Music Box

Assalamualaikum dan salam sejahtera admin dan pembaca FS. Nama aku Aishah Humaira (26), kawan-kawan panggil aku Aishah kecuali Si Bella ni, dia panggil aku Cha. Aku dengan Bella memang rapat dari kami zaman sekolah menengah lagi sampailah ke alam universiti dan alam pekerjaan. Aku nak ceritakan pengalaman aku dan Bella ‘diusik’ semasa di universiti dahulu.

Kalau kau lahir tahun 80~90an, kau mesti teruja dengan Music Box dan aku adalah salah satu daripadanya. Bunyi lagu untuk Music Box ni bagi akulah sangat sedap, bila buka penutup dia akan keluar pasangan pengantin menari, snowman, love berputar dan macam-macam jenis lagi. Mama pun pernah hadiahkan aku Music Box berbentuk love masa hari lahir aku yang ke-10 tapi selepas kejadian ni aku jadi fobia sangat dengan Music Box sampaikan aku minta izin pada Mama untuk sedekahkan pada anak sedara aku yang berumur 7tahun.

Alkisahnya bermula apabila Bella tertinggal botol air kesayangan dia dalam Dewan D2 petang tu. Dia lupa pasal botol air tu sampailah pukul 10.30 malam masa dia nak minum air, dia cari botol tak jumpa. Kalau ikutkan hati aku, malas aku nak melayan karenah Bella yang nak sangat pergi ambil juga botol air tu malam tu.

“Gila ke nak cari malam-malam ni? Esok je la aku teman ang pagi-pagi selepas subuh kita pi cari botol air tu.”

“Tak boleh Cha, nanti cleaner cuci Dewan D2 tu, dia ingat botol biasa, dia terus pi buang je botol air tu. Ang tau kan yang aku sayang sangat botol air tu.” Bella buat nada sedih.

Serabut jugalah aku masa tu, alasan pertamanya adalah disebabkan penyakit malas. Hello! dah pukul 10malam, masa untuk semua pelajar berehat atau tidur dah kenapa nak pergi ke Dewan D2 waktu macam tu. Alasan keduanya adalah disebabkan ini bukan kali pertama atau kedua Bella tertinggal botol air dia malah dah berpuluh kali tapi dia masih teringat botol air dia tu pada waktu petang, aku on je lah nak teman dia pukul 7 kebawah, ini dah melarat sampai pukul 10.30 malam memang aku berat hati lah nak temankan dia. Alasan ketiga sebab area bangunan F memang selalu digemparkan dengan kisah pelajar-pelajar malah pekerja dan pensyarah juga turut diusik. Kiranya bangunan F ni bangunan keras lah dan dewan D2 ni terletak dalam bangunan F.

Tetapi…

Aku turutkan juga karenah Bella sebab botol air tu hadiah terakhir arwah ibu Bella berikan padanya. Memang dari sekolah menengah lagi Bella duk usung botol air tu setiap hari. Aku pun kenal rapat dengan arwah ibu Bella semasa beliau masih hidup jadi aku faham perasaan Bella kenapa dia sayang sangat botol air tu. Kesimpulannya, aku pun bersiaplah dengan muka muncung ikan todok 14inci aku. Tunjuk protest lah konon-kononnya.

“Esok aku nak chicken cop acik dahlia 2 set.”

Bella tersenyum ceria. “Oraiit, no problem! Nak sepuluh set pun aku bagi.”

Aku tunjuk gaya penumbuk ke arah Bella yang ketawa kecil. Perli aku lah tu! Minta sungguh 10 set baru ternganga mulut dia sepuluh hari.

**************************

-Dewan D2, Bangunan F-

~Na na na, na na na na~

“Cha, kau dengar tak bunyi tu?”. Bella bertanya dengan suara yang menggeletar. Tangannya mencuit siku aku beberapa kali bila aku buat tak tahu je soalan yang diajukan itu.

“Cha.. bunyi tu.. kau dengar tak?” Sekali lagi Bella bertanya.

“Tak!.” Sepatah jawapanku.

~ Na na na, na na na na~

Sekali lagi musik itu berbunyi. Kali ini bunyinya kuat dan jelas. Bella sudah tidak keruan, wajahnya berkerut macam nenek kebayan dah aku tengok, peluh jangan cakaplah keluar macam air paip.

“Cha… kau pekak ke? tak kan kau tak dengar bunyi lagu music box tu?”

“Ishhh.. mana ada, khayalan kau saja tu. Aku tak dengar apa-apa pun.”

~Na na na, na na na na~

Baru sahaja Bella hendak membuka mulutnya, aku dah jegilkan mata besar-besar. Inilah sebab aku malas nak jalan dengan Si Bella ni, mulutnya memang tiada insuran, semua benda nak ditegur dan semua bunyi dia takut. Aku pun dengar juga bunyi seperti lagu music box tu tetapi sengaja aku pura-pura tidak mendengarnya. Pantang orang tua dahulu, jangan ditegur atau dilayan sesuatu yang aneh. Ehh! Si Bella ni selamba badak dia pula menegur, aku rasa macam nak cepuk-cepuk je kepala dia kot-kot nak ada akal.

“Haa.. kau tinggal botol air kat mana? pi ambil cepat.” Aku mengarah.

“Cha.. kau teman la aku sekali. Tak kan lah kau tergamak nak suruh aku masuk dewan ni seorang diri?”

“Tula kau, kata botol air kesayangan la, arwah ibu kau bagi lah apa lah tapi selalu sangat kau letak dan tinggal merata. Ni tak pasal-pasal orang lain dah membuta dalam bilik, kita berdua dah mengalahkan pencuri ja masuk terhendap-hendap nak ke dewan ni. Nasiblah Pak guard depan pintu bangunan tadi tu tengah tidur, kalau tak jenuh nak menjawab. Fikir kau ni kawan aku ja, kalau tak dah lama aku buat kering ja kat atas katil.” Aku membebel. Bella macam biasalah dengan muka menyengih macam kerang busuk dia tu.

“Patutnya kat sini sebab ni kerusi yang aku duduk masa dalam kelas tadi tapi kenapa tak ada pula botol airnya?”. Bella bercakap sendirian sambil matanya melilau sekitar kawasan kerusi tersebut.

“Adalah tu tergolek mana-mana. Kau cari situ, aku cari area sini.”

Tinggg!!!

Bunyi seperti sesuatu terjatuh dan bergolek.

Masa ni aku dah cuak, aku pandang muka Bella, Bella pandang muka aku. Aku tak tahulah apa yang Bella tengah fikir tapi dalam fikiran aku dah terbayang botol air Bella yang jatuh dan bergolek.

“Chaa…..” Suara Bella antara dengar dan tidak memanggil nama aku. Jarinya menunjuk ke arah sesuatu di kakinya. Mata aku berarah ke kaki Bella. Yup! tepat sangkaan aku, memang botol Bella yang bergolek dan berhenti tepat dikaki Bella.

Aku cepat-cepat pergi ke arah Bella dan ambil botol tu. Aku tarik lengan Bella, otak aku fikir nak cepat-cepat je keluar dari Dewan D2 tu.

Masa nak keluar tu, dekat atas meja hujung dewan D2 dekat dengan pintu masuk dewan ada Music Box sebijik macam yang Mama bagi dekat aku. Aku terkedu, Bella dah mula menangis. Tak membantu langsung si Bella ni. Menangis boleh buat apa? Aku pejam mata dan tawakal je lah redah lalu depan Music Box tu.

HIHIHIHIHI~
HIHIHIHIHIHIHI~

Suara ketawa mengilai bergema kuat dalam dewan D2. Masa ni aku dah sumpah seranah Bella dalam hati, kenapalah dia boleh tertinggal botol air tu dalam dewan D2 ni dan kenapalah waktu malam jugalah baru dia nak teringat kat botol air dia tu. Masa aku buka pintu dewan D2, tiba-tiba muncul satu kelibat didepan pintu dewan tu.

“Kamu berdua buat apa kat sini?” Pak Guard dengan muka bengis bertanya pada aku dan Bella. Disebabkan aku terkejut dan ketakutan sangat, secara automatik aku TERketuk kepala pak guard tu dengan botol air Bella yang ada kat tangan aku tapi aku salute jugalah pak guard tu sebab muka dia statik je, tak berubah.

“Ka…ka..kami..kami.. bot..botol…” Belum sempat aku terangkan Pak Guard yang memakai name tag “Hamdan” itu memotong.

“Dah! pergi balik ke kolej (dorm) kamu. Malam-malam jangan merayau tambah-tambah dekat kawasan sini.”

Aku dan Bella mengangguk laju dan begitulah juga dengan kaki aku dan Bella. Kalau boleh terbang, dah lama aku terbang, rasa nak cepat-cepat je sampai kolej. Masa kami dah nak keluar dari bangunan F, kami terjumpa Pak Guard yang sedang duduk dipondok pengawal yang berada sebelum pintu keluar bangunan F. Pak Guard bernama Razali itu menegur dengan suara kasar.

“Kenapa kamu datang ke sini? Dari awal kamu masuk saya sudah perhati. Jarang ada pelajar datang sini malam-malam ni”

“Kami nak ambil botol air ni. Saya tertinggal dalam dewan D2 petang tadi.” Bella menerangkan dengan suara terketar-ketar. Aku hanya mengangguk laju tanda mengiakan kata-kata Bella.

“Ada apa-apa ke masa kat dewan tadi?”. Pak Guard Razali bertanya selamba. Dari raut wajahnya, aku pasti Pak Guard Razali dah biasa dengan ‘usikan-usikan manja’ sebegini.

“Ada pakcik tapi nasiblah Pakcik Hamdan datang masa kena kacau tu. Kalau tak, tak tahulah mungkin kami dah pengsan esok baru tersedar.” Bella bercerita.

“Pakcik Hamdan?” Pak Guard Razali bertanya kehairanan. Waktu ni, aku dapat menganggak apa sebenarnya yang dah berlaku.

“Haah pakcik, ala dia pun kerja jadi pak guard juga tak kanlah pakcik tak ke……”

“Haa.. sudahlah tu. Kamu berdua balik ke kolej kediaman cepat. Jangan merayau ke mana-mana lagi terus balik ke bilik, faham?.” Pak Guard Razali memberi arahan tegas.

“Faham pakcik!.”

“Haa… yang kamu tercegat kat situ kenapa? Datang bertiga, balik pun kena bertiga jangan ada yang terpisah.”

Aku dan Bella berpandangan sesama sendiri, bulu roma aku dah meremang terpacak macam duri landak dah waktu ni. Pak guard Razali bercakap ke suatu arah tidak jauh dari aku dan Bella. Memang tidaklah aku nak pandang ke arah tu.

“Chaa~ aku rasa nak terkencing.” Bella berkata sambil menangis. Ini lah modalnya Si Bella ni, bila takut je menangis.

“Ang jangan nak mengada, nak terkencing ke nak terberak ke, ang tahan sampai kolej.” Aku memberi amaran diiringi dengan pandangan maut aku tepat ke mata Bella.

Melihat wajah pucat aku dan Bella mungkin membuatkan Pak Guard Razali faham situasi sebenar. Pak Guard Razali mengarahkan dengan matanya untuk aku dan Bella beredar dari situ.

Aku harap sangat Pak Guard Razali menghalang ‘dia’ daripada mengikuti kami berdua. Sampai je di bilik kolej, aku terus ambil Music Box yang berada di atas meja study aku dan letak ke luar bilik. Bella pun turut meletakkan botol airnya diluar bilik bersebelahan dengan Music Box aku. Walaupun pelik dengan tindakan Bella, aku malas nak tanya lebih-lebih, bagus juga Bella letak botol air tu kat luar sebab aku takut ‘dia’ mengikut disebabkan botol air tu.

Sepanjang malam tu, aku tak dapat tidur sebab aku terdengar bunyi lagu Music Box tu terpasang. Aku tak pasti Bella turut sama mendengar bunyi itu ataupun tidak yang pastinya esok tu aku dan Bella demam panas. Selepas ini, lantaklah botol air kesayangan ke apa ke, apa-apa hal, terdesak macam mana sekali pun aku tak nak dah keluar waktu malam.

Bangunan F ini banyak kes pelajar histeria, dengar cerita bangunan F ni dibina setelah pihak univeristi menebang pokok besar yang tertanam sudah lama disitu. Ada rezeki nanti aku ceritakan kisah-kisah yang terjadi di universiti dan dekat tempat aku berkerja. Sekia terima kasih..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Aishah Humairah

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 5]

10 thoughts on “Music Box”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.