Est. 2015 Fiksyen Shasha Kisah Benar

Malam Terakhir Anjing Penjaga Asrama Kami

Sepanjang malam histeria menyerang… dan menjelang pagi kami jumpa anjing kami tanpa nyawa. Yang buat aku tidak lupa sampai sekarang, aku pasti aku nampak dia… masih hidup.

Kisah Penuh
Ini kisah aku semasa bersekolah di Sekolah Teknik Matang, Kuching pada tahun 1997. Aku pelajar asrama puteri. Ada dua blok asrama dan aku ditempatkan di blok paling hujung. Di bawah sekali ada kediaman warden.

Di kawasan asrama kami ada seekor anjing besar. Tak pasti milik siapa, mungkin anjing liar yang diberi makan oleh cikgu. Waktu siang dia jinak tapi bila malam terutama selepas jam 11 dia jadi seperti ‘anjing zombie’. Menyalak, mengejar sesiapa yang keluar. Entah kenapa kami rasa selamat dengannya. At least tak berani nak merayau keluar asrama selepas waktu malam.

Rutin kami seperti biasa. Kelas, makan di dewan, dan prep. Prep malam biasanya dibuat di bilik belajar bawah asrama. Bilik itu berdindingkan sliding door kelilingnya dan hanya dilindungi langsir. Kadang-kadang kami buka langsir, menikmati pemandangan malam. Tak rasa apa-apa pelik… sehinggalah satu malam.

Prep malam habis jam 10. Beberapa pelajar masih di bilik belajar, tiba-tiba menjerit.
“Weh! Wehhh! Ada orang!”
Aku turun. Dan aku nampak di luar sliding door seorang lelaki hitam, berbogel, berdiri tegak memerhati kami. Dia tak bergerak. Hanya merenung dengan mata yang… aku tak sanggup pandang lama. Tak tahu sejak bila dia di situ.

Yang aku perasan anjing besar kami tak ada. Tak menyalak. Sunyi.

Aku terus bergegas ke dorm. Malam itu aku bertugas memeriksa setiap bilik jam 11. Bilik pertama aku masuk rakan-rakan kata aku sudah datang tadi, diam tanpa berkata sepatah. Padahal aku yakin itu kali pertama aku masuk. Aku hanya “cover line”, pura-pura lupa.

Sampai dorm tingkat atas aku dikerumuni pelajar. Mereka tunjuk dua orang kawan yang sedang mencangkung, menjilat dinding sambil berdengus. Salah seorang cuba memanjat tingkap. Mujurlah tingkap berkunci. Aku mahu menyentuh mereka tapi ditahan. Aku minta ketua bilik maklumkan kepada warden kami.

Di masa yang sama dari bawah kedengaran tangisan kuat. Aku turun dan nampak seorang rakan di luar asrama menangis sambil mencakar tanah dan mencabut rumput dengan kasar. Malam itu asrama kami diserang histeria.

Kami cuba kawal keadaan. Hanya yang berani menjaga dua pelajar di atas dan seorang yang menangis di bawah. Warden memanggil bantuan termasuk beberapa pelajar lelaki untuk meredakan suasana.

Akhirnya semua diarahkan kembali ke bilik. Malam itu kami hanya tidur-tidur ayam. Paginya, warden memberitahu yang pelajar-pelajar yang sakit sudah diambil keluarga masing-masing.

Namun, ada satu lagi kejadian aneh. Semua pakaian dalam kami yang disidai hilang. Ada juga pakaian lain yang lesap. Aku jadi serik nak sidai baju waktu malam.

Masa aku keluar nak ke kelas, aku nampak pelajar lelaki sedang menggali lubang.
“Kenapa?”
“Nak tanam anjing.”
Aku terdiam. Anjing besar kami mati. Tiada siapa tahu punca kematiannya. Ada yang kata diracun. Sebab malam itu masa aku turun nak lihat pelajar yang mencakar tanah… di tepi pagar hutan aku nampak kelibat anjing kami berdiri. Mata merah. Lidah terjelir. Badan penuh darah.

Ada pula cerita bahawa malam itu, seorang pekerja Indonesia di tapak pembinaan berdekatan sedang ‘menguji’ ilmu hitamnya… dan dia perlukan pakaian dalam perempuan.

Entah betul entah tidak. Yang aku tahu, malam itu bukan saja kami kehilangan anjing yang setia, tapi juga rasa selamat yang pernah kami ada. Sampai hari ini, aku masih tertanya-tanya kalau malam itu aku benar-benar sudah masuk ke bilik pertama tadi… siapa yang masuk lebih awal dengan wajah aku? Siapa yang mereka nampak?

Kumang
Cerita Berkaitan
Ada kisah sendiri?

Kongsi pengalaman seram anda.

Hantar Kisah

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Nak cerita baru kami hantar terus ke Telegram anda? Jom Join 👻 Join Telegram