Kisah ini adalah berdasarkan pengalaman sebenar aku semasa mengikuti kursus kepimpinan pada tahun 2008. Kursus tu diadakan selama 3 hari 2 malam di salah sebuah universiti tempatan yang terletak di tengah bandar Kuala Lumpur. Aku berumur 17 tahun ketika kejadian ni berlaku pada aku…
Petang Jumaat tu semua peserta kursus dah mula berkumpul kat depan pagar sekolah, cikgu aku pulak sibuk mengagihkan tag nama untuk perserta. Kat luar pagar kelihatan 2 bas persiaran yang akan menjadi pengangkutan kitorang untuk ke tempat kursus. Selesai taklimat, semua perserta pun masuk bas dan keterujaan diorang bertahan setengah jam je lepas tu semua zzz.
Lepas dah beberapa jam dalam bas, kitorang pun sampai kat depan pagar utama universiti. Tapi tempat untuk kitorang menginap dan buat aktiviti rupanya jauh ke dalam lagi. Kitorang ditempatkan di salah satu kolej kediaman universiti tu. Kehadiran kitorang disambut mesra oleh kakak dan abang fasilitator kat situ. Diorang ni la yang akan jaga (torture) kitorang sepanjang 3 hari kat sini.
Kitorang pun angkut beg masing2 bawak masuk dalam dewan dulu sebab fasi nak agih kunci bilik. Diorang jugak nak lantik ketua kumpulan untuk lelaki dan perempuan untuk bantu diorang nanti. Entah malang apa, aku kena lantik jadi ketua untuk perempuan. Dalam keterpaksaan aku pun kenalkan diri dan bermulalah rasa tak seronok dalam diri aku sebab ada tanggungjawab yang aku kena pikul sepanjang kursus tu.
Selesai hari pertama (tak perlulah aku cerita tentang aktiviti yang bosan dan meleret panjang so skip sampai malam tu) semua kena masuk tidur awal sebab esoknya nak bangun pagi-pagi untuk aktiviti. Bilik kat kolej kediaman ni bagi aku best la jugak, satu bilik tu untuk 2 orang and siap ada balkoni so malam-malam boleh ambil angin. TAPI TAK. Sebab tu kolej lelaki so kitorang yang perempuan ni dah diberi amaran jangan nak tergedik bukak pintu balkoni tu or tingkap sebab student lelaki kat blok seberang boleh nampak. Kalau tutup takpe, terlindung segala-galanya.
Kejap aku nak selit satu part ni, esok tu fasi suruh aku dengan ketua lagi sorang bagi pesanan apa-apa yang patut kat budak-budak ni. Ketua lelaki tu macam biasa la, pesan jangan tidur lambat, merokok, bising etc. Sampai part aku, serius aku tak tahu nak tegur apa. Then aku teringat semalam aku nampak budak-budak ni ada keluar bilik berkemban! Terus aku cakap kat situ, aku taknak tengok lagi sebab kat tempat orang ni jangan buat main. Ceyh konon nak takutkan diorang la (last2 aku yang kena). Lepas habis semua aktiviti untuk hari kedua, budak-budak ni pun berehat kat bilik sebab penat sangat, kecuali aku.
Aku tak boleh nak berehat dengan tenang sebab fasi dah tugaskan aku untuk pastikan semua budak turun esok pagi. Diorang dapat tahu ada peserta kursus yang tak turun aktiviti so kitorang sebagai ketua yang kena sebab tak check betul-betul. Maka untuk malam kedua kat sana, aku tak dapat tidur lena. Aku decide untuk taknak tidur sebab aku nak kejut diorang ni bangun awal-awal dan nak buat headcount supaya tak ada yang terlepas. Malam tu terasa panjang sangat, sunyi daripada malam sebelumnya. Mesti sebab budak-budak ni penat sangat tu semua pengsan. Aku bangun dari katil, keluar dari bilik and jalan-jalan sepanjang koridor tu sambil kira berapa bilik semuanya. Aku memang tak fikir apa-apa masa tu selain kena jalankan tugas sebagai ketua. Besar betul pengorbanan sampai tak tidur kahkah.
Dah habis aku meronda, aku tengok jam kat tangan dah pukul 4.30 pagi. Aku pun balik ke bilik sebab nak siap-siap dulu sebelum aku kejut budak-budak. Aku bukak pintu bilik, dan aku ternampak sekujur tubuh bertenggek kat balkoni bilik aku. Ya, pintu balkoni tu terbuka walaupun aku yakin pintu tu berkunci sepanjang masa. Pintu bilik dengan pintu balkoni memang bertentangan so aku memang terus nampak balkoni kalau pintu dia terbukak. Ya Allah, seram rupa dia, cara dia bertenggek, rambut dia panjang berjurai ke bawah, berkain lusuh dan aku tak pasti yang dia sebenarnya duduk menghadap aku atau luar. Aku terduduk depan pintu, cepat-cepat aku tutup mata. Aku tak tahu nak buat apa atau baca apa, terlalu terkejut dan rasa nak menjerit tapi tak boleh. Peluh dah mula mengalir sampai aku rasa aku tak payah mandi pun takpe. Tak lama lepas tu aku bukak mata, benda tu dah takde. Tapi pintu balkoni masih terbukak. Aku bangun cepat-cepat tutup pintu balkoni tu siap kunci. Aku terduduk kat katil agak lama sebab nak hadam apa yang aku baru nampak tadi.
Alarm roomate aku berbunyi, dah pukul 5.30 pagi. Roomate aku bangun and tengok aku macam orang tak betul. Dengan tak tidur lepas tu berpeluh-peluh. Aku cakap takde apa-apa lepas tu aku terus bersiap. Aku taknak cerita apa-apa sebab taknak takutkan dia. Pagi tu aku berjaya buat headcount and semua peserta perempuan turun tepat pada masanya. Cuma aku sangat la lembik dan boleh nampak muka aku yang tak cukup tidur plus bengkak macam menangis? Nangis la wehh saja aku tak cakap tadi. Gila kau terkejut macam tu nasib baik nangis, bukan terkencing.
Sebelum balik tu ada penyampaian hadiah so masa tu aku jumpa satu fasi ni kat luar dewan, dia tanya kenapa muka aku macam tu. Aku pun cerita la apa yang jadi malam semalam. Muka fasi tu tak nampak terkejut langsung, macam dah biasa dengar je cerita macam ni. Lepas tu dia cakap, tak sangka benda tu kacau budak-budak (aku je kena) tapi dia cakap memang penghuni kolej kediaman tu dah lali dengan benda tu. Even fasi tu pun pernah mengalami sendiri berhadapan kakak ponpon tu.
Cerita Fasi:
Saya ni selalu balik bilik lewat malam, jadual penuh dengan aktiviti. Ada satu malam tu sebab letih sangat, saya terlelap atas lantai menghadap pintu balkoni. Pintu tu memang saya biar terbukak sebab nak kena angin malam. Entah pukul berapa saya terjaga, dengan mata yang masih kabur saya pun nampak kelibat macam pontianak/langsuir bertenggek kat balkoni bilik saya. Aduh terus segar mata saya masa tu. Saya tampar pipi saya sebab mana tahu ni mimpi kan, tapi sakit yang saya dapat. Perlahan-lahan saya tarik bantal saya dan keluar dari bilik, ketuk bilik kawan and tumpang tidur situ hehe. Ada banyak cerita orang jumpa benda ni tapi dia tumpang bertenggek jelah, takdelah dia kacau penghuni kolej ni.
Tak sangka aku yang nak menumpang 3 hari 2 malam kat sini pun sempat jumpa kakak ponpon. Pengalaman yang aku bawak balik bukan setakat kena marah dengan fasi dan menyanyi sambil pegang belon dalam hujan, tapi bertemu dengan ‘penghuni tambahan’ kolej tu sekali.
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI