Est. 2015 Fiksyen Shasha Kisah Benar

Terperangkap di Antara Dua Dunia

Nama aku Ayra.
Terima kasih banyak kepada semua yang dah sudi baca kisah pertama aku! Aku juga nak ucapkan terima kasih kerana bagi ruang dan peluang untuk cerita aku disiarkan di sini.
Setiap bacaan, komen, dan sokongan korang sangat bermakna untuk aku.
Aku harap cerita ni boleh buat korang rasa terhanyut, terkejut, atau teruja sama macam aku rasa masa mengalaminya. Jadi, sediakan diri korang sebab kisah ni mungkin akan buat korang terfikir, terhenti sekejap, dan rasa seolah-olah korang pun ada dekat situ bersama aku!

Sebelum ini, aku pernah berkongsi tentang bagaimana aku belajar untuk menjaga kata-kata dan banyak bersabar. Hari ini, aku ingin berkongsi salah satu cerita tentang apa yang terjadi apabila aku tidak menjaga kata-kata aku sendiri, dan bagaimana perkara itu memberi kesan dalam hidup aku.Untuk lebih memahami kisah ini, aku harap korang dapat membaca cerita pertama aku terlebih dahulu, kerana dari situlah perjalanan dan maksud sebenar cerita ini bermula.

Ada satu hari tu, aku tak dapat datang ke pejabat sebab aku kena alergik makanan. Almaklumlah, malam sebelumnya aku pergi bedai makan seafood banyak-banyak unlimited pula tu. Biasalah, makan tak ingat dunia
Jadi hari Isnin tu, aku terpaksa ambil MC secara tiba-tiba.
Malangnya, aku pun terlupa yang seorang member aku memang tengah cuti hari tu. Jadi staf memang tak cukup. Mula lah staff-staff lain bising bila aku MC. Tapi macam biasa, aku buat tak tahu je. Itulah perangai aku, hahahaha.

Esoknya aku datang kerja macam biasa, badan pun dah okay. Tapi dari situlah bermula cerita sebenar. Satu per satu mulut mula bercakap pasal aku cuti tiba-tiba. Yang tu aku masih boleh terima. Cuma ada satu mulut ni, staff juga aku memang susah nak terima sebab cara dia cakap seolah-olah dia terpaling bagus.

Dia asyik ulang ayat yang sama
“Penat la kerja sorang-sorang… lagipun sorangkan, so terkejar-kejar.”
Sehari entah berapa ribu kali dia sindir aku masa tu. Tapi aku ni jenis lantaklah kau. Aku dengar, aku senyum, aku gelak dalam hati je hahahaha.
Sebab bagi aku, aku memang sakit hari tu. Kalau aku mati kat office tu, satu pejabat juga yang kena usung mayat aku keluar nanti.
Lately ni juga, aku dah mula perasan satu susuk dekat area tandas pejabat. Selalunya dia suka duduk dekat kawasan rak-rak barang.

Untuk pengetahuan korang, tandas pejabat ni ada dua satu dekat bawah, satu lagi dekat atas.Dan tandas atas tu memang tempat yang aku selalu guna. Masalahnya, hampir setiap kali aku pergi, benda tu ada je… duduk mengintai dengan cara yang sama.
Tapi sebab aku dah biasa, aku buat tak tahu je.

Untuk pengetahuan korang juga, susuk tu memang hantu raya. Aku pun tak pernah cuba nak tegur atau tanya apa-apa. Dalam masa yang sama, waktu kerja tu aku mula rasa panas, stress, dan emosi aku jadi makin tak stabil. Kerja memang ada, tapi sebenarnya aku juga tengah memendam rasa. Sejujurnya, memang betul aku tak suka dia. Tapi langsung tak pernah terlintas dalam kepala aku nak buat benda yang bukan-bukan. Aku masih ada pegangan agama, dan aku tahu batas aku sebagai manusia.

Malam tu, aku balik rumah macam biasa. Mandi, solat, siap-siapkan diri, lepas tu baring.
Seperti kebiasaan juga, aku akan buka phone dan chat group membawang aku group budak-budak office jugaklah.
Dalam group tu ada aku, Nisa, dan Nad.
Kalau Nisa ni, perangai dia lebih kurang sama macam aku. Jenis ikut kepala sendiri tapi dalam masa yang sama pandai berdikari dan tahu apa yang dia nak. Dia jenis kawan yang jujur, berani bersuara, dan senang faham keadaan orang lain. Dengan dia, aku boleh jadi diri aku sendiri tanpa perlu berpura-pura.
Nad pula lain sikit. Dia jenis pendiam. Kadang-kadang bila kami dah borak topik lain, dia baru nak reply topik lama tertinggal bas katanya. Tapi kami layan je, dah biasa. Lagipun Nad ni ada laki, jadi faham-faham jelah… reply pun kadang-kadang lambat sikit huhuhuhu.

Malam tu, macam biasa, topik dalam group tu memang tak pernah sunyi. Dari cerita kerja, tiba-tiba aku terbuka cerita pasal makhluk yang selalu aku nampak dekat tandas pejabat. Lagipun aku memang jenis yang suka berkongsi benda-benda yang tak nampak ni dengan diorang. Lepas tu, borak kami terus meleret ke gosip-gosip tentang benda-benda mistik dan perkara yang susah nak dijelaskan dengan logik.

Tengah aku ralit borak pasal benda tu, boyfriend tercinta aku tegur dan suruh aku tidur sebab dia perasan jam dah pukul 10 malam. Dia memang jenis yang suka aku tidur awal. Katanya, kalau tidur lambat nanti susah nak lena atau mengigau tengah malam. Bila dia minta aku berhenti cakap pasal benda bukan-bukan dan suruh aku tidur, aku terus jadi merengus sikit. Macam nak marah, tapi aku anggap biasa je sebab itu memang habit aku. Setiap kali dia suruh aku tidur, memang akan ada marah-marah manja sikit. Tapi walaupun mulut aku merungut, aku tahu dia cakap sebab risau.

Sebenarnya malam tu aku tidur tak betul-betul tidur. Mata pejam, tapi otak melilau ke mana-mana. Badan rasa penat, tapi fikiran tak berhenti.Tak sampai 10 saat pun rasanya, tiba-tiba aku rasa macam roh aku hilang sekejap entah nak kata pengsan ke apa, tapi aku masih sedar. Sedar, tapi rasa nothing..
Lepas tu, bila aku buka mata…
aku bukan dekat rumah.
Aku dekat tempat kerja.
Sebijik. Sama. Tak berubah apa-apa.

Masa tu aku terus pelik. Setahu aku, aku tidur dekat rumah. Takkanlah dalam sekelip mata aku boleh ada dekat office pula. Kali ni aku dah tak mampu nak fikir positif. Dalam hati aku dah tahu ada benda yang tak kena.
Aku boleh agak, aku dah masuk dalam permainan dia.
Tapi entah kenapa, aku tak melawan. Aku tak lari.
Aku cuma fikir satu benda je masa tu “Okay… aku layan je dulu apa yang kau nak.”
Masa aku berada dalam “office” tu, aku buat kerja macam biasa. Semua nampak normal.

Tiba-tiba, budak yang aku tak suka tu lalu betul-betul belakang aku. Aku gelarkan dia CikB je senang cerita.
Entah kenapa, masa dia lalu tu aku terus rasa tak sedap hati.
Belum sempat aku nak pusing, aku dengar bunyi pisau cutter dibuka bunyi yang halus, tapi cukup buat bulu roma aku meremang.Tak sempat aku nak bersedia, dia terus terkam aku dari belakang. Sasaran dia jelas nak potong leher aku guna pisau tu.Aku terus gelabah. Serangan dari belakang pula, memang tak gentle langsung.

Yang peliknya,
pisau tu tak tembus.
Dia potong leher aku, tapi seolah-olah tak jadi apa-apa.
Dalam keadaan bergelut tu, aku tepis tangan dia sekuat hati sampai pisau tu tercampak ke arah tempat Nad.
CikB terus berpusing dan berlari ke arah Nad sambil menjerit,
“Kalau aku tak dapat bunuh kau, kawan-kawan kau aku bunuh!”
Aku menjerit, aku menangis, tapi semuanya jadi terlalu cepat.
Aku nampak dia terus ke arah Nad dan memotong leher Nad depan mata aku.Aku menangis teresak-esak, marah, takut, dan rasa bersalah bercampur jadi satu. Kawan aku yang tak bersalah jadi mangsa keadaan.

Dengan perasaan marah, aku terus bangun dan kejar CikB. Kami bergelut hebat. Dalam kekalutan tu, dia sempat kepit leher aku guna tangan dia. Mungkin aku silap langkah masa tu, tapi syukur aku masih mampu melawan dan membantai dia balik.

Tapi masa itulah aku perasan sesuatu yang buat aku lagi terkejut.
Waktu dia tengah menyerang aku, aku nampak aura-aura gelap berkerumun dan seolah-olah membantu dia. Bukan dia seorang. Ada benda lain yang menyokong, menolak, menguatkan serangan dia.
Aku tahu, limit aku setakat tu je.
Aku dah tak mampu nak lawan lagi.
Dalam keadaan tu, aku cuma mampu berserah pada Allah SWT sepenuh hati.
Bila mereka semua makin mendekati aku, aku cuba sedarkan diri. Aku cuba buka mata.

Sedikit demi sedikit, aku nampak bilik aku sendiri. Mata aku terbuka sikit… tapi kemudian tertutup semula.Dan masa itulah aku dengar suara-suara berulang kali cakap,
“AKU NAK KAU MATI.”
Berkali-kali.
Sampai aku dah tak tahan, aku terus menjerit nama Allah sekuat hati.
Saat itu juga, mata aku terbuka sepenuhnya.
Aku teresak-esak, badan menggigil, dan dada aku rasa sesak macam orang lemas. Nafas pendek-pendek, macam tak cukup udara, seolah-olah hampir mati.
Bila aku betul-betul sedar, aku jadi berang.
Aku marah sebab aku rasa dia gunakan kelemahan aku untuk serang aku. Perasaan tu buat dada aku panas, emosi aku naik tanpa aku sempat kawal.Dalam keadaan tu juga, aku ternampak sesuatu masuk ke bilik aku benda yang orang biasa memang tak nampak.Entah dari mana datangnya keberanian tu, aku terus lepaskan marah aku. Aku pandang ke arah mereka dan cakap,
“Lantaklah saka ke, harimau ke, apa pun kau… kalau nak buat apa-apa, pergi hantar dan serang jahanam tu.”
Lepas aku cakap macam tu, aku alih pandangan.
Bila aku tengok balik, mereka semua dah hilang.
Aku dah tak ada tenaga langsung. Badan aku penat, emosi aku kosong.
Akhirnya, aku terus tertidur kerana kepenatan

Syukur Alhamdulillah, malam tu berlalu tanpa apa-apa lagi.
Aku tidur sampai ke pagi dengan tidur yang paling lena, setenang-tenangnya tidur yang aku pernah rasa.
Pagi tu, bila aku bangun tidur, satu badan aku rasa bisa.
Tangan aku sakit, tengkuk aku jangan cakaplah nak toleh ke kanan atau kiri pun tak boleh langsung. Memang total satu badan rasa sakit, macam lepas bergaduh betul-betul.

Walaupun badan aku macam tu, aku tetap gagahkan diri.
Aku bangun, bersiap macam biasa, paksa diri pergi kerja. Bukan sebab apa…
sebab dalam kepala aku cuma ada satu benda je
aku nak tengok apa jadi dekat CikB.
Aku nak tahu sama ada apa yang aku lalui malam tadi tu sekadar mimpi…
atau ada sesuatu yang betul-betul beri kesan dalam dunia nyata.
Dan korang nak tahu tak…
CikB tu tak datang kerja hari tu.
Aku terpinga-pinga. Aku cuba cari dia, tengok tempat dia biasa duduk, tapi memang kosong. Tak ada bayang langsung.
Aku tak tahu keadaan semasa dia macam mana. Tak ada siapa pun yang cerita apa-apa. Masa tu, hati aku mula tak sedap.
Terus aku rasa risau.

Dalam kepala aku mula fikir macam-macam. “Habis semua yang aku cakap malam tadi tu… saka, harimau, semua tu… betul-betul pergi serang dia ke?”
Masa tu baru aku sedar, mulut ni memang bahaya.
Apa yang kita lepaskan masa emosi, walaupun dalam keadaan tak sedar, tetap ada kesan. Aku jadi takut dengan kata-kata aku sendiri.

Sejak saat tu, aku mula tertanya-tanya…
apa sebenarnya yang aku dah lepaskan malam tu,
dan sampai mana kesannya dalam dunia nyata.
Korang jangan tanya laa apa jadi dengan CikB tu aku pun taktahuu sebab aku pun tak bertegur sapa dengan diaa and dia pulak hanya berikan tenungan tajam jee
Dari semua yang aku lalui, aku belajar satu benda penting mulut kita boleh jadi senjata.

Benda yang kita ucapkan, benda yang kita lepas dengan emosi atau marah, walaupun sekadar gurauan atau luahan hati, boleh ada kesan yang kita tak sangka. Aku rasa sendiri malam tu bila aku cerita tentang CikB, benda mistik, dan apa yang aku pendam, semua tu seolah-olah menjadi nyata.
Aku juga belajar tentang batas diri dan iman. Walaupun aku marah, gelabah, atau rasa tak berdaya, aku sedar bahawa berserah pada Allah SWT dan berpegang pada iman adalah kekuatan sebenar kita. Tanpa pegangan itu, mungkin aku dah hilang arah.

Selain tu, aku menyesal sebab emosi kadang-kadang menguasai aku. Aku tak menyesal sebab aku manusia dan berhak marah, tapi aku menyesal kalau marah atau kata-kata aku boleh memberi kesan pada orang lain. Kita perlu hati-hati, sebab apa yang kita lepaskan kadang-kadang datang balik dalam bentuk yang kita tak jangka.

Akhirnya, aku sedar bahawa kesabaran, kawalan diri, dan doa adalah perisai terbaik dalam hidup. Aku belajar untuk menjaga kata-kata, menjaga emosi, dan jangan terlalu ikut hati semata-mata.
Aku harap pengalaman ni jadi pengajaran bukan sahaja untuk aku, tapi juga untuk sesiapa yang membaca cerita aku. Kadang-kadang perkara yang kita anggap kecil, boleh menjadi besar bila tiba waktunya.

Faredateyn
Cerita Berkaitan
Ada kisah sendiri?

Kongsi pengalaman seram anda.

Hantar Kisah

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Nak cerita baru kami hantar terus ke Telegram anda? Jom Join 👻 Join Telegram