Malam itu, langit kelihatan pekat tanpa bintang, hanya cahaya bulan separa yang samar menyinari denai kecil yang jarang dilalui orang. Denai itu berada jauh dari kampung, menghubungkan kawasan sawah dengan sebuah hutan kecil yang sudah lama terkenal dengan kisah-kisah aneh. Orang-orang tua sering berpesan, “Kalau kau balik malam, jangan sekali-kali menoleh ke belakang bila melintas denai itu.” Pesan itu kedengaran seperti gurauan, tetapi ramai yang memilih untuk tidak mencubanya.
Seorang pemuda bernama Faiz, yang baru pulang dari rumah kawannya, terpaksa menggunakan laluan tersebut kerana jalan utama ditutup untuk kerja pembaikan. Dia tahu kisah-kisah seram itu, tetapi demi cepat sampai rumah, dia menggagahkan diri. Sambil mengayuh basikal, telinganya menangkap bunyi malam yang tidak biasa. Angin seakan mati. Tiada cengkerik, tiada katak hanya senyap yang berat seolah-olah menindih dadanya.
Ketika roda basikal melintasi jalan tanah yang sempit itu, Faiz terasa seolah-olah ada sesuatu yang mengikutinya dari belakang. Dia menolak perasaan itu, cuba menenangkan diri dengan membaca doa yang dihafalnya sejak kecil. Namun, bulu tengkuknya semakin tegak apabila bunyi langkah seiring kayuhan basikalnya kedengaran. Bunyinya bukan langkah manusia biasa, seolah-olah sesuatu menyeret kaki di tanah yang berdebu.
Faiz menoleh sedikit melalui ekor mata, dan di hujung denai yang samar bercahaya bulan, jelas kelihatan satu bayang panjang yang tidak menentu bentuknya. Ia tidak berjalan, sebaliknya meluncur perlahan di atas tanah, seakan kabus hitam yang menebal. Jantung Faiz berdegup kencang, tangannya berpeluh, dan basikalnya hampir terhuyung.
“Jangan pandang, jangan pandang…” suara hatinya merayu, namun naluri ingin tahu lebih kuat. Dia menoleh, dan pandangan matanya hampir beku. Bayang itu kini berada lebih dekat, dengan bentuk menyerupai tubuh manusia, tetapi wajahnya kabur dan hanya menonjolkan mata yang merah menyala, menatap tepat ke arahnya.
Faiz menjerit kecil lalu mengayuh sekuat hati, nafasnya tersangkut-sangkut. Bayang itu tidak lagi meluncur perlahan, sebaliknya bergerak seiring dengan kayuhannya. Sesekali, telinganya menangkap bunyi bisikan yang sayup tetapi menusuk, seolah-olah berbisik tepat di telinganya: “Kenapa kau bakar laluan kami?”
Faiz tidak faham maksud bisikan itu, tetapi rasa bersalah tiba-tiba muncul dalam dirinya. Dia teringat, beberapa minggu lalu, dia bersama kawan-kawan pernah membersihkan kawasan berhampiran denai dengan membakar daun-daun kering. Mereka bergurau, tidak menghiraukan larangan orang tua yang pernah berkata, “Itu laluan mereka, jangan kau usik dengan api.”
Basikalnya akhirnya terkeluar dari denai, memasuki kawasan kampung yang terang dengan lampu jalan. Anehnya, sebaik sahaja keluar dari laluan itu, bayangan hitam itu hilang, seakan larut ke dalam gelap malam. Namun, bisikan itu masih terngiang di telinganya, mengiringi setiap langkahnya pulang.
Sejak malam itu, Faiz sering jatuh sakit tanpa sebab. Tubuhnya lemah, dan setiap kali tidur, dia bermimpi berada di hujung denai itu, dengan bayangan merah yang menunggu. Keluarganya akhirnya memanggil seorang ustaz untuk membantu. Ustaz itu hanya menghela nafas panjang setelah mendengar cerita Faiz, lalu berkata:
“Engkau telah melintas dan mengusik laluan mereka. Ada perkara yang tidak patut disentuh. Mereka hanya menuntut janji supaya kau tidak lagi mengulanginya.”
Selepas rawatan dilakukan, keadaan Faiz kembali pulih, apa yang pasti Faiz tidak lagi mengulangi perbuatannya dan tak lagi melalui jalan itu
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit