Est. 2015 Fiksyen Shasha Kisah Benar

Yang Mengekori Dari Cermin Sisi

Bismillah. Sebelum ni aku ada menceritakan kisah ini dengan kawan aku satu kerja, si Firman namanya. Lepas habis aku cerita, dia terus paksa aku hantar kisah ni ke laman-laman macam ni. Aku sebenarnya malas nak menulis semula, sebab setiap kali aku ingat balik malam tu, tangan aku memang akan sejuk sendiri. Tapi biarlah, kali ini aku kongsikan juga.

Sampai je depan rumah malam tu, aku terus bagi salam kuat-kuat. Suara aku sendiri pun aku dengar bergetar. Ibu aku terus buka pintu, muka dia risau bukan kepalang. Rupanya dari tadi dia dengan ayah aku duduk menunggu di ruang tamu, lampu semua dibuka, radio pun tak ditutup. “Kenapa lambat sangat ni? Dah nak pukul 12 baru sampai,” ibu aku tanya sambil tangan dia menggenggam tangan aku, macam nak pastikan aku betul-betul ada di situ, bukan bayang-bayang. Aku tak sempat nak jawab apa-apa, terus masuk ke bilik air basuh muka. Malam tu aku tidur dengan lampu bilik terbuka penuh. Esoknya baru aku cerita semuanya kat ayah dan ibu aku. Cerita yang aku nak kongsikan dekat korang sekarang ni.

Jom aku bawak korang undur balik sikit, ke petang sebelum semua ni berlaku.

Hari tu aku masih bekerja di sebuah kilang di pinggir bandar. Balik dari kerja dalam pukul 7 malam. Esok dan lusa aku dapat cuti, jadi masa itulah paling sesuai untuk aku pulang ke kampung, jumpa ibu ayah yang dah lama tak nampak muka anak dara.. eh, anak jantan dia ni. Darah muda memang tak pernah rasa gentar dengan perjalanan malam. Bagi aku, jalan waktu malam ada baiknya, sebab tak kena dengan jem, jalan raya lengang, sejuk sikit pun boleh tahan. Tapi ada juga buruknya, cuma waktu tu aku tak fikir panjang sangat pasal itu.

Dalam jam 10 malam, aku dah siapkan semua barang yang perlu dibawa. Beg pakaian, dompet, telefon dicas penuh. Sempat juga singgah kedai runcit dekat rumah sewa untuk beli sedikit lauk pauk nak bawak balik kampung, sebab ibu aku selalu suruh bawa daging kalau ada jual murah kat bandar. Malam tu memang ada jual, murah sikit dari biasa. Aku beli sekilo lebih, bungkus dalam plastik hitam, letak dalam bakul plastik di tempat duduk belakang. Tak sempat nak masuk peti sejuk, memang biasa je macam tu bagi aku, budak muda mana amik port pasal bau-bauan begitu.

Perjalanan itu mengambil masa dalam 2 jam kalau ikut laju biasa. Jalan lurus, kiri kanan hutan simpan dan ladang sawit, cahaya lampu jalan pun jarang-jarang, kadang gelap sepenuhnya melainkan lampu kereta aku sendiri. Radio aku bukak perlahan, lagu-lagu lama, sekadar nak buang sunyi. Dalam pukul 11 lebih, waktu aku dah melalui satu regangan jalan yang aku memang biasa lalu, tiba-tiba aku terasa ada sesuatu yang tak kena.

Mula-mula aku ingat bunyi angin je. Tapi kemudian aku nampak dari cermin sisi kanan, ada sesuatu yang terbang mengekori kereta aku. Warna putih, berkibar-kibar macam kain basah kena angin kencang. Aku pandang balik ke depan, cuba yakinkan diri, mungkin plastik sampah terbang atau apa. Tapi bila aku pandang semula ke cermin sisi, benda tu masih ada. Semakin lama semakin dekat, terbang sejajar dengan kelajuan kereta aku, tak tertinggal langsung walaupun aku sudah tekan minyak lebih laju.

Jantung aku berdegup kuat. Tangan aku basah dengan peluh sedangkan kereta ada aircond. Aku cuba pandang betul-betul, dalam gelap malam itu aku dapat lihat rambutnya panjang terurai, wajahnya pucat, matanya seakan-akan merah menyala walaupun tiada cahaya terang di situ. Mulutnya sedikit terbuka, macam menghidu-hidu udara sekeliling kereta aku. Aku terus baca ayat Kursi, bibir aku bergerak pantas, suara aku sendiri hampir tak keluar sebab tekak kering. Tak berhenti-henti aku ulang, campur dengan surah-surah pendek yang aku ingat, apa saja yang termampu aku ingat waktu tu, semuanya aku bacakan.

Dalam kepala aku hanya satu fikiran.. jangan berhenti, jangan tengok cermin lagi, jangan biar kelajuan turun. Tapi mata aku macam ditarik paksa untuk sesekali mengintai cermin sisi. Benda tu masih di situ, terbang berendoi-endoi ke kiri dan ke kanan, seakan-akan sedang menimbang-nimbang bila nak menghampiri lagi dekat. Aku rasa dalam 5 minit lamanya perkara ni berlaku, walaupun waktu tu terasa macam sejam bagi aku. Selepas itu, entah macam mana, tiba-tiba je bayang tu hilang. Aku tak nampak dia terbang pergi, tak nampak dia jatuh, cuma tiba-tiba cermin sisi tu kosong semula. Hanya jalan gelap dan pokok-pokok sawit yang berbaris di kiri kanan.

Aku tak berani nak perlahankan kereta walaupun sesaat. Tekan minyak penuh sampai ke simpang kampung, barulah aku kurangkan kelajuan sikit demi sikit. Dan macam mana aku dah cerita tadi, sampai rumah aku terus bagi salam, ibu ayah masih menunggu sebab sebelum tu aku memang dah telefon dulu, dan ayah aku sempat pesan suruh bawa kereta berhati-hati, jangan laju sangat. Alhamdulillah, sampai juga aku dengan selamat.

Esoknya bila aku ceritakan semua ni kat depan ayah dan ibu sambil sarapan, ayah aku terus memintas cerita aku separuh jalan.

“Lain kali jangan bawak daging yang mentah dalam perjalanan jauh waktu malam pulak tu,” ayah aku kata, muka dia serius, tak nampak langsung dia bergurau.

Aku terkejut. “Kenapa pulak ayah?”

Ayah aku hanya gelengkan kepala, sambil sudu nasi dia berhenti seketika di udara. “Benda-benda tu suka bau darah, lagi-lagi dalam gelap malam. Kau ni bawak sekilo lebih daging mentah dekat tempat duduk belakang, tak hairanlah dia ikut sampai jauh macam tu.”

Sejak hari tu, setiap kali aku terpaksa bawa balik lauk pauk dari bandar ke kampung, aku pastikan semua dibungkus rapi dalam bekas sejuk, tak dibiarkan terdedah macam dulu. Dan setiap kali aku memandu jauh waktu malam sorang-sorang, aku tak lupa baca doa perjalanan sampai habis, tak macam dulu setengah jalan je.

Cerita Berkaitan
Ada kisah sendiri?

Kongsi pengalaman seram anda.

Hantar Kisah

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Nak cerita baru kami hantar terus ke Telegram anda? Jom Join 👻 Join Telegram