Aku dan Jin

Aku dan jin.

Kalau kita boleh nampak hantu ni, kata ustaz-ustaz dan mak aku, maknanya dalam diri kita dah ada gangguan tersebut.

Lepas dengar je kata-kata mak aku tu, terus aku seriau. Bukan apa, aku dah alami macam-macam gangguan dengan jin setan hantu ni. Daripada zaman belajar rendah, menengah sampai lah universiti.
Paling hardcore bila aku sendiri kene sergah dengan sekor hantu ni masa aku tengah landing rehat kat lantai bilik aku.
Semuanya bermula sejak…

Keluarga aku pindah ke rumah guru kat lepar hilir masa aku sekolah rendah. Rumah tu ok je. Luas. Bilik banyak. Tak ada apa-apa masalah. Tapi suasananya agak suram. Bertahun hidup kat rumah guru tu. Perangai aku pulak makin lama makin baran. Yang ni aku tak sedar sampailah mak aku yang tegur. Kaunselor sekolah aku sokmo panggil aku ajar cara-cara nak hindar daripada gangguan dan masa yang sama kawal emosi aku. Dia suruh baca 1 ayat tu sambil urut kedua-dua kening (aku sokmo sakit kat hujung kening masa tu). Baran aku ni kalau tak dibendung boleh patah kerusi aku buat. Lempar-lempar barang tu perkara biasa. Alhamdulillah lepas jumpa kaunselor tu, amalkan apa dia suruh, baran aku tu dah turun 50%.
Gangguan-gangguan pun dah kurang.. kemuncaknya pada satu malam tu aku terjaga daripada tidur…. Tengah mamai-mamai berusaha untuk tidur semula sambil mata aku berlegar-legar serata bilik tu tetibe mata aku terpaku di cermin panjang bilik aku. Perit tekak telan air liur. Sesusuk tubuh perempuan bersimpuh depan cermin dengan badannya menghadap cermin tersebut. Ala-ala perempuan melayu terakhir, pakaian lawa yang amat. Dengan selendang di kepala….menangis. Sayu dan meremang bilik tu dengar tangisan dia. Aku pun apa lagi terus kalih membelakangkan dia. Pejam mata rapat-rapat. Akhirnya tido pun. Aku mimpi perempuan tu datang bagi kat aku sepasang kain warna emas yang sangat cantik. Lepas tu dia pergi…
Aku tak alami apa-apa kejadian lagi sampailah aku masuk asrama kat bandar.

Zaman sekolah menengah pun bermula. Serik betul masuk asrama dan yang hanya menguatkan semangat aku adalah kawan-kawan seperjuangan.
Macam-macam kejadian mistik berlaku kat asrama perempuan..lagi-lagi masa nak dekat exam. Asrama ni ada 4 blok tido (8 bilik), 4 bilik study dan yang lain- lain tu macam biasalah. Sebelum ni aku hanya jadi pemerhati je bila kejadian rasuk merasuk dan histeria berlaku sampailah pada satu malam masa tingkatan 3. Dorm aku atas sekali dan bilik hujung sekali. (The most creepy dorm ever)

Malam tu semua off lampu awal. Budak-budak form 1 dan form 2 semua dah ready nak tido. Aku katil atas dan sorang lagi teman aku Y katil bawah setentang dengan aku masih belum mengantuk. (Btw aku mmg sejenis yang susah nak tido, tersangat susah nak tido). Adalah dalam 2 orang lagi junior yang masih berjaga. Sedang masing-masing melayan perasaan sendiri tetibe bulu roma aku meremang.
Dan masa tu jugak aku disergah dengan kuat dengan satu dengusan dan eraman yang sangat menakutkan. Aku tak dapat nak brain mcm mana nak explain bunyi tu. Tapi mmg giler menakutkan..macam bunyi hantu yg tengah nak serang orang tu. Hurrghhhqqq!!!! Aku pandang Y, Y pandang aku. Automatik aku dari tingkat atas terus terjun dan kawan aku Y terus bagi space kat katil dia. Junior A terus lari daripada hujung katil dia ke sebelah katil kami menempek pada kawan dia.
Masing-masing semua bawah selimut menggigil kecuali aku. Si Y tak share langsung selimut dia dengan aku..cipan betol.
Aku pejam mata serapat yang mungkin. Semua senyap. Dari kejauhan aku dapat dengar dengusan demi dengusan. Peluh mula membasahi baju dan muka aku. Ting! Aku tersentap. Ting! Bunyi tu sebijik macam bunyi kuku yang kene pada besi katil. Haa sudah…dia gerak ke sini ke? Macam-macam perkara buruk dah aku fikir. Kaki aku tendang2 si Y. Cuba utk berkomunikasi. Ting! Dan senyap…
Hurr…hur…aku rasa muka aku macam dihembus oleh sesuatu. Mak! Dia depan muka aku ke ni?! Busuk giler bau! (FYI aku baring menghadap ke luar katil, bukan hadap sahabat aku tu)
Lagi hurrr! Dan Hurrr! Nak pengsan rasa masa tu. Jantung aku masa tu sesak sangat. Ting! Aku tersentap..dan tiada lagi bau busuk. Pergi dah kot. Dan aku stay macam tu sampailah pagi. Tak berani nak bergerak ke kiri..tak berani nak bukak mata.
Pagi tu kalut lah aku, Y dan junior A bertukar cerita. Masing-masing dengar perkara yang sama dan masing-masing trauma. Malam berikutnya kami tak berani dah stay up late. Neber baby, neber.

Masa tingkatan 4 pula lagi hardcore setan-setan ni mengacau. Hinggar satu bilik study tingkatan 1 dan 2. Beramai-ramai histeria. As one of the biro, aku terpaksa amik port setelkan histeria-histeria ni.
Sampai rasa marah pun ada masa tu, marah sebab tak henti-henti setan ni mengacau hidup kami. Lepas baca dan baca dan baca pun still ramai yang kene… sampai lah aku buat eye contact dengan salah seorang yang kene histeria tu. Tangan kaki dan kene pegang pun still kuat. So aku ambil inisiatif yg ntah lah cerdik ke tak, sambil aku pegang kuat lengan dan tangan dia, aku tatap mata dia. Merah menyala. Berurat. Seriau betul. Aku kuatkan semangat teruskan pembacaan. Beberapa puluh minit akhinya mangsa makin lemah dan alhamdulillah ok.

Kemuncak serangan setan-setan ni apabila nak exam besar kami. Sampai tutup asrama.
Macam biasa lepas maghrib di surau asrama pelajar perempuan dibenarkan untuk balik sekejap ke bilik study. Kawan aku Y ambil keputusan untuk stay di surau. So aku gerak solo. Daripada surau sekolah ke asrama perempuan perlu lalui kawasan gelap dan total time dalam 5-8 minit. Sedang berjalan sambil berangan mata aku ni melilau lilau memandang keindahan alam…tap! Langkah aku berhenti. Namun mata aku tepat menatap satu lembaga atas pokok depan asrama. Pokok acai beri. Tapi masa ni aku tak pakai spek. Jadi aku berani tatap lama2. Putih. Terapung. Rambut lebat panjang mengurai sampai ke siku lengan. Mula2 tu tak jelas sangat…so sambil jalan mata aku tak lari dari tatap lembaga tersebut. Sampai dah dekat dengan pokok tu baru aku yakin dan terpana. Risau setan tu perasan aku takut..so aku keep on walking sambil buat-buat tak tahu.
Azan isyak berkumandang dan aku gegas ke surau.

Usai solat masing-masing kalut nak balik asrama. Aku pulak malas nak study lepas nampak makhluk tu. So aku berlengah-lengah lipat telekung sejadah. Kemas surau. Dah tinggal 2-3 orang baru aku keluar surau.
Dalam perjalanan ke asrama tu, fikiran aku kosong. Aku menapak perlahan sampailah
Warghhh!!! Jeritan perempuan kuat kedengaran menggegarkan bilik study. Ha sudah..lagi?
Berpusu-pusu senior dan junior keluar masuk bilik study. Aku percepatkan langkah. Bilik study tingkatan 1 dan 2 lagi. Kalini aku hanya berlalu meninggalkan bilik study tersebut menuju ke bilik study tingkatan 5. Malas nak layan. Biarlah yang lain setelkan.
Usai je telekung diletak atas meja satu lagi jeritan kedengaran.
” Akak! Tolong kak. Kat bilik study tingkatan 3 kak.”
Seorang junior menerpa pintu bilik study.
Nak luluh jantung aku masa tu.
” Yang baru ke? Tadi tingkatan 1-2″ tanyaku.
” Cepat akak. Ramai ni kene!”
Aku mendengus lalu mengajak geng-geng yang lain untuk membantu.
Huru hara asrama perempuan malam tu. Histeria beramai-ramai. Tak tahu nak setelkan yang mana dulu. Di bilik study tingkatan 1-2 sampai 2-3 orang kene. Sama juga di bilik study tingkatan 3-4.
” Kenapa tiba-tiba ramai sangat yang kene ni Z?” Soal Y kepadaku.
“Aku tak tahu. Mungkin minah tadi kot yang buat. Aku ada nampak sekor tadi atas pokok acai beri tu.”
Y terus berhenti berlari dan memandang ku.
“Betul. Tak da masa aku nak gebang.”
Muka Y pucat tapi dia gagahkan diri mengikut aku ke bilik study tingkatan 3-4.
Masuk je dalam bilik study tu, kelihatan 2 kelompok manusia sedang berkumpul dan ditengah-tengah nya adalah mangsa histeria. Kasihan tengok mereka ni. Dah pulih nanti mesti lembik.
Kalini lain macam betul asukan setiap seorang. Ganas, garau dan menyeramkan.

Beberapa minit kemudian barulah muncul warden asrama kami. Bersama-sama pelajar lelaki. Jarang aku tengok muka warden aku sorang ni resah. Biasanya relax je dia. Warden paling garang, paling bengis, tegas dan paling ditakuti satu sekolah kami. Kita panggil dia Cik F. Entahlah dah kahwin ke belum beliau sekarang. Cik F pantas bertindak membahagikan pelajar-pelajar senior dan mengawal keadaan. Ramai junior dah mula takut. Ada yang nak lari, sorokkan diri dan yang nak naik atas asrama pun ada. Giler apa naik sorang-sorang dengan keadaan gawat mcm ni.
“Kak Z! Cikgu Bakar panggil”
Aku segera keluar dan pergi ke tapak perhimpunan asrama.
” Kamu ambil air ni, letak atas meja bilik study tingkatan 3-4 tu. Pastikan penutup botol ni terbuka dan pintu bilik study terbuka dan tiada halangan. Faham?”
” Faham cikgu. Tapi untuk apa?”
” Saya ada call sorang ustaz untuk bantu kita. Dia akan buat bacaan dari jauh. ”
“Oh. Ok saya faham cikgu.”

Aku berlari kembali ke bilik study tingkatan 3-4.
” Fatimah, saya nak kamu jaga botol ni dan pintu masuk bilik ni. Pastikan kedua-duanya terbuka dan tanpa halangan ok? Kalau tak doa ustaz tu tak sampai nanti”
Ujarku kepada penolong ku. (Aku ketua biro dan fatimah penolong biro).
Kemudian aku bergegas melihat keadaan di bilik study yang lain. Masih sama. Jeritan demi jeritan.
Penat rasanya malam tu. Sungguh sesak nafas jadinya. Kehulur-kehilir. Akhirnya aku bertapak di bilik study tingkatan 3-4. Tak sanggup dah nak tolong yang sana.
“Air dalam botol…” Kata hatiku.
Terus aku pergi ke fatimah.
“Akak.”
“Sama je keadaan kat sana. Kurang pun sikit je.” Kataku sambil mata aku perhati tepat pada botol air tersebut.
“Fatimah..kau tengok air tu…”
” Kenapa kak? ”
“Menggelegak…”
Fatimah mendekatkan matanya pada botol air tersebut. Mulut nya terlopong.
Kali ni bukan sahaja menggelegak, asap halus atau wap seperti air panas keluar daripada permukaan mulut botol.
Aku dan fatimah berbalas senyuman. Kagum dibuatnya.
” Z, air dah ready, boleh guna dah. Kamu renjis pada setiap kawasan dan penjuru bilik, dorm dan muka mereka. Sambil renjis tu baca surah dan ayat ni.” (Maaf gais, aku lupa betul apa surah dan ayat Cikgu bakar kata tu, ingat time tu je…)
” Err sekarang ke cikgu?” Aku dah start seram..nak naik atas asrama ke? Macam mana kalau aku terserempak dengan setan-setan ni? Kene sergah? Kene marah? Giler ke apa!
“Ya sekarang.”
Lama aku termenung mengenang kan nasib diri ini. Dah lah jadi biro dengan paksaan…nasib-nasib.
Aku amik 1 botol air dan aku bagi kepada Y.
” Kau tolong setel kan yang kat bawah ni boleh?”
Usai ajar pada Y aku panggil fatimah.
” Fatimah, jum. Kau dengar kan apa cikgu bakar kata tadi?”
Muka fatimah pucat. Tapi dia masih mengangguk.
“Dengar akak. Baiklah”

“Ok. Kita kena kuat ye. Kau baca part ni, aku baca part ni. Pastu kita renjis sama-sama nanti. Kalau terjadi apa-apa, jangan sesekali kau lari. Sama-sama hadapi ok? ”
“Baik akak.” Walaupun nadanya kedengaran ‘firm’ tapi tangannya menggeletar.
Maka mulalah perjalanan kami. Suasana asrama gelap gelita. Wajib bagi pelajar perempuan untuk turun waktu maghrib dan naik semula jam 10.30 malam. Semua lampu di dorm, bilik, bilik air, dobi wajib tutup.
Kami mula dengan bilik study tingkatan 5. Kemudian naik ke atas tingkat 1 menggunakan tangga di belakang bilik study. Sepanjang perjalanan memagar kawasan asrama mulut kami tak henti-henti berzikir dan membaca semua yang cikgu bakar suruh.
Sekali sekala ternampak juga kelibat-kelibat yang tak diundang. Dipenjuru. Sedang berdiri. Ada yang pandang tepat kearahku. Tiap kali makhluk tu muncul pasti aku buat-buat tak kisah..tapi tangan aku kemas menggenggam tangan fatimah. Aku lihat fatimah tak terkesan pula. ” Hem… nampaknya hanya aku yang boleh nampak” syukur Alhamdulillah juga. Kalau dia nampak rasanya tercampak botol air ni.

Sejam berlalu akhirnya selesai tugas kami.
Sampai je di laluan ke bilik study, aku sudah tidak kedengaran apa-apa jeritan. Alhamdulillah dah beransur-ansur pulih.
Malam tu Cik F memberi taklimat dan amaran ringkas. Agar kami semua tidur awal, tidak seksi dan menjaga percakapan. Macam biasa aku mmg tak boleh tidur malam tu. So aku menyempit di katil rakan aku S. Impak daripada peristiwa gelap malam tersebut, asrama perempuan ditutup buat sementara. Ramai gak yang stress, lagi-lagi aku yang duduk jauh ni dan akan menduduki peperiksaan SPM pada minggu depannya.
Nak tak nak, aku terpaksa menumpang rumah sedara aku di sekitar bandar. Rumah sedara aku ni pun ada gak setan yang mengacau. Pernah sekali tu aku dan keluarga datang menziarahi sedaraku. Selesai aku solat, aku dengar ibu aku memanggil nama aku daripada tingkat bawah. Sayuup dan lembut sahaja. Aku igtkan ibu aku panggil untuk pulang. Aku bergegas mengemas telekung. Bila dalam kereta aku tanya, ibu menidakkan. Kelat air liur masa tu. Nasib baik tak jadi apa-apa. Nasib baik aku tak balas panggilan ‘ibuku’ masa tu. Kalau tak…mungkin dia ikut aku balik?
Adik aku pun pernah dikacau. Makhluk tersebut main-main lampu. Nasib baik adik aku berdua masa tu, adik no 5 dan no 4.

Masa praktikal pun aku kene. Ni masa zaman universiti. Aku dan M sewa rumah kedai yg dalam 20minit menaiki motor ke sekolah praktikal kami. Awal-awal duduk kat rumah tu semua berjalan lancar. Sampailah saat bila aku start nampak kelibat-kelibat dalam rumah tu. Makanan pun cepat basi. Paling hardcore bila aku nak pergi mandi, pusing je ke arah bilik air, terpacul makhluk tu depan pintu tandas. Muka mmg buruk, rambut kusut. Busuk yang amat. Aku patah balik tafakur kat ruang tamu. Bila kawan aku tanya kenapa, aku geleng kepala suh dia mandi dulu.

Peristiwa lain berlaku bila aku dan M kene jadi guru pengiring kem kepimpinan sekolah praktikal kami. Haru betul. Semua kerja luar waktu sekolah semua kami kena buat. Cikgu2 sana dan pihak pengurusan memang lepas tangan betul. Mentang-mentang kami ni 3 bulan je…dijadikan macam orang gaji betul. Disebabkan elaun praktikal tak dapat (kat kem makan free), dan sebab aku nak lari dari hadap setan kat rumah sewa tu, aku amik keputusan untuk terima. (M pun redo je kene bertugas).

Guru pengiring waktu malam hanya aku dan M sahaja. Guru lain semua lari awal-awal lagi. Kami ditempatkan di banglo dua tingkat atas bukit. Seram. Jauh daripada asrama pelajar dan dewan. Habis aktiviti malam kami beransur ke banglo. Dalam perjalanan naik ke bukit tu, kami bertukar-tukar cerita. M bukak cerita dia pergi jungle tracking. Aku ingatkan cerita adventure atau lawak. Rupanya cerita dia dan kawan dia kene kacau dengan hantu dalam hutan. Aku layan jelah tanpa banyak soal. Bila part gelak, aku gelak. Part seram aku buat-buat tanya. Sambil dengar tu, mata aku melilau melihat keindahan hutan, langit dan kawasan kem dari atas bukit. Lawa. Sampailah mata aku terpaku pada satu susuk badan lelaki tengah duduk di penjuru jalan. Depan aku dan M akan lintas. Masa tu M masih galok bercerita sambil gelak sakan. Aku dah kaget. Aku pejam bukak pejam bukak mata aku. Lelaki tua tersebut memakai pakaian kebesaran Istana zaman dahulu kala..bersinar keemasan. Sisinya menghadap aku. Mukanya tua. Berkerut kerut. Pandangannya tepat kearah kawasan rumah usang di situ. Kakinya aku tak nampak. Seakan kabur gitu. Dalam hati aku berdoa agar dia tidak berpaling memandangku. Kakiku laju melangkah namun masih tertib. M masih semangat bercerita dan cuba mengikut langkahku. Sampai di depan banglo aku cepat-cepat masuk dan terus menuju ke bilik kami. Kami pilih bilik paling belakang, dekat dengan tandas dan dapur. Sebabnya, kakak-kakak cikgu yang lain akan datang menginap pada esoknya. (Hampeh..mereka hanya tumpang solat waktu siang sahaja. Dua malam kami bertugas).

Aircond bilik kami tidak berfungsi jadi M buat keputusan untuk tido di ruang tamu. Dia angkut tilam dan lena di sana. Aku pulak memang trauma tido di tempat terbuka. Sebabnya aku sering disergah makhluk setan ni tiap kali aku tido di bawah dan di kawasan terbuka. Masa cuti sem dahulu, molek-molek aku nak tido selepas dhuha, aku terasa seperti ada sesuatu. Aku bukak je mata, terpampang depan muka aku seorang budak perempuan pucat mukanya. Rambutnya hampir mencecah muka aku. Matanya bulat besar. Terus aku tepis. Dan hilang. Sejak tu aku trauma.

Aku cuba untuk tido malam tu. Namun tak berjaya. Aku pun angkut bantal dan tido di tepi M. Tetap tak dapat tido. Macam-macam aku buat. Sampailah jam 4 pagi, aku bangun dan kembali semula ke bilik. Aircond masih tidak berfungsi..hanya hawa panas yang dihembuskan. Aku letak tangan dan aku baca ayat-ayat. Beberapa minit kemudian sejuk bilik tersebut. Pelik tapi sebab mengantuk tak dapat tido, aku rebahkan badan atas katil. Mata aku bertentangan dengan dapur. Dan…ya..aku nampak seorang perempuan mengendong bayi di tangan kirinya dan memimpin anak perempuan nya di tangan kanan. Wth. Nak menangis rasa. Mereka memandang tepat pada ku. Aku buat-buat mamai dan pejam mata. Sampai lah azan subuh kedengaran. Baru aku berani bukakan mataku. Aku kejut M dengan kasar, marah sebab dia tak diganggu.

Esoknya aku cerita semua peristiwa yang berlaku pada M. Dan M cerita pada kakak-kakak cikgu sekolah..cipan kau M. Dan cerita tersebut sampailah kepada staff kem tersebut. Dia jumpa dengan aku. Dan dia bukak cerita sebenar. Banglo tu pernah dihuni oleh satu keluarga dan akhirnya tragedi berlaku. Perempuan dan anak-anaknya didapati hilang dan sampai sekarang tak dijumpai. Masa dengar cerita tu, aku hanya mampu bersyukur kerana tidak ditimpa sebarang kecelakaan.

Disebabkan aku sering di kacau, akhirnya ibu aku mengambil tindakan untuk membawa aku ke satu pusat perubatan islam. Pusat tersebut hanya beroperasi pada waktu malam dan bayaran seikhlas hati dikenakan. (Untuk menampung kos sewa tempat tersebut). Btw ada seorang ustaz tu aku dengar cerita hebat sangat. Tapi disebabkan ramai sangat nak berubat dengan dia, dan aku pulak tak ada masa yang banyak, aku berubat dengan ustaz lain. Setelah selesai isi borang; nama, ic, peristiwa yang dihadapi dan sebagainya, nama aku dipanggil. Masuk-masuk je rasa lain macam. Seram. Sejuk. Berdebar.
“Kenapa datang sini?” Tanya ustaz
“Saya selalu mimpi bukan-bukan. Mimpi nenek kebayan, tandas, baby, ular, tempat tinggi, perang. Selalu juga nampak bayangan.
“Ok. Duduk terlunjur atas sejadah ni. Ustaz letak tapak tangan di belakang kamu ye. Sepanjang ustaz baca ni, kamu mesti sentiasa ingat Allah”
(ustaz tu pakai sarung tangan hitam)

Bila belakang aku disentuh oleh ustaz tersebut, automatik belakang aku rasa panas sangat. Aku diamkan dan terus-menerus berzikir dan mengingati Allah. Makin lama makin panas tangan ustaz tu. Usai sesi 1, aku diminta baring atas sejadah tersebut. (Bilik perubatan ni membenarkan ahli keluarga untuk masuk sekali).
“Walau macam mana sekalipun, jangan bukak mata”
Tegas amaran ustaz. Aku hanya mengangguk. Satu kain selimut di hamparkan dan menutupi tubuh aku dari kepala sampai kaki. Kedengaran suara ustaz jelas membaca ayat alquran. Disebabkan kedegilan aku ni tinggi, aku buat keputusan untuk membuka sedikit mata ku..dan..aku menyesal.
Apabila ustaz mula menarik selimut tersebut, aku nampak jelas satu susuk nenek kebayan huduh sedang merangkak daripada hujung kakiku kearahku sambil memandangku bengis. Hampir-hampir aku menjerit dan menendang nenek kebayan tersebut. Alhamdulillah aku berjaya kawal ketakutanku dan aku tutup kembali mataku. Berkali-kali ustaz ulang sesi 2. Sampai je selimut di kakiku (ditarik perlahan-lahan) dia akan mengibas selimut tersebut di luar premis. Akhirnya selesai sesi berubat.

“Amalkan bacaan ayat ni selepas solat. InSyaAllah kamu tak ada apa-apa dah”
“Ustaz, budak ni selalu nampak perkara tak elok” ujur ibu ku.
“Saya selalu nampak makhluk-makhluk tu ustaz. Kalau ustaz nak tahu, tu kat penjuru bilik tu, ada sekor.”
Mengucap panjang ustaz tu mendengar pengakuan aku.
“Kau tutup mata sekarang.” Arah ustaz
Aku pelik dan tak sempat aku bertanya ustaz memaksaku menutup mata lagi.
Aku ikutkan sahaja. Laju ustaz membaca ayat Al-Quran dan dihembuskan di mataku berkali kali.
“Saya dah tutup hijab dia. InSyaAllah dia tak akan nampak lagi.”

Alhamdulillah sejak berubat haritu, aku dah tak nampak makhluk-makhluk pelik lagi. Aku jadi makin berani dan positif. Kadang-kadang tu rasa lah juga meremang dan diganggu, tetapi tak lah sampai nampak. Walaupun masih diganggu kadang-kadang tu, (dicucuk masa tengah tido, meja kerja ku digegarkan masa aku sedang tido dan etc) aku tak risau sangat sebab dah tak nampak setan-setan tu. Trauma ok bila nampak ni. Level takut dia macam langit dengan bumi.

Aku harap kalian yang diluar sana tu, sentiasa berada dalam Rahmat dan perlindungan Allah. Aamiin.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

AI

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

2 thoughts on “Aku dan Jin”

  1. Sambungan nanti jika boleh panjang-panjang betul ye …detail+ mendalam …kisah member-member campur sekali pon tak per …
    Suka dengan gaya dan corak penulisan awak ni …ada triler,suspen,ganas dan lain-lain …
    Semoga terus berkarya dengan jaya …

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.