Bertemu dengan Cik Cong
Assalamualaikum. Hari ini saya ingin berkongsi kisah pengalaman saya sendiri yang tak pernah saya lupakan iaitu bertemu dengan Cik Cong.
Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 2004, ketika saya di Tingkatan 4 di sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Pahang. Waktu itu, cerita tentang Cik Cong memang tengah hangat diperkatakan di asrama. Ramai pelajar junior, terutamanya Tingkatan 1 hingga 3, mendakwa mereka diganggu oleh ‘makhluk’ ini. Namun, kami pelajar Tingkatan 4 tahu sebenarnya ia hanyalah gurauan kasar pelajar senior Tingkatan 5 yang suka mengusik junior.
Kami tidak terlibat dalam ‘projek hantu’ ini. Dalam erti kata lain, kami tak ambil ‘port’ sangat. Lagipun, siapa nak percaya dengan kisah-kisah hantu kalau dah tahu ia kerja manusia, betul tak?
Namun, malam itu segalanya berubah.
Saya sedang tidur di katil ‘double decker’, di bahagian bawah. Lampu dorm waktu itu sudah ditutup, hanya tinggal cahaya samar dari koridor. Sedang saya lena, telinga saya menangkap bunyi bising. Suara budak-budak junior menjerit kecil, ada yang menangis. Saya tersedar dan mendengar dengan jelas ada suara-suara ketawa perlahan, suara senior Tingkatan 5 yang saya kenal. “Ah, mereka buat kerja lagi,” bisik hati saya.
Saya langsung tidak berasa takut. Malah saya geleng kepala sambil tersenyum kecil. Tetapi ketika saya memandang ke kiri, jantung saya terasa berhenti berdetak seketika.
Di situ, berdiri satu susuk tubuh. Tinggi, kurus, berbalut kain putih lusuh. Dalam hati saya sempat berbisik, “Ini siapa pula nak mengusik aku?” Saya yakin itu salah seorang senior.
Namun, keadaan mula berubah bila ‘dia’ melabuhkan punggung di atas katil saya. Gaya duduknya seperti orang yang datang melawat pesakit di hospital duduk di tepi katil, tapi kaki masih tergantung ke lantai. Perlahan-lahan, dia memandang tepat ke muka saya.
Ketika itu darah saya terasa beku. Wajahnya… hitam legam. Matanya merah menyala. Saya perhatikan lebih dekat, kulitnya penuh kesan menggerutu, seperti luka bernanah yang sudah kering.
Yang pelik, tiada bau busuk langsung. Biasanya orang kata kalau benda tu muncul, mesti ada bau wangi atau bau busuk. Tapi kali ini, langsung tak ada. Itu yang buat saya rasa lebih meremang.
Saya cuba yakinkan diri, “Ini mesti senior yang pakai make-up. Tapi, rajin gila nak bersolek bagai.” Saya cuba cam wajahnya, namun tak seorang pun senior F5 yang saya kenal sebegitu rupa. Semakin lama saya perhatikan, semakin kuat perasaan seram merayap dalam diri.
Tiba-tiba, saya terdengar bunyi dengusan. Perlahan, berat, seperti sedang menahan marah. Mata kami bertentang. Saat itu, bulu roma saya tegak berdiri. Satu perasaan aneh menjerut dada saya, saya tahu ini bukan manusia.
Dalam hati saya menjerit, “Ini Cik Cong betul!”
Apa yang berlaku selepas itu, saya langsung tak ingat. Sama ada saya pengsan, atau saya cuba tidur kembali kerana terlalu takut, saya sendiri tidak pasti. Yang saya tahu, bila saya buka mata esok pagi, ‘dia’ sudah tiada. Namun wajahnya… kekal segar dalam ingatan saya sampai hari ini.
Tapi itu bukan kali terakhir. Ada satu ketika, junior saya yang tidur di katil atas pernah ternampak kelibat yang sama berdiri betul-betul depan pintu dorm. Katanya, tinggi susuk itu melebihi bingkai pintu.
Bukan itu saja. Kawan saya dari blok lain pun pernah terkena. Malam itu, dia dan gengnya kononnya nak pergi cari Cik Cong di kawasan belakang asrama, tapi hampa kerana tak jumpa. Dia pun balik dorm dan tidur. Namun, bila dia terjaga di tengah malam, makhluk itu berdiri tegak di hujung katilnya.
Wallahu a’lam. Ini bukan cerita rekaan, tapi pengalaman sebenar saya.