Aku tak pernah percaya sangat pada cerita-cerita seram. Tapi sejak peristiwa pagi itu, aku mula sedar ada perkara yang tak mampu aku jelaskan. Perjalanan yang sepatutnya cuma biasa-biasa saja, berubah menjadi kisah yang menghantui aku hingga ke hari ini.
Pagi itu, aku terpaksa bertolak dari kampungku di Kudat menuju ke Kota Kinabalu sekitar jam 3 pagi, sebab aku perlu sampai awal untuk urusan kerja penting. Aku sengaja pilih waktu itu untuk elak kesesakan lalu lintas, sebab biasanya jalan dari Kudat ke Kota Kinabalu waktu siang memang sesak.
Aku bertolak seorang diri, memandu dalam keadaan sedikit mengantuk tetapi ditemani bunyi radio. Jalan pada waktu itu memang kosong. Aku memandu dengan tenang, menikmati suasana malam yang gelap dan sunyi. Semuanya terasa biasa sehinggalah aku tiba di kawasan Bukit Ulu Kukut, sebuah kawasan berbukit yang terkenal dengan cerita-cerita pelik dan menyeramkan di kalangan penduduk setempat.
Setiba aku di situ, radio tiba-tiba mengalami gangguan. Suara DJ yang tadi ceria bertukar menjadi bunyi statik yang aneh, berselang-seli dengan bunyi perlahan seperti suara orang berbisik.
Aku abaikan. Mungkin kawasan ini memang kurang mendapat liputan radio.
Tapi tak lama kemudian, aku ternampak kelibat seseorang di tepi jalan. Aku suluh lampu tinggi, jelas kelihatan seorang wanita berbaju putih berdiri di tepi jalan, rambut panjangnya melindungi wajah. Aku memperlahankan kenderaan, rasa simpati mula muncul kerana fikir mungkin wanita itu perlukan bantuan.
Namun, saat aku hampir berhenti, perasaan seram tiba-tiba menyerangku. Ada sesuatu tentang wanita itu yang sangat tidak kena. Rambutnya kelihatan terlalu panjang, terjuntai hingga ke tanah, dan badannya bergoyang perlahan seakan tiada tulang.
Aku batalkan niat berhenti, segera menekan pedal minyak untuk mempercepatkan perjalanan. Tetapi, ketika aku memecut meninggalkan tempat itu, aku terkejut besar kerana dari cermin sisi aku melihat wanita itu kini berlari pantas di belakang kereta aku!
Jantungku berdegup kencang. Aku tekan minyak lagi, cuba memecut sekuat hati, tapi kelibat itu tetap mengejar, seakan-akan terapung di atas jalan. Aku cuba tak pandang cermin lagi, tapi rasa ingin tahu buat aku melihat sekali lagi.
Saat aku pandang cermin sisi, wanita itu sudah tiada. Aku tarik nafas lega, cuba menenangkan diri, tapi tiba-tiba aku terdengar suara bisikan perlahan dari kerusi belakang kereta aku sendiri.
“Kenapa kau tak berhenti tadi?”
Bulu roma aku meremang serta-merta. Aku pandang ke belakang perlahan-lahan melalui cermin tengah. Dan di situlah aku melihat wajahnya dengan jelas buat pertama kali matanya hitam penuh tanpa putih, wajah pucat kebiru-biruan, bibirnya terkoyak hingga ke telinga dengan senyuman menyeramkan.
Aku hilang kawalan. Hampir sahaja kereta aku terbabas, tetapi aku sempat tekan brek mengejut. Aku turun dari kereta, terduduk di bahu jalan dalam keadaan menggigil. Wanita itu hilang, tapi suasana masih pekat gelap.
Beberapa minit kemudian, sebuah lori berhenti di belakangku. Pemandu lori turun, mendekati aku dengan wajah risau.
“Kau nampak dia tadi?” tanya pemandu lori itu tiba-tiba. Aku mengangguk perlahan.
Dia mengeluh panjang. “Dia selalu muncul kat sini, terutama sekitar jam 3 pagi. Dulu ada seorang perempuan yang meninggal dilanggar lari dekat sini, roh dia tak tenteram. Siapa lalu waktu subuh macam ni memang selalu kena ganggu.”
Aku tarik nafas dalam, cuba pulihkan semangat aku yang sudah berkecai. Setelah beberapa ketika, aku memberanikan diri masuk semula ke dalam kereta. Dengan bacaan doa tanpa henti, aku teruskan perjalanan ke Kota Kinabalu. Sepanjang perjalanan, aku rasa ada yang mengikutiku, tapi aku paksa diri abaikan perasaan itu.
Akhirnya, aku tiba di destinasi dengan selamat, walaupun hati masih tak tenang. Aku ceritakan kepada keluargaku tentang kejadian itu. Mereka semua diam, kemudian nenek aku bersuara perlahan:
“Bukit Ulu Kukut tu tempat keras. Dari dulu lagi memang macam-macam cerita berlaku kat sana. Kau bernasib baik sebab masih selamat.
Kini, setiap kali aku terpaksa melalui jalan Kudat-Kota Kinabalu, aku akan elakkan waktu subuh, terutama apabila lalu kawasan Bukit Ulu Kukut.