Rumah Tinggal Arwah Tok Dan Tokki

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Ini adalah kali pertama aku menghantar cerita dalam FS untuk berkongsi pengalaman yang aku alami sendiri. Terima kasih admin FS andai sudi menyiarkan kisahku ini. Kisah ini tidaklah begitu seram, cuma menjadi satu pengalaman yang pertama kepadaku dan semoga itu juga menjadi pengalamanku yang terakhir. Berlaku kira² hampir 20 tahun yang lalu.

Ketika itu cuti semester pengajianku. Cuti semester kali ni agak berbeza kerana aku tidak terus balik ke rumah. Rumahku dalam proses pengubahsuaian major, jadi keluargaku terpaksa berpindah sementara ke rumah arwah tok dan tokki ku. Rumah arwah itu sudah hampir 5 tahun ditinggalkan tidak berpenghuni. Rumah kami yang diubahsuai itu tidak jauh dengan rumah arwah tok dan tokkiku, jadi mudahlah untuk ayahku berulang alik memantau proses renovasi rumah kami.

Semasa aku pulang ke kampungku, keluargaku baharu saja seminggu berpindah ke rumah arwah. Barang² pun masih banyak bersusun di dalam kotak. Sesampai di rumah tersebut, hari sudah petang. Aku seperti terimbau kembali, semasa aku kecil, rumah itu didiami oleh lebih 5 keluarga iaitu keluarga kami dan ibu serta bapa saudaraku. Masih terbayang aku bermain galah panjang bersama sepupu di tanah (luar rumah arwah tok ku gelarkan main di tanah), main guli, congkak dengan mengorek tanah dan menggunakan batu menggantikan guli, baling tin, baling selipar, sungguh indah zaman itu. Namun, ketika arwah tok dan tokkiku sudah tiada, semua keluarga saudara maraku juga berpindah ke rumah sendiri. Rumah itu ditinggalkan sunyi tidak berpenghuni.

Rumah papan itu mempunyai 5 bilik, dengan ruang tamu dan ruang dapur yang luas. Aku tiba di rumah tersebut sudah lewat petang. Usai bersalaman dengan ibuku, aku disuruh menutup semua daun tingkap dan pintu kerana hari hampir maghrib. Ayah dan adik beradikku sudah bersiap² untuk solat maghrib. Kebetulan ketika itu aku dan ibuku uzur syarie jadi kami tidak bersolat. Adik lelaki ku pula baru pulang dari bersukan, dia tidak terus bersiap untuk solat, tunggu kering peluh katanya sebelum membersihkan diri untuk bersolat. Ibuku memanggil aku dan adik lelakiku makan dahulu.

Semasa kami bertiga duduk di meja makan, ayah dan adik beradikku baru sahaja mula solat berjemaah di ruang tamu yang berhadapan dengan meja makan yang sedang kami duduki. Semasa ayah baru mengangkat takbir melaungkan “Allahhu Akhbar”. Ketika itulah, aku seperti terasa ada angin melalui tepi telingaku.Terus aku menoleh mencari datang mana angin tersebut. Aku pelik kerana semua tingkap dan pintu rumah sudah ditutup. Adik lelakiku yang duduk di sebelahku tiba² bersuara ” eh kak, awak ada rasa angin kat lalu kat tepi ni tak. Sebab orang rasa macam ada angin kuat lalu kat tepi telinga ni tadi”

Aku baru sahaja hendak mengiyakan kata² adikku, tiba² ibu kami yang duduk di kerusi berhadapan kami tiba² menjerit dan menjerkah kami. Tersentak aku mendengar jeritan yang tidak semena-mena itu, aku lihat mata ibuku bulat memandang kami seperti marah yang amat sangat. Dada ibuku berombak². Sambil menjerit lagi kemarahan. Ayahku yang baru bersolat serta merta menghentikan solat dan terus memeluk ibu. Kami semua adik beradik juga berpeluk ketakutan terpinga-pinga dengan apa yang berlaku.

Ayahku menyuruh aku mengambil air dan ayah membacakan Al Fatihah dan Ayatul Qursi dan dihembus dalam air tersebut untuk disapukan ke muka ibu. Ayah memanggil ibu berkali², mata ibu masih membuntang marah. Kami semua memeluk dan memanggil-manggil ibu sambil beramai² membaca pelbagai surah dan ayat Al Quran. Hampir 30 minit ibu berkelakuan begitu. Apabila ibu sudah tenang, baru ayah dan adik²ku solat semula.

Bila ibu sudah tenang aku bertanya ibu apa yang berlaku. Katanya dia terasa seperti ingin berlawan dan bersilat secara tiba². Tidak tahu siapa dan apa yang nak dilawan, tetapi perasaan itu datang secara tiba-tiba. Sejak kejadian itu, ibuku selalu sahaja menjerit marah dengan tiba² tanpa tahu puncanya. Namun, perasaan itu mampu ibu lawan sejak ibu kerap mengaji Al Quran dan bersolat tahajjud. Alhamdulillah, semakin lama semangat ibu juga semakin kuat dan ibu mampu melawan perasaan pelik itu..

Setelah kami berpindah dari rumah arwah tok dan tokki ku, kini rumah tersebut sudah disewa orang. Alhamdulillah, sekurang²nya rumah tersebut berpenghuni. Semoga ‘penghuni’ yang tidak diundang itu tidak lagi menggangu penyewa rumah itu.

Sekian sahaja kisahku… Terima kasih.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Delima Merah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.