Assalamualaikum, hai berjumpa lagi kita. Mungkin kisah pertama (Hantu Dagu) tempoh hari kurang seram. Untuk kisah kedua kali ini adalah dari pengalaman aku sendiri. Ianya terjadi pada tahun 2010 iaitu 7 tahun lalu, namun ianya masih terpahat dalam ingatan aku. Pada waktu itu aku berusia lingkungan 22 tahun.
Aku tinggal di Pulau Pinang, kawasan Barat Daya bahagian pulau. Masih bujang pada waktu itu, dengan aktiviti malamnya adalah Futsal. Boleh dikatakan dalam seminggu mungkin 2-3 kali bermain futsal bersama rakan-rakan aku di sana. Selalunya kami bermain sekitar jam 10 malam hingga pukul 12 malam. Tapi nak dijadikan cerita, pada satu malam ni ‘court’ penuh, yang hanya tinggal adalah jam 12 malam hingga 2 pagi. Lalu setelah berbincang bersama rakan-rakan yang lain semuanya bersetuju untuk bermain juga walaupun trlah lewat.
Kebetulan pada waktu itu malam Ahad, jadi esoknya cuti, jadi tak kisah sangat kalau sampai lewat malam. Rumah aku di dalam sebuah kampung yang di mana rumah aku agak ke dalam di kaki bukit. Laluan masuk hanyalah jalan berturap yang kecil, muat untuk sebuah kereta, jika bertembung salah satunya kena mengalah untuk ke tepi. Suasana pula tidaklah begitu gelap kerana telah ada lampu jalan di sepanjangnya, cuma suram kerana kawasan kaki bukit. Rumah-rumah kampung yang lain ada juga di situ, cumanya tidak berapa banyak.
Setelah bersiap pakaian persalinan, kasut dan sebagainya, aku pun mula keluar rumah dari rumah jam 11 malam. Aku tinggal bersama Abah dan Mama aku pada waktu tu, Kakak-kakak aku semuanya masih belajar ketika itu. Hadapan rumah aku pada waktu tu mengadap hutan yang asalnya kebun getah, tapi telah ditebang semuanya, yang ada hanyalah lalang-lalang yang semakin meninggi. Memang agak gelap di situ, hanya berbekalkan cahaya bulan jika ada. Tanpa berlengah, aku pun mula melangkah keluar tanpa berfikir apa-apa. Terus menuju ke ‘court’ futsal di luar kawasan kampung aku.
Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 15 ke 20 minit sahaja. Setelah semuanya telah sampai di sana, maka bermainlah seperti biasa. Bergelak sana sini, jerit sana-sini, lari sana-sini, memang seronok habis malam tu. “Teeeeeettttt……” siren berbunyi, dan lampu merah telah bernyala, tanda waktu telah pun tamat. 2 jam berlalu begitu sahaja. Jam menunjukkan 2:10 pagi, terlajak sedikit tu biasa lah bagi kami. Setelah keluar dari gelanggang kawan aku Wan bersuara. “Jom kita pi lepak Mamak dulu, boleh minum-minum, sembang-sembang sat”, ujar Wan sambil memandang 14 orang yang lain dalam keletihan.
Akhirnya yang bersetuju untuk lepak hanyalah 6 orang termasuk aku sekali, yang lain semuanya terus balik. Kami berenam pun bergerak menuju ke kedai Mamak yang telah dipilih. Tidak jauh dari Arena Futsal tadi hanya 5 minit sahaja perjalanan. Sesampainya di kedai Mamak tanpa berlengah terus pesan minuman, ada juga yang masih makan, biasa la orang Pulau Pinang, makan tak kira waktu. Setelah semua selesai minum, makan, bergelak, bersembang jam pun dah menunjukkan 3:40 pagi. Kebetulan, aku seorang sahaja yang tinggal di kawasan barat daya yang berhampiran dengan laut, yang lainnya tinggal di kawasan pekan sedikit, jadinya aku hanya berseorangan bila balik nanti.
Selepas berpisah di persimpangan jalan, aku terus memecut laju menuju balik ke rumah aku. Dengan keadaan jalan yang agak lengang, yang hanya sebiji dua kereta yang lalu pada waktu itu. Tiba-tiba hujan renyai mula menitis, terasa rintikan air mula terkena pada kulit aku. “Alamak dah hujan, mesti lebat nih kejap lagi”, ujar hati kecil ku. Sampai di selekoh masuk kampung aku, aku perlahankan motor sambil melayan angin lewat malam. Sehinggalah sampai lorong kecil untuk masuk ke kawasan rumah aku yang berhampiran kaki bukit, tidak semena-mena hati aku rasa gelisah dan resah secara tiba-tiba.
“Awat rasa macam berat nak lalu kat sini pulak?”, ujar hati ku. Bermacam-macam cerita dan kisah seram mula muncul dalam fikiran aku pada waktu itu. “Arghh, bonggol tak bonggol, semua aku redah!”, kata hati aku waktu tu sambil membonceng agak laju. Mata aku meliar kiri, kanan, kiri, kanan, kelihatan rumah-rumah kampung berhampiran kebanyakannya dah gelap gelita. Jauh dari simpang lorong menuju ke rumah aku lebih kurang 400-500 meter ke dalam, dan rumah aku agak menaik sedikit jalannya kerana di kaki bukit.
Sampai di jalan kecil naik ke rumah aku, aku memecut ke atas selaju mungkin. Mata aku liar melihat semak lalang yang tinggi di hadapan rumah aku, dan dalam kesamaran gelap malam itu, aku memerhati serumpun pohon buluh yang agak besar dan dah tua agaknya. Memang suram dan kelam di kawasan tu. Sampai di hadapan rumah, aku turun dari motor lalu memerhati sekeliling aku pada waktu tu. Semuanya nampak baik sahaja. Saat aku melangkah menuju ke pintu rumah, “Uiiittt….. Uiiiittt…. Uiiittt….” terdengar satu panggilan sayup-sayup agak jelas di telinga ku datangnya dari pohon buluh yang jauhnya lebih kurang 50 ke 60 meter di hadapan rumah aku.
Bulu roma aku mula meremang, darah aku berderau bagaikan di picit jantung dengan kuat. Teringat pesan arwah nenek aku, kalau pulang lewat malam, dengar orang panggil, jangan toleh ke belakang. Aku pegang kata-kata tu. Dalam kesamaran malam tu, terkial-kial aku mencari kunci rumah. “Aduh, mana pulak kunci rumah ni?!”, sedikit geram pada diri. Melihat di kunci motor, memang tiada kunci rumah. Sah! Memang aku terlupa bawak kunci pendua aku. “Habislah aku!”, ujar hati aku. “Praaapppp… Prappppp…. ” pohon buluh bergerak dan patah-patah seperti ada yang sedang memijak. Perlahan-lahan aku memusingkan kepala aku melihat kawasan pohon buluh tersebut.
Aku ternampak dalam kesamaran malam tu, daun-daun buluh tu bergoyang-goyang seakan-akan ada yang melompat di atas batang buluh itu! Aku perhatikan pokok yang lain hanya berdiri diam, hanya pohon buluh saja yang bergoyang. “Ni mesti ‘benda’ tu main-main kat situ!” sedikit gementar dalam hati aku. Peluh yang kering tadi mula basah semula di muka aku. Aku cuba mengetuk pintu rumah dengan harapan Abah atau Mama aku terjaga dari tidur. “Tok.. Tok. Tok…” aku mengetuk pintu agak kuat dan laju. Pohon buluh pula semakin rancak bergoyang seakan ribut, sedangkan tiada angin pada waktu tu. Hujan renyai masih menitis. Zzzzuuuppp… tiba-tiba menusuk hidung aku terbau Kemenyan!
Sangat kuat baunya seperti berhampiran dengan aku. “Allah.. Allah. Allah… ” terkumat-kamit aku mengulang nama Allah. Dalam hati mula membaca Al-Fatihah dan Ayat Qursi. Bulu roma aku terpacak sangat gering pada saat tu. Aku tak beralih lagi melihat pohon buluh tu. Tiba-tiba, pohon buluh yang rancak bergoyang tadi, terus senyap dan terkaku diam. Aku masih memegang tombol pintu dan mengetuk pintu tanpa melihat ke belakang. “Uiiiitttt…. Uiitttt…. Uiitt….” suara yang tadinya sayup-sayup kedengaran, yang sekarangnya semakin dekat di telinga aku, rasa seperti sedang berdiri di hadapan kawasan rumah aku. Aku menuju ke tingkap bilik Abah dan Mama aku yang hanya bersebelahan dengan pintu masuk rumah, aku mengetuk tingkap kaca bilik mereka, “Tik..tik…tik… Abah! Abah! Buka pintu sat!” belum terjawab panggilan aku.
Sekali lagi hidung aku ditusuk bau kemenyan. Semakin kuat dan pedih baunya. Kuat lagi aku mengetuk tingkap kaca bilik Abah dan Mama aku, “Abah! Abah!… buka pintu sat”. “Ha. Ha.. tunggu sat..!”, akhirnya terdengar Abah aku menyahut panggilan aku. “Fuhh, lega sikit”, ujar aku dalam hati. “Krakk.. Krakk..” Kunci pintu di buka, terus aku memulas tombol pintu, lalu masuk ke dalam rumah. “Awat yang hang balik lambat sangat? Hang pi mana? Kalut sangat pasaipa?”, tanya Abah aku. “Main futsal tadi Abah”, balas aku. Abah aku terus menuju masuk ke bilik semula. Aku terus ke bilik air, bersihkan diri dan bersiap untuk tidur. Aku jenis yang tidur di ruang tamu. Kadang di atas sofa, kadang di atas lantai. Bilik aku agak panas, jadi di luar adalah pilihan terbaik.
Selepas mandi bersiap semua, aku baring di atas sofa di ruang tamu rumah. Sambil baring, aku masih terfikir hal tadi. “Suara siapa yang memanggil-manggil tadi ha?”, soal hati aku. Mata aku masih membulat, tiada tanda mengantuk, mungkin akibat selepas mandi, air sejuk, badan jadi segar. Dalam kegelapan ruang tamu aku yang hanya terpancar cahaya lampu dapur, aku bersendirian. “Hmmmm….. hmmmmm…. hmmmmm….” terdengar seperti satu nyanyian seakan-akan mendodoi lembut seperti suara perempuan terdengar betul-betul di sebelah luar tingkap ruang tamu rumah aku iaitu sebelah rumah aku. Semakin aku amati alunan suara tu, sah memang jelas nyanyian tu, tiada lirik, hanyalah dodoian lembut seperti nyanyian Maya Karin dalam Pontianak Harum Sundal Malam!
Semakin seram aku rasakan. “Tak mungkin ada orang buka TV atau radio pada waktu tu!”, kata hati kecil aku. “Srehh… srehhh…. srehhh…” terdengar seperti ada seseorang berjalan memijak rumput dan daun kering di luar rumah aku, mundar mandir berjalan agak laju. “Sapa pulak jalan kat luar tengah pagi buta ni!”, sedikit geram dalam hati aku. Aku melihat jam di dinding ruang tamu aku, jam menunjukkan hampir pukul 4:40 pagi. Susana yang agak suram hanya bunyi cengkerik malam menambahkan lagi rasa takut. Tapi aku memberanikan diri dengan hanya berdiam diri, baring di atas sofa tanpa berbuat apa-apa. “Hmmmm… Hmmmm… Hmmmm…..” alunan lagu yang seperti lagu klasik sekali lagi terdengar. Memang menyeramkan! Aku memeluk bantal semakin kuat. Dalam hati terus membaca ayat Qursi lagi dan ulang dan ulang berkali-kali.
Dalam keadaan agak gementar dan seram, “praaapp… praaaappp.. praaapppp” di atas bumbung seperti sesuatu yang berat sedang berjalan. Nak katakan kucing atau musang tak mungkin bunyi begitu kuat pijakannya. Semakin lama, semakin laju seakan-akan berlari. Hendak saja aku rasa nak membuka pintu nak tengok di atas bumbung benda apa yang sedang bermain pada waktu tu. Tiba-tiba pintu bilik Abah aku terbuka, Abah aku datang pada aku.
“Hang dengar dak bunyi atas bumbung?!”, tanya Abah aku pada ku. “Degar lama dah abah, dari tadi duk berlari.. benda apa tu Abah”, soal ku mahukan kepastian. “‘Benda’ tu lah, apa lagi!”, kata Abah ku agak tegas. “Ni lah akibat dia bila balik lewat malam, ‘benda’ tu ikut hang balik, tapi nak masuk tak boleh!”, sedikit marah Abah aku. Aku terdiam dan termenung sejenak. “Kenapa dia tak boleh masuk Abah?”, tanya aku. “Arwah nenek hang pernah ‘pagar’ dah rumah ni dulu, dia pernah kata memang ‘benda’ tu selalu bermain kat kawasan rumah aku, tempat ‘dia’!” kata Abah aku lagi.
“Praaapp… praaapp…. praaappp….!!!!”, seperti berlari laju dan terus melompat pergi dari atas bumbung rumah aku. “Dia dah pi lah tuh!”, kata Abah aku selamba. Melihat jam di dinding hampir pukul 6, dah nak masuk waktu Subuh. Alhamdulillah, gangguan tadi dah hilang, dan azan subuh pun berkumandang. Selesai solat Subuh, aku pun merehatkan badan atas sofa. Abah Mama aku pun dah bangun, buatkan sarapan seperti biasa. Aku menceritan kembali apa yang berlaku semalam sebelum pintu rumah aku di buka oleh Abah aku. “Padan muka hang! Balik lagi lewat-lewat!”, kata Mama aku.
Aku hanya senyum. “Hang kalih (pusing) buat apa masa ‘dia’ panggil?!”, tanya Abah aku. “Huh?? Macam mana Abah taw?”, tanya aku kembali. “Kalau hang tak kalih, dia tak mai aih kat atas bumbung rumah kita nih!”, ujar Abah aku lagi. “Sebab banyak kali sangat dia panggil, rasa nak kalih tengok benda apa, tapi nampak pokok buluh saja bergoyang”, cerita aku lagi. “Lain kali jangan duk kalih, buat tak tau sudah, kalau hang berani hang cakap kat dia, Aku tak kacau hang, hang jangan kacau aku, dia tak mai dah la!”, nasihat Abah aku. Aku menganggukkan kepala. Selesai sarapan, Abah aku pun keluar pergi kerja, aku pun melepak kembali atas sofa, sambil melayan mata yang baru rasa nak mengantuk. Tapi di fikiran masih terngiang-ngiang dengan suara panggilan, nyanyian seram, bau kemenyan dan orang berjalan. Sesekali teringin jugak nak lihat ‘dia’, tapi belum bersedia barangkali. Mata aku mula berat, dan aku pun terlena di atas sofa hingga ke tengah hari.
Begitulah kenangan tengah malam yang suram dan seram aku lalui. Semoga menjadi pengajaran dan iktibar buat kita semua. Semoga beringat selalu walau di mana sahaja. Jumpa lagi dikisah seterusnya, insyaAllah. -MNS-
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
#Akibatbaliktengahmalambuta…..hehehe
Rumah hang area mana? Awat aku dok bayang kampung kat Batu Feringghi ja.
Amboiii teringin nk tgk huhu….beraninyerr…
Sound effect dia.. 🙂
adoiiii..tak pasal2 terngiang2 hmmmm…hmmmmm….hmmmmm maya karin
Jalan kecik bturap.. Kebun getah.. Kaki bukit.. Tetiba aku teringat rumah membe aku kat teluk kumbaq.. Hewhew..
ni mesti dkt balik pulau ni ?
Seram jgk…huhu
tu dia… 6 perenggan intro sebelum masuk perenggan seram… nasib baik citenye seram…
bnyk kuah dr isi… 5/10