Langsuir di Raub Pahang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh buat semua pembaca. Terima kasih terlebih dahulu kepada admin sekiranya kisah aku disiarkan dan diharapkan pembaca-pembaca tegar blog Fiksyen Shasha terhibur dengan cerita yang ingin aku kongsikan.

LANGSUIR di pohon ara.

Kisah yang bakal aku kongsikan ini adalah kisah benar yang datang ceritanya dari arwah atuk aku sendiri yang kemudiannya diturunkan kepada anak cucu dan bertujuan untuk memberi pengajaran dan panduan dalam menghadapi hidup yang umum kita ketahui sebenarnya tanpa sedar kita berkongsi dunia antara alam nyata dan alam ghaib. Seharusnya kita percaya kepada alam ghaib kerana PERCAYA KEPADA ALAM GHAIB juga merupakan salah satu daripada RUKUN IMAN.

Ingin juga aku tegaskan terlebih dahulu, kadang-kadang HANTU ini mempunyai versi-versi yang berbeza mengikut kepercayaan dari daerah/ negeri waima negara masing-masing. Contoh paling ketara supaya pembaca mudah faham ialah perbezaan PONTIANAK di negara-negara MELAYU adalah berbeza dengan di BARAT. Dan langsuir yang bakal aku ceritakan ini adalah mengikut apa yang dipercayai dan pernah disaksikan oleh masyarakat-masyarakat di negeri Pahang khususnya. Kebiasaannya langsuir di Pahang tidak hanya digambarkan sebagai makhluk berupa wanita yang menghisap d***h seperti di kawasan lain, tetapi dipercayai ianya makhluk berupa wanita dengan rambut panjang juga, tetapi berparuh dan berkepak seperti itik. Ada juga sesetengah orang mengatakan langsuir ini terburai isi perutnya dan sangat suka mendiami pohon-pohon besar seperti pokok ara. Ya, jangan terkejut. Sememangnya ada pelbagai versi yang boleh didengar bila melibatkan makhluk-makhluk ghaib ini.

Maaf kerana membuang masa anda semua tetapi saya rasa saya perlu menyelitkan sedikit tentang pertembungan pendapat tentang hantu-hantu ini. Tanpa membuang masa saya teruskan kisah ini.

Kisah ini terjadi di awal tahun 70-an di mana kebanyakan daripada mereka yang hidup di zaman tersebut tidak mempunyai kenderaan sendiri. Dijadikan cerita, emak saya yang waktu itu baru berusia 12 tahun menetap di kampung sekeluarga di Kampung Temau di daerah Raub, Pahang. Hanya arwah Atuk yang berkhidmat ketika itu berkhidmat sebagai askar tidak menetap di sana kerana urusan kerja. Jadi hanya ketika cuti arwah Atuk akan pulang ke kampung. Kebetulan, wan (panggilan untuk nenek) baru bersalin anak ke-6, jadi atuk pun pulanglah ke sana selama 3 hari.

Jadi, malam kedua sebelum hari ke-3, atuk kena pergi ke rumah orang yang ada menyediakan perkhidmatan kereta sewa untuk pulang ke kem (dari Kuala Lumpur, atuk saya akan terbang ke Tawau, Sabah kerana berkhidmat di sana). Jadi pergilah atuk bertemankan sepupu emak. Sepupu emak saya ini dijadikan peneman kerana di kalangan anak-anak saudara ketika itu dialah yang sudah agak dewasa. Atuk dan anak buahnya hanya berjalan kaki walaupun jarak untuk sampai ke rumah kereta sewa itu tidak terlalu jauh (dalam 2 kilometer kalau tak silap). Kerana hari hampir gelap, mereka turut membawa jamung (boleh google kalau tak tahu rupa jamung) untuk menerangi jalan mereka.

Sampai di satu selekoh, anak buah atuk saya ni terus berpaut di tangan Atuk saya. Atuk saya di panggil pak teh oleh anak buahnya, dan dia memanggil gelaran along pula pada anak buahnya.

“Kau kenapa ni long, tiba-tiba paut lengan pak teh?” Soal atuk saya.

“Takut teh, tu pokok ara tu, orang ramai cakap ada langsuir!” jawab si along.

Bila melalui bawah pokok ara tersebut, bagi menghilangkan rasa takut along, atuk saya pun pergi mendekati pohon tersebut lalu menonggengkan jamung yang dibawa, maka bertambah maraklah api jamung tersebut.

“Dah, jangan takut! Pak teh dah bakar dah tempat langsuir tu. M**i kepanasanlah dia,” kata atuk saya kepada along.

Jadi mereka pun meneruskan perjalanan ke tempat yang dituju, selepas isyak dan selesai berbincang dengan tuan punya kereta sewa maka berangkat pulanglah atok saya dan anak buahnya.

Dalam perjalanan pulang, sebelum melalui pokok ara tersebut, sayup-sayup dari jauh sudah terdengar suara ketawa mengilai.

“Ya, Allah! Pak teh, bunyi apa tu teh!!! Astaghfirullahalazim, Allahuakbar! Teh, tengok atas pokok tu teh, Ya Allah, saya takut teh!” Teriak along pada atuk saya, kerana terlihat kelibat langsuir tersebut, yang seolah-olah sedang ;menunggu; kepulangan atuk saya dan anak buahnya.

Atuk saya terus berpesan pada anak buahnya: “Dah long, takkan kita tak nak balik pulak sebab ada makhluk tu. Baca ayatul Qursi, jangan takut! Kita manusia, kedudukan kita lebih mulia pada dia. Kalau kau takut, benda tu akan tambah berani.”

Si along dah lemah lutut, melurut dan memeluk kaki atuk saya.

“Ya Allah teh… saya takut teh, tak pernah nampak benda tu teh!,” kata anak buah atuk saya tu ketakutan.

Jelas ketika itu, suara ketawa mengilai-ngilai bercampur dengan bunyi itik dan angin deras kerana langsuir itu mengibas-ngibas kepaknya.

Si along dan atuk terus terkumat-kamit membaca ayatul Qursi sambil melafazkan azan. Ada yang terkeluar suara, ada yang seperti tersekat-sekat. Sepanjang perjalanan mereka tak berjaya usir langsuir tersebut. Sampailah ke rumah, masih mengikut mereka benda tu.

Setibanya di rumah, emak saya dan keluarga yang lain didalam rumah pun turut ketakutan kerana kata emak memang jelas suara benda tu ketawa di luar rumah. Di sebabkan ada anak kecil, atuk tak bagi si along terus masuk ke rumah sebaliknya mereka ke perigi dahulu untuk mengambil wudhuk. Along dengan langkah kanan dan bismillah terus serbu masuk ke rumah terlebih dahulu. Atuk saya tak terus masuk, tapi melaungkan azan terlebih dahulu, dan dibantu oleh saudara-saudara lelaki lain. Ada yang bawa lampu suluh. Tak tahu lah macam mana dorang halau benda tu, akhirnya barulah benda tu hilang.

Begitulah kisahnya, apa yang arwah atuk bagi tahu memang sebelum benda tu muncul, ada tercium bau yang sangat wangi, dan bila benda tu mendekat busuklah yang teramat baunya. Kata atuk, dia pun bukannya tak takut, tapi kenalah beranikan diri kerana sesungguhnya benda tersebut juga hanyalah makhluk Allah. Cuma yang dikesalkan arwah atuk, katanya selain kena berani kita juga perlu ingat benda tu juga makhluk Allah, jadi janganlah diganggu benda tersebut sekiranya dia tidak mengganggu kita, kerana baru atuk teringat yang dia macam cari pasal bila menonggeng dan memarakkan api jamung sambil dalam hati dia berkata “Mam***lah kau, langsuir”.

Sekian sahaja cerita saya pada kali ini. Sekiranya disiarkan dan pembaca suka, in shaa Allah saya akan kongsikan lagi kisah-kisah yang lain pada entri yang akan datang. Terima kasih sekali lagi kepada admin dan pembaca yang sudi membaca kisah saya yang tak seberapa ni!

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Baim

3 thoughts on “Langsuir di Raub Pahang”

  1. Terbaik la cerita ni, terasa seram sejuk juga bila baca malam2 ni. Kawasan Kampung Temau di Raub ni buat saya terkenang kan kampung halaman. Good job buat author.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.