Tasik Terbiar Tamat

Assalamualaikum semua…
Seminggu selepas arwah budak bandar yang m**i lemas di kebumikan, barulah kumpulan 12 orang budak sebaya buka mulut untuk bersuara. Selama seminggu mereka bagaikan trauma. Makan minum tak tentu. Jadi murung. Dalam diam aku ikut perkembangan 4 orang budak tersebut yang kebetulannya adik pada kawan-kawan rapatku. Selepas plan baik ajak lepak di bilik tidurku, aku belikan jajan untuk umpan ceritakan apa yang berlaku. Seperti biasa ahad hari cuti. Sengaja tak nak joging hari ni. Dah plan dengan 4 orang kawan rapatku untuk bawa adik adik mereka untuk lepak di bilikku jam 10 pagi.

Tepat jam 10 pagi, Ebit ketuk daun pintu minta kebenaran masuk, buka pintu masuklah 10 orang termasuk Karl dan Luli ke bilikku. Ebit ni antara close friend. Seminggu ni bingung dia tengok adik lelaki dan perempuan dia tak banyak cakap. Berkurung dalam bilik saja di kebanyakan masa. Kawan yang lagi 3 orang tu tak berapa rapat kenal biasa saja di tempat kerja. Lepas semua berkumpul, aku keluarkan semua jajan. Minuman gas, keropok dan gula-gula. Kalau adik Ebit diorang dah biasa denganku. Sebab kadang aku lepak bilik mereka sampai tengah malam borak-borak. Yang lagi 3 orang budak tu segan sedikit. Aku paksa abang mereka suakan keropok dan semua apa yang ada. Bilik jadi meriah. Ebit sengih bila tengok adiknya kunyak keropok penuh selera.
” ko tau tak? Ni hari ni baru nampak dia selera makan…sedap tak? Sini bagi abang sikit” Ebit cubit sedikit keropok di tangan adiknya. Semua sibuk makan. Aku perhati budak 4 orang ni.
” sedap tak? ” aku bertanya. Semua angguk.
” ok abang sebenarnya ada tujuan untuk apa panggil kamu semua ke sini….jangan takut…kalau adik-adik rasa tak nak cerita abang tak paksa” aku mula masuk jarum.

Last semua tengok abang masing-masing. Semua yang datang ni budak lelaki.
” macam ni, abang Fozan ni cuma nak tanya apa sebenarnya yang berlaku. Dia bukan nak apa. Sebab seminggu ni kami semua pun buntu tengok keadaan kamu semua. Kita tak perlukan 12 orang, cukuplah kamu berempat yang cerita apa sebenarnya yang berlaku…kita mulakan dengan adik boleh? ” panjang lebar Ebit buka mukadimah. Dia sentuh bahu adiknya. Adiknya brenti minum. Letak gelas.
” mula mula tu……” adik ebit berhenti bicara pandang sekeliling. Aku angguk.
” budak tu nak ikut kami berjalan dekat tasik tu. Sebenarnya kami bukan nak ke sana. Kami cuma nak ke perumahan yang atas bukit tu. Nak bermain kat sana. Asalnya saya larang. Tapi yang lain suruh saya benarkan dia ikut sebab kesian dekat dia” adik Ebit berhenti lagi. Semua mata pandang dia.
” dia memang tak banyak cakap. Tapi dia rapat sikit dengan Ikmal.” Jarinya tunjuk Ikmal yang berada di sebelah abangnya yang berada di sebelah Luli.
” tengah kami bermain tu, tiba tiba budak tu ajak kami ke tasik. Mulanya saya takut sikit sebab mak ayah larang ke situ. Tapi yang lain tiba-tiba setuju nak ke tasik tu” Adik Ebit semangat bercerita.

” jap jap….bagaimana dia tau ada tasik kat situ? ” aku p****g cerita.
” abang ni….macam tak tau pula, lalu tasik tu la jalan pintas ke perumahan sebelah sana.” Adik Ebit segera menjawab. Oh ertinya semua melalui jalan pintas yang mana wajib melihat tasik terbiar tersebut.
” last saya ikut la suara ramai, semua setuju. Tapi saya dah bagitau awal, kat tasik nanti jangan ada yang pandai pandai merayap ke mana-mana. Jadi bila kami sampai sana, semua bermain. Tapi…..” adik Ebit berhenti sekejap. Pandang Ikmal.
” tapi masa nak balik tu, kami kira dulu semua. Tengah kami kira semuanya jadi 14. Kami pening sekejap, mana datang lagi 1? Kami kira 3 kali….tetap 14 orang. Sebab mula rasa takut dan pelik, kami keluar ke jalan besar. Bila sampai jalan besar, kira lagi 2 kali, jadi 12 pula!!!” Ikmal pula bercerita.
” ya lepas tu kami mula perasan budak bandar tu dah takda bila kira kali ke tiga. Kami takut tak tau nak buat apa. Jadi kami baliklah bagitau mak ayah masing-masing.” Adik Ebit pula bercerita.

” ada apa-apa yang pelik tak masa kamu semua ada di tasik tu? ” aku bertanya lagi. Karl, Luli dan semua abang masing-masing mula bersila. Semua pandang Ikmal dan adik Ebit.
” ada….ada sekali tu budak tu jerit pada kami, dia cakap ada banyak kawan baru dia dalam hutan..sambil jari tunjuk ke hutan. Kami tak nampak sesiapa pun masa tu. Tu yang ajak semua balik. Sebelum balik kira dulu” adik Ebit bercerita muka serius.
” lepas tu….” Ebit mahu bertanya lanjut, segera ku tepuk pehanya. Dia tak jadi bertanya lanjut. Aku isyarat mata minta dia jangan bertanya apa-apa dulu. Sebab adiknya tengah teguk air cola tu bagai haus sangat hehehe. Ebit sengih. Yang lain sambung kunyah segala jajan yang masih bersisa. Kacang tanah, keropok, gula-gula ada banyak lagi.
” kamu tak rasa takut ke masa budak tu cakap ada ramai kawan baru tunjuk hutan?” Ebit bertanya pada Ikmal.
” takut juga, sebab itu saya bagitau semua kita balik. Sebab kami rasa lain sangat masa tu. Rasa tak nak balik. Rasa seronok kat tempat tu. Tapi saya jadi takut bila budak tu sebut ada ramai kawan baru” Ikmal bercerita dengan ekspresi muka takut. Oh begitu jalan ceritanya. Kali ni semua santai saja sebab pertemuan ini hanya bertujuan untuk korek apa yang berlaku sebenarnya.
” jadi, masa ibu bapa kamu…datuk budak tu tanya apa yang berlaku, kenapa kamu semua nampak bingung? Ebit bukan masa tu bapa kamu ada tanya adik kamu ni kan? Tapi dia tak cakap apa-apa?” Aku bertanya 2 orang sekaligus adik dan abang sekali.
” ya ada, masa tu kami rasa takut sangat. Sampai tak boleh cakap apa-apa. Mulut kami bagai terkunci” adik Ebit bersuara. Semua 4 budak berkata serentak ” betul betul…” kami terdiam. Bilik jadi sunyi sepi.
” jadi kalau tak bole bercakap, bagaimana atok budak tu tau dia ikut kamu semua? ” Luli bertanya.
” tahulah sebab sebelum jalan ikut kami tu, dia bagitau nenek dia….tu yang kami balik atuk dia cari…” adik Ebit menyampuk. Oh…begitu.

Last aku bagitau semua dalam bilik mengenai kawan yang tinggal di sana, yang suami isteri dengar suara kanak-kanak ramai dari tasik jam 3 pagi. Semua tengok aku bagai nak telan masa cerita. Ebit, Luli dan Karl tepuk dahi.
” Laaaaa kenapa tak bagitau awal-awal….” Luli bersuara kesal.
” nak bagitau bagaimana. Abang tu pun cerita aku kes tu lepas kejadian budak tu lemas. ” ku sandarkan belakang pada katil. Setelah habiskan semua jajan, semua minta diri. Kecuali Karl dan Luli yang kekal di bilikku. Kemaskan semua sampah.
” harap lepas ni tak ada lagilah sesiapa ke sana…maksudku tasik tu” Luli bersuara. Sandar di sebelahku. Aku angguk saja. Karl bersandar pada dinding bertentangan kami.
” ko nak tau Jan? Masa aku dengan Karl masuk hutan tu mencari, kami bersama…masa tu ko sendiri kan? Kami tak nampak ko masa tu….aku dengan Karl rasa pelik sangat. Hutan tu bagai tarik perasaan ajak makin kedalam. Nasib baik masa tu Karl tarik lengan aku patah balik. Rasa khayal sekejap” Luli cerita. Silanya di kemaskan.
” ya betul, aku tengok Luli laju pula melangkah macamlah tahu ke mana arah nak tuju. Aku jadi takut bila panggil dia tiada respon. Tu yang tarik lengan dia, lepas tarik tu dia bagai orang bangun tidur!” Karl pula bercerita.
” rasanya, macam tulah caranya budak tu lemas dalam tasik. Dia pun tak sedar dah masuk dalam tasik” suaraku perlahan. Karl dan Luli angguk.

Sebulan lepas kejadian tu, sebuah lori balak pula terjunam ke tengah tasik terbiar. Kami yang tengah bekerja terkejut bila ada pekerja berlari masuk dalam kilang beritahu ada lori terjunam masuk tasik. Semua tinggalkan tempat kerja. Sempatlah berpeluh untuk ke tasik tu. Jam tunjuk jam 3 petang. Abang yang pandu lori dan kelindannya duduk di tebing tasik basah kuyup. Manager datang dengan kereta 4×4 nya. Dia geleng kepala cakap bahasa Cina dengan assistantnya. Tangan bagai helikopter tunjuk atas bawah. Kami tak faham mampu tengok saja. Bila Manager tanya apa yang berlaku? Driver tu cakap, dia dengan pembantunya nampak jelas, jalan tu lurus saja jadi ikutlah jalan tu. Alih-alih sedar dah dalam tasik dengan lori yang sarat balak. Kelam kabut mereka keluar selamatkan diri.

Selepas kejadian tu kawasan tasik di tutup sekelilingnya dengan zink. 4 penjuru. Letak sekali batu simen tepi jalan arah ke tasik ada tulisan merah bahasa Cina. Entah apa tulisan tu tak faham. Sejak tu untuk aktiviti joging aku tukar haluan lain. Tidak lagi melalui jalan pintas tasik terbiar yang di pagar zink. Lori balak pun tidak lagi melalui jalan tersebut. Takut kejadian berulang.

Sekianlah akhir kisah tasik terbiar. Sampailah aku berhijrah, tidak lagi melalui jalan ke tasik…..tinggal sepi..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Fozan Hadi
Rating Pembaca
[Total: 5 Average: 5]

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.