yang hanya akan digunakan sekiranya ada tetamu atau anak cucu pulang ke kampung. Kira-kira pukul 3 pagi, mak aku terjaga. Terjaga biasa sahajalah. Namun, dia pelik melihat lampu tidur dipasang dalam bilik tersebut. Kalau hendak kata nenek aku yang pasangkan, pintu bilik itu dikunci oleh mak aku dari dalam. Jadi, bagaimana pula kalau nenek (atau atuk aku sekalipun) yang pasang, dia boleh masuk? Mak aku periksa, pintu masih berkunci. Kalau pun ada anak kunci boleh buka dari luar, gigih sangat pula atuk atau nenek aku nak masuk semata-mata untuk pasang lampu tidur sahaja. Lagipun, mereka aku tahu mak aku jarang tidur pakai lampu tidur, memang hanya tutup lampu dan tidur dalam gelap.

Kejadian ini tidak pun diceritakan oleh mak kepada atuk nenek. Hanya apabila dia pulang ke bandar, barulah dia bercerita kepada kami dan kepada atuk nenek dan pakcik makcik apabila kejadian ini sudah lama berlalu. Itupun selepas atuk aku cerita kisahnya di bawah ini.

JELMAAN

Kalau baca kisah “Pagi Raya” yang aku tulis sebelum ini, ada sentuh sikit pasal hantu raya menjelma menjadi ramai orang termasuklah nenek aku. Jadi, inilah kisah ringkasnya.

Suatu hari, ketika hanya atuk dan nenek di kampung, nenek aku beritahu atuk aku yang dia teringin nak makan ketam. Jadi, atuk aku pun pergilah ke kedai untuk membeli. Tak lama selepas itu, atuk aku pulang. Sambil menggantungkan kunci motor di kotak kunci berhampiran pintu depan, dia berkata “ketam takde” kepada nenek aku yang dilihat oleh atuk aku: sedang berkemban, berada di sinki sedang membasuh pinggan mangkuk. Dari pintu depan, boleh nampak terus sinki walaupun bahagian dapur tersebut agak ke bawah berbanding ruang tamu depan. Nenek tidak menjawab apa-apa tetapi terus berlalu ke sebelah kiri, bahagian tempat memasak dan seterusnya bilik air.

Apabila atuk aku turun ke dapur, dia tidak mendengar sebarang bunyi air dari dalam bilik air. Malah pintu bilik air juga sedikit terbuka seperti tiada orang menggunakannya. Setelah dicari di dalam bilik air juga di belakang mesin basuh (Haha!), atuk aku pun naik untuk masuk ke bilik. Di situ, dia nampak nenek aku sedang tidur, tidak pun berkemban, tidak pun nampak macam baru lepas mandi. Lagipun, sejurus “nenek” aku pergi ke kiri, atuk aku terus turun ke dapur. Takkan secepat itu “nenek” aku mandi atau guna bilik air. Takkan atuk tak nampak kalau nenek aku sudah keluar dari bilik air dan naik ke atas untuk ke bilik? Apabila nenek aku terjaga, atuk aku bercerita mengenai apa yang dinampaknya itu.

Maka, mereka mengesyaki “nenek” yang atuk nampak itu adalah jelmaan oleh hantu raya yang turut diperkatakan oleh ramai orang kampung ketika itu dengan menjelma menyerupai ramai orang lain juga. Tidak dipastikan hantu raya itu ada yang membelanya atau tidak bertuan. Tapi mestilah ada juga gosip-gosipya. Ada juga kisah menjelma dalam bentuknya sendiri sehingga ada orang kampung yang pengsan atau demam berhari-hari kerana melihatnya. Bagi atuk aku, nasib baik juga hantu raya itu tidak menjelma dalam bentuk asalnya. Tetapi, semestinya menjelma menyerupai orang lain pula akan memberikan masalah yang berbeza.

Sekian itu sahaja dua kisah ringkas ini. Terima kasih kerana membaca.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Wann

1 thought on “Lampu Tidur dan Jelmaan”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.