Spirit of the Coin

Spirit of the Coin.

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca FS. Terima kasih jika nukilan kecil ini dapat disiarkan oleh admin FS. Nama aku Erza. Ini kisah berdasarkan pengalaman ibuku sendiri. Nama-nama telah diubah dan tiada kaitan dengan yang hidup mahupun yang telah tiada.

Jam menunjukkan pukul 12.14 tengah hari. Aku meneguk air sirap yang dibungkus oleh ayah sambil melayari cerita Pendekar Bujang Lapok. Emak di sebelah ku pandang sepi. Aku tertarik terhadap adegan pendekar Mustar mengajar mantera “hai mambang tanah…” terhadap Ramli, Aziz dan Sudin. Lantas ku tanyakan pada ibuku, “kalau kita dok baca mantera macam tu mesti hantu betui muncui kan, mak?”. “Mesti! Benda macam tu jangan lah buat main.” Emak membalas dengan nada tegas. “Mak pernah buat ka?”, Aku mula menyoal dengan nada teruja. Emak memulakan cerita beliau.

Ibuku bernama Mel. Waktu itu umur ibuku 15 tahun. Mel menunggu keputusan LCE pada ketika itu memandangkan dia bersekolah di sekolah English. Pada suatu hari kawan sekolah Mel yang bernama Ain telah mengajak Mel ke rumahnya. Ayah Ain adalah seorang pegawai kerajaan. Rumah mereka terletak bersebelahan dengan sebuah mahkamah yang telah lama tidak digunakan. Pada hari khamis petang, Mel mengayuh basikal yang diberi oleh ayahnya memandangkan mereka dari golongan berada. Jadi memiliki basikal pada waktu itu dianggap sebagai orang senang. Sebaik saja Mel sampai ke rumah Ain, ibu Ain terus mempelawa Mel masuk ke rumah. Ain mengajak Mel masuk ke biliknya. Di situ Ain menunjukkan sehelai kertas kepada Mel yang tertulis “Spirit of the coin.”

“Apa maksud kertas ni Ain?”, Mel bertanya dengan nada pelik. “Kalau kau sebut ayat ni berulang kali lepastu kau tanya soalan kat dia, mesti dia akan jawab.” Ain cuba menyakinkan Mel dan memberi kertas itu kepada Mel. Ain tersenyum sinis apabila kertas itu beralih tangan. Jam menunjukkan pulul 6.45 petang. Mel segera beransur pulang sebelum senja menjelma.

Setelah menunaikan solat magrib, Mel melabuhkan p******g di atas kerusi. Tingkap yang berhadapan dengan meja belajarnya di buka agar angin malam masuk menyejukkan biliknya memandangkan bilik Mel berada di tingkat atas. Mel memandang sepi kertas di atas meja. Perasaan ingin tahu membuak-buak di dada. Oleh kerana ingin mengesahkan kata-kata Ain, Mel terus menutup lampu biliknya. Mel mengambil sehelai kertas A4 dan membuat dua bulatan. Satu bulatan tertulis FAIL dan satu bulatan tertulis PASS. Mel mengambil sekeping duit syiling dan meletakkan dua jari di atas syiling tersebut.

“Oh Spirit of the Coin, show to me if I pass or fail in my LCE exam!”

Mel berulang kali menyebut ayat yang sama. Pada ayat ketiga, angin di luar semakin kuat. Mel masih tidak merasa apa-apa. Mel mengulangi lagi ayat yang sama dengan nada yang sedikit kuat. Pada ayat ketujuh, dengan tiba-tiba syiling itu bergerak ke bulatan PASS! Mel membutang mata apabila jarinya yang berada di atas syiling tersebut bergerak sendiri. Gembira pun ada sebab dia lulus LCE. Namun cepat-cepat dia istigfar untuk tidak percaya benda macam ni. Panggg! Tingkap dihadapan tertutup sendiri. Mel berlari ingin membuka lampu. Namun mata Mel tertancap pada cermin yang terdapat bayang-bayang seseorang. Pap! Lampu terbuka. Mel memandang ke belakang. Mel menghembus nafas lega apabila tiada apa-apa yang berada di biliknya.

Keesokan harinya Mel menderu laju dengan basikalnya menuju ke arah rumah Ain. “Weh, aku baca ayat tu tapi hang tau dak apa jadi?”. “Ada hantu kan!” Ain mencelah. “Memang ah! Celapak aku lari weh sampai tak boleh tidoq! Apa benda yang hang bagi kat aku tu?”, Ain cuma ketawa kecil. “Maknanya ayat tu betul lah kan. Jadi malam ni aku dengan Shahrul dan Minah nak pi bangunan lama sebelah rumah aku. Hang pun ikut sekali tau.” “Weh gila hang. Bangunan tu takdak orang. Nak pi buat pa?”, Mel mula resah. Ingin saja kaki dia beredar dari situ. “Alah, saja ja. Hang ikut dah ah.”

Tepat pukul 8.30 malam, Shahrul dan Minah sudah terpacak di hadapan rumah Ain. Ain memberitahu pada ibu bapanya bahawa mereka hanya lepak di kawasan rumah itu sahaja. Ain mengetuai perjalanan mereka ke arah bangunan mahkamah lama itu. Hanya lebih kurang sepuluh minit sahaja dari rumah Ain. Shahrul dan Minah hanya berdiam diri. Mereka sendiri tidak tahu apa motif Ain mengajak mereka ke sini. Namun tidak bagi Mel. Peluh membasahi dahinya. Mel sudah tahu apa yang Ain mahu lakukan tapi dia tidak tahu apa yang Ain mahu dari ‘Spirit’ tersebut.

Ain menghentikan langkahnya di satu sudut bilik. Bilik itu seperti bilik pejabat namun kosong tiada apa-apa perabot. Yang ada hanyalah habuk dan sarang labah-labah. “Kita duduk sini nah.” Ain memecahkan kesunyian malam. “Kita nak buat pa kat sini weh? Gelap. Ketaq aku weh.” Shahrul memerhati sekeliling bilik tu. Hati dia berdebar terasa bagai nak pecah. Hanya lampu suluh yang memberi cahaya pada mereka memandangkan hari di luar pun gelap. Ain tidak menjawab soalan Shahrul bahkan dia menghampar sehelai kertas sebesar A3 yang terdapat lukisan di atas kertas tersebut. Terdapat beberapa perkataan di atas kertas tersebut. ‘HOME’ ‘YES’ ‘NO’ dan juga banyak lagi perkataan lain.

“Hampa ikut ja apa aku buat nah. Letak satu jari hampa kat dut syiling ni.” Ain seakan memerintah. Mel sudah mula kecut perut. Ingin saja dia cabut lari tapi Ain menjeling seakan memberi arahan ‘jangan!’. Shahrul dan Minah hanya menurut. Mereka berempat meletakkan satu jari di atas satu syiling tersebut. “Hampa ikut apa yang aku kata ni.”

“Oh Spirit of the Coin. Show to me if you are here.”

Dengan serentak mereka berempat mengucapkan mantera itu. Syiling itu bergerak ke arah “YES”. Masing-masing menunjukkan muka yang pucat tak berdarah. Mel terkejut dengan hanya sekali sahaja syiling itu sudah bergerak. “Hampa jangan angkat jari ni sebelum kita hantar dia balik tau!”. Mel, Shahrul dan Minah masing-masing keliru namun hanya mengikut arahan Ain walaupun hati bagai nak pecah. Mel pula berasa pelik. ‘Hantar balik?’ Angin malam terasa sejuk padahal tiada tingkap yang terbuka. “Where are you from?”, Ain memulakan bicara dengan ‘Sprit’ tersebut. “FIRE!” Ain tersenyum kecil. “Aku nak balik lah weh.” Bergetar suara Minah. Air mata hampir mengalir disebabkan ketakutan.

Meremang bulu roma Mel apabila ‘Spirit’ tersebut mengatakan dia dari api. Shahrul memandang sekitar bilik itu dan mulutnya masih terkunci rapat. Memang syaitan berasal dari api. “Are you far from us?”, Ain masih lagi mahu berhubung dengan ‘Spirit’ tersebut. “NO!” Syiling itu bergerak dengan sendirinya. Mel sudah memikirkan perkara buruk. Tak jauh maknanya dekat. Tiba-tiba terasa angin kuat menyapa di pipi. Mel memandang ke depan. Terlihat olehnya suatu bayangan hitam besar yang kaku di dinding tidak bergerak. Seperti merenung tepat ke arah mereka. Mel memejamkan mata ketakutan. Langsung tidak terpikir untuk memmbaca apa-apa surah kerana ketakutan sudah menyelubungi diri.

Ain yang berasa kasihan melihat Minah bergetar seluruh badan, akhirnya ingin menamatkan permainan itu.

“Oh Spirit of the Coin, go HOME!” “NO!”. Membutang mata masing-masing apabila ‘Spirit itu tidak mahu pulang. “Go HOME!” Berkali-kali Ain mengulangi ayat itu namun berkali-kali juga lah ‘Spirit’ tersebut mengatakan tidak! “What do you want?”, Ain separuh menjerit ketakutan. Air mata Minah merambu keluar. Mel sendiri sudah seperti sedia mahu angkat kaki jika apa-apa terjadi. Dengan laju syiling itu bergerak menujuk ke perkataan “BLOOD!” Serentak itu juga terdengar seperti suara garau menjerit “BLOOD!” “Arghhhhhh!” Shahrul orang pertama yang lari meninggalkan mereka yang lain. Keempat-empat sahabat itu terus meninggalkan bilik itu dan menuju ke pintu utama untuk keluar sambil menjerit ketakutan.

Namun Shahrul yang di hadapan tersungkur jatuh dan dengan tiba-tiba suara garau itu menjelma lagi dan menjerit “BLOOD!” Mel dan Minah melintasi Shahrul yang jatuh tersungkur itu. Ain mahu menarik Shahrul namun dengan tiba-tiba kaki Shahrul seperti ditarik dan dengan laju badan Shahrul terhempap ke dinding. Ain menjerit lebih kuat bersama air mata akibat ketakutan. Mel menarik Ain untuk keluar namun dengan tiba-tiba kaki Ain seperti tidak boleh bergerak. Mel cuba menarik lengan Ain namun Ain tidak bergerak. Hanya suara yang keluar dari mulut Ain. Ain menangis teresak-esak. “Tolong aku Mel!” Mel berpaling ke arah Shahrul dan di situ Mel terlihat bayang ‘Spirit’ tersebut di dinding berdepan dengan Shahrul.

“Ain, Mel!” Mel berpaling. Kelihatan ibu bapa Ain datang bersama. “Keluar!”, Ain rebah dan terus pengsan. Sepertinya bapa Ain telah menghembuskan ayat al-Quran kepada Ain. Mel dan ibunya memapah Ain keluar dari bangunan itu. Mel sendiri tidak tahu apa yang terjadi di dalam. Setelah dua puluh minit, ayah Ain memapah Shahrul keluar dari bangunan itu. D***h berlumuran di bahagian kaki Shahrul. Mungkin disebabkan hentakan ke dinding itu. Shahrul dibawa ke hospital dengan serta merta. Ibu bapa mereka masing-masing datang ke hospital tersebut. Mel dan Minah masih dalam ketakutan. Mereka dibawa pulang oleh keluarga masing-masing kecuali Shahrul dan Ain yang masih tidak sedarkan diri.

Mel masih dalam keadaan trauma selepas kejadian tersebut. Selepas tiga hari, Mel melawat Ain yang berada di hospital. “Hang dah ok ka?”. “Aku ok ja.he he.” Ain tersenyum sinis. “Shahrul tak m**i kan. Sayangnya.” Mel terkejut dengan kata-kata Ain. Mel sendiri tidak pasti apa maksud Ain.

“Lepas tu mak dah taubat takmau main dan benda-benda mcm tu. Syirik! Orang dulu tak tau.”

Aku hanya menganggukkan kepala. Tak ku sangka emak ada peristiwa macam ni. Sebelum ni hanya cerita hantu biasa-biasa ja. Emak sempat memesan kepadaku agar jangan duk sebut dan jangan main. Mungkin dia takut sebab aku banyak kali dok tanya tentang cerita ni. Bimbang aku akan buat agaknya. Hmmmm…. Aku ada tanya apa yang jadi masa bapa Ain kat dalam bangunan tu. Tapi emak sendiri kata yang ayah Ain tak banyak cakap. Bila polis tanya, dia hanya kata kemalangan.

Dan akhir sekali terima kasih kepada yang membaca. Aku pesan jangan dok sebut banyak kali sangat nah nnt dia muncui. Keh keh keh… dan emak aku jugak lulus LCE beliau. Tahniah! Yes~~ Gulp!

Erza

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 3.5]

11 thoughts on “Spirit of the Coin”

  1. Dulu aku selalu main spirit coins ni masa sekolah menengah, nasib baik tak jadi apa apa tapi ada budak kena masa main kat genting highlands, benda tu ikut budak tu balik

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.