Est. 2015 Fiksyen Shasha Kisah Benar

Shift Petang

Dimulakan dengan Bismillah.

Nama aku Iqa. Aku ingin bercerita satu pengalaman seram yang pernah aku hadapi semasa berkerja sebagai seorang juruwang disebuah syarikat stesen minyak di ibu kota.

Siapa tak teruja bila kita habis SPM dan boleh pegang duit sendiri. Jadi bila habis SPM aku pilih untuk berkerja separuh masa di syarikat stesen minyak berhampiran dengan rumahku. Dengan gaji pokok RM 650, masa itu aku rasa aku dah cukup kaya. Seronok bila boleh beli barang yang kita suka dan belanja keluarga walaupun tak semewah mana. Hampir 4 tahun juga aku berkerja disitu sambil aku sambung diploma di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur.

Cerita yang ingin aku sampaikan ini, terjadi pada tahun ke dua aku berkerja di syarikat itu. Suatu hari aku berkerja shift petang. Sebelum-sebelum ni bukan tak pernah berkerja shift petang, tapi hari itu menjadi hari yang tak dapat aku lupakan sepanjang umurku.

Aku masuk kerja seperti biasa. Jam menunjukkan pukul 3 petang, agak sibuk sebab boleh dikatakan masa itu waktu ‘peak hour”. Aku berkerja seperti biasa, bertegur sapa dengan rakan sekerja. Kami pernah berkerja sama sebelum ini, tapi mungkin baru sekali. Entah aku tak ingat. Rakan kerja aku ni budak baru. Baru habis SPM. Anis namanya. Sama macam aku dulu, nak cari duit poket sementara nak sambung belajar. Shift petang bermula pada jam tiga petang sehingga sebelas malam. Lapan jam berkerja. Waktu rehat bergilir- gilir.

Pada awalnya semua baik sahaja. Sehingga jam menunjukkan pukul sepuluh malam. Sunyi, waktu begini memang sunyi. Masing-masing ada dirumah, beristirahat, mungkin juga ada yang masih berkerja sama macam aku. Aku duduk di Pos B. Biasanya Pos B tak sesibuk Pos A. Jadi aku pun ambil kesempatan untuk tolong kemas-kemas kedai & isi air didalam peti ‘Chiller”. Chiller di tempat aku seolah-olah ‘Walk-in Closet”. Sejuk. Jadi aku ambil jaketku dan masuk kedalam chiller untuk isi-isi air mana yang berkurang atau habis. Tinggallah budak baru seorang diri kat kaunter. Aku dah pesan dengan dia, kalau ada apa-apa, panggil aku. Tak jauh pun dari kaunter.

Cerita aku ni bermula bila aku tengah ralit menyusun air dan aku perasan pintu chiller di hujung sekali dibuka. Untuk pengetahuan semua, chiller aku ni besar dan panjang. Kalau dari luar, pelanggan tidak akan perasan yang ada orang di dalamnya. Chiller ni ada tujuh pintu. Setiap pintu ada sekurang-kurangnya lima lapisan air. Ketika ini, aku berada di pintu nombor enam. Hampir dengan pintu keluar masuk chiller. Aku perasan pintu chiller nombor satu dibuka dan aku terdengar suara seorang ibu dan anaknya, mungkin. Si ibu bertanya,
‘Nak air ni?”
Si anak jawab, ‘Taknak”.

Pintu nombor dua dibuka dan soalan sama ditanya oleh ibu. Sama seperti tadi jawapan anak, ‘Taknak”.

Aku yang ketika itu tengah asyik melayan lagu jadi terdiam seketika mendengarkan celoteh mereka dua beranak. Dalam hati mengomel, ‘Budak-budak. Nak pilih air pun susah.”

Tapi masa tu aku tersedar yang aku tak nampak pulak pintu kedai diluar itu terbuka dan ada pelanggan masuk. Mungkin aku tak sedar sebab ralit sangat susun air sambil dengar lagu agaknya.
Pintu tiga, empat dan lima dibuka dengan soalan dan jawapan yang sama. Tapi aku perasan yang bila pintu lima dibuka, tak ada orang!! seolah-olah pintu terbuka dengan sendirinya. Hati mula berdebar.

‘Budak baru ni nak kenakan aku ke? Tapi kenapa tak nampak bayang dia pun? Biasanya kalau orang dari dalam nak keluar, mesti lalu sebelah chiller ni, tapi kenapa aku tak nampak pun dia lalu sebelah aku tadi???”

Persoalan demi persoalan bermain dalam minda aku masa ini. Apa yang tengah jadi ni????

Tiba-tiba pintu enam dibuka. Ya, pintu aku. bau semerbak harum. Macam bau air mawar. Sampai aku jadi bingung sekejap. Soalan sama ditanyakan.

‘Nak air ni ke?’
‘Taknak.”
‘Air ni?”
‘Taknak.”
‘Air ni?”
………..
‘NAKKKKK!!!!!!”

BAMMMM!!!!!

Pintu chiller dihempas dengan kuat. Nak gugur jantung aku dibuatnya.

Setan betul! Siapa yang hempas macam orang gila ni!
Aku dengan dengan darah yang panas keluar dari chiller dan buka pintu keluar sebab nak tengok siapa yang hempas pintu sampai bergegar chiller tu dibuatnya.
Alangkah terkejutnya aku bila aku tengok tiada siapa pun kat dalam kedai tu selain budak baru tu!!!
Ya Allah! Apa ni!!

Aku pun ambik langkah selamat masuk semula di ruang kerja aku di Pos B dan bertanyakan soalan kepada Anis.

‘Anis, tadi ada customer masuk kedai ke?”
‘Tak ada kak.” Polos jawapan Anis.
Ahhhh sudah. Siapa pulak yang hempas pintu tadi???
Aku pilih untuk menutup mulut tentang hal ini. Aku tak nak takutkan Anis. Nanti berhenti kerja pulak budak tu.

Ketika ini, jam sudah pun menunjukkan hampir jam sebelas. Abang Mat yang akan menggantikan Anis pun sudah sampai. Abang Mat ni veteran kat sini. Dia antara juruwang terawal yang berkerja disini ketika syarikat ini baru dibuka. Jadi aku buat keputusan untuk tunggu Anis balik dan aku nak ceritakan hal tadi dekat Abang Mat.

Anis dah tutup kaunter, Pos A bertukar tuan.
Aku pun terus menceritakan hal tadi dekat Abang Mat. Abang Mat hanya ketawa kecil. Seolah-olah hal tadi sudah menjadi kebiasaan untuk dia. Ayat yang keluar dari mulutnya hanya….
‘Biasa lah tu. Abang lagi macam-macam kena.”

Aku yang baru kali pertama mengalami hal yang macam tu hanya mampu terdiam.

Kata Abang Mat, kadang-kadang ada pelanggan datang nak isi minyak tapi bila tengok di pam, tiada kereta atau motor pun kat situ. Ada yang datang dengan kepala dan badan sahaja, kaki tak ada!!
Gila!!! Kalau Abang Mat masih ada, mesti banyak yang nak dia ceritakan. Tapi apakan daya. Jodoh, ajal dan maut di tangan Allah. Abang Mat meniggal dunia akibat Covid-19.

Selepas kejadian itu, ada lagi pengalaman yang aku hadapi. Tapi cukup sampai sini dulu.
Terima kasih.

Fliques24
Cerita Berkaitan
Ada kisah sendiri?

Kongsi pengalaman seram anda.

Hantar Kisah

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Nak cerita baru kami hantar terus ke Telegram anda? Jom Join 👻 Join Telegram