Gambar Terakhir

Di sebuah taman perumahan lama di utara tanah air, berdiri sebuah rumah banglo satu tingkat yang sudah bertahun-tahun terbiar. Dindingnya dipenuhi lumut hijau, pagar besinya berkarat dan halaman rumah dipenuhi semak samun setinggi pinggang. Rumah itu besar, hampir menyamai banglo satu tingkat jika dibawa ke Kuala Lumpur. Namun bagi penduduk taman itu, rumah tersebut lebih dikenali sebagai “rumah hujung”.
Ramai yang mengelak daripada lalu di hadapannya pada waktu malam.

Menurut cerita jiran-jiran lama disitu, rumah tersebut adalah milik seorang wanita tua yang telah meninggal dunia hampir 30 tahun dahulu. Selepas kematian wanita tersebut, anak-anaknya berpindah dan rumah itu terus kosong tanpa penghuni.

Beberapa bulan lalu, seorang wanita bernama Puan Nadirah (bukan nama sebenar), telah membeli rumah tersebut dengan harga yang agak murah. Dia bercadang mengubahsuai keseluruhan rumah itu sebelum berpindah bersama keluarganya.
Untuk kerja pengubahsuaian, dia melantik seorang kontraktor tempatan bernama Razlan.

Pada hari pertama kerja dimulakan, semuanya kelihatan biasa. Pekerja Razlan membersihkan halaman, memecahkan dinding lama dan menukar siling yang rosak. Namun menjelang petang, salah seorang pekerja mula mengadu terdengar bunyi kerusi diseret diruang utama.

Sedangkan ketika itu semua orang berada di luar rumah.
“Hang mai buat apa dalam rumah tadi?” soal seorang pekerja kepada rakannya.
Rakannya menggeleng pucat.
“Aku ingat hang yang masuk…”
Mereka cuba menyedapkan hati masing-masing. Mungkin bunyi kayu lama atau tikus.

Namun gangguan mula menjadi semakin aneh hari demi hari.
Ada pekerja yang meletakkan tukul di ruang tamu tetapi tiba-tiba hilang dan jumpa semula di dapur. Baldi cat yang disusun elok berubah kedudukan sendiri. Kadang-kadang terdengar bunyi orang berjalan perlahan di atas siling walaupun tiada sesiapa di situ.

Seorang pekerja Indonesia pula pernah berlari keluar sambil membaca ayat suci selepas mendakwa terlihat bayangan wanita berdiri di dapur.
Wanita itu hanya diam membelakangi mereka.
Apabila ditegur, kelibat tersebut hilang perlahan-lahan ke arah bilik belakang. Malam menjadi waktu paling menakutkan.

Disebabkan mengejar masa, beberapa pekerja tidur di rumah itu. Namun mereka tidak dapat bertahan lama. Hampir setiap malam ada sahaja gangguan. Pernah seorang pekerja terjaga kerana terasa seperti ada orang mencuit bahunya berkali-kali.
Apabila dia membuka mata, tiada sesiapa di sebelahnya.
Tetapi bunyi nafas perlahan kedengaran betul-betul di telinganya.

Sejak malam itu dia enggan tidur di dalam rumah lagi.
Razlan sendiri pada awalnya tidak percaya cerita pekerjanya. Baginya semua itu hanya mainan perasaan kerana rumah terlalu lama kosong.

Namun satu malam, ketika dia sedang memeriksa kerja wiring seorang diri, dia terdengar bunyi perempuan menangis dari arah dapur.
Tangisan itu perlahan tetapi sangat jelas.
Razlan memberanikan diri berjalan ke dapur sambil menyuluh menggunakan telefon bimbit. Suasana dapur gelap dan sunyi.
Tiba-tiba dia terlihat kelibat seorang wanita tua berdiri di hujung dapur berhampiran sinki.
Rambutnya putih panjang mengurai dan tubuhnya bongkok sedikit.
Belum sempat Razlan menegur, wanita itu menghilang di sebalik dinding.
Tanpa berfikir Panjang, Razlan terus keluar dari rumah dan tidak kembali sehingga pagi.

Keesokan harinya dia memberitahu Puan Nadirah tentang semua gangguan yang berlaku.
Dia menyangka wanita itu mungkin mahu menghentikan kerja pengubahsuaian tersebut.
Namun Puan Nadirah tetap tenang.
“Saya faham. Tapi saya harap Razlan boleh teruskan juga kerja ni. Kita buat elok-elok,” katanya.
Walaupun hati berat, Razlan meneruskan projek tersebut sehingga selesai.

Beberapa minggu kemudian, rumah itu akhirnya siap sepenuhnya. Cat baru menghiasi dinding, lampu moden dipasang dan halaman rumah dibersihkan sepenuhnya.
Seperti biasa, Razlan mengambil gambar di setiap sudut rumah untuk dihantar kepada pelanggan sebagai rekod akhir kerja pengubahsuaian.
Dia mengambil gambar ruang tamu, dapur, bilik tidur dan halaman rumah.
Namun ketika melihat semula gambar-gambar itu di komputer, hati Razlan terus berdebar.

Dalam salah satu gambar di ruang tamu, kelihatan seorang wanita tua berdiri di belakang pintu utama rumah.
Wajahnya pucat dan tubuhnya kurus.
Dia berdiri separuh terlindung di sebalik pintu sambil memandang tepat ke arah kamera.
Apa yang paling menyeramkan ialah riak wajah wanita itu.
Dia tidak kelihatan marah.
Sebaliknya wajahnya dipenuhi kesedihan yang sukar digambarkan.
Tangan Razlan menggigil ketika menunjukkan gambar tersebut kepada Puan Nadirah.
Wanita itu terdiam lama.

Beberapa hari sebelum berpindah masuk, Puan Nadirah menjemput orang-orang masjid untuk membaca Yasin dan mengadakan kenduri doa selamat di rumah tersebut.
Rumah yang selama ini sunyi mula dipenuhi suara bacaan ayat suci al-Quran.
Ketika sedang berbual di dapur, Puan Nadirah menunjukkan gambar wanita tua itu kepada isteri imam masjid.
Wajah wanita tersebut berubah perlahan.
“Kalau saya tak salah… muka wanita ni macam pemilik asal rumah ni,” katanya perlahan.
Suasana terus menjadi senyap.
Imam masjid kemudian membantu melakukan bacaan doa serta membersihkan rumah tersebut secara Islam. Mereka membaca surah-surah tertentu di setiap ruang rumah sambil memohon perlindungan daripada Allah.

Sejak malam itu suasana rumah berubah sepenuhnya.
Tiada lagi bunyi pelik.
Tiada lagi bayangan wanita di dapur.
Pekerja yang datang memasang perabot selepas itu juga tidak mengalami sebarang gangguan.
Namun sehingga hari ini, Puan Nadirah masih menyimpan gambar tersebut di dalam telefon lamanya.
Dan setiap kali dia melihat wajah wanita tua di belakang pintu itu, dia masih tertanya-tanya…
Adakah wanita tua itu belum bersedia meninggalkan rumah yang pernah menjadi tempat dia menghabiskan seluruh hidupnya?

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Lizan Bahrin

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.