Kak Jasmin, salah seorang daripada rakan rakan senior aku di hotel. Bukan hanya senior dari segi jawatan, malah dari segi umur juga jauh lebih tua dari aku. Dia dah lama kerja dalam bidang perhotelan, lebih spesifik dalam bidang housekeeping. Tahun ini merupakan tahun terakhir dia berkhidmat, katanya nak pencen.
Pengalaman Kak Jasmin dalam kerja memang banyak. Maklumlah, ini hotel ke tujuh dia bekerja. Lumrah bagi pekerja industri perhotelan, harus berpindah hotel jika inginkan perkembangan kerjaya. Bukanlah tiada perkembangan kerjaya kalau tidak berpindah hotel, cuma lama sedikit masa yang akan diambil. Begitu juga dengan aku, ini hotel kedua aku bekerja.
Selain daripada perlu melayan pelbagai ragam pelanggan yang datang menginap, Kak Jasmin juga pernah beberapa kali terpaksa melayan gangguan makhluk yang turut menginap sama di hotel. Selalu juga aku meminta Kak Jasmin berkongsi cerita pengalaman serta petua petua yang dia tahu. Biasanya hanya cerita yang dikongsikan, petua pula tiada kerana menurutnya dia akan demam selepas diganggu.
Pertama kali Kak Jasmin diganggu adalah semasa dia masih diawal 20an di hotel pertama dia bekerja. Masa itu dia bertugas sebagai pengemas bilik, bahasa english dipanggil ‘room attendant’. Katanya ketika itu hari telahpun petang dan dia sedang mengemas satu bilik yang sudah ‘check out’. Sejak dari mula mengemas bilik itu dia sudah berasa lain macam, seakan diperhatikan sesuatu. Tapi dia cuba untuk buat tidak tahu dan meneruskan kerjanya.
Seperti yang semua maklum dan biasa nampak jika mrnginap dimana mana hotel. Semasa pekerja housekeeping mengemas bilik, mereka akan membawa satu troli barangan keperluan bilik yang diletakkan diluar bilik. Kak Jasmin ingin mengambil barangan mandian untuk diletakkan dibilik air, apabila dia membuka pintu bilik kelihatan jelas dimatanya satu tangan panjang berbulu hitam lebat diatas troli.
Kak Jasmin yang terkejut mengucap panjang dan terus menutup pintu bilik. Dia yang ketakutan itu menghubungi pejabat housekeeping dan meminta supaya supervisor yang bertugas naik dan menemaninya mengemas bilik itu sehingga selesai. Menurut Kak Jasmin, dia demam keesokan harinya. Sehingga ke saat dia menceritakan pengalaman pertamanya itu kepada aku, dia masih dapat membayangkan betapa ngerinya keadaan tangan panjang berbulu hitam itu.
Di hotel kami bekerja ini juga, Kak Jasmin pernah diusik. Macam musim buah pula gangguan gangguan ini. Mulanya bellman diganggu penunggu pokok besar, selepas itu pekerja tingkat 8 diganggu dan selepas itu lagi Kak Jasmin pula diusik.
“Jasmin, nanti release bilik 1126. Saya mahu tip top untuk VVIP esok.” pesan Miss Wong.
Kak Jasmin bekerja shift petang pada hari itu, dia perlu memeriksa bilik bilik yang telah dibuat ‘turndown service’ oleh pengemas bilik dan memastikan bilik yang telah siap dikemas sedia dijual. Setelah selesai memeriksa beberapa bilik, dia masuk ke bilik bernombor 1126 yang diingatkan oleh Miss Wong itu. Bilik itu telah siap dikemas dan hanya menunggu Kak Jasmin untuk membuat pemeriksaan terakhir sebelum ditukar status sedia dijual.
Semasa dia sedang menyusun dan mengemas sedikit kedudukan telefon diatas meja kecil disebelah katil, dia terhidu satu bau yang amat busuk. Tiba tiba bulu romanya naik dan dia berasa seram, seperti ada orang dibelakangnya. Kak Jasmin menoleh kebelakang, alangkah terkejutnya dia kerana dihadapannya satu susuk tubuh seperti wanita berbaju putih dengan tompokan d***h merah yang banyak. Malah yang lebih mengerikan adalah, makhluk itu yang tidak berkepala!
Makhluk itu memusingkan tubuhnya perlahan menghadap Kak Jasmin.
“Allahhuakbar!” jerit Kak Jasmin, dan makhluk itu tiba tiba menghilang. Dia kemudiannya berlari keluar dari bilik 1126 itu dan terus menuju ke pejabat houseekeeping. Sampai di pejabat, dia menenangkan dirinya dan menceritakan perkara itu kepada Hadilah, kerani yang bertugas bersamanya petang itu. Dia tidak berani untuk naik semula memeriksa bilik malam itu bersendirian. Dia meminta pekerja yang belerja shift petang untuk menemaninya. Keesokan harinya, Kak Jasmin demam.
Aku sudah mahu tidur malam semalam, tapi terganggu dengan satu panggilan telefon dari pejabat. Hadilah, kerani housekeeping yang menelefon.
“Ha geng, ada apa? Tak balik lagi kau?” tanyaku pendek.
“Hello Am, maaf ganggu. Kau tahu kan, aku dengan Kak Jasmin hari ini kerja petang. Masa nak balik tadi sebenarnya aku dah turun dulu dah.” jawab Hadilah.
“Ha, lepas tu?” tanyaku lagi.
“Kau tahu lah, Kak Jasmin bersiap lambat. Lepas tu katanya dia nampak aku tapi dari belakang badan sahaja. Dia cakap aku menghadap dinding loker. Dia tanya dua kali, ‘tak balik lagi ke?’. Padahal masa tu aku dah turun dulu.” jawab Hadilah lagi.
“Lepas tu, lepas tu?” tanyaku tidak sabar.
“Lepas tu ‘aku’ yang dia nampak tu pusingkan muka tengok dia. Eh, bukan muka tapi kepala dan terus ketawa mengilai. Kak Jasmin pun apa lagi terus lari turun bawah dengan muka tak siapnya. Jumpa aku kat bawah ni, dia cerita kat aku tadi sambil menangis ketakutan. Kesian dia.” jawab Hadilah, dia juga bagitahu yang dia menelefon aku dari pejabat security.
“Okay, tapi kenapa kau telefon aku? Kau dah bagitahu boss?” tanya aku, pelik juga kenapa aku yang dia hubungi untuk ceritakan tentang kejadian yang dialami Kak Jasmin itu.
“Dah, sebab tu aku telefon kau ni Am. Boss minta kau masuk pagi esok, sebab supervisor bilik sorang kena masuk petang. Kak Jasmin rasanya MC esok ni.” jawab Hadilah.
Entah kenapa aku boleh lupa yang setiap kali Kak Jasmin diganggu, dia akan demam. Maka aku pun terpaksa masuk kerja shift pagi hari ini. Semoga Kak Jasmin cepat sembuh dan tidak teruklah demam dia kali ini.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit