Pengalaman Menjaga Ayah Di Hospital

Pengalaman menjaga ayah di hospital.

Cerita yang aku ingin kongsikan di sini telah lama berlaku. Lebih 10 tahun dah rasanya.

Ayah aku jatuh sakit secara tiba-tiba. Semasa ayah mula-mula tidak sedarkan diri, ayah duduk bersila dan tangan diletakkan di atas lututnya. Lagak si pertapa.

Kemudiannya, ayah diserang sawan berpuluh kali sehingga aku hilang hitungannya. Aku buntu apabila ditanya doktor “Berapa kali dia sawan?”

Agak lama ayah ditahan di hospital, dan akhirnya, pada suatu hari, doktor dapat mengesan punca yang menyebabkan ayah aku begitu. Jangkitan kuman di dalam otak.

Banyak perkara yang berlaku di sepanjang tempoh itu. Kami usaha berubat secara moden, tradisional dan perubatan Islam. Ini disebabkan pada awalnya doktor tidak dapat menerangkan apakah punca sebenar ayah aku sakit.

Tambahan pula, ayah aku juga sentiasa dikelilingi orang yang penuh hasad dengki. Tidak putus menghantar pelbagai bentuk sihir agar ayahku gagal dalam apa jua pekerjaan. Maka, apabila ayah sakit dan lemah, lebih mudah untuk sihir itu menjelma dan menyerang ayah. Maka, dapatlah kami menyaksikan pelbagai kejadian aneh yang berlaku sepanjang berada di hospital.

Perkara yang aku alami sendiri antaranya ialah, ayahku akan menjengilkan biji matanya tiba-tiba sambil melihat pada suatu arah. Terkadang seolah-olah menepis. “Tengok tu. Ada banyak monyet bergayut di rail langsir” kata ayah pada suatu senja. Apa aku buat? Aku hanya mampu memandang rail langsir yang hanya tergantung langsir. Terbuai-buai di tiup angin kipas yang berputar laju. Mulut aku tak berhenti baca ayatul kursi. Dah rupa bomoh terkadang aku rasa. Sambil aku melayan apa sahaja cerita yang keluar daripada mulut ayah aku.

Ada juga pada suatu malam, ayah senyum seronok sambil memandang di sekeliling dia. Aku ingat sangat reaksi wajah ayah. Tersengih-sengih melihat sekelilinginya sedangkan tiada apa atau sesiapa. Meremang bulu romaku.

Waktu malam, menjadi kebiasaan kami akan menarik langsir mengelilingi katil. Kami (aku dan ibu) akan hamparkan toto di bawah tepi katil dan tidur di situ. Nurse tak marah ke? Tak marah. Dah kenal. Kami di antara penghuni paling lama di situ. Jalan tikus keluar masuk wad semua dah hafal. Dah jadi kebiasaan adik aku akan menyelinap masuk lewat malam, sekitar 2 atau 3 pagi, untuk hantar makanan andai kami kelaparan.

Okay, berbalik kepada cerita tadi. Kenapa ayah senyum dan sengih? Bukan setakat senyum aje. Dia bersembang macam ramai orang di sekeliling dia. Dia beritahu kami “Tengok ni tok ayah ada, tok cik ada, pak Harun ada. Ramai sungguhlah. Semua tengah tengok ayah ni. Semua datang melawat ayah sama-sama” Aku tak tahu nak terus duduk tepi dia atau menyorok dalam toto masa tu. Semua nama yang disebut dah arwah. Memang seram. Dia siap beritahu lagi orang tu cakap apa dan apa. Lama pulak tu menyembang. Aduhai, sabar jelah aku dan ibu masa tu. Ibu aku pun apa lagi, terkumat kamit mulut membaca ayat pelindung dengan harapan ‘mereka’ pergi.

Ada juga keadaan-keadaan dia dalam keadaan takut. Resah. Mata melilau. Seolah-olah ada makhluk yang menakutkan. Membuat pelbagai tipu helah agar kami membuka ikatan di kaki dan tangannya. Iya, terpaksa diikat. Kalau dia lari, lagi susah kami hendak mencari.

Disebabkan dia begini, ada yang menasihatkan aku untuk sentiasa baca surah yassin dan al-jinn. Kalau baca surah yassin, aku akan letakkan sekali botol air mineral di depan aku dan bukakan penutupnya. Air tu aku akan raup pada wajah ayah aku. Memang dia marah. Panas katanya. “Woi, air apa ni? Panas la!” aku buat bodoh je dan teruskan. Ada masanya aku baca surah al-jinn. Ayah aku akan mendengus marah apabila tiba pada ayat-ayat tertentu. Maka, aku akan ulang ayat itu beberapa kali. Saja aku ingin melihat reaksi dia. Lagipun, ayah tidak mengenali kami semua sepanjang dia sakit. Jadi, aku tak dikira anak derhaka kan.

Pengalaman seram lain yang aku alami, antaranya, ada satu laluan tikus ni, aku perlu melalui stor penyelengaraan. Dekat sini selalu akan ada katil rosak, kerusi dan lain-lain di koridor sebelah stor. Dan, kalau kurang bernasib baik macam aku, lampu pulak terpadam pada malam tu. Sekitar 1 atau 2 pagi. Masa tu, aku balik rumah sekejap, kemudian aku kembali ke hospital nak teman ibu. Memang gelap. Tapi ada la cahaya samar-samar daripada lampu jalan. Lampu kuning tu. Aku teragak-agak nak melintas. Tapi, kalau tak lintas, tak dapat naik wad. Aku nak ke tangga depan sikit je lagi. Sebab apa aku teragak? Sebab aku nampak ada satu katil. Masih lengkap bercadar. Tetapi, cadarnya dipenuhi d***h. Berfikir aku sekejap nak lalu ke tak, sambil otak pulak tak terkawal membayangkan yang bukan-bukan bakal keluar daripada stor. Manalah tahu kan. Aku baca segala ayat buat pelindung, aku nekad. Alang-alang aku dah jalan sejauh tu, aku lintas jugak sambil pejam mata… Selamat.

Ada juga kadang-kadang nak melepas hajat, aku guna je tandas pesakit wad lelaki walaupun aku perempuan. Tak sempat dah naik turun tangga cari tandas malam-malam. Silap-silap, ada yang lain pulak teman. Tak sanggup. Tapi, dalam wad pun tetap seram. Kadang-kadang, macam ada masuk sekali, tapi tetiba senyap sunyi hahaha memang laju la aku lari keluar selepas melepas hajat. Dan, satu lagi cara nak rasa selamat, aku tak tenung lama sesiapa atau apa yang mencurigakan aku sepanjang bergerak di dalam hospital. Tidak tahu itu lebih baik. Jalan terus sahaja.

Setelah rawatan berjaya, ayak aku dapat discaj. Hanya perlu membuat beberapa follow-ups sahaja selepas itu.

Tetapi, sesi rawatan alternatif tidak berhenti di situ sahaja…

Sekian.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

WaniTua
Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

1 thought on “Pengalaman Menjaga Ayah Di Hospital”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.