Bayang di Aras Tertinggi

Assalamualaikum, nama aku Liyana. Budak course perakaunan dekat Kolej Teknologi Di suatu tempat, sekarang ni dah semester kedua. Kisah yang aku nak cerita ni berlaku masa aku semester 1. Yang aku kena ni taklah teruk sangat, jadi aku sekadar nak kongsi pengalaman yang aku alami.

Kolej aku ni memang terletak di tengah-tengah ladang kelapa sawit. Kiri kanan, depan belakang… kelapa sawit je yang mata nampak. Lepas balik cuti seminggu lepas MDS, aku pun pulanglah ke kolej. Masa tu aku tak tahu sangat pasal cerita-cerita aneh yang orang kata pernah jadi dekat sini.

Aku ni jenis rajin stay up, tak kisah kalau nak berjalan tengah malam kat kolej sebab nak menghafal. Bilik aku terletak di blok Alpha, aras 4 tingkat paling atas dan hujung sekali. Dari tingkap bilik, memang terus nampak ladang kelapa sawit. Malam tu aku tengah layan movie, lebih kurang pukul 3 pagi, aku rasa nak ke tandas. Nasib baik tandas sebelah bilik je.

Keluar tandas, aku singgah nak cuci tangan. Dekat cermin depan sinki tu, kalau pandang betul-betul memang akan nampak pantulan ladang kelapa sawit di belakang. Bila aku angkat kepala tengok cermin, masa tu lah aku nampak ada satu bayangan hitam. Ia macam gumpalan asap, tak berbentuk, tak ada muka. Cuma aku boleh nampak ia bergerak di tempat yang sama. Bila aku toleh belakang, dah tak ada. Aku fikir mungkin aku penat dan mengantuk. Masuk bilik semula, sambung tengok movie.

Tak lama lepas tu, aku dengar bunyi ketukan kuat di pintu bilik. Tiga kali ketuk, berhenti… kemudian bunyi seretan kaki depan pintu. Bayang seseorang melintas, berjalan ke kiri, ke kanan, kemudian berhenti semula depan pintu. Tiga kali ketuk lagi. Aku tak berani buka. Aku baca doa apa yang aku ingat, kemudian paksa diri tidur.

Seminggu selepas tu, aku dah lupa kejadian tu. Malam tu aku balik lewat lepas aktiviti kawad. Sampai bilik pukul 12.30 tengah malam, roommate aku dah tidur atas lantai seperti biasa. Aku penat sangat, terus tukar baju dan tidur. Tengah malam entah pukul berapa, aku tersedar. Dalam samar cahaya lampu jalan yang masuk melalui tingkap, aku nampak siluet tubuh duduk di kerusi meja belajar aku. Bentuk badan tu macam aku kurus keding.

Aku ingatkan roommate aku, tapi bila aku periksa, dia masih tidur di lantai. Tubuh di kerusi tu tak bergerak, cuma perlahan-lahan memalingkan kepala ke arah aku. Aku cepat-cepat alih pandangan ke dinding, pura-pura tak nampak, dan akhirnya tertidur semula.

Kejadian terakhir berlaku seminggu sebelum final exam. Aku bangun pukul 3.30 pagi untuk menghafal. Aku keluar ke tangga blok sebab tak nak ganggu roommate. Kawasan tangga tu cerah, jadi aku rasa selamat. Tengah belajar, aku dengar bunyi seretan kaki dari bawah. Mula-mula aku cuba tak ambil peduli. Tapi bunyi tu makin lama makin dekat… dan aku sedar ia sedang menaiki tangga perlahan-lahan menuju tempat aku duduk.

Tanpa tunggu lama, aku terus cabut masuk bilik. Sejak tu, Alhamdulillah tak ada lagi kejadian pelik. Sekarang aku masih di blok dan aras yang sama, cuma bilik aku menghadap blok lain bukan lagi menghadap ladang kelapa sawit itu.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.