Shift Malam Di Setesen Minyak

Assalamualaikum kepada admin dan semua pembaca fiksyen shasha. Terlebih dahulu ucapan terima kasih kepada admin sekiranya cerita yang aku kongsikan ini disiarkan. Nama aku Zal berumur 28 tahun, status bujang yang masih belum berpunya, misi mencari pasangan hidup. Hahaha.. Maaf tersasar pula cerita ni.. Okay tanpa membuang masa, aku terus sahaja bercerita tentang pengalaman aku, dan mungkin cerita ini kurang seram bagi pembaca yang lain. Tapi bagi aku pengalaman ini cukup bagi aku merasa keseraman itu.

Seperti yang kita tahu dalam dunia yang nyata ini bukan manusia sahaja yang tinggal. Dalam Al Quran juga sudah disebutkan. Firman Allah :

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. (26) Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.

Seperti yang kita tahu dari ayat di atas bahawasanya jin telah diciptakan dahulu sebelum manusia dan telah lama hidup di muka bumi. Cuma manusia dan jin berlainan alam. Maka yang berilmu dan hijab yang terbuka akan ada yang nampak kelibat-kelibat makhluk tersebut di muka bumi.

Bukan sekadar manusia dan jin, malahan dari kedua telingga kita ini kedengaran juga dari mereka yang lain mengatakan ada makhluk yang lain iaitu makhluk bunian, iblis menyesatkan dan yang lain.

Permulaan yang agak baik bila aku mula bekerja disebuah stesen minyak yang tak perlu aku bagi tahu lokasi dan tempat stesen tersebut. Untuk pengetahuan korang, setesen minyak ni beroperasi 24 jam dan ini menjadikan pekerja stesen ni ramai sedikit sebab ada dua shift iaitu shift pagi dan juga shift malam. Untuk shift pagi 6 orang akan turun kerja dan shift malam pula hanya 2 orang yang berkerja. Shift pagi dan malam berlainan. Sebab pekerja shift malam hanya berada di kaunter.

Agak lama juga aku kena shift pagi, sebab aku masa tu masih budak baru yang belum tahu apa-apa. Dan genaplah sebulan aku kerja, aku kena shift malam bersama seorang lagi pekerja iaitu Aiman. Aiman ni agak berani dalam hal-hal mistik ni. Sebab sebelum ni aku sering juga bercerita dengan satu lagi kawan yang mana aku memanggilnya sebagai abang. Abang ni selalu bercerita dengan aku yang selama ni selalunya ambil shift malam ni iaitu Aiman.

Cerita Abang

Dulu abang ni macam aku juga sebulan berlalu bekerja di stesen minyak ni akan ambil shift malam. Mula dulu abang ni tidak menyangka yang dia akan beserempak dengan makhluk ghaib. Waktu tu jam 12 dan maintenance bagi stesen minyak. Masa maintenance tu, abang ni pergi la buat kerja dekat luar, siram titisan minyak, simpan hos pam angin, pasang kon dan lain-lain lagi.

Masa dia kemaskan hos pam angin tu, dia terpandang satu susuk hitam di belakang pagar yang mana lampu luar pagar tu tidaklah berapa terang. Pandangan abang terhadap susuk hitam tu seakan sama-samar. Jadi abang ni biarkan saja dan tidak menghiraukan sangat.

Tidak lama selepas itu, selesai sahaja buat kerja, abang ni tengok balik tempat susuk hitam yang dia nampak tadi. Dan alangkah terkejutnya abang ni, susuk yang dia nampak tadi seakan sebesar manusia kini yang dia nampak setinggi dengan tiang elektrik cuma tempat susuk hitam tu berubah sedikit kebelakang. Apa lagi, abang ni terus lari kedalam dan berdiam sahaja, seakan tiada terjadi, tapi muka abang masa tu pucat bila dia di tanya oleh Aiman.

Hari-hari kejadian berlalu, abang ni mula bercerita dengan Aiman yang dia ada nampak lembaga hitam di luar pagar. Dan Aiman masa tu terlihat senyum saja dengan cerita abang ni. Apa yang membuatkan abang ni terkejut masa tu, Aiman bercerita dengan abang yang dia selama ni bekerja shift malam banyak juga gangguan yang dia terkena. Sepertinya gangguan bunyi barang jatuh, bunyi guli jatuh, lampu tandas hidup sendiri, dan bila bagi off suis lampu tu, lampu hidup semula, lembaga-lembaga hitam dan banyak lagi dia kata. Apa yang dia kata dengan abang, kita cari kerja dan rezeki halal yang penting dia tidak ganggu kita dengan teruk dan yang penting semangat kena kuat masa kerja shift malam ni…….

Kembali kepada cerita aku tadi, masa aku mula kerja shift malam tu cerita-cerita abang tadi mengenai gangguan-gangguan dan lembaga hitam tu tidak lagi terlintas difikiran. Malam tu seperti biasa aku bekerja. Aku dan Aiman bersembang mengenai awek dan macam-macam lagi. Dan yang bestnya malam tu satu topik cerita seram pun aku dan Aiman tidak sentuh.

Sampai la satu tahap di mana waktu maintenance tepat jam 12 malam, aku terpaksa buat kerja dekat luar. Seperti biasa siram titisan minyak dan macam-macam lagi kerja yang patut dibuat. Waktu dah habis siram titisan minyak tadi, aku sempat ke tandas untuk membuang air kecil. Tanpa membuang masa selesai saja aku membuang air kecil Aiman terus melulu masuk ke tandas. Aku masa tu kehairanan, aik Aiman pun nak ke tandas, ” jadi siapa yang nak jaga kaunter depan tu pula”.

Aku terus sambung buat kerja dekat luar, aku lihat Aiman masih duduk dekat depan kaunter. Selepas dah selesai buat kerja dekat luar, aku pun masuk teman kan dia.

: Cepat juga kau kencing tadi Man,..

: Aik, sejak bila pula aku ke tandas, kau salah orang ni kot. Orang lain tu tak pun kau nampak serupa dengan aku.

Aiman ketawa seakan tahu apa yang terjadi. Mungkin Aiman dah masak dengan gangguan-gangguan yang mengganggu dekat tempat tu. Dan mungkin juga masa tu Aiman tidak mahu bercerita mengenai gangguan-gangguan ni. Aku terus diam mendengar apa yang Aiman cakap sebentar tadi.

: Mungkin jugalah Man, orang lain kot..

Dalam hati aku tak mungkin aku silap orang, memang Aiman yang aku nampak tadi. Tapi takkan secepat itu juga Aiman terus berada di depan kaunter. Besar kemungkinan aku memang kena gangguan, dan mungkin juga itu satu petanda aku sebagai pekerja baru dekat sini. Apalah nasib hari pertama kerja shift malam dah kena gangguan.

Rasanya sampai disini saja cerita aku kali ni, jika ada sambutan untuk aku bercerita lagi aku akan kongsikan pengalaman seram aku yang lain lagi. Cerita seram ditempat yang sama aku bekerja. Sekian terima kasih..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

1 thought on “Shift Malam Di Setesen Minyak”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.