Di Suatu Subuh

Subuh itu terasa luar biasa panjangnya. Aku lihat jam di dinding, tiga puluh minit lagi untuk menginjak ke pukul 6.00 pagi. Aku rebahkan badan ke tilam. Sayup-sayup kedengaran bunyi cengkerik di luar seakan-akan turut menantikan laungan azan subuh.

Aku diam. Keadaan bilik sedikit suram. Hanya tempias cahaya lampu dari dapur yang menyinari bilik.

Kukalihkan pula pandangan ke arah pintu bilik. Otakku cuba mengeksploitasi minda dengan berimajinasi yang tidak-tidak. Segera ku pejamkan mata.

Tiba-tiba aku teringat. Harisa! Ligat mataku mencari kelibat Harisa, teman sebilikku.

“Eh, tadi bukan ke dia pergi tandas. Tak keluar-keluar lagi ke. Ke dia pergi dapur?” aku bermonolog sendiri.

Fikirku dalam jam 5.00 pagi tadi kami berdua telahpun terjaga ekoran bunyi jam loceng yang aku setkan. Malas rasanya tubuhku untuk bangun, tapi aku gagahi jua untuk mencari Harisa. Aku cari di dalam tandas, tiada. Beralih pula ke dapur, bayang Harisa tidak kelihatan.

“Pelik. Takkan dia keluar rumah tak bagitau aku. Tapi keluar subuh-subuh camni nak ke mana pulak?” aku berdiskusi seorang diri.

Tidak pernah rasanya Harisa pergi kemana-mana tanpa memberitahuku terlebih dahulu.

Aku kaget, aku capai telefon bimbit di tepi katil dan aku dail nombor Harisa. Aku lihat namanya terpapar di skrin telefon bimbit dan aku menanti panggilan disambungkan.

“Seharum bunga…yang menggoda…sekadar dipandang usah dipuja….” bunyi deringan telefon dengan nada dering lagu dendangan Misha Omar, ‘Pulangkan’ tiba-tiba bergema.

Aku diam. Butang ‘END’ aku tekan. Tidak mungkin aku pergi mencari dimana sumber bunyi itu. Nada dering itu saja sudah bisa membuatkan bulu romaku meremang.

Keadaan kembali sunyi. Aku menyumpah serana di dalam hati. Setahu aku Harisa penakut orangnya. Mana mungkin dia menggunakan nada dering tersebut. Kakiku terasa seperti dipaku. Hendak ke kiri, katil. Hendak ke kanan, tandas. “Perlu ke aku tunggu di ruang tamu?”

Belum sempat aku melangkah, tiba-tiba..

“Pulangkan….cinta hatiku……hentikanlah mengHANTUiku…. heee…” elok sahaja suara perempuan yang beralun perlahan itu menyambung lirik lagu yang berdering tadi.

Sebutan ‘hantu’ pada lirik itu sengaja ditekan dengan suara sedikit garau. Dihujung lagu, terdengar ketawa kecil seperti mempersendakan aku yang ketika itu sudahpun tidak senang duduk.

Dadaku berombak pantas. Mata ku pejam rapat. Mulutku terkumat-kamit membaca segala surah yang aku ingat. Namun suara itu seperti tidak asing dipendengaranku. Ia seakan-akan milik Harisa.

“Rina…” sementarah suara itu kudengar, tanganku digenggam lembut oleh sesuatu. Jantungku berdegup kencang seperti sedang berlari pecut 100 meter. Bacaanku terhenti.

“Tadi kau cari aku kat tandas eh..?” meleret sahaja suara itu ku dengar. Persis suara kanak-kanak yang ingin bermanja dengan ibunya. Begitulah alunan suara tersebut. Tapi menyeramkan!

Anak-anak peluh mula membanjiri ubun-ubun dan tengkuk. Aku dapat rasakan, ‘dia’ seperti sedang mencangkung di tepiku dan mendongak melihat muka dan reaksiku. Sudah terbayang ditubir mata betapa ngeri dan menyeringai senyuman ‘dia’ yang puas dapat mempermainkan aku.

Aku cuba meneruskan bacaan tetapi mulutku seakan terkunci. Tetap juga aku dalam keadaan itu selama beberapa minit. Tanganku masih kejap digenggam. Kalau ikutkan hati, saat dan ketika itu juga tubuhku pengsan.

Senyap…

Adakah ‘dia’ masih merenungku?

Tiba-tiba, ada bau hanyir singgah dihidungku. Bau yang sangat aku kenal. Berderau d***h dan jantungku saat dan ketika itu. Bau d***h! Belum sempat mindaku memproses apa yang berlaku, aku dapat rasakan seperti ada cecair yang meleleh dicelah pehaku. Laju dan deras. Perutku terasa sakit yang amat sangat.

Aku buka mata dan alangkah terkejutnya apabila terlihat setompok d***h yang pekat dibawah kangkangku. Mataku turut terpandang perempuan berambut panjang dengan rakusnya menghirup dan menjilat d***h itu.

“Srrrup!!!! Hmm… Heee……” matanya merah, mulutnya lebar hingga ke telinga menampakkan gigi taring sambil tersenyum mengamatiku.

Aku ingin menjerit tetapi mataku tetap tidak lari dari memandang benda itu.

“Rina….Rina….Rina!”

Aku tersentak. Basah lencun tubuhku dipenuhi peluh. Aku lihat sekililing. Harisa dengan wajah kalut sedang memandangku.

“Risa!!” dengan tak semena-mena, Harisa ku peluk. Aku menangis semahu-mahunya kerana takut yang amat sangat.

“Kau mimpi ngeri ek? Tadi kau macam meracau-racau dalam tidur. Aku cuba kejutkan tapi kau tak bangun-bangun. Takpe, aku ada ni. Dah, dah.” Harisa cuba menenangkan aku yang ketakutan. Ditepuk-tepuk belakangku untuk mengembalikan semangat yang hilang.

Tapi aku rasakan seperti tidak selesa di bahagian bawah badanku. Seperti baru disimbah air. “Biar betul?”. Aku regangkan pelukan dan alangkah terkejutnya apabila melihat separuh daripada baju tidurku dibasahi d***h. Apatah lagi baju tidurku ketika itu berwarna putih!

“Ya Allah, aku datang bulan ke?” soalku lebih kepada diri sendiri.

“Hmmm… Hmmmm…. Hmmmm…” tiba-tiba Harisah di sebelahku bersenandung. Ah sudah!

TAMAT.

p/s: Terima kasih sangat-sangat kepada pihak FS kerana siarkan cerita saya “Daging Pun Sedap”. Saya hargai semua komen dan kritikan pembaca semua.☺️ -Jenja

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Jenja

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

4 thoughts on “Di Suatu Subuh”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.