Mbak Salehah

“shrehh..shrehh..shrehh..”

Salehah tekun memberus stokin-stokin didalam baldi. Nampak peluh mengalir turun tanpa putus dari tepi dahinya terus berkumpul ke dagunya lalu menitik jatuh ke lantai. Disekanya peluh didahi. Sesekali tubuhnya yang baru berusia 20 tahun itu tampak bergetar sedikit. Menandakan Salehah berasa lapar. Sangat lapar. Tiada secubit roti mahupun seulas nasi dapat dijamahnya semenjak dia bangun dari tidur jam 5.30 pagi tadi. Dan sekarang sudah hampir jam 9 pagi. Beberapa pasang stokin mesti dicuci dahulu sebelum dibasuh dengan washing machine pula selepas Salehah selesai menyapu dan mop lantai rumah. Itu arahan dari Mem Julie. Tak boleh dibantah.

Salehah bertubuh agak kecil. Kulitnya agak cerah, berambut sedikit ikal, panjang hampir melepasi belikatnya. Manis orangnya dan bila tersenyum, matanya nampak sepet sedikit. Wajahnya kecil bujur sireh dan bibirnya halus namun amat jarang dapat melihat senyuman dibibir Salehah sekarang. Malah semenjak bekerja dirumah Puan Julie, Salehah menjadi sangat pendiam dan selalu tampak murung. Namun Salehah amat cergas dan rajin bekerja. Rumah Puan Julie selalu kelihatan bersih dan kemas. Sukar untuk dilihat habuk melekat diperabut rumah itu. Lantai sentiasa berasa segar serta bersinar jubinnya.

Salehah sentiasa pegang teguh pesan ibunya sebelum dia meninggalkan desa halamannya hampir setahun lalu untuk merantau bekerja di Singapura. Jaga solat, ingat Allah selalu, jaga diri, patuh dan taat pada majikan serta rajin bekerja. Semua itu Salehah genggam kukuh sebagai prinsip hidupnya. Sememangnya Salehah anak yang sangat baik dan solehah. Dididik dengan panduan agama sedari kecil. Namun Salehah tidak dapat meneruskan persekolahannya kerana kemiskinan tegar keluarganya. Kesempitan hidup selepas kematian ayahnya kerana demam denggi memaksa Salehah keluar ke negara yang amat asing baginya. Keluar meninggalkan 3 adik-adiknya yang amat rapat dengannya dan ibu tercinta…

“shreehh..shrehhh..shrehh..”

Salehah terus tekun menyental stokin bola anak bujang Mem Julie yang berkerak dengan lumpur. Spontan rasa lapar menyerangnya lagi. Terhenti sebentar tangannya dari terus memberus. Tampak bergetar halus tangannya. Tapi Salehah tidak berani untuk kedapur menjamah sedikit makanan selagi tidak usai memberus stokin-stokin didalam baldi. Maka dipujuk hati dan tubuh kecilnya dengan melayangkan fikirannya pada adik-adiknya dikampung…

Matanya seakan-akan terlihat saat-saat riang mereka bermain bersama di tepi batas bendang. Dan saat-saat ceria bermain layang-layang bersama anak-anak desa yang lain. Ketawa riang, kejar-mengejar di batas bendang, terjerit-jerit takutkan lintah bulan yang muncul dicelah-celah tangkai padi…sungguh indah memori itu pada Salehah. Sungguh rindu rasa dihatinya. Terlihat senyuman kecil terukir di hujung bibirnya walau peluhnya tampak terus mengalir. Itulah sahaja yang mampu Salehah lakukan untuk menahan rasa laparnya itu. Terus Salehah sambung semula memberus stokin-stokin itu..

Sudah hampir 8 bulan Salehah bekerja sebagai pembantu rumah di rumah Puan Julie yang Salehah panggil “Mem”. Itu arahan dari Puan Julie. Panggilnya Mem. Puan Julie bekerja sebagai pengurus akaun disatu syarikat perkapalan milik Jepun. Sudah lama dia bekerja disitu. Mungkin hampir 17 tahun. 2 anak remajanya tinggal serumah dengannya dan Salehah. Anak lelakinya baru habis sekolah dan sedang menunggu keputusan “O Level” dan anak perempuannya pula sedang belajar di Politeknik.

Puan Julie sudah hampir 3 tahun diceraikan suaminya kerana tak tahan dengan sifatnya yang pemarah dan sering menghinanya dengan kata-kata kesat. Lebih-lebih lagi bila dia diberhentikan kerja sebagai Project Manager di satu syarikat kontraktor Korea akibat pasaran hartanah yang lembab di Singapura ketika itu. Setelah hampir setahun menganggur, suami Puan Julie dapat kerja sebagai driver di sebuah resort di Pulau Sentosa. Tapi gajinya kurang dari separuh dari gajinya dulu. Jauh lebih rendah dari pendapatan Puan Julie.

Bermulalah layanan buruk Puan Julie pada suaminya. Didepan tetamu atau handai-taulan malah saudara-mara pun Puan Julie tak segan-silu menyindir dan menghina suaminya. Bertahun juga suaminya bersabar. Akhirnya mereka bercerai setelah sering didesak Puan Julie. Hak penjagaan anak pula mahkamah syariah putuskan diberi pada Puan Julie kerana pendapatannya yang lebih tinggi. Hakmilik rumah juga diserahkan padanya kerana bekas suaminya tidak sanggup lagi untuk turun-naik mahkamah berentap dengan Puan Julie depan hakim. Hampir bankrupt bekas suaminya akibat kos peguam yang tinggi.

“Salehah!!”

Tersentak Salehah mendengarkan suara yang lantang yang amat ditakutinya itu. Tergesa-gesa dia bangun dan melangkah keluar dari bilik mandi..

“ya Mem”, jawab Salehah perlahan sambil menundukkan tubuhnya sedikit berdiri menghadap Puan Julie.

Puan Julie nampak seperti sudah siap mahu keluar rumah. Berseluar hitam ketat seperti legging dipadankan dengan blouse putih berbintik hitam itu nampak amat hodoh ditubuhnya yang agak rendah serta gempal itu. Rambutnya yang diset halus kerinting tampak kembang mengawan. Anting-anting jade besar bulat tergantung ditelinganya. Solekannya tebal dengan gincu merah menyala dibibir. Jelas tanda gincu digiginya bila dia tersenyum. Alis matanya palsu dan diwarnakan ungu pula dibawah pelipis mata. Sekali pandang Puan Julie tampak tidak ubah seperti isteri-isteri gangster Mafia Itali zaman 70an yang hidup tertekan dan tak bahagia. Kadang-kadang nampak macam badut pun ya.

“belum siap-siap lagi kamu cuci stokin Faris??”, herdik Puan Julie dengan suaranya yang nyaring serta lantang itu.

“tinggal sedikit saja lagi Mem”. Terdengar sedikit getaran disuara Salehah.

“dari tadi kamu cuci tak siap-siap lagi?? kamu tidur ya dalam bilik air?”, lantang Puan Julie buat tuduhan liar.

“tidak Mem. saya nggak tidur. saya masih cucian stokin-stokin Faris”, jawab Salehah dengan suara halusnya itu yang hampir tidak kedengaran ditelinga.

“lembab! bodoh! pemalas! cepat cuci stokin tu!”, herdik Puan Julie lagi.

“ya Mem. maafkan saya Mem. apa bisa saya makan sedikit dulu Mem?”, rayu Salehah.

“makan? itu je yang kau tahu! kerja malas!”, bentak Puan Julie

“saya lapar banget Mem. kasihanilah saya..”, rayu Salehah lagi. Tangannya yang halus dan kecil itu seakan bergetar lagi..

“habiskan dulu kerja kamu baru boleh makan!”, putus Puan Julie

“baik Mem”, jawab Salehah lemah..

Begitulah yang Salehah hadapi sehari-hari hidup dan bekerja dirumah Puan Julie. Kedua-dua anaknya pun lebihkurang sama sikap mereka terhadap Salehah. Dibentak, diperintah, diherdik, ditengking..semua itu seperti sudah seperti makanan harian buat Salehah. Dia juga tidak pernah dibenarkan keluar berseorangan untuk kekedai. Bila kepasar setiap hujung minggu, mesti bersama Puan Julie. Salehah juga tidak dibenarkan bertegur-sapa dengan pembantu-pembantu rumah lain dipasar. Menunduk sahaja Salehah berjalan dibelakang Puan Julie sambil menarik troli kecil. Dan tidak pernah juga Salehah dibenarkan untuk menghubungi keluarganya didesa.

Namun Salehah tetap bersabar. Tetap redha kerana mengenangkan dia disini mencari rezeki demi kelansungan hidup adik-adik serta ibunya didesa. Hanya diatas sejadah lah tempat Salehah mengadu dan merayu akan penderitaan yang ditanggungnya. Hanya pada Allah lah Salehah berbicara setiap usai solat. Sering basah telekung Salehah kerana airmata yang mengalir deras. Itupun kadang-kadang terdengar pekikan Puan Julie dari luar biliknya suruh dia segera habiskan solat. Terburu-buru Salehah putuskan doa yang sedang dipanjat. Puan Julie dan anak-anaknya tak pernah pula Salehah lihat mereka solat. Setiap waktu solat berlalu bagai tiada apa kesan buat mereka anak-beranak. Sentiasa nampak sibuk dengan phone atau ipad masing-masing bila dirumah.

Dan waktu malam la waktu yang paling menyeksakan buat Salehah. Pabila selesai mencuci pinggan-mangkuk dan mengemas dapur selepas Puan Julie dan anak-anaknya makan malam, Salehah akan diarah pula untuk mop lantai seluruh rumah dan bilik. Semuanya itu sebelum sempat Salehah dapat menjamah sesuap nasi. Terketar-ketar tubuh kecilnya mengemop lantai menahan kelaparan. Setelah usai, barulah Salehah dibenarkan makan didapur. Itupun nasi dan lauknya sering dicatu Puan Julie. Namun Salehah sentiasa bersyukur dalam kelelahan dan kesedihan…

Dan bila tiba waktu tidur, Salehah tidak dibenarkan dulu untuk berehat dan lelapkan mata. Puan Julie sering mahu Salehah duduk dihujung katilnya. Siap menanti untuk tunaikan perintah Puan Julie yang berbaring dikatil bersama ipad nya. Tampak persis seperti anjing laut betina bunting yang sedang santai ditepi pantai. Tersengguk-sengguk Salehah menahan rasa mengantuk sambil duduk bersimpuh di tepi bucu katil Puan Julie. Memang Puan Julie sering tidur lewat. Dan jika esoknya cuti, Puan Julie hanya akan tidur sekitar pukul 3-4 pagi. Tekun menghadap ipad nya melayari Facebook. Selama itulah juga Salehah wajib bersimpuh di bucu katil menunggu arahan Puan Julie…

“Salehah! buatkan aku kopi!”

“Salehah! aku rasa nak kunyah. lapar pulak. ambikkan aku roti! Cepat!”

“Salehah!! ambikkan aku susu!”

“Salehah! ambikkan aku air”

“Salehah! bersihkan ashtray ni” ( Puan Julie juga kuat merokok )

“ya Mem”.

Itulah sahaja jawapan Salehah sebelum segera bergegas menunaikan hajat Puan Julie dan kembali duduk bersimpuh semula dihujung katil menunggu arahan selanjutnya hinggalah Puan Julie tertidur. Ketika itulah baru Salehah dapat melelapkan mata dibilik kecilnya didapur yang tidak berkatil. Hanya tilam nipis seperti tilam toto yang dihamparkan dilantai dan bantal buruk berkerak tanpa sarung buat Salehah melepaskan lelah…

Itulah arahan-arahan dan kehendak rutin Puan Julie di memalam buta. Hampir setiap malam Salehah terpaksa bersengkang mata melayan kerenah Puan Julie hingga jauh ketengah malam mencecah ke pagi. Dan esoknya Salehah mesti bangkit tidur tepat jam 5.30 pagi. Tidak mahu dia ketinggalan solat Subuh walau seletih mana dia sekalipun. Akibatnya, hanya 2-3 jam Salehah dapat melelapkan mata hampir setiap malam. Tubuhnya semakin lemah dan tampak kesan agak lebam dibawah pelipis matanya kerana kekurangan tidur dan pemakanan.

Setelah kira-kira 10 bulan bekerja dirumah Puan Julie, Salehah jatuh sakit. Terasa panas membahang tubuhnya di pagi itu yang masih gelap setelah hanya 2 jam dapat melelapkan mata sebelum itu kerana melayan kehendak Puan Julie hingga hampir jam 3 pagi. Terasa sengal segala sendi-sendi ditubuhnya. Susah-payah Salehah cuba bangkit. Nampak terhoyong-hayang tubuhnya berjalan perlahan menuju kebilik mandi untuk mengambil wuduk. Kerana tak berdaya untuk berdiri lama, Salehah bersolat Subuh sambil duduk pagi itu. Selesai bersolat, Salehah merebahkan tubuhnya yang masih bertelekung diatas tilam nipis dilantai dengan niat untuk berehat sebentar sebelum memulakan tugas..

“Salehah!!”

Tersentak Salehah yang baru hampir terlelap.

“kamu masih tidur ya? kamu tahu sudah pukul berapa sekarang?? dasar pemalas! bangun!!”, nyaring dan lantang Puan Julie mengherdik Salehah.

Tubuh pendek gempalnya kelihatan seakan memenuhi muka pintu bilik kecil itu. Puan Julie menjegilkan mata bulatnya itu sambil bercekak pinggang.

“maaf Mem..saya..sa..saya..sakit Mem..apa..apa bisa saya reh..”

“sakit? sakit apa?? kau jangan nak mengada-ngada! cepat bangun sediakan sarapan!”, potong Puan Julie sebelum sempat Salehah merayu..

“ba..baik Mem”, jawab Salehah sambil cuba menggagahkan diri untuk bangun.

“kau tidur lagi memang nahas kau aku kerjakan! bangun cepat!!”, herdik Puan Julie lagi.

“ya..ya Mem. ma..maaf Mem”

Pada malamnya, terdengar bergema seluruh rumah suara lantang Puan Julie memaki-hamun Salehah. Amat marah Puan Julie bila dilihatnya Salehah tersandar ditepi sofa sambil memegang penyapu setelah Salehah siap mengemas dapur. Salehah merayu pada Puan Julie untuk menghantarnya ke klinik tetapi hanya 2 butir panadol dihulurkannya sambil ditemani herdikan dan cacian. Memang ketika itu Salehah sudah tiada daya-upaya lagi. Seluruh tubuhnya dirasakan seperti hampir lumpuh. Namun kerana takut pada Puan Julie yang terus-terusan memaki-hamunnya, Salehah gagahkan juga dirinya untuk bangun teruskan tugas. Dan 2 butir panadol itu langsung tidak berfungsi menurunkan panas tubuhnya..

Dan lewat malam itu, Salehah terpaksa lagi duduk bersimpuh dihujung bucu katil Puan Julie. Setia menanti perintahnya. Tubuhnya yang kecil itu terlihat terus menggigil kerana demam yang terasa semakin membahang…

setelah 2 hari berlalu…

Waktu menunjukkan sudah hampir 3.30 pagi. Salehah sedang berbaring ditilam nipisnya dengan telekung lusuhnya masih membaluti tubuh. Dia baru usai bersolat tahajjud 4 rakaat setelah sepanjang malam melayan kehendak Puan Julie seperti kebiasaannya. Tubuhnya dirasakan amat lemah sekali. Getaran tubuhnya akibat panas yang tidak reda tidak lagi dapat Salehah kawal. Quran kecil yang dibawa bersama dari desa terus didakapnya…

“Ibu..ibu..maafkan Salehah..ibuu..”, halus dan sayup kedengaran rintihan Salehah.

“ibu..Salehah sakit bu..ibu..”, terdengar lagi rintihan halus terbit dari bibirnya..

“ibuu..Salehah kangen sama ibu dan adik-adik..tolongi Salehah bu..Salehah mahu pulang..”, rintihnya lagi. Namun suaranya kedengaran semakin perlahan..

“Ya Allah..ya Tuhanku..ampunilah..ampunilahh aku..kasihanilah hamba mu ini..kasihanilah..Engkaulah lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang…”

Terus-terusan Salehah berdoa sambil terus didakap Quran kecilnya. Suaranya seakan-akan amat sukar didengari lagi. Airmatanya tampak berlinang mengalir perlahan..

Dimaki dan dihamunnya Salehah pagi itu bila didapatinya Salehah masih tidur dengan bertelekung sambil mendakap senashkah Quran kecil didadanya. Setelah dilihatnya Salehah tidak memberi sebarang respons walaupun setelah dimaki-hamun, terus Puan Julie menggoncang-goncangkan tubuh kecil Salehah cuba mengejutnya bangun. Terperanjat besar Puan Julie setelah didapatinya tubuh Salehah sudah kaku dan sejuk dan matanya tetap terpejam rapat dan tiada lagi nafas yang dihela…

Salehah sudah pergi meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya. Pipi halus kecilnya tampak berkilau kerana airmatanya terlihat seolah-olah terus mengalir dan terlihat bibirnya seakan menguntumkan senyuman kecil…

Puan Julie tenggelam punca. Dan bingung. Juga bimbang. Amat bimbang. Segera dihubunginya ambulans dengan harapan Salehah mungkin boleh diselamatkan lagi. Sukar untuk Puan Julie terima kenyataan yang Salehah sudah tiada lagi. Meninggal akibat demam panas yang tidak dirawati. Juga amat bimbang jika dia bakal dihadapkan ke mahkamah kerana penyiksaan mental dan fizikalnya terhadap Salehah. Segera dia hubungi peguamnya. Selepas itu barulah Puan Julie menghubungi polis..

Jenazah Salehah diterbangkan pulang kenegaranya tidak berapa lama selepas itu oleh kedutaan Indonesia dan dikebumikan didesanya. Pengsan ibu arwah Salehah dikuburannya kerana kesedihan yang mendalam. Sedu-sedan adik-adik arwah Salehah terdengar sayu dikuburan. Kelihatan sesusuk tubuh lelaki agak berumur berdiri sambil berpeluk tubuh merenung pusara Salehah dihari pengkebumian. Wajahnya tampak sedih namun ada imbas kemarahan di matanya…

Puan Julie disiasat polis dan dikenakan pertuduhan menyebabkan kematian Salehah. Namun atas kebijaksanaan peguamnya berhujah dan tiada kesan kecederaan ditubuh arwah Salehah dan disertai pula laporan pihak hospital yang mengesahkan Salehah mati kerana demam panas, Puan Julie terlepas dari hukuman penjara. Hanya dikenakan denda khidmat komuniti selama 14 hari.

Lega besar hati Puan Julie. Tersenyum lebar dia bila melangkah keluar dari mahkamah bersama peguamnya disisi. Dengan cermin mata hitam Chanel nya yang besar hampir memenuhi muka dan blouse merah sendat dan berskirt putih paras lutut sambil menggalas beg tangan Louis Vuitton, Puan Julie berasa dirinya seperti seorang selebriti ternama. Namun sekali pandang nampak tak ubah seperti nangka bungkus bergerak. Kes ini mendapat perhatian besar ketika itu. Teruk dia dihentam dimedia sosial. Tapi ada juga yang menyokongnya dan berpendapat Puan Julie tak bersalah.

Sekumpulan wartawan yang menanti keputusan kes sedari tadi segera mengerumuninya. Terlihat satu kumpulan orang-ramai melaung-laungkan kata-kata kesat padanya namun senyuman Puan Julie tetap tidak lekang dibibir dan dijawabnya soalan-soalan wartawan dengan wajah ceria…

kira-kira 3 bulan selepas itu…

“shrehh..shrehh..shrehh..”

Jelas terdengar bunyi itu ditelinga Puan Julie. Dan bunyi itu juga yang mengejutkannya dari tidur. Terasa panas dihatinya kerana tidurnya diganggu dihari cuti begitu. Dicapainya iPhone 5 nya yang terletak diatas meja kecil ditepi kepala katil. Skrin phonenya menunjukkan waktu sudah 9.30 pagi..

“sapa yang membasuh pepagi ni? takkan Liza pulak? ke Faris basuh jersey bolanya? tapi tak pernah plak dua ekor ni basuh baju sendiri”, detik hati Puan Julie.

Segera dia turun dari katil dan melangkah keluar bilik dan menuju ke bilik air di hujung dapur. Semakin hampir dia ke dapur semakin jelas bunyi memberus kedengaran didalam bilik air…

“shrehh..shrehh..shrehh..”.

Terus kedengaran bunyi itu yang jelas datangnya dari dalam bilik air bila Puan Julie tiba dimuka pintu dapurnya.

“Liza? kau tengah berus apa tu?”, Puan Julie menegur.

“engkau ke Faris dalam bilik air? kau tengah basuh jersey bola kau ke?”, Puan Julie bertanya lagi.

Tiada jawapan. Namun bunyi seperti seseorang sedang memberus sesuatu terus kedengaran. Pintu bilik air kelihatan terbuka luas. Perlahan-lahan Puan Julie melangkah menuju kebilik air..

“Liza? Faris?”, tegur Puan Julie lantang.

“shrehh..shrehh..shrehh..”

Suhu darahnya terus naik kerana panggilannya tak disahut langsung oleh anaknya Liza atau Faris tapi bunyi memberus terus kedengaran.

“Lizaaa!! Fariss!!”, laung Puan Julie dengan nada yang lebih tinggi sambil percepatkan langkahnya kemuka pintu bilik air.

Langkahnya terhenti bila tiba didepan bilik air yang terbuka luas pintunya. Darahnya terasa seolah-olah berhenti mengalir. Segala anggota tubuhnya terasa terus kaku. Jelas dimatanya sekarang akan sesusuk tubuh yang sedang mencangkung dan tekun memberus stokin anaknya Faris. Terkunci terus mulut Puan Julie tapi bibirnya tampak bergetar. Tak berkelip terbelalak matanya melihat arwah Salehah yang terus memberus stokin anaknya.

“ya Mem?”, tanya lembaga persis arwah Salehah itu sambil memalingkan wajahnya merenung Puan Julie.

Terus gelap dunianya dan Puan Julie jatuh terjelepuk dimuka pintu..

Puan Julie terus jatuh demam. Agak tinggi suhu badannya. Setelah anaknya Faris terlihat ibunya terlentang pengsan didepan bilik air bila dia kedapur tidak lama selepas itu, segera dihubunginya ambulans. Doktor pula buat konklusi yang Puan Julie tiada apa-apa penyakit lain selain tekanan darah dan kolesterol yang tinggi serta demam biasa. Malam itu juga Puan Julie dibenarkan pulang.

Pada malam itu Puan Julie keseorangan dirumah. Kedua-dua anaknya sudah lama keluar selepas menjemputnya pulang dari hospital. Memang sudah menjadi kebiasaan kedua-dua anaknya sering keluar malam dan pulang pagi-pagi buta. Entah kemana mereka merayap Puan Julie tidak pernah tahu. Jika ditanya, hanya keluar dengan kawan sajalah jawapan mereka berdua. Memang Puan Julie sudah hilang kawalan keatas anak-anaknya…

Merasakan dirinya lemah dan dengan suhu tubuhnya yang masih agak tinggi, Puan Julie hanya terus berbaring dikatilnya. Terasa seram-sejuk tubuhnya mengenangkan apa yang dilihatnya didalam bilik air pagi tadi. Sudah puas dia menelefon saudara-mara dan rakan-rakannya meminta mereka menemaninya malam itu dirumah. Tapi tidak seorang pun yang dapat meluangkan masa. Semuanya ada alasan tersendiri. Maka tinggallah Puan Julie berseorangan dirumah, terbaring dikatil. Setelah beberapa ketika, dia pun terlena..

Puan Julie terjaga dari tidurnya tiba-tiba. Dia terasa agak lapar. Malam sudah semakin larut. Seluruh biliknya yang agak gelap itu terasa sangat sepi dan sunyi. Seluruh sendi-sendi ditubuhnya terasa lemah. Perlahan-lahan Puan Julie cuba bangkit duduk dari posisi berbaring. Dan ketika itulah dari ekor matanya dia seakan terlihat satu susuk tubuh yang sedang bersimpuh dihujung bucu katilnya.

Terus terkaku Puan Julie. Suaranya seakan tersekat dikerongkong. Lembaga yang sedang duduk bersimpuh dihujung katilnya sambil tertunduk itu perlahan-lahan mengangkat wajahnya. Jelas didepan matanya arwah Salehah yang sekarang amat pucat wajahnya tersenyum nipis sambil merenungnya. Walaupun bibirnya melakarkan senyuman, namun matanya jelas menunjukkan ekspresi marah dan dendam yang dalam..

“Sa..Sa..Salehah..aku..aa..aku..mm..mm”, terketar-ketar kedengaran suara Puan Julie sambil matanya seakan terpaku membalas renungan lembaga jelmaan arwah Salehah itu.

“yaaaaa Memmm..apaa yang Memm mahu saya ambilkann?”, tanya lembaga itu dengan suara yang halus tapi sayup..

Puan Julie terus pengsan tidak sedarkan diri..

Puan Julie terus dikejarkan ke hospital semula setelah anak-anaknya pulang pada keesokkan paginya. Mereka mendapati ibu mereka tergeletak pengsan diatas katilnya dengan mulut yang berbuih. Dan suhu tubuhnya terus naik tinggi semula. Agak bingung juga doktor dan jururawat yang menjaganya kerana Puan Julie sering terjerit-jerit sambil meracau-racau didalam wad tidak kira siang atau malam. Matanya terbeliak terbelalak seakan merenung tepat didepan katilnya sambil jarinya terus menuding-nuding kearah itu.

Setelah hampir 5 hari berkeadaan begitu, pihak hospital membuat keputusan untuk memindahkan Puan Julie ke hospital mental untuk rawatan lanjut. Namun setiap hari dia meracau-racau dan menunjuk-nunjuk dengan jarinya kearah hujung bucu katilnya..

Dan dengar khabarnya, Puan Julie masih ditahan dihospital mental itu hinggalah ke hari ini…

Tammat

nota kaki :

cerita ini diceritakan pada saya oleh seseorang yang mengaku ada pertalian saudara dengan Puan Julie dan beliau mengatakan bahawa ini adalah cerita benar. Namun saya tidak dapat memastikan akan kesahihan kisah ini tapi saya tulis dan olah semula cerita ini mengikut daya imaginasi saya.

Semua watak dan tempat dalam cerita ini telah saya ubah untuk mengelakkan salah-faham dan spekulasi.

hope you guys will like this story

see ya guys and chiao

-ezrin marsh-

written and edited on 09th August 2018

25 thoughts on “Mbak Salehah”

  1. Kalau aku kna.buat mcmatu, iatah kubtunggu time mlm sja tu.. Time duduk dikatil atu th masanya ku mengamput puan mem atu.. Ku bagi ia lalah dikatil sampai 5 round sebagai pmbalasan.. ahahaha..

    Reply
  2. Kesian kt salehah dan padan muka kt mem tu..mkn pn xbg,rehat pn xbg,mmg iblis nye perangai! (Emo lak tetibe..hehe..soriii)
    terbaek penulis,sy dpt feel tu..keep up great work!

    Reply
  3. Sebagai manusia perlu ada sifat toleransi, kasihan dan perikemanusiaan kpd manusia lain. Xkisah apa pangkat seklipun apa yang kita buat semua ada balasan xde satu pn terkecuali melainkan masa sama ada cepat atau lambat. Innalillah buat salehah

    Reply

Leave a Comment