PERGI YANG TAK KEMBALI

BismillAllahirahmannirrahim

Assalamualaikum wbt. Maaf jika ni bukannya cerita seram, Jika admin approve, Alhamdulilah dan jutaan terima kasih. Mudah-mudahan ceritaku ni menjadi pedoman. Jika tidak di approve… aku anggap tiadalah rezeki.. Tak mengapa.

Tanggal 17 Januari 2015, hari Sabtu adalah hari yang bersejarah dalam keluarga kami. Aku sedang berehat, isteriku baru selesai menunaikan solat Zohor dan sedang berdoa. HP nya berdering…. Tiba-tiba isteri ku menjerit “abang……… nie angah lemas”. Aku mengambil telefon dan bercakap…………. betul!!! Angah, anak kedua ku lemas. Aku terduduk seketika.

Angah anak kedua ku, bernama Muhmmad Hafizuddin. Nama Hafiz diingini oleh arwah neneknya (nenek sebelah ibunya). Aku dan isteri berbincang untuk menamakan seperti yang diminta oleh neneknya aku pun mencadangkan nama Muhammad Hafizuddin. Hafiz adalah nama Allah iaitu Maha Penjaga. Aku memilih nama Muhammad Hafizuddin bermaksud ”Muhammad yang menjaga Agama”. Sungguh indah nama itu… mudah mudahan anakku kelak akan menjaga dan membela agama. Dia seorang periang dan agak nakal. Sering melayan adik-adiknya terutama yang bongsu. Anakku yang bongsu, Iman berumur 6 tahun sering di belanjanya dan diberikan mainan oleh Angah. Setiap malam, mereka tidur berdua. Iman selalu tidur diatas perut Angah… katanya perut Angah lembik.. Kami sering tertawa mendengar ungkapan Iman itu. Angah juga kerap bangun di tengah malam jika Iman hendak k****g. Angah juga akan bawa Iman ke tandas walaupun kadang-kadang merungut.

Berita Angah lemas benar-benar mengejutkan kami. Dia pergi seusia 13 tahun ketika itu. Isteriku beria-ia hendak menghantar angah ke sekolah tahfiz. Ya lah , angah tu agak nakal, mudah-mudahan pengisian agama akan mengubah sikapnya. Aneh juga, bila kami bercadang menghantarnya ke sekolah tahfiz, dia tidak bantah. Satu hari di hari Jumaat, aku membeli jubah untuknya hadiah ke sekolah tahfiz. Balik kerja aku berikan jubah tu, suruh angah cuba… agak malu-malu. Pada hari Ahad, 28 Disember 2014 kami menghantar Angah ke sekolah tahfiznya. Turut bersama menghantar ialah datuk dan neneknya. Neneknya sempat berpesan….”nanti jangan lupa ye nama Mak Tok ya”. Kata emakku kepada anaku dengan bermaksud mendalam

28 Disember 2014 adalah 3 minggu sebelum kejadian. Sebaik saja balik dari menghantar angah mendaftar ke sekolah. Hatiku menjadi resah dan tidak tenteram. Entah, tidak pernah pula ada berperasaan sebegini sebelum ini. Kemudian, setiap hari akan ada satu perasaan yang sukar digambarkan. Rasa seperti yang aku tidak akan berpeluang berjumpa angah lagi. Perasaan begitu kuat. Aku merasa pelik. Kadang-kadang aku terasa seperti mimpi tapi lain. Anakku yang sulung tinggal diasrama di Sungai Besar lagi jauh. Sudah 3 tahun dia disana, tidak pula ada perasaan begini. Ku sangkakan perasaan ini sehari dua sahaja. Tetapi tidak, hampir setiap hari terutamanya ketika aku memandu pergi dan balik dari kerja, ketika makan dan ketika bersendirian.

Perasaan ini begitu kuat… kenapa aku rasa akan berpisah lama dengan angah? Aku memujuk pada diriku sendiri. Perasaan aja kot. Bukankah setiap hujung minggu boleh berjumpa? Jarak rumah dan asrama pun 20 ke 25 km je? Perasaan terus bermain-main sehingga kadang-kadang menggangu fokusku. Aku benar-benar tidak tahan.. lalu satu hari aku pun berdoa ; “ ya Allah, jika inilah jalannya, aku Infaqkan anakku ini pada jalanMu”. Barulah hatiku menjadi tenteram.

Setelah menerima panggilan talifon, kami sekeluarga pergi ketempat kejadian. Isteri yang sedang menanggis teresak-esak sempat menelefon abahku dan sanak saudara. Aku juga bimbang memandangkan isteriku mengidap sakit jantung. Anakku lemas ketika mandi di anak sungai selepas aktiviti berkebun anjuran sekolah tahfiznya. Tak tahu pula yang di kebun tu ada anak sungai. Sampainya kami ke tempat kejadian di Kampung B**h, Bukit Beruntung, adikku dan suaminya sudah sampai terlebih dahulu di lokasi.. Adik Iparku cakap yang arwah Angah sudah dijumpai dahulu. Rupa-rupa ada dua orang yang lemas, Anakku dan seorang kawannya. Mereka semua ada 4 orang pelajar dan 2 orang guru.

Aku lihat sebuah Land Rover polis keluar dari tempat kejadian ke Hospital. Apabila Land Rover melepasi kami, terlihat sepasang kaki terbujur keluar…. “ ya Allah.. kaki anak ku kah itu?”. Kami terus ke hospital Kuala Kubu. Ketika melangkah masuk ke bilik mayat. Hati ku berdebar-debar. Harap-harap bukanlah anakku yang lemas. Plastik hitam dibuka………… memang sah anak ku, hampir-hampir aku pitam. Isteriku tidak mampu lagi berdiri dan berkata; “Angah, kenapa jadi macam ni?” terus mencium dahi angah menangis teresak-esak. Aku memujuk isteriku… “ … jangan begini, kesian angah tu”.. Aku memapah isteriku keluar. Terbayang-bayang wajah anakku.. badannya yang besar, berbaju T hijau dan berseluar trek hitam. Wajah nya yang kebiru-biruan akibat lemas.. hidungya yang berbuih-buih bercampur d***h. Alangkah sedihnya.

Setelah selesai urusan di rumah mayat. Mujur juga doktor hanya membuat external postmortem, dia di mandi dan di sembahyangkan oleh kami dan ustaz-ustaz tahfiznya, jenazah perlu dibawa pulang malam itu juga. Besok hari Ahad jenazah perlu dikebumikan segera. Di rumah, tetamu datang tidak putus-putus. Kawan-kawan, jiran-jiran, saudara mara ramai yang datang. Keadaan jenazah pula sentiasa berdarah tidak berhenti. D***h sentiasa keluar dari hidung. Ada ustaz-ustaz yang hadir kata yang arwah anakku ini syahid (mudah-mudahan).

Subuh itu, semasa solat subuh di surau, perasaan sedih datang teramat sangat. Aku tahu, hari ini adalah hari pengkebumiannya. Selepas ini aku tidak akan dapat berjumpa dengan angah lagi buat selama-lamanya. Air mata ku semakin banyak yang gugur, tidak dapat ditahan-tahan. Selepas solat, aku tidak dapat bertahan lagi. Esakan semakin kuat. Jiran-jiran cuba memujukku dan meminta bersabar. Ketika itu dan disaat itu barulah aku sedar. Perasaan kasih seorang ibu dan ayahnya kepada anak-anak melebihi dari kasih seorang anak kepada ibu dan ayahnya sendiri. Pukul 9 hari ahad, jenazah angah dibawah ke tanah perkuburan. Aku turun ke liang lahat untuk menyambutnya. Air mataku, isteriku, anak-anak ku berjujuran. Begitu jugalah ibu bapaku yang hadir.

Tentang beberapa ustaz yang datang berziarah… ada yang aku kenal kerana tinggal se-taman. Tapi ada peristiwa aneh berlaku. Ada seorang ustaz yang tidak ku kenal berjubah dan berserban putih kelabu, datang “ “menziarah, Dia terus bercakap kepada hadirin: “anak ni syahid”… terus dia berdoa, kemudian dia pun beredar. Selang 5 minit, datang 2 orang pula ustaz juga tidak ku kenali datang menzirah, salah seorang dari mereka juga berkata : “anak ni syahid” dan berdoa, setelah beredar, juga lebih kurang 5 minit datang pula 3 orang ustaz, juga tidak ku kenal… juga mengeluarkan ungkapan yang sama” “anak ni syahid’ dan berdoa. Semasa peristiwa aku berada diluar rumah. Semua kejadian pelik ni tidak aku hiraukan…kesedihan mengatasi segalanya. Cuma yang anehnya aku tidak dapat melihat kearah mana kumpulan ustaz-ustaz ni pergi. Apabila kumpulan ustaz-ustaz terakhir ini pulang, aku pandang kearah lain sebentar. Namun bila ku pandang semula kearah mereka, mereka sudahpun hilang.

Seminggu sebelum kejadian, Sabtu 10hb. Januari 2015, arwah balik kerumah. Kami lihat kelakuannya banyak berubah. Tidak banyak bercakap dan makan. Selalu bercerita tentang ilmu dan pembelajaran yang dia dapat disekolah tahfiz. Katanya dalam tempoh 1 minggu 40 ayat sudah berjaya dihafalnya. Alhamudulillah ada perubahan. Hari Sabtu itu juga, perasaan rindu isteriku datang membuak-buak apabila melihat Angah. “Mari sini Angah, Ibu rasa rindu sangat-sangat kat Angah nie, mari ibu cium Angah”. Angah pun malu-malu bila dicium ibunya. Isteriku bertanya “ Angah tak rindu ke kat ibu?”. “Rindu” jawab angah. “Kalau rindu marilah sini, ibu nak peluk”. Isteriku pun memelukkan anakku sepuas-sepuas. Rupa-rupanya itulah pelukan terakhir isteriku untuk angah.

Pada malam itu, selepas solat Isyak, angah masih di sejadah. Lama beliau disitu,, rupa-rupanya dia menangis. Isteriku perasan lalu bertanya. “ Kenapa Angah?”. Angah rasa angah dah banyak buat dosa terutama dosa dengan ibu” sambil menangis teresak-esak. “Tak pe laa Angah, ibu dah ampunkan segala dosa-dosa angah dengan ibu” pujuk isteriku. “Macam mana ibu, kalau orang-orang yang semasa hidupnya sentiasa berbuat baik, kemudian tiba-tiba dia m**i dalam berbuat dosa, adakah Allah akan terima perbuatan baiknya sebelum ini?”. Tanya Angah. Sungguh pelik tingkah laku angah ketika itu. Isteriku sempat memberi beberapa nasihat. Malam itu Angah menanggis sehingga tidur. Kami rasa pelik dan bertuah. Alhamdulillah angah sudah terkesan dan berubah sejak masuk sekolah tahfiz. Rupa-rupanya itulah tandanya…

Pengalaman ini penuh bermakna dan menyedihkan keluarga kami. Angah semasa kecil aku mandikan. Kini angah yang pergi dulu. Niat kami hantar ke tahfiz mudah-mudahan angah mendapat banyak ilmu agama. Jika kami yang m**i dulu, harapan yang angah memandikan dan menyembahyangkan kami. Tapi kini sebaliknya. Arwah angah yang pergi dulu. Ku mandikan, kafankan, sembahyangkan dan menyambutnya ke liang lahat. Kini ketika sendirian, aku kerap teringatkan angah. Rindu alang kepalang, dengan gelak ketawanya, nakalnya mengusik adik-adik, suaranya. Iman, si bongsu juga terasa kehilangan. Selalu tekilan “ kenapa angah mandi sungai” “ angah tak boleh bernafas ke”… Mudah-mudahan arwah angah ditempatkan di sisiNya dan dilindungi rahmatiNya. Amin…

Angah ni semasa hidup ramai kawan, Suka belanja kawan-kawan. Sekeping coklat mini chipmore yang paling kecik tu pun dia boleh bagi dua & share kat kawan die. Aku perasan, beberapa kawan-kawannya masa darjah 6 sempat datang menziarah jenazah angah menitis air mata. Seminggu sebelum angah meninggal.. dia habiskan duit poket asrama untuk belanja kawan-kawan tahfiznya makan. Satu sen pun tak ada belen.

Iman adalah anak bongsuku, Masa tu baru masuk darjah 1. Percakapannya tidaklah lancar. Angah pula datang di dalam mimpi Iman beberapa kali. Ketika Angah baru meninggal dunia. Iman amat sedih. Satu malam, Iman bermimpi Angah datang sampil memujuk. “Iman janganlah sedih, Iman kirim salam dengan ibuayah. Angah sayang semua. Cakaplaa dengan ibu jagalah anak-anak. Janganlah biar anak-anak gaduh, Angah sedih kalau adik beradik bergaduh. Kali kedua, Iman bermimpi lagi, malam Jumaat. Kali ini Iman tidak lagi bersedih. Pagi itu lepas bangun tidur, Iman terus duduk cakap satu persatu apa yang Angah pesan kepada ibu. Habis semua Iman bagitahu apa yang Angah pesan, terus-menerus macam hafal tek. Selesai saja Iman sampaikan pesanan angah, Iman terus terlupa jika ditanya lagi sekali. Isteriku cuba memorize apa yang Angah berpesan:
• “IMAN!!! KITA ORANG ISLAM MESTI MASUK SYURGA. KIAMAT DAH DEKAT SANGAT, KITA DAH TAK ADA MASA DAH”
• PESAN DENGAN IBU, JAGA ANAK-ANAK BAIK-BAIK”

Isteriku cuba mencungkil. “Iman jumpa Angah dimana? “ Iman menjawab “di dalam rumah yang cantik, kat luar pulak ada batu-batu yang berwarna warni, macam syurga“. “Kenapa Iman cakap tempat tu macam Syurga?”, tanya isteriku lagi. “Sebab kat pintu ada tulis nama Allah besar sangat”. “Ada siapa dengan Angah masa Iman mimpi?” tanya isteriku lagi. Ada Wan (arwah neneknya) dan Atok (arwah datuknya). Pelik juga Iman dapat berjumpa atoknya di dalam mimpi. Aku berkahwin dengan isteriku, Arwah bapa mertua sudah lama meninggal dunia. Selepas itu Iman terus lupa apa yang dia telah cakap sehingga sekarang.

03.06.2016, Iman bermimpi lagi untuk kali ketiga, mimpi yang terakhir buat Iman. Isteri Whatshup kepada ku. Aku di pejabat. Dalam mimpi tu kami sekeluarga naik kereta. Angah pakai baju warna hijau. Angah duduk di sit belakang. Sekali lagi Angah berpesan;

• “DUNIA NAK KIAMAT…. KENA BUAT BAIK”
Rupa-rupanya bukan Iman sahajaa bermimpi berjumpa Angah, tapi ada seorang Cikgu ni yang kenal dan baik dengan isteriku… (bukan guru kepada arwah). Dalam mimpinya, dia lihat Angah sedang duduk termenung di atas tangga. Tangga ni tinggi melangit entah kemana-mana. Kat sebelah tangga yang Angah duduk tu ada rumah besar berwarna putih. Cikgu tu bertanya. “Kenapa Angah?” lalu Angah pun jawab : “Angah tengah tunggu ibu ni” Angah kemudiannya bangun dan masuk ke dalam rumah besar tu. Cikgu ni pun mengekori angah. Angah kemudian join pula dengan sekumpulan anak-anak,, semuanya berjubah putih termasuk angah. Mereka duduk bersila dan duduk dalam bulatan. Cikgu ni pun mendekati kumpulan ni.. Oh rupa-rupa mereka sedang menghafal Al Quran

Kini sudah 5 tahun Angah pergi. Masih terasa baru. Pesanan Angah tetap menjadi ingatan. Alhamdulillah setahun selepas Angah meninggal, kami sekeluarga diberikan rezeki Allah swt dapat menunaikan umrah, tahun berikutnya aku dan isteri di jemput Allah swt untuk menunaikan haji pula. Ikutkan Quata lambat lagi. Inilah dikatakan rezeki. Mudahan-mudahan aku dan keluarga tetap istiqamah..begitu juga pembaca yang dikasihi

sekian….

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Azahm

7 thoughts on “PERGI YANG TAK KEMBALI”

  1. Aduh….bila baca kisah ni dok meleleh ayor mata teman…mn yg ada anak mesti paham perasaan penulis…teman ada anak x ramai pon cuma 2 org jer…itulah anugerah yg x ternilai dlm hidup teman di samping isteri teman…beruntung betul parent mcm penulis…semoga arwah ditempatkan di kalangan syuhada di syurga…mudah-mudahan…insyaallah

    Reply
  2. Pengakhiran yg baik utk arwah Angah. Walaupun sedih, ada masej2 penting yg terselit. Semoga Arwah ditempatkan dikalangan ahli syurga. Al -Fatihah.

    Reply
  3. Cerita yang menyentuh hati sangat…Allah lebih sayangkan anak syurga ini.. Terima kasih atas perkongsiannya.. Al-Fatihah buat arwah Muhammad Hafizuddin.. Aamiin3..

    Reply
  4. Allahu Akhbar sedihnya… Mg Allah merahmati keluargamu dgn penuh keberkatan dan kasih sayang aamiin3… Mdh2an Allah jg tunaikan impianku utk 2 org anak yg sdg belajar agama jg saat ini.. aamiin3

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.