Sesat di Sungai Besar

Assalamualaikum

Lama tak menulis kat sini sehingga seorang rakan fb Tanya, tak ada lagi ke cerita? Ada ..panjang sikit, tapi mungkin sama-sama kita boleh ambil iktibar dari pengalaman aku.

Kali ni aku nak kongsi pengalaman aku sesat di Sungai Besar. Aku sesat hampir 9 jam, dari maghrib sampailah pukul 3.30 pagi. Ini hanya pengalaman, tidaklah seram manapun, Cuma penuh misteri. Aku percaya apabila kita hendak berbuat baik, Tuhan akan duga kita lagi teruk dari kalau kita nak buat jahat.

Masa tu aku ni masih bekerja makan gaji. Aku dilantik menerajui unit CSR syarikat, dan tugas utama aku ialah membantu mereka yang kurang berkemampuan. Aku memang akan buat research dengan menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat, kerana mereka ada rekod lengkap terutamanya rumah anak yatim. Setelah dapat maklumat, aku memilih sebuah rumah anak yatim di Sungai Besar untuk aku lawati. Rumah anak yatim ini menghuni kuarters tinggal JKR di sana. Orang Sungai Besar mungkin tahu di mana.

Jadi, setelah selesai makluman aku pada boss aku, aku pun bergerak ke sana pada jam 3 petang. Aku pergi sorang sebab pembantu aku pergi ke rumah anak yatim di tempat lain. Sebab aku ni tak adventurous, aku ikut jalan yang aku tahu, dan aku sampai di lokasi dua setengah jam kemudian. Borak punya borak dengan pengetua, tak sedar dah 2 jam aku di situ dan aku sempat solat Asar di situ. Hari pun dah beransur senja. Kereta yang aku naiki ialah kereta baru dari syarikat, dan sebelum aku balik, aku singgah di Petronas dan isi minyak penuh tangki. Kenapa pun aku tak tahu, tapi seolah-olah hati tergerak untuk isi minyak penuh tangki walaupun minyak masih banyak.

Melepasi pekan Sungai Besar, ada satu papan tanda kecil menunjukkan Rawang / KL, jadi aku pun masuklah simpang tu. Dah excited nak balik punya fasal, terburu-buru sangat. Papan tandanya kecil sahaja, tidak seperti papan tanda yang selalu kita nampak. Macam buruk, setinggi bumbung kereta sahaja, berwarna hitam dan putih. Aku fikir nak singgah mana-mana surau atau masjid untuk solat Maghrib, tapi setelah sekian lama memandu, aku tak jumpa surau atau masjid atau kawasan perumahan pun. Hanya jalan lurus membelah ladang kelapa sawit dan jalannya hanya selorong. Tiada lampu jalan langsung dan keadaan semakin gelap. Dari maghrib beransur Isyak, aku masih di atas jalan lurus tu membelah hutan tebal kali ni, bukan lagi ladang sawit.

Aku memang beberapa kali nak patah balik, tapi jalannya sangat sempit, hanya muat-muat kereta sebijik, menyukarkan proses nak patah balik. Lagipun keadaan sangat gelap. Aku fikir, aku nak berbuat baik, jadi mungkin tiada apa yang buruk akan berlaku. Drive punya drive, ada satu lagi simpang ke kiri menunjukkan Rawang / KL, jadi aku pun masuk ke simpang tu. Papan tandanya seperti tadi, kecil dan berwarna hitam dan putih. Hati masih okay sebab ye lah salah sendiri, siapa suruh masuk jalan tu. Jalannya hanya jalan tak berturap, lurus sangat tapi hanya hutan rimba di kiri kanan. Aku masih tak hilang harap, terus memandu dengan harapan aku jumpalah lebuhraya.

Percaya atau tidak, aku memandu lebih satu jam membelah hutan dengan jalan lurus sempit tu. Jalannya sangat lurus, memang aneh. Kenapa aku cakap begitu? Macam kau tak bergerak sebab jalan sangat lurus, satu lubang pun aku tak jumpa. Aku tengok jam, dah hampir jam 11 malam. Mujurlah aku dah makan tadi di rumah anak yatim tu, jadi tak berapa lapar. Cuma sedikit penat dan bosan dan hati mula menyesal atas kebodohan sendiri.

Setelah beberapa lama, dari jauh aku nampak lampu motor. Aku perlahankan kenderaaan, tukar lampu rendah dan cuba nak berhenti nak bertanya haluan. Tapi lelaki yang menunggang motor tu terus menunggang tanpa berhenti walau aku dah berhentikan kereta dan buka tingkap. Dia langsung tidak menoleh, terus menuggangang melepasi kereta aku. Dalam hati aku, tak sejuk ke, pakai t shirt lengan pendek dengan tuala putih melilit kepala dia. Berani betul mamat ni, fikir aku, naik motor sorang-sorang dalam hutan gelap macam ni. Punah harapan aku nak bertanya jalan.

Lepas lagi satu jam memandu, aku sudah tidak di dalam hutan yang tebal, tapi masih hutan dan tidak ada tanda penempatan atau perumahan. Nun jauh di hadapan, aku nampak lampu di satu bangunan macam sekolah. Terang benderang. Rupanya sekolah agama kerana ada tulisan sekolah agama dalam huruf jawi, tapi kenapa dalam hutan? Ada ke ibubapa yang nak hantar anak mereka ke sekolah ni, dah lah jauh, dalam hutan pulak tu, soalan itu yang aku tanya pada diri aku.

Sempat aku pandang sekolah tu, seperti sekolah biasa. Besar seolah tu, blok bangunan cantik berderet. Aku perasan, semua lampu dalam bangunan sekolah tu terpasang. Sekelilingnya jugaterang benderang dengan lampu jalan dan jalan pun dah ada dua lane. Hutan dah tak tebal macam tadi, masih aku keseorangan di atas jalan dan aku tak berselisih dengan siapa-siapa selepas dengan lelaki tadi.

Setelah berapa lama memandu, dari jauh aku nampak ada lampu, macam selalu kita nampak kat kedai makan. Alhamdulillah.. dah jumpa dengan manusia, kata aku dalam hati. Rumah-rumah penduduk juga di kiri kanan jalan. Semuanya gelap, ye lah mungkin penghuni rumah semua dah tidur.

Aku park kereta betul-betul depan kedai makan yang terang benderang. Buka je pintu kereta, aku terbau nasi goreng ikan masin. Wangi sungguh baunya. Kecur juga air liur aku walau aku tak lapar. Pelanggan kedai hampir memenuhi kedai, walau jam dah hampir pukul 1 pagi. Mungkin orang kampung ni lapar, aku fikir begitulah. Aku nampak ada tv kecil sedang pasang siaran macam program muzikal.

Aku beri salam pada sorang pakcik berkopiah yang sedang minum dan bertanya jalan keluar. Tangan aku hulurkan tidak bersambut, tapi salam aku dijawab. Katanya, jalan terus saja, Dalam dua batu, ada simpang 3, ikut ke kanan, jangan terus atau ke kiri. Itu saja jawapan dari dia, seolah olah macam tak suka aku mengganggu dia. Pakcik tu nampak macam kurang senang atau annoyed. Sepatah ditanya sepatah dijawab. Aku ucapkan terima kasih dan berjalan ke kereta. Bila nak buka pintu kereta, aku sempat menoleh konon nak senyum.

Pakcik tadi tak ada di tempat dia. Berapa langkah je kereta dari dia. Ah, mungkin dia ke tandas. Aku nampak semua pelanggan macam sangat khusyuk dengan makanan mereka, dan tiada siapa pun yang menoleh. Ye la kan, aku ni orang luar, pakai pakaian pejabat. Tengah pagi buta pulak tu. Mereka semuanya macam betul-betul fokus pada makanan. Selalunya kat kedai makan, kau akan dengar sudip berlaga dengan kuali kat dapur bila tukang masak memasak apa yang orang pesan. Tapi bukan saja aku tak dengar sebarang suara orang berborak, bunyi sudip berlaga pun aku tak dengar. Pelanggan ramai, tapi kedai sunyi sepi. Yang aku dengar hanya alunan muzik dari siaran tv.

Aku masuk dalam kereta dan mula memandu. Sempat juga aku pandang cermin belakang, Kali ni pelik sebab semua pelanggan dengan pakcik yang “lenyap” tadi, semuanya memandang aku. Tapi semua macam kaku. Aku asyik pandang cermin belakang dan tiada yang berubah, semua mata pelanggan masih memandang. Aku terus memandu sehingga tiada rumah lagi di kiri kanan jalan, masih jalan lurus yang gelap dan tiada lampu jalan dan tidak ada sebarang signboard untuk jadi petunjuk.

Aku hanya pasang lampu tinggi, dan hanya tumpu pada pemanduan kerana tiada langsung bentuk sebarang cahaya. Gelap gelita kiri kanan dan hutan tebal. Dah lebih 10 kilometer, simpang yang dinyatakan pakcik tadi tak muncul-muncul. Hanya hutan tebal dengan jalan yang lurus dan licin, tidak berbonggol dan sekeliling aku hanyalah gelap gelita.

Sambil pasang lagu Dewa 19, aku masih memandu dengan cermat, tapi agak laju. Sumpah, masa tu aku cakap, biarlah pontianak atau langsiur datang temankan aku sebab dari tadi memandu seorang diri, bosan juga. Line telefon juga tiada untuk aku call siapa-siapa. Terkuap-kuap aku mengantuk keletihan. Kerana aku pasang lampu tinggi, keadaan menjadi terang dan dari jauh, aku nampak sebatang pokok yang sangat besar dan tinggi di kanan, terbuai buai seperti ditiup angin tapi pokok-pokok lain kaku dan pegun. Tak lama kemudian, aku nampak ada simpang ke kanan selepas melepasi pokok besar tu.

Aku pun belok masuk ke simpang. Tapi keadaan teramat gelap dan aku mula rasa cuak. Tak berapa lama, aku jumpa jalan m4ti. Di depan aku hanya ada sedikit ruang untuk aku berpatah balik, Ada 3 longgok kayu seperti kayu balak dilonggok agak tinggi dan di depan lagi hanya hutan tebal. Kerana lampu tinggi, aku dapat lihat jelas. Mata aku ternampak seperti seekor kucing berwarna putih, tapi sebesar kambing di belakang timbunan kayu paling kiri. aku
Tak banyak cakap, aku pun pusing balik dan keluar ke simpang. Aku memandu laju kali ni (tak pernah aku pandu laju macam tu). Menderam enjin kereta aku membelah kesunyian. Aku dah tak pandang kiri kanan, hanya cuak yang amat sangat. Jantung aku bergoncang jangan cakaplah . Alhamdulillah, selepas beberapa lama, tidak ada apa yang berlaku. Aku ikut semula jalan tadi dengan harapan aku akan sampai ke kedai tadi. Kerana aku memandu sangat laju, mungkin cepat aku sampai.

Tapi malangnya aku tak jumpa kedai tadi. Semuanya gelap gelita. Aku terus memandu tapi jalan kali ni aku rasa berbeza kerana tiba-tiba ada parit. Sebelum ni, aku tak perasan ada parit, hanya jalan kiri kanan semak belukar dan hutan tebal. Tak mungkin aku salah jalan, kerana jalannya hanya lurus. Parit yang aku nampak memanglah jelas. Dalam hati aku, bila masa pulak ada parit? Tiada semak samun seperti pemandangan sebelumnya. Parit pulak besar dan banyak titi.

Tak lama kemudian aku mula nampak cahaya lampu dari rumah-rumah orang. Meriah dengan lampu, dan aku nampak ramai penduduk masih melepak depan rumah mereka. Lega sikit hati aku . Aku pun menghampiri rumah yang pertama yang terang benderang dan berhentikan kereta. Aku nampak ada satu keluarga di atas pondok atas parit dengan pangkin berbumbung. Aku beri salam pada pakcik yang ada di situ. Salam aku dijawab dan aku bertanya macam mana nak keluar dari tempat ni sebab aku dah lama cari jalan keluar tapi masih tak berjumpa. Jawapannya sama, kena patah balik, dan lepas dua batu, masuk jalan kanan, jangan jalan terus atau kiri. Hati aku mula dah cuak. Mahu tak cuak, aku rasa macam mereka ni sengaja nak sesatkan aku.

Aku ucapkan terima kasih dan masuk ke kereta. Aku perasan seluruh keluarga pakcik tu berada di situ ,duduk-duduk di atas pangkin berbumbung, dan jiran-jiran yang lain pun lebih kurang macam tu, berada depan rumah yang terang benderang, berkumpul satu keluarga. Aku terpandang keluarga sedang mengagah-agah baby dalam dukungan emak dia. Boleh kata satu keluarga kecuali pakcik tu dok usik-usik baby tu, tapi aku tak dengar apa pun. Sunyi. Dan, sama macam di kedai tadi, tidak sorang pun dari ahli keluarga pakcik tu pandang aku. Semuanya dok pandang baby tu. Aneh sangat bagi aku.

Bila aku hidupkan enjin kereta, aku pandanglah belakang. Pakcik tu tercegat di tempatnya, tapi yang agak menyeramkan, baby tu pandang aku. Seram pandangan dia. Sampai sekarang aku boleh bayangkan baby yang kecik tu bagi pandangan mata yang seram kat aku. Aku mula berfikir, tak logik bawa baby keluar berembun. Dan kalau ramai orang, sekurang-kurangnya aku akan dengan suara mereka, kalau tak bercakap, mungkin gelake ke. Tapi memang sunyi. Tak ada sebarang bunyi suara atau bunyi keluar dari mulut mereka. Dan aku perasan, tiada kanak-kanak, cuma orang dewasa lelaki dan perempuan. Hanya baby tu sajalah yang kecil.

Aku dah cuak dan mula memecut , pasang lampu tinggi dan dalam hati berdoa supaya aku jumpa jalan keluar. Setelah dalam 5 minit memandu, aku sampai kat simpang tadi. Aneh lagi sekali, pokok yang paling besar terbuai-buai tu aku tak nampak. Rasa takut mula melanda hati selepas aku melepasi simpang tu. Tak berapa lama, aku nampak simpang ke kiri, tapi kerana laju, aku tak sempat nak belok. Aku pecut dan kali ni melepasi hutan yang sangat tebal dan jalan tanah merah. Dalam hati, apa nak jadi pun jadilah. Mau taknya, hanya gelap dan sekelilingnya hutan tebal. Tiba-tiba juga semua pokok, belukar lalang semua tu bergetar-getar macam ada tangan yang menggoncang. Bayangkanlah takutnya aku, sebab semua pokok bergoncang serentak.

Aku pecut dengan perut yang kecut. Macam-macam rasa bermain dalam fikiran, menyesal, takut, bodoh semualah… Dari jauh di depan, aku nampak macam kabus nipis makin lama makin naik ke atas. Kabusnya tipis tapi macam asap rokok tu. Aku terus tekan minyak, memang laju aku drive dah serupa orang gila. Pokok-pokok di sekeliling makin kuat bergoncang menambah takut dalam hati. Aku dah tak peduli masa tu, hilang akal sekejap rasanya. Mujur jalan lurus dan kabus tidak tebal, jadi aku masih boleh nampak apa di depan.

Aku rasa macam aku sedang memandu dalam terowong sebab pokok-pokoknya besar dan menutupi langit. Memang gelap dan pokok-pokok bergoncang laju. Aku dah m4ti akal, korang tahu apa aku buat? Aku tekan hon dan tahan hon biar bunyi membelah hutan. Itu saja yang dapat aku fikir, dan Alhamdulillah, lama-lama kabus makin nipis dan aku dah seolah-olah keluar dari terowong. Dari jauh aku nampak lebuhraya dengan. Dan aku nampak lampu ada papan tanda seperti yang biasa warna biru putih menunjukkan ada plaza tol di depan. Alhamdulillah…..

Sampai di plaza tol, aku ambil tiket tol dan penjaga tol kehairanan tengok aku. “Dari mana bang?” dia tegur. Aku cakap aku dari Sungai Besar. “ Sungai Besar? Macam mana boleh masuk sini?” tanya awek tol tu. Aku hanya menarik nafas panjang dan beri senyum kelat pada dia. Dia cakap itu tol Tanjung Malim dan memang jarang orang pakai jalan tu selepas waktu tengah malam. Kalau ada hanya lori yang masuk bawa kelapa sawit dan sisa sampah developer pugar tanah. Akan ada pembangunan di situ dan hutan memang sedang dibersihkan. Aku cakap aku tak nampak apa, kecuali hutan, ada kedai makan dan sekolah agama dan kampung melayu. Awek tu buat muka pelik. “Mana ada bang, semua masih hutan”. Sah… aku kena main ngan apa pun aku tak tahu.

Aku tengok jam, dah pukul 3.30 pagi. Dan aku sempat tengok meter, minyak yang tadi penuh hampir paras “E”. Aku singgah isi minyak di tepi highway. Aku perasan, kereta aku teruk berlumpur. Macam aku lalu kawasan paya cetek macam tu lah. Kerana rasa cuak, aku tunggu di stesen minyak tu, minum kopi dan alas perut makan roti. BIla dah nak hampir subuh, baru aku mula memandu untuk balik. Di handphone, punyalah banyak missed calls dari kawan-kawan rumah dan pejabat.

Sampai sekarang aku tak tahu apa yang buat aku sesat. Bunian? Jembalang hutan? Wallahualam…

Sekian dari aku.

19 thoughts on “Sesat di Sungai Besar”

  1. Aku pun pernah kena mcm ni masa hari last puasa dan besoknya hari raya. Bertolak sebelum maghrib ke pantai remis nk pergi ke rumah kawan. Lepas tol changkat jering terus ke kanan nak ke pantai remis tapi tak jumpa jumpa simpang. Beberapa kali berpatah balik tapi tak jumpa. Jalan kiri kanan semua kelapa sawit dan gelap serta tkda sesiapa. Saya berhentikan kereta, baca 3 qul dan hisap sebatang rokok. Lepas tu saya gerak balik baru jumpa simpang ke pantai remis yg ada rumah kedai lama tu…

    Reply
  2. Lain kali jgn ikut situ bro..sebab memang jauh gila nk jumpa highway..lagi 1 mmg sunyi gila bila malam..aku orang sekinchan.

    Reply
  3. Best..kalau ada cerita lagi, sharekanlah kat sini. dah lama tak baca cerita yang boleh buat saya bersemangat untuk baca sampai habis. Banyak cerita lain kat FS ni yang dah macam apa ntah..

    Reply
  4. Akhirnya setelah sekian lama, ada gak cerita yang aku boleh layan kat FS ni. Kalau tak asik cerita tipikal yang lebih kurang sama je… Ape pon the best Pak Engku…
    Ini kalau drive yg real punya dah smpai kelantan dah ni. hhahahah

    Reply
  5. pernah lalu jalan tu..konon nk potong jalan alih2 masuk tah kemana tah..nasib baik jumpa org kat gerai tanya jalan keluar..dia nasihatkan patah balik..mmg boleh lepas tapi jauh sgt n bahaya gelap.

    Reply
  6. ye mmg hutan tebal laluan sana. dan byk laluan yg boleh buat confused sbb aku pun pernah kena tercari pusing2. tapi alhamdulilah jumpa jalan balik ke Tanjong karang hahaa

    Reply
  7. Citer yg dikarang mcm ni la yg ditunggu…. tapi serius klau nk baca citer ala2 acah2 penulisan A Samad Said, acah2 sastera kononnya, try cari citer tajuk Tempat Jin Bertandang n lagi satu Rumah Baru Ayah…perghh bila baca tu, org yg mulut baik pun tiba2 bole tpacul mcm2 makian..x pun org yg mood tgh baik pun tiba2 leh tuka jadi baran…

    Reply
  8. aku penah lalu kawasan tu tapi waktu petang, memang jauh dan kiri kanan hutan. Masa tu aku dari arah utara nak balik Tg Karang, itu pun dah kecut perut sebab lalu kawasan macam tu

    Reply

Leave a Comment