Tandas OKU

Hai, nama aku Hakim (bukan nama sebenar). Aku merupakan seorang pelajar jurusan senibina di sebuah universiti awam yang terletak berdekatan dengan ibu negara Malaysia. Secara jujur, aku bukanlah seorang yang jenis percaya akan cerita-cerita seram hantu dan sebagainya. Ya, tipulah kalau aku kata aku tidak takut hantu tetapi aku kurang percaya dengan kononnya kisah seram yang berlaku di sesuatu tempat. Vila Nabila? Aku masih ragu-ragu akan kesahihannya. Makcik jual karipap pukul tiga pagi di asrama sekolah? Langsung aku tidak percaya. Bagi aku, itu semua hanyalah mitos untuk menakutkan orang. Contoh makcik karipap yang jual karipap di asrama sekolah pukul tiga pagi. Itu lebih kepada tujuan untuk mengelakkan para pelajar berjaga sampai pagi. Yalah, sebagai manusia, rehat itu satu keperluan asalkan tidak terlalu melebih. Setuju?

Namun, sejak menjejakkan kaki ke dalam dunia senibina, atau lebih dikenali sebagai ‘architecture’, rehat itu seumpama mitos bagi aku. Aku disibukkan dengan kerja-kerja design yang bertimbun. Ini semua katanya untuk melatih kami bekerja under pressure memandangkan hakikat dunia pekerjaan dalam dunia sebenar sebagai seorang pereka ini adalah memenatkan dan penuh tekanan.

Bercakap mengenai tekanan pula, aku ada satu kisah yang pernah memakan diri aku. Mitos hantu? Kisah seram asrama? Tekanan? Semuanya terjadi seolah-olah mencabar pendirian aku selama ini.

Kisah ini bermula hujung bulan Mac tahun lepas. MInggu ke-14 pengajian semester tersebut. Ketika itu kami sebagai pelajar senibina sibuk mengerjakan tugasan. Malah, malam itu aku pulang ke kolej pada pukul tiga pagi setelah seharian berkampung di studio (tempat di mana pelajar senibina melakukan kerja). Mata terasa berat dek penat dan mengantuk. Namun, penjagaan diri perlu diutamakan.

Sebaik sahaja tiba di bilik, aku segera menanggalkan baju untuk bersiap-siap ke bilik air untuk mandi. Rasanya tidak selesa untuk tidur tanpa membersihkan diri. Tandas berada tidak jauh dari bilik aku, lebih kurang dua meter jaraknya. Suasana bilik mandi itu lengang. Yalah, sudah pukul 3.30 pagi. Siapa yang mahu mandi pada jam sebegitu, kan? Bilik mandi itu dibahagikan kepada empat ruang mandi dan satu untuk kegunaan OKU. Sebenarnya tandas OKU itu sudah lama tidak digunakan memandangkan pelajar OKU diberikan keutamaan untuk tinggal di aras bawah, berbanding aras tiga (aras yang aku diami di kolej itu). Keadaan bilik mandi OKU itu juga agak terbiar apabila tiada siapa yang menggunakannya.

Sebelum aku melanjutkan cerita, ingin aku beritahu bahawa bilik mandi OKU itu dilengkapi dengan gril atas tujuan keselamatan dan pintu gril itu sendiri sudah dikunci rapat oleh pihak pengurusan kolej. Manakala pintu bilik mandi itu sudah jelas menjadi mangsa vandalisma para pelajar yang tidak bertanggungjawab. Dari pecahan-pecahan pintu itu aku mendapati keadaan bilik mandi OKU itu tersangatlah tidak teratur. Seolah-olah satu rumah usang yang ditinggalkan bertahun-tahun tanpa penghuni. Dindingnya kelihatan dicat beberapa lapis dan ada sesetengah bahagian sudah tertanggal lapisan cat. Lantainya juga berlubang dan terdapat kesan rekahan pada singki.

Aku memilih bilik yang berhadapan dengan bilik mandi OKU tersebut. Aku segera membersihkan diri tanpa berfikir panjang. Langsung juga aku tidak memikirkan akan mitos-mitos seram yang sering diceritakan oleh kawan-kawan aku mengenai misteri bilik mandi OKU tersebut. Ah, hantu itu memang wujud kerana alam ghaib itu wujud. Tetapi kisah yang diceritakan mereka itu seakan-akan fiksyen dan dongeng semata-mata. Manakan mungkin katanya bilik mandi OKU itu dikunci lima tahun lepas dek kerana ada pelajar OKU yang b***h diri akibat tekanan melampau. Siapalah yang reka cerita mengarut itu. Sudah tentulah bilik itu dikunci oleh pihak pengurusan atas alasan semua pelajar OKU sudah diberi keutamaan untuk menginap di bilik aras yang paling bawah bagi memudahkan urusan mereka. Taksub sangat dengan kisah-kisah seram sehinggakan isu mudah begitu pun masih direka cerita dengan elemen seram.

Seusai mandi, aku menyarungkan tuala untuk melindungi bahagian pusat sampai lutut sebelum keluar untuk menuju ke bilik. Namun, belum sempat tangan ini menyentuh selak pintu bilik mandi, aku mendengar bunyi besi yang diketuk berkali-kali. Ya, bulu roma aku merinding. Siapa pula yang mengetuk besi pada waktu begini? Jika difikirkan lagi, benda yang diperbuat daripada besi dalam tandas itu hanya pintu gril bilik OKU itu sahaja. Berderau jantung aku dibuatnya.

Aku menelan air liur sebagai tanda cuba mengumpulkan semangat. Namun, bunyi itu semakin kuat. Jika beza masa antara satu ketukan kepada satu ketukan sebelum ini agak perlahan, sekarang bunyi itu semakin laju. Aku cuba mencari alasan yang positif untuk menenangkan diri. Mungkin ianya akibat perbuatan angin. Tapi…. mustahil angin mampu masuk ke dalam sini kerana tiada sebarang tanda bahawa wujudnya tiupan angin yang kuat sehingga mampu menggongcangkan pintu gril sebegitu.

Memandangkan posisi bilik mandi aku bertentangan dengan tandas OKU itu, aku cuba membongkokkan tubuh untuk melihat keadaan bilik itu melalui ruang bukaan di bahagian bawah pintu bilik mandi. Saiz ruang bukaan itu lebih kurang 30cm, sudah cukup besar untuk aku lihat apa yang terhadi di luar bilik mandi ketika itu. Aku tundukkan tubuh bersama debaran di dalam hati. Rasa takut serta-merta menghasut diri aku.

Alangkah terkejutnya aku bila mendapati kelibat sepasang kaki sedang berdiri menghadapan bilik mandi yang aku berada ketika itu. Aku tersentak lalu terjatuh ke belakang. Aku terduduk melihat sepasang kaki milik seseorang yang ketika itu berdiri menghadap tepat ke arah pintu bilik mandi. Secara teknikalnya, kami bertentangan antara satu sama lain cuma dipisahkan oleh satu fizikal pintu. Aku melihat sekilas kelibat kaki yang kelihatan pucat bagaikan tiada d***h yang mengalir dalam tubuhnya. Kulit-kulit pada bahagian kakinya seperti ada kudis yang mengeluarkan nanah. Semestinya nanah pekat kuning itu ada yang mengalir keluar, membuatkan aku kembang tekak ingin muntah. Beberapa detik, aku melihat kelibat kaki itu ingin beredar.

Selangkah, dua langkah dan sesuatu terjadi.

Bahagian kiri kaki tersebut terjatuh seperti terputus dari bahagian tubuh seseorang itu. Dia membiarkan bahagian kaki yang terputus itu jatuh terdampar di lantai. Bahagian kaki yang seakan-akan mereput dari bahagian lutut dan ke bawah itu dipenuhi nanah, dan kudis yang membusuk. Aku jijik. Aku ingin menjerit meminta tolong tetapi suaraku seolah-olah hilang bersama semangat keyakinan diri aku ketika itu.

“Hmmmm…. Hmmmm….” Tiba-tiba pula aku mendengar suara seseorang menangis sayu. Suara itu sepertinya datang dari atas. Aku mula ketakutan tetapi rasa ingin tahu masih menebal dalam diri aku. Perlahan-lahan aku mendongakkan wajah memandang ke arah siling tandas.

Satu jasad yang tergantung pada satu tali sedang meratapi kesedihan sambil matanya memandang ke arah aku. Jasad seoarang lelaki wajahnya terlihat pucat. Berkepala botak dan menangis berair mata d***h pekat sehinggakan ianya terlihat seperti d***h hitam.

“Arrghhhh!!!” Aku terjerit ketakutan yang teramat sangat. Aku bahkan tidak mampu untuk membuka mataku lagi apabila sudah tidak sanggup rasanya untuk melihat wajah seram itu. Beberapa saat kemudian, keadaan kembali tenang. Suara tangis dan bunyi besi itu kembali diam. Kelibat manusia seram itu juga hilang. Aku pantas berlari menuju ke kamar aku dan mengunci pintu. Tanpa berfikir panjang, aku terus berselimut seluruh badan dan menggigil. Seluruh tubuhku dipenuhi percikan peluh dan gemuruh.

Akibat daripada kejadian itu, aku demam panas. Dan aku mula menceritakan kejadian tersebut kepada kawan rapat aku, Azhar (juga bukan nama sebenar). Azhar memberitahuku bahawa ada kejadian yang berkaitan dengan bilik mandi OKU itu. Katanya, bilik mandi OKU itu sudah melibatkan dua kes kejadian b***h diri pelajar OKU. Dikatakan kedua-duanya m**i b***h diri akibat stress yang melampau. Sebelum bilik itu dikunci oleh pihak pengurusan, seorang lagi pelajar OKU hampir m**i b***h diri tetapi sempat diselamatkan oleh rakannya yang ketika itu perasan akan tindakannya yang mahu m******r leher sendiri menggunakan gunting.

Bila disoal siasat, pelajar itu mendakwa mendegar suara seseorang yang menyuruhnya untuk m******h diri jika mahu bebas dari tekanan. Dia mendakwa mendengar suara itu menyuruhnya mengambil gunting dan m******r leher sendiri.

Oh ya, dua kes kematian b***h diri pelajar OKU sebelum itu adalah melibatkan seorang pelajar OKU yang kudung kakinya. Dia dikatakan mengunci pintu bilik mandi sebelum meminum satu botol racun tikus. Kematiannya disedari oleh pihak pengurusan apabila ada pelajar yang mendakwa menghidu bau busuk seumpama bangkai dari bilik itu. Manakala kes kedua adalah melibatkan seorang pelajar OKU yang bisu. Dia dikatakan m******h diri di dalam bilik mandi itu dengan menggantungkan diri.

Sekian terima kasih…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Ashraf (Bukan Nama Sebenar)

5 thoughts on “Tandas OKU”

  1. Wargh…!! Seramnya cerita awak. Itu merupakan pengalaman berharga serta pengajaran buat awak yang tak percaya pada kisah2 seram orang lain.

    Reply
  2. woww seram jugak ehh cerita ko….bedebar jantung kite dibuatnyeee~~~wadduhh.Apa2pon nice story and i wish you can share some more story

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.