Kisah ini aku dengar sendiri daripada seorang pakcik pengawal sekolah rendah di kampungku. Orangnya sudah tua, beruban, tetapi masih kuat berjalan meronda setiap malam. Katanya sudah lebih sepuluh tahun dia menjaga sekolah itu. Bila aku bertanya tentang pengalaman seram, dia hanya senyum nipis, sebelum akhirnya bercerita tentang satu kejadian yang sampai sekarang masih membuat bulu romanya meremang bila diingatkan.
Malam itu seperti biasa dia membuat rondaan selepas jam 11. Sekolah sudah gelap, hanya lampu di pondok pengawal dan beberapa sudut koridor menyala. Angin malam bertiup dingin, sepi hanya ditemani bunyi cengkerik. Sedang dia berjalan di koridor tingkat bawah, telinganya menangkap sesuatu yang ganjil. Dari arah blok darjah lama, terdengar bisikan halus seakan-akan suara beberapa orang kanak-kanak sedang berbual, ketawa perlahan, seperti dalam kelas yang hidup dengan murid.
Dia berhenti. Jam ditangannya sudah hampir 12 malam. Mustahil ada murid pada waktu begitu. Dengan hati-hati dia melangkah mendekati kelas. Semakin dekat, bisikan itu makin jelas, bercampur bunyi meja kerusi digeser perlahan. Dia cuba beranikan diri, menyuluh lampu suluh ke dalam kelas melalui cermin tingkap. Kosong. Tiada siapa di dalam. Meja dan kerusi tersusun rapi seperti biasa.
Dia menarik nafas lega, tetapi baru hendak beredar, kedengaran namanya dipanggil perlahan. Suara itu datang dari dalam kelas. Perlahan tetapi jelas: “Pak cik…” Dia kaku. Cahaya lampu suluh di tangannya terketar-ketar. Dia yakin benar, tiada orang di dalam. Dengan segera dia melangkah pergi, namun baru beberapa tapak, kedengaran lagi suara, kali ini garau dan bergema: “Jangan lari…”
Jantungnya berdegup kencang, hampir mahu pecah. Dia terus berlari ke pondok pengawal tanpa menoleh lagi. Katanya malam itu dia langsung tidak melelapkan mata, hanya membaca doa berulang kali sambil menunggu azan Subuh.
Esoknya, dia cuba bertanya kepada seorang guru lama di sekolah itu. Guru itu hanya mengangguk perlahan lalu berkata, “Bilik darjah hujung itu memang lama ada cerita. Orang dulu kata, pernah ada murid yang sakit tenat tetapi tetap datang ke sekolah… akhirnya dia rebah di kelas itu, dan meninggal beberapa hari kemudian. Sejak itu, ada yang dengar suara, ada yang dengar ketukan, dan ada yang nampak kelibat kecil duduk di bangku belakang.”
Sejak malam itu, pakcik pengawal mengaku dia tidak lagi berani meronda seorang diri sampai ke blok hujung. Katanya, kalau mahu juga, dia akan pastikan ada seorang lagi pengawal menemaninya.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Ape lah pakcik tu, dah tua2 pn takut..