The Eyes

The Eyes
#ANAIRAH Assalamualaikum, maaf lama tak tulis cerita baru dan selama tak menulis ni sebenarnya aku menghadapi beberapa isu yang berkaitan dengan cerita-cerita sebelumnya. Entri yang aku tulis kali ini adalah mengenai kisah terkini, aku putuskan untuk cerita kisah terkini dahulu baru diikuti cerita lepas, harap yang banyak komen nak cerita semasa aku dekat uni tu puas hati lah yer. Maaf sekiranya cerita aku menimbulkan prasangka atau buat korang terfikir tahap logikal cerita dan sebagainya. Aku hanya ingin berkongsi agar kisah aku ini akan menjadi pengajaran untuk kalian semua. Entri ini juga adalah satu bentuk luahan aku terhadap perkara-perkara yang berlaku yang tidak dapat aku jelaskan. Aku bukan tak pernah berubat, aku berubat ke merata tempat tetapi setiap kali itu juga medium yang aku jumpa mudah aku simpulkan jauh daripada kebiasaan perubatan islam malah ianya menyalahi (depan macam pengamal perubatan islam tapi hmm…). Baik entri aku adalah berkenaan internship aku di daerah X.

Aku berinternship sebagai guru di sebuah sekolah menengah yang mempunyai sejarah histeria yang sangat teruk. Pada awal aku melangkah kaki ke sekolah itu, aku dapat melihat ada lembaga besar di pintu pagar sekolah namun aku abaikan kerana bagi aku perkara biasa di sekolah lama. Aku juga tahu ‘checkpoint’ tempat makhluk-makhluk itu ada, aku juga tidak tahu sebabnya. Di rumah aku pula, kami tinggal bertiga dengan rakan-rakan aku, Nora dan Hera. Mereka tinggal sebilik (master bedroom), aku pula tinggal sendiri dalam bilik berhadapan dengan pintu utama. Ingin aku jelaskan keadaan rumah aku, kerana ianya penting dalam penceritaan. Rumah aku teres setingkat dan daripada pintu utama (bayangkan korang berdepan) bilik aku di hadapan bersebelahan tandas, bilik utama di sebelah kiri dan ada sebuah bilik bersebelahan bilik utama (dikunci atas sebab owner sudah jadikan stor). Sebelah kiri bahagian dalam adalah dapur, dan pintu belakang pula, betul-betul belakang bilik aku. Bilik aku ada tingkap yang bila dibuka nampaklah pintu belakang dapur (kiranya aku boleh tengok dapur dari bilik dan jarak antara bilik aku dan pintu itu hanya sedepa orang dewasa). Baiklah, jelas kan?

Sebulan awal aku tidak menghadapi apa-apa masalah, cuma ada satu isu berkenaan kebersihan di rumah aku, kadang-kala tandas jika hendak digunakan, sangatlah kotor sampai dinding habaq hang. Aku terpaksa bersihkan dan begitu juga d***h h**d. Aku pada mulanya menerima perkara itu sebagai ‘tidak sengaja’ tetapi lama kelamaan aku rasa sangat marah dan geram terhadap sesiapa sahaja yang buat perkara tu. Aku enggan menuduh sama ada Nora atau Hera kerana aku juga tidak tahu. Untuk pengetahuan kalian, aku bukan hendak membuka isu ini untuk memalukan kita kaum perempuan tetapi untuk memberikan pengajaran.

Aku sudah berkali-kali bagi ‘hint’ kepada mereka contohnya aku akan cakap depan-depan, “korang kalau guna tandas tolonglah bersihkan betul-betul tau, aku terpaksa cuci tadi sebab kotor sangat, kesianlah kat kita kalau nak bersihkan najis orang lain dan kalau period please bersihkan betul-betul dekat lantai sebab aku selalu jumpa.”

Tapi hanya seminggu dua baik selepas itu akan berlaku semula sehinggalah rakan aku Hera membuka mulut yang dia juga melalui perkara itu. Kami bukan hendak menuduh, tetapi aku juga pernah masuk tandas selepas Nora memang berlaku setiap kali selepas dia masuk tandas. Nora bukan saja tidak jaga kebersihan diri, dia sering tarik-tarik rambutnya dan sepahkan ke lantai sehingga Hera naik berang. Bila diminta untuk bersihkan Nora hanya buat buat selamba dan langsung tidak ambil pusing, okay banyak lagilah… (akan diberitahu sepanjang penceritaan).

Kami lama-lama jadi terbiasa dalam kesakitan hati. Sehinggalah satu hari, sudah menjadi kebiasaan selepas maghrib aku akan mengaji sementara menunggu waktu masuk Isyak. Tiba-tiba aku tertangkap satu bau yang kurang enak, busuk sangat. Aku pun bangun dan periksa sampah dan sebagainya tetapi bukan bau yang aku hidu. Hera pun sama, cari punya cari rupa-rupanya Nora ada rendamkan baju dia di dalam tandas, bila kami periksa ya Allah memang kain dia yang busuk. Masa tu Nora takde, balik rumah (sebab dia orang situ je jadi dia selalu balik).

Aku memang marah sangat dan aku risau kalau aku mesej Nora aku akan marah dia, aku minta Hera yang slow talk dengan dia. Bila Nora cakap dia kata dia terlupa minta tolong kami hantar dobi. Whaatttt???? Ya Allah aku marah gila, sampai minum air banyak kali haha. Kami tak hantar, kami biar aje sampai dia balik, dan kami letak baju-baju tu di bahagian luar rumah (taklah jauh sangat dekat je). Lagipun dia balik tak lama sebab sekolahkan… dua hari je hujung minggu. Malam semasa Hera balik, aku tidur awal kerana rasa letih sangat, entah kenapa dua tiga hari ni aku rasa letih sangat padahal dekat sekolah takde buat kerja berat. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan bunyi bising seolah-olah orang tengah bercakap makin lama makin kuat, aku buka mata perlahan-lahan dan “HEHEHEHEHEHHEEHEHE”.

Terkejut aku! Di tepi katil aku ada seekor makhluk yang ada dua kepala, kepala itu saling berhadapan antara satu sama lain dan lidah terjelir panjang. Rambutnya menggerbang dan ada d***h-d***h pada wajah sehingga tubuhnya. Di sebelah makhluk itu ada seekor lagi lembaga lain yang wajahnya sangat sugul. Di belakang pintu belakang rumah ada seekor lembaga yang berbulu dan besar sikit dari pintu rumah aku.
Aku cuba bangun tetapi terkaku, mulut aku terkumat-kamit membaca ayatul qursi. Aku cuba menggapai rambut makhluk itu dan apabila dapat aku bacakan ayat terakhir ayatul qursi sebanyak 7 kali sehingga ianya terbakar sebelum sempat makhluk itu lari. Aku bangun mengambil wudhuk dan bersolat taubat, hajat dan tahajjud sebelum mengaji sehingga subuh.

Kesimpulannya aku tak tidur dan di sekolah pula aku terpaksa menghadapi perkara lain.
Keadaan aku di sekolah pula sangat lah serabut, nasib baik aku ada bilik khas maka aku tak lah tertekan sangat. Aku juga tidak tahu sebab apa aku serabut, bila nak buat kerja je, mesti rasa serabut, emosi aku menggila rasa nak nangis dan stress seolah-olah perkara yang aku sering buat tu susah sangat. Aku sangat tak tenteram sehingga aku terpaksa mengaji di waktu persekolahan (bila free takde kelas).

Aku duduk di sekolah sehingga petang dan setiap kali aku duduk di sekolah aku terasa hendak balik sahaja. Pernah juga aku bercerita dengan Hera tapi aku tak jangka perkara ini saling berkaitan dengan isu di rumah.

Aku tidak mampu membuat RPH, Laporan dan sebagainya, aku hanya duduk di bilik aku dan berperang dengan emosi sendiri. Jika mengikut bidang perubatan aku sedang mengalami ‘medium depression’. Kenapa medium? Kerana aku mampu bangun paksa diri aku ke sekolah dan mengurus diri aku. Jika tahap severe depression, seperti yang korang selalu nampak di dada-dada akhbar, mereka sudah sampai ke tahap tidak mampu menguruskan diri sendiri. Namun begitu, aku sendiri tidak tahu mengapa keadaan aku seperti itu.

Kebetulan, guru pembimbing aku seorang pengamal perubatan Islam dan beliau memang mengamalkan cara perubatan tersebut. Aku menceritakan keadaan aku (hanya pertemuan aku dengan makhluk itu dan aku mengaji sebagai cara aku) dan meminta nasihat beliau, dan ayat yang diucapkan menyebabkan aku sedikit terkesima kerana itu adalah apa yang aku lakukan. “Cikgu, kalau kita solat dan mengaji Al-Quran, kita belajar niatkan kerana Allah bukan kerana kita hendak melindungi diri kita semata-mata, bukannya tak boleh tapi manfaatnya hanya satu iaitu sebagai pendinding tetapi jika niat kita kerana Allah banyak manfaatnya,”

Keadaan aku berterusan selama beberapa bulan sehinggalah seorang pelajar aku menemui aku. Pelajar aku boleh dikatakan hijabnya terbuka sepenuhnya tidak seperti aku yang mampu menutup pandangan aku sendiri. Dia menceritakan yang makhluk berbulu besar itu mengikuti aku sehingga ke sekolah, malah benda itu ada di luar bilik aku kerana ia tidak dapat memasuki kawasan berpagar tanpa izinNya. Wallahuallam.

Aku memang terkejut apabila pelajar aku juga bercerita yang makhluk itu dihantar oleh ‘orang jauh’. Niatnya agar aku tidak mampu menghabiskan pelajaran aku. Agar aku menjadi gila dan tidak habis belajar. Makhluk itu sebenarnya ada di rumah aku menunggu aku balik selepas pelajar itu habis bercerita. Kerana aku sudah mengetahui tujuannya ia ingin ‘berhadapan’ terus dengan aku. Aku tunggu Hera balik dan kami balik bersama-sama selepas pelajar aku memberikan aku air ruqyah yang ia isikan dalam botol untuk aku sembur di rumah.

Pelajar aku itu turut memberitahu ada benda lain yang turut mengambil kesempatan menganggu aku dan ianya juga ‘orang hantar’ tetapi orang berdekatan rumah. Sebenarnya, apabila difikirkan semula, rumah kami memang selalu ada sampah di hadapan rumah, dan kadang-kala ada kotoran yang kami sendiri tidak tahu apa. Salah satu sebabnya, tuan benda itu marah kerana apabila belaannya hendak mencari makan (rumah kami yang kotor) apabila ianya hendak ‘makan’ aku menghalangnya dengan rutin membaca Quran.

Kami sering mendapat sampah yang busuk di hadapan rumah dan belakang rumah juga seperti itu. Oleh kerana kami takut, kami meminta bantuan rakan praktikal yang lain untuk menghantar kami ke rumah dan menemani kami. Hera turut memaklumkan pada Nora berkenaan isu itu, tetapi Nora sekali lagi mengabaikan apa yang kami ceritakan. Kami berdua ‘bercuti’ selama beberapa hari dan perkara itu sebenarnya lagi melemahkan kami. Setibanya di rumah, aku yang tetap dengan pendirian aku enggan terlalu infested dengan ketakutan terhadap benda selain Nya, tidur juga sorang di bilik aku. Padahal rakan-rakan lain ajak aku tidur sekali.

Malam itu adalah kemuncak gangguan aku, iaitu sebelum tidur benda itu menunjukkan wajahnya yang berbulu dan bermata merah. (meremang bulu roma aku tulis). Ianya menggegarkan pintu and yes aku dalam keadaan sepenuhnya sedar dan tidak tahu hendak berbuat apa, aku hendak berlari keluar tetapi di halang oleh benda itu. Aku melaungkan Allahuakbar berkali-kali dan apabila pintu terbuka terus berlari keluar ke bilik Hera tidur bersama rakan-rakan lain. Ia tidak berhenti malah terus menganggu dengan berkeliaran di sekeliling rumah (aku hanya melihatnya di luar rumah melalui pandangan aku, benda itu bukan berada di dalam rumah). Esoknya aku nekad hendak meminta bantuan guru bimbingan aku. Aku ditemani oleh rakan guru lain (makluman beliau seorang lelaki). Kami membuat proses perubatan dengan kaedah aku mengubat diri sendiri, aku seolah ditidurkan tetapi sebenarnya berjalan ke rumah dan membuang semua benda yang ada dan Alhamdulillah proses aku berjalan dengan lancar.

Cuma sepanjang aku ‘bercuti’ aku tidak tidur sendiri sehinggalah aku mampu solat dan mengaji lagi. Aku ingatkan perkara ini tamat begitu sahaja, tetapi aku silap. Dua minggu selepas aku ‘sembuh’, aku dan Hera sedang makan bersama di ruang tamu sambil duduk menonton televisyen. Tiba-tiba pintu utama (sliding door) digegarkan dan bunyi itu sangat kuat. Aku dan Hera ingatkan Nora yang balik rumah dan aku memanggil namanya, takut ada pencuri atau perompak oleh itu aku hendak menelefon polis dan tiba-tiba bunyi itu hilang. Kami berpandangan sesama sendiri dan aku bangun untuk melihat di sebalik tirai, apabila aku membuka tirai, ada lembaga yang berlalu pantas aku membaca ayatul qursi dan memagar rumah dari dalam sebelum tiba-tiba Nora balik. Kami meminta Nora bersama-sama kami bersolat Jemaah dan membaca doa selamat tetapi Nora ‘cuti’.
Aku membuat inisiatif membaca Al-Baqarah di rumah. Tepat pada pukul 4 pagi, apabila Hera dan Nora dah tidur (pintu bilik terbuka, aku duduk menghadap kiblat iaitu bilik mereka). Aku terpandang ‘Nora’ tengah duduk dan menarik-narik rambutnya seperti biasa sambil ketap-ketap gigi. Aku panggil namanya, tetapi ‘Nora’ hanya senyap dan aku meneruskan sehingga habis.

Esok paginya, aku bertanya pada Nora dan Nora kata dia dah tidur m**i. Selepas itu, kejadian demi kejadian pelik berkurang dan aku dapat menamatkan internship aku dengan jayanya walaupun terpaksa mengharungi pelbagai dugaan.
Di sini aku ingin memberikan pengajaran kepada pembaca semua, pertama, Nora tidak seperti yang kalian sangka. Dia tidak ada ‘saka’ atau sebagainya. Aku juga sempat ingin menfitnahnya dan apabila aku meminta pandangan daripada guru pembimbing aku, beliau simpulkan, oleh kerana tabiat buruknya kemungkinan Nora menjadi mangsa benda yang suka mengikutinya. Oleh kerana itu, Nora ‘bertindak sedemikian’.

Makhluk sebegini kadang-kala boleh menyebabkan dan menimbulkan fitnah di mata insan yang kadang-kala ‘terlihat’ sesuatu atau benda mngikuti seseorang. Ingat ya, bukan semua benda yang kalian lihat mengikuti seseorang itu ‘belaannya’. Kedua, aku belajar ‘luruskan niat’ dalam apa jua ibadah yang aku jalankan. Aku tetap tegaskan aku sangat bersyukur kerana dugaan yang Allah berikan kepada aku ini dapat aku lalui dan mempelajari banyak perkara, terima kasih kepada pembaca Fiksyen Sasha kerana mengikuti perkembangan aku dan mendoakan. Semoga doa baiknya kembali kepada kalian semua dan moga Allah melindungi serta merahmati kalian. In shaa Allah akan bersambung lagi. Aku harap cerita aku memberikan pengajaran kepada kalian

ANAIRAH

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

16 thoughts on “The Eyes”

  1. Good point sis. Pengajaran yg sgt membina and membuka minda. Terima kasih atas nasihat. And cara penceritaan yg baik. Teruskan usaha.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.