Penghuni Pejabat Kerajaan PART 1

Assalamualaikum dan salam Sejahtera buat semua pembaca dan admin FS sekalian. Nama Aku King. Kisah yang bakal aku kongsikan adalah merupakan pengalaman seram yang berlaku dan dihadapi oleh diri aku sendiri. Untuk makluman pembaca sekalian, aku dianugerahkan oleh ALLAH SWT suatu nikmat dunia yang kita biasa gelarkan sebagai ‘Deria Ke-6’. Namun, deria ke-6 aku ini bukanlah seperti sekalian hamba ALLAH lain yang sering berada didalam ‘Active Mode’ tetapi hanya terjadi ketika aku berada dalam keadaan uzur/tidak boleh solat ataupun sekiranya tubuh badan aku berada dalam keadaan yang lemah dan teramat letih. Namun, kelebihan ini bukan hanya kepada penampakkan sahaja tetapi juga kerap menggangu dengan cara entiti-entiti ini menjelma sebagai kenalan-kenalan aku sendiri.

Kisah yang ingin aku sampaikan ini terjadi pada tahun 2021 ketika aku baru bekerja di sebuah syarikat swasta yang bekerjasama dengan badan kerajaan dalam menawarkan sistem untuk diguna pakai di pejabat kerajaan. Sebagai ‘IT SUPPORT’ yang ditugaskan untuk menjaga dan mengawal selia peralatan komputer aku dan beberapa lagi kakitangan dari syarikat yang sama iaitu Kak Pipah, Farah dan Naj diberi sebuah bilik sebagai tempat operasi kami untuk menjalankan tugas-tugas tertentu. Suatu hari, aku mengalami sakit perut yang teruk yang memaksa aku untuk ke tandas dengan kerap. Ketika pulang dari tandas, aku bertemu dengan Farah dan Naj yang ketika itu sedang menolak troli fail-fail yang perlu digunakan. Selesai bertukar kata, aku pun menuju ke bilik operasi kami.

Untuk makluman pembaca, bilik yang kami gunakan tidaklah besar cuma hanya mampu memuatkan sebuah meja mesyuarat kayu yang menempatkan set-set komputer kami dan sebuah mesin pencetak besar Pintu di bilik tersebut juga akan mengeluarkan bunyi sekiranya dibuka dek kerana engsel pintu yang sudah berkarat dan sesiapa yang ingin keluar atau masuk perlu melalui bahagian aku terlebih dahulu. Memandangkan kedudukan kerusi aku berada di belakang pintu, aku terus masuk dan duduk namun dapat melihat sekilas lalu akan keberadaan Kak Pipah di hadapanku yang sedang bermain telefon bimbitnya tetapi disebabkan oleh komputer-komputer disitu menghalang jadi pandangan ku terbatas tetapi tidak aku hiraukan memandangkan sakit diperut lebih diutamakan.

Aku terus meletakkan kepalaku diatas meja dan mengusap perutku perlahan. sambil berkata “Kak Pipah, sakit benor perut ni harini. Dari tadi dah ngulang ke jamban aje ni.. Jenuh ler”. Aku kemudiannya mendengar suara Kak Pipah berkata “Sapu la minyak”. Aku pon mengangkat kepala memandang wajah Kak Pipah dan berkata “Dah sapu tapi tak jalan”. Kelihatan Kak Pipah tersenyum tetapi aku rasakan senyumannya agak menyeramkan lalu aku kembali meletakkan kepala diatas meja menghadap kearah pintu. Seusai itu, kelihatan pintu dibuka dan muncul wajah Farah dan Naj dibalik pintu.

Namun apa yang lebih memeranjatkan aku adalah kelihatan sosok tubuh Kak Pipah berjalan masuk ke dalam bilik dan dengan terpinga-pinga aku bertanya “Aik, bila masa Kak Pipah keluor ?”. Kak Pipah yang kelihatan keliru berkata “Ehh, akak memang kat luor la King. Kan kami bertiga buat kerja kat bilik fail harini”. Kemudian dijawab oleh Farah “Ye la King, kan masa kita berselisih tadi Farah dah kabo kami kat bilik fail” Lalu baruku tersedar sebelum berpamit dari berjumpa Farah dan Naj, Farah ada memberitahuku mengenainya tetapi disebabkan keadaan perut yang sakit aku tidak mendengar butir-butir katanya yang di akhir itu.

Umpama tersedar dari mimpi, serasa seperti tidak mampu bernafas, aku menoleh kearah tempat duduk Kak Pipah dan meremang bulu romaku melihat sosok makhluk yang menyerupai Kak Pipah itu menyerigai senyumnya sebelum hilang dari pandangan. Mungkin perasan akan perubahan diwajahku, mereka bertiga bertanya, “King, king okay ke ?”. Umpama kembali bernyawa, aku memandang wajah mereka silih berganti dan menghela nafas panjang. Kemudian dengan senyuman aku berkata, “Dia hulurkan salam perkenalan dekat King”. Naj yang lurus kemudian bertanya, “Siapa kirim salam?”. Tergelak aku dibuatnya. Kemudian dengan nafas yang berat, aku memulakan bicara mengenai kejadian yang terjadi dan menceritakan perihal ‘Deria Ke-6’ yang kumiliki. Maka tersebarlah kisah seram yang terjadi kepadaku ke seluruh pejabat.

Apabila aku turun untuk melakukan kerja-kerja teknikal di jabatan-jabatan tertentu, aku dihujani pertanyaan demi pertanyaan daripada kakitangan-kakitangan pejabat kerajaan tersebut akan kesahihan khabar angin seram yang telah mereka dengari. Aku hanya mampu tersenyum dan mengiyakan sahaja. Kemudian meraka juga menceritakan akan kejadian yang sama pernah terjadi kepada salah seorang staff disitu tidak lama dulu lalu dengan nada mengusik mengatakan kepadaku bahawa makhluk ini telahpun menyambut ketibaan aku ke pejabat tersebut. Aku hanya mampu tersenyum mendengarnya.

Kisah yang seterusnya berlaku ketika aku sudah berkhidmat selama 5 bulan di pejabat tersebut. Memandangkan prosedur-prosedur kerja sebelum pelancaran sistem dilaksanakan berada dalam fasa akhir persediaan, kebanyakkan masa kerja kami bermula seawal 7.00 pagi sehingga 12.00 tengah malam berikutan mengejar ‘timeline’ yang ditetapkan oleh syarikat. Disebabkan aku seorang sahaja dibahagian teknikal, maka kebanyakan kerja-kerja dilakukan secara berseorangan. Ketika itu jam menganjak ke pukul 10 malam dan aku sedang menukar dan menaiktaraf komputer di kaunter awam dan rakan-rakan sekerjaku yang lain berada di dalam bilik fail yang terletak di bahagian belakang kaunter tempat aku sedang bekerja.

Sedang aku focus kepada kerjaku tiba-tiba kedengaran seperti pintu ‘shutter’ dibahagian luar kaunter dibuka. Sangkaanku mungkin ada staff yang ditugaskan untuk menutup pintu membuka semula pintu tersebut lalu aku mengintai sedikit untuk melihat gerangannya. Akan tetapi mataku melihat pintu itu tidak berusik dan tiada sesiapa disitu. Aku menyedapkan hatiku dengan berkata mungkin angin kuat diluar meniup pintu itu sehingga membuatkan bunyinya seperti dibuka. Aku meneruskan kerja-kerjaku yang tergendala sehingga telingaku menangkap bunyi kain yang umpama dilibas-libas dan bila diangkat kepalaku, mataku tertangkap kelibat berterbangan dihadapan kaunter yang dihalang cermin lutsinar. Serta merta bulu romaku menegak lalu seperti diajar oleh ayahku, aku mula membaca ayat-ayat suci AL QURAN serta menghembuskannya kearah makhluk itu. Kelibatnya terus menghilang dan aku menghembuskan nafas lega.

Aku kembali menyambung tugasku yang tergendala namun tidak berapa lama, tumpuanku kembali terganggu dengan bunyi derap kaki kanak-kanak sedang berlari-lari dihadapan kaunter tersebut. Kedengaran seperti ramai kanak-kanak disitu tetapi bila kupandang tiada seorang pun disitu dan logik akalku seperti kembali semula setelah lama memproses. Mindaku berkata”Eh, ape hei pulak nak ada budak-budak kat sini, dah pukui sebelas kot. Pintu pun dah tutup’. Tidak menunggu lama, aku mengemas peralatanku lalu bergerak meninggalkan kawasan kaunter tetapi ekor mataku menangkap sosok makhluk berambut panjang dihujung kaunter itu sedang merenung tajam ke arahku. Dengan langkah yang terburu-buru, aku tidak sempat menyarung selipar lalu bergegas menuju ke bilik fail dimana rakan-rakan sekerjaku yang lain berada dalam keadan berkaki ayam dan tercungap-cungap.

Mereka yang berada di bilik itu memandangku pelik dan bertanya lalu aku membuat isyarat supaya tidak bertanya dengan lebih lanjut dan mereka mengerti. Mereka kemudiannya menyambung semula kerja dan 20 minit selepas itu kami semua memutuskan untuk pulang ke rumah. Berikutan ramai diantara kami yang menetap jauh dari kawasan pejabat tersebut, kami menumpang duduk di rumah sewa Naj yang berdekatan dengan pejabat memandangkan kami perlu masuk kerja awal pagi dan pulang lewat malam. Bersambung…..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

CikKing08

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 31 Average: 4.4]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.