Susuk Aneh Bertelekung Kuning

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca semua. Ini adalah antara pengalaman-pengalaman aneh berlaku kepada aku. Aku sememangnya suka membaca kisah-kisah pengalaman seram walaupun sebenarnya penakut. Siapa sangka satu hari terkena batang hidung sendiri haha.

Ceritanya aku pertama kali mengikuti satu group hiking ke satu kawasan pergunungan di selatan Thailand. Memandangkan tahun baru 2019, dan pelbagai cabaran dan masalah dihadapi tahun lepas, aku mengambil keputusan untuk membuat sedikit perubahan dalam hidup, mencuba benda-benda baru.

Ringkasnya, kawan baik aku Cie mengajak aku untuk join satu group hiking ni. Aku bukanlah seorang yang fit, aktif bersukan atau peminat join benda-benda macam ni tetapi aku terus sahaja bersetuju . Sepanjang perjalanan daripada selatan tanah air ke pergunungan yang dituju, semuanya berjalan dengan baik sahaja tanpa berlaku perkara-perkara aneh atau tak diingini walaupun aku akui, ini mungkin terakhir aku hiking walaupun gunungnya adalah level beginner haha.

Okey, selepas sesi Ice Breaking pada malam itu. Aku antara terawal tidur kerana kepenatan kerana tidak biasa mendaki. Selain khemah yang aku berkongsi dengan Cie, betul-betul bersebelahan kumpulan khemah aku adalah ruang kecil untuk makan atau solat. Selain khemah aku, terus ada kiri kanan geng-geng sudah berkahwin. Aku pun tidur-tidur ayam sahaja kerana kesejukan dan bunyi bising rakan-rakan lain sedang bersembang.

Aku terjaga kerana terasa ingin buang air kecil. Aku tengok Cie dah tidur disebelahku dan suasana luar senyap sunyi. Aku meraba-raba mencari cermin mataku tapi tak jumpa-jumpa. Tengok jam, sudah 12.30 malam. Aku kejut Cie minta teman, tapi Cie dah mula merengus tidur kena kacau. So aku nekad jelah pergi buang air di toilet yang terletak tidak jauh daripada kawasan khemah dalam keadaan meraba rabun.

Sepanjang ke toilet, suasana gelap dan sunyi. Aku tawakal je nasib baik ada lampu di khemah-khemah utama dan lampu suluh yang dibawa. Selesai hajat, aku kembali ke khemah semula. Sebelum masuk ke khemah, aku cuba menyarung seluar panjang sebab sejuk.

Ketika sedang menyarung, aku tergerak untuk menoleh sebelah aku sebelum terkejut beruk! Rupanya betul-betul sebelah aku ada susuk bertelekung berwarna kuning mustard sedang duduk antara dua sujud mengadap khemah aku. Aku spontan menyebut “Ya Allah! Insya’ Allah! Masya’allah” . Korang patut kagum sebab aku tengok dua kali okey sebab rabun kan. Kecik besar mata aku nak tengok balik susuk siapa. Telekung kuning macam sami Thailand tu. Dah la kat negara dia ni. Tu hantu ke bukan. Tengok macam orang, tapi bila aku ingat tadi aku keluar mana ada orang?! Lepas tu ni atas gunung kau tengah malam buta kenapa perlu details ek? Aku terus segera sarung seluar dan meluru masuk dalam khemah, mengejutkan Cie!

“Cie, bangun Cie, spek mata aku mana”. Dia mamai-mamai alih-alih badan rupanya cermin mata aku dihempapnya. Aku terus pakai dan buka kecik zip tingkap khemah – yela aku tetap curious tu hantu ke orang! . Dalam samar-samar zip tu (yelah aku takut sekalinya dia tenung aku close/up mata merah ke kan – banyak sangat baca fiskyen shasha) susuk itu masih lagi duduk antara dua sujud betul-betul mengadap khemah aku. Bezanya aku dengarlah suara tengah membaca ayat suci (or sebenarnya aku nak sedapkan hati? ). Tapi aku terus tutup zip dan duduk kejap.

Lepas tu aku terus baring, pejam mata paksa diri tidur. Penakut katakan.

Esoknya paginya aku cerita kisah ni dengan geng-geng aku. Semua gelak. Tapi tulah aku ni jenis penakut-penakut pun tetap fikir tu hantu atau orang?

Sebab :

Pertamanya, arah kiblat dia mengadap khemah aku, sedangkan kiblat arah sebaliknya. Rasanya dah brief daripada siang tadi dah.

Kedua, khemah aku, kawasan bujang (2 khemah) dan selebihnya suami isteri. Soalan aku – mana husband kauuu? Biar je bini kau keluar solat tengah malam buta kawasan open air pulak tu?

Soalan aku ke-3, kenapa kau muncul masa aku balik buang air? Kenapa keluar tadi tak ada? Ke tunggu ada orang lalu lalang macam aku terus bergegas solat? Tapi kenapa jam 12 malam? Tahajud?

Aku cuma anggap ni kebetulan dan tak delah seram sangat plus rabun, tak nampak pun mukanya siapa Aku anggap jelah ini pengalaman .

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]
Anysz

14 thoughts on “Susuk Aneh Bertelekung Kuning”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.