Kehidupan di kampung kami selalunya tenang dan damai. Ayah, Haji Bakar, seorang yang sihat tubuh badan, rajin berkebun, dan jarang sekali jatuh sakit. Aku, Fauzi, sentiasa bangga melihat ketahanan fizikalnya meskipun usianya sudah mencecah enam puluhan.
Petang itu, setelah selesai menikmati makan malam yang meriah kami sekeluarga berkumpul kami semua duduk bersantai di ruang tamu. Ayah sedang rancak bercerita tentang hasil kebunnya yang menjadi, diselangi gelak tawa kami semua.
Tiba-tiba, di tengah ceritanya, Ayah tersentak.
Wajahnya yang tadinya ceria berubah menjadi merah padam. Dia mula memegang dadanya dan batuk. Bukan batuk biasa, tetapi batuk yang keras, seolah-olah ada sesuatu yang tersekat di kerongkongnya.
“Ayah, kenapa?” tanyaku cemas.
Ayah cuba menjawab, tetapi dia tidak dapat mengeluarkan suara. Kemudian, di telapak tangannya yang diletakkan di mulut, kami melihatnya darah. Batuk itu semakin menjadi-jadi, dan setiap kali dia batuk, percikan darah keluar.
Kami sekeluarga panik. Ibuku mula menangis.
Kami segera bergegas membawa Ayah ke hospital terdekat. Sepanjang perjalanan, Ayah kelihatan sangat lemah, batuknya perlahan-lahan berkurangan, tetapi wajahnya pucat.
Di hospital, Ayah menjalani pelbagai ujian X-ray dada, ujian darah, dan pemeriksaan pernafasan yang teliti. Setelah beberapa jam menanti dengan cemas, doktor memanggil kami.
“Secara klinikal, Haji Bakar dalam keadaan baik,” kata doktor muda itu, sambil meneliti fail Ayah. “Paru-paru bersih, tekanan darah stabil. Mungkin dia tercekik sesuatu semasa makan atau ada kecederaan kecil pada saluran pernafasan kerana batuk yang terlalu kuat, ditambah dengan kepenatan yang melampau.”
Doktor menasihatkan Ayah berehat dan memberikan ubat batuk biasa. Kami lega, tetapi sedikit keliru. Kami akur dengan diagnosis doktor; mungkin betul, Ayah terlalu penat.
Selepas beberapa hari, Ayah kembali pulih sepenuhnya. Batuknya hilang, dan dia kembali cergas. Kami semua menarik nafas lega, menganggap insiden itu hanya satu kejutan yang berlaku sekali sahaja.
Namun, ketenangan itu hanya bertahan seminggu.
Ayah mula mengadu pening kepala yang mencucuk-cucuk. Dia menjadi lesu, makan pun tidak berselera. Kemudian, pada malam Jumaat yang hening, serangan itu datang lagi, jauh lebih teruk daripada sebelumnya.
Ketika dia sedang berwuduk untuk solat Isyak, kami terdengar bunyi kuat dari bilik air. Aku dan Ibu segera menerpa. Kami melihat Ayah terduduk di lantai, badannya menggigil.
Dia batuk tanpa henti, dan kali ini, darah yang keluar lebih banyak, pekat, dan kelihatan seperti gumpalan kecil. Wajah Ayah benar-benar berubah, matanya merah, seolah-olah ada sesuatu yang sedang memeras dari dalam.
Sekali lagi, kami bergegas ke hospital. Ayah dirawat di bahagian kecemasan. Pemeriksaan dan ujian yang sama diulang.
Keputusan doktor tetap sama: “Kami tak dapat kesan sebarang penyakit serius. Tiada jangkitan kuman, tiada masalah paru-paru. Dia nampak sihat. Mungkin ini adalah kesan daripada tekanan atau alergi yang teruk.”
Kami pulang dengan hati yang amat berat. Jika doktor pun tidak dapat mencari punca, jadi apa yang sedang berlaku kepada Ayah? Aku yakin, ini bukan lagi masalah perubatan biasa.
Keesokan paginya, aku membuat keputusan. Aku menelefon Ustaz Sulaiman, seorang pengamal perubatan Islam yang disegani dan tinggal tidak jauh dari kampung kami.
Ustaz Sulaiman tiba di rumah kami sekitar tengah hari. Dia hanya memandang Ayah seketika, yang sedang terbaring lemah di sofa, sebelum mengangguk perlahan.
Setelah Ustaz Sulaiman memulakan sesi rawatan dengan bacaan ayat-ayat suci, Ayah mula menunjukkan reaksi. Tubuhnya menggeliat, nafasnya menjadi tidak teratur, dan dia mengadu rasa panas membakar di dalam badannya.
Setelah selesai membaca, Ustaz Sulaiman memandang kami dengan wajah yang tenang tetapi serius.
“Anak-anak, Haji Bakar telah terkena gangguan, bukan penyakit biasa,” katanya, suaranya perlahan.
“Gangguan apa, Ustaz?” tanya Ibu, hampir menangis.
“Ini adalah Santau Angin,” jelas Ustaz Sulaiman. “Santau jenis ini dihantar dari jarak jauh. Dia menyerang melalui ‘angin’ dan menembusi ke dalam sistem badan, biasanya melalui saluran pernafasan. Kesannya memang meniru penyakit fizikal sakit kepala, pening, dan yang paling utama, batuk berdarah tanpa sebab yang jelas secara perubatan.”
Aku teringat diagnosis doktor yang tidak menemui apa-apa punca. Segalanya kini terjawab.
Ustaz Sulaiman menerangkan bahawa seseorang telah menghantar santau ini kepada Ayah, mungkin kerana dendam atau cemburu dengan kesenangan Ayah. Santau itu telah dikeluarkan sepenuhnya, tetapi sisa-sisa ‘panas’ mungkin masih bersarang di dalam badan.
Ustaz memberikan Ayah air penawar dan menasihatkan kami agar Ayah sentiasa minum air yang telah dibacakan ayat suci, dan memperbanyakkan solat dan zikir.
Selepas rawatan Ustaz Sulaiman, Ayah mula menunjukkan pemulihan yang ketara. Batuknya hilang sepenuhnya, dan wajahnya kembali berseri.
Namun, Ustaz Sulaiman berpesan: “Meskipun santau sudah keluar, gangguan daripada pengirim masih boleh berlaku jika pendinding lemah.”
Dan benar. Walaupun Ayah tidak lagi batuk, ada masanya Ayah akan mengadu terasa panas membakar di badannya pada waktu malam, terutamanya selepas Maghrib. Kami tahu, itu adalah sisa-sisa santau angin yang masih cuba untuk ‘kembali’ atau mungkin cubaan baru dari pengirim.
Kami sekeluarga kini lebih berhati-hati. Kami mengamalkan surah-surah pendinding setiap hari dan memastikan amalan kami tidak terputus. Kami bersyukur, kerana melalui ikhtiar dan pertolongan dari Ustaz Sulaiman, nyawa Ayah berjaya diselamatkan daripada niat jahat manusia.
Pengalaman ini membuka mata kami kadang-kadang, penyakit yang tidak dapat dirawat di hospital, memerlukan ikhtiar dan keyakinan kepada kuasa yang lebih besar, kerana ia bukan datang dari bumi, tetapi dihantar melalui angin.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit