Gangguan Kehidupan 2

Gangguan Kehidupan 2

Assalamualaikum semua. Buat yang belum mengenali, nama saya Cahaya Yang Utama. Cahaya kembali kerana ramai yang ingin tahu kesudahan tentang masalah kesihatan Cahaya, dan Cahaya akan sambung sedikit tentang mimpi Cahaya tentang nenek yang menyebabkan Cahaya percaya masalah ini merupakan masalah saka keturunan. Sebelum itu tidak lupa Cahaya ingin berterima kasih kepada Fiksyen Shasha kerana sudi menyiarkan ceritera Cahaya. Cahaya juga berterima kasih kepada anda yang telah mendoakan Cahaya, Cahaya juga mendoakan anda semua sejahtera dunia dan akhirat.

Bagi yang memberi nasihat supaya berjumpa pskiatri, Cahaya sendiri dah beberapa kali ulang ujian DAS sewaktu Cahaya kerja jururawat dahulu. Alhamdulillah.. normal.. Pada mulanya Cahaya risau juga tentang kesihatan mental Cahaya, tetapi akhirnya terjawab jika benar Cahaya ini ada masalah mental (halusinasi dan sebagainya), Cahaya terfikir kenapa orang-orang sekeliling Cahaya turut terganggu juga.. tidaklah Cahaya takut kepada benda ghaib sehingga melupakan Allah SWT.. cuma kita perlu berusaha untuk sembuh dan memberi peringatan kepada yang lain.. :).. Kali ini Cahaya menggunakan kata ganti nama ‘aku’ atas permintaan pembaca.. Jom start…

Tidak habis sekali itu rawatan aku bersama Ustaz Man, aku disuruhnya datang beberapa kali supaya dapat dia sembuhkan aku sedikit sebanyak. Katanya, dia cuma berusaha, selebihnya aku perlu usahakan sendiri untuk perkuatkan imanku, dengan izin Allah SWT. Rawatan yang aku lalui ada dua, satu untuk buang syaitan (syaitan ada dua, satu syaitan jin, satu lagi syaitan manusia. Masalah aku dengan syaitan jin) yang mengganggu kehidupanku dan yang kedua untuk merawat tulang belakangku. Kata ustaz, dua-dua itu berkaitan, aku memang punya masalah tulang belakang, tapi yang menambah rencah pahit maungnya adalah yang sibuk menumpang sudah sekian lama.

Aku perlu datang bersama suami kerana badanku akan lemah selepas rawatan, pernah sekali datang bersama ibu bapa, percubaan pertama kedua dan ketiga agak perit kerana badanku masih lemah, setiap kali ustaz cuba merawat badanku jatuh terjelepok, terkunci walau sedar dan dengar perbualan orang sekeliling. Ada sekali ustaz suruh kami bawa anak kerana dia turut terkena tempiasnya, nanti ku ceritakan dilain waktu tentang anakku yang terbuka hijabnya.

Aku tidak putus asa, apa sahaja yang ustaz suruh amalkan di rumah aku buat, aku perlu lumurkan tubuhku dengan tepung beras yang dicampur air ruqyah setiap hari, berlengas dan tidak selesa, ku turutkan sahaja walaupun kadang-kadang menangis. Kata ustaz itu untuk melembutkan tubuhku sendiri sebagai persediaan membaiki tulangku nanti. Aku turutkan sahaja selagi tidak bercanggah dari hukum agama. Selama ini pun kita menelan ubatan demi mendapatkan kesihatan tubuh yang baik, tetapi berharaplah kepada Allah SWT dalam setiap usaha.

Akhirnya rawatan itu berjaya, tetapi tidaklah sepenuhnya berjaya. Sekurangnya aku mendapat hidup yang lebih selesa, Alhamdulillah. Kata ustaz padaku, “benda ini sudah sebati denganmu, hendak tidak hendak ada waktu kemungkinan kamu didatanginya sekali sekala. Itu biasa.. jadi dirimu lah yang kena mengawal ianya sendiri dengan mendekatkan diri pada Allah SWT”.. apabila aku sudah sembuh, aku mula mencari ilmu tentang saka dan sihir. Alhamdulillah, walau tidak banyak tetapi boleh membantu untuk diriku sendiri.. Aku suka melihat rancangan halaqah di youtube pada awal pencarianku dahulu. Baru ku tahu mimpi menyusukan bayi itu bermakna kita sudah menerima saka, sedangkan mimpi itu sudah beberapa kali aku lalui.. Juga baru ku tahu maksud ustaz kenapa masalah ini boleh terjadi semula, ia kerana badan kita ibarat kuali, andai kuali terbocor, memanglah boleh menampalnya, tetapi bocornya tetap ada, tidak hilang.. maksudnya tubuh kita ini asalnya tertutup dan dilindungi, tetapi andai sudah ada pintu untuk dimasuki oleh jin, maka mereka mudah untuk memasuki badan yang sama di lain hari walau sudah dihalau.

Oleh itu, hanya satu caranya untuk elakkan ia berlaku kembali, iaitu perkuatkan rohani dengan iman. Sekarang aku tidaklah pulih sepenuhnya, tetapi perubahan itu ketara. Aku kini mudah tahu bila mana seseorang itu juga terganggu oleh jin, tapi tidaklah semuanya. Jika Allah SWT izinkan, dengan menyentuh mereka yang diganggu jin yang kuat, badanku memberi signal umpama renjatan elektrik dan bulu roma yang meremang. Namun aku tidak hiraukan, bukan semua aku boleh tentukan, kuasa Allah belaka. Aku pun tidak pandai merawat. Namun asbab semua ini, aku bersyukur aku sekarang lebih berilmu dari aku yang dulu. Aku dulu seorang yang tidak percaya penyakit itu boleh disebabkan oleh jin, sebab itu umur 25 tahun yang lepas baru aku cuba rawatan Islam, sebelumnya aku sedikit pun tidak terfikir.. nah sekarang sudah aku rasakan langit itu tinggi atau rendah.

BERKENALAN DENGAN NENEK DAN MIMPI NENEK

Mimpi nenek kebayan ini berlaku beberapa kali. Namun permulaan salam perkenalanku dengannya agak panjang, semoga tabah membaca. Tidak semua yang aku ingat tentang mimpi, kerana ia datang kadang-kadang sahaja. Setahun sekali pun tidak, tetapi aku mengenalnya. Ia bermula sewaktu aku tingkatan 5, waktu ini aku bergiat dalam seni tari. Aku menubuhkan persatuan tarian bersama guru-guruku (bukan guru sekolah, guru tari). Guruku hebat dalam ilmu persembahan tradisional. Bukan sahaja tarian, malah wayang kulit pun dia pandai buat sendiri patungnya. Dia memilihku untuk menjadi puteri 7 dalam tarian ulek mayang berdasarkan ciri-ciri yang ada. Aku biasa-biasa sahaja, bukanlah lawa seperti model yang tinggi-tinggi, aku orangnya rendah. Namun guruku mengatakan bukan ciri itu yang dia pilih, dia pilih bentuk dan lenggok tangan serta bentuk kening dan lain-lain yang tidak aku tahu.. adikku juga turut serta dalam persatuan itu, dia juga menari ulek mayang dan dia juga boleh menari makyong kata guruku kerana adikku itu orangnya tinggi lampai, berjari runcing, lawa orangnya.

Namun ibuku tidak berapa galakkan kami menyertai persatuan itu. Ibuku memberitahu kepada ayah angkat kami tentang persatuan kami (kami ada ayah angkat kerana ibu ayah bercerai, jadi kenalan ibu kasihan melihat kami lalu dijadikan anak angkat), dan ayah angkat kami menasihati dengan lembut supaya tidak menyertainya, kerana ia tidak bagus untuk keturunan kami. Katanya, “jaga-jaga nak, nanti ada yang menampung tarianmu sehingga bukan kamu yang mengawal dirimu”. Kami yang hanya setahun jagung masih tidak mengerti apa masalahnya dengan tarian itu. Memang minat kami dan bakat keturunan kami adalah kesenian dan kesusasteraan, tetapi ibu tidak berapa menyukai tarian tradisional. Tidak lama persatuan yang kami bina, kerana ada gangguan sewaktu tarian. Sudah guruku katakan, tarian ulek mayang, akan membahayakan mereka yang lemah semangat, apatah lagi yang memegang watak puteri 7, orang sakit dan bomoh.

Kejadian itu berlaku pada beberapa hari sahaja dari nasihat ayah angkat kepada kami. Kami berlatih menari ulek mayang sahaja dahulu, kerana stepnya sukar, tidak seperti ulek mayang yang didalam youtube yang berulang stepnya. Kata guru ini step asli. Beberapa hari juga ambil masa untuk dihafal, itu pun masih tidak cantik, kekok, tangan keras, kadang-kadang guru datang melihat sambil membawa rotan, dengan rotan itu dibetulkan duduk tangan kami. Petang itu seperti biasa kami berkumpul di rumah jiran yang juga sanak saudara kami. Hari itu agak payah nak memulakan latihan, terlalu banyak benda yang tergendala, tetapi kami teruskan juga walau sebentar. Jam menunjukkan pukul 6 waktu kami memulakan tari. Orang tua kata, senja-senja tidak elok, tapi kami ini degil mengatakan waktu belum senja. Kami menari lancar pula pada petang itu menyebabkan semangat kami yang hampir patah tadi menyubur semula. Rasa sepertinya tidak lama kami menari, kami pun ingin menghentikan tarian.

Apabila muzik pada Cd sudah berhenti, kami pun berhenti dan berbual perbetulkan maa yg salah. Sementara tiada guru hari itu, aku yang diberi tugas perbetulkan yang lain. Tengah-tengah berbual, muzik dimainkan semula, kami saling tertanya siapa yang mainkan dan betulkah tadinya sudah ditutup. Oleh kerana melihat tanah masih cerah, kami pun menari kembali. Oleh kerana terasa waktu telah merangkak senja, aku meminta tarian dihentikan, namun anehnya, aku sendiri tidak berhenti menari. Lebih terkejut lagi yang lain juga begitu! Kami berpandangan sesama kami, tiba-tiba kami merasakan kami ini tidak menjejak lantai, pandang ke bawah bukan lagi lantai yang tersua pada mata, tapi kabus seperti awan. Dalam arik-arik pandangan itu aku menegur yang lain “kamu perasan rasa ke apa yang aku rasa?” , “Rasa” kata mereka.. Tiada pilihan, tarian diteruskan tanpa kawalan diri, aku sudah menyesal tidak mendengar kata ibu dan ayah angkatku. Tiba-tiba alunan muzik terhenti, begitu juga tangan dan kaki kami. Rupanya azan maghrib sedang berkumandang. Allahu… Alhamdulillah..

Sejak hari itu aku memutuskan untuk bubarkan persatuan itu. Bagi aku cukuplah itu sebagai pengajaran buat kami kerana tidak mendengar nasihat orang tua. Walaupun aku masih terlalu suka menari, tetapi bagiku setelah mendapat pengajaran, jangan dibiarkan pendapat orang tua. Mereka lebih banyak makan garam dari kita. Namun minat aku kepada seni tidak berhenti di situ. Masuk sahaja tingkatan 6, dalam sakit belakang yang kadang-kadang menjengah itu, aku sertai bermacam aktiviti, silat, kompang, teater, ada juga aktiviti luar sekolah yang lain.

Waktu berlalu dengan cepat, sedar tidak sedar aku berada di tingkatan 6 atas. Malam itu aku ‘stay up’ dengan kawan-kawan kerana berada dalam minggu peperiksaan percubaan STPM. Oleh kerana keesokan harinya tiada peperiksaan, selepas ‘study’, kami bergurau senda, menari dan sebagainya, gegak gempita pada pukul 3 pagi. Apa lagi, kami dimarahi warden aspura (asrama putera). Nah kau, jauhnya suara kami kedengaran sampai ke aspura.

Selepas dimarahi semua menyusup ke ‘dorm’ masing-masing. Dorm kami hanya sebelah menyebelah, dipisahkan dengan ruangan bilik air, ada pintu dorm melalui bilik air, jadi kami tak perlu keluar untuk ke bilik air atau ke dorm sebelah. Letak sahaja kepala terus aku lena. Maka bermulalah mimpiku bertemu nenek.

Dalam mimpi, ibuku mengatakan bahawa dia mahu ke suatu tempat, jadi dia ingin meninggalkan aku dan adik lelakiku dengan kawannya. Lalu kami bergerak ke rumah kawan ibu. Sesampai sahaja di rumah kawan ibu, ibu beri salam dan mengajak kami masuk. Aku agak kagum, rumah papan tidak bercat itu besar, di dalamnya tidak banyak perabot hanya ada meja kecil di sudut dinding. Kelihatan ada seorang perempuan tua yang bongkok sedang berdiri dengan seorang gadis yang seakan sebaya denganku di hadapannya, perempuan tua itu membelakangi kami. Ibu bercakap-cakap dengannya dan meninggalkan kami terpinga-pinga tidak tahu ingin berbuat apa. Perempuan tua itu akhirnya menoleh dan memberi senyum, aku sambut senyumnya, adikku diam sahaja.”Ahhh… Dia sudah berpangkat nenek” bicara hatiku. Nenek itu memakai baju kurung kedah, berkain batik, rambut yang kelabu dari kejauhan kerana berselang uban itu disanggul rapi, warna kulitnya tidak terlalu cerah tapi cerah sedikit dari sawo matang.

Dia melambai ke arahku mengajak kami mendekatinya. Kami maju setapak dua, masih tercegat memerhati. Lalu disuruh gadis yang sebaya denganku itu mulakan pergerakan. Gadis itu takut-takut membuka langkah yang kadang-kadang ku lihat seperti kekuda silat, dia seakan bergerak membentuk satu lingkaran pada lantai dan nenek itu juga turut serta, berjalan sahaja mengikut lingkaran yang dibuat oleh si gadis sambil tangannya dikilas ke belakang. “Ooo.. belajar tapak silat rupanya, best ni..” bisik hatiku mula tertarik. Tiba-tiba nenek bersuara,

“Apa yang kau buat ni? Mana yang aku ajar?” Suara nenek seperti marah.

Gadis itu tersipu-sipu, sekejap tersengih kepada kami. Malu agaknya dimarahi. Lantas nenek menarik tubuh gadis itu, membetulkan duduknya dan berjalan membentuk lingkaran sekali lagi, tetapi gadis itu sudah tidak membuat pergerakan silat seperti tadi lagi, hanya berjalan biasa dan zassss….

Mata terbuka luas, mulutku melopong. Apakah bendanya tadi itu? Aku terlihat seperti kain merah kuning memasuki badan gadis itu, nenek yang lemparkan. Aku memegang tangan adik membuat reaksi mata agar dirinya faham, aku mengajak lari. Dalam kiraan satu, dua dan tiga, tiba-tiba tubuhku pula yang berada di depan nenek. Gadis yang tadinya keras langkahnya sudah menari dengan gemalai, entah dari mana alunan muzik itu datang, yang pasti aku tahu muzik itu, ulek mayang! Aku berkira-kira untuk lari, tetapi…

“Kau nak sangat belajar tarian ulek mayang, kan? Nah!” Nenek itu memberikan pula sesuatu yang umpama kain atau sinaran itu padaku dan masuk ke dalam tubuhku. Terus aku terasa bahang di badan.

Lalu aku terduduk umpama mayat dari tidurku. Tersedar dari mimpi. Badan aku lemah sekali, bahang tadi masih terasa ditubuh. Aku terlihat kawanku sedang mengerjakan solat. Rupanya jam sudah menunjukkan pukul 6 lebih waktu pagi. Aku bangun dengan kepala yang sakit, sekali lagi aku tidak nampak lantai, hanya awan yang berkabus. Aku dengar kawan-kawan yang sudah bangun lebih awal bertanya,

“Kenapa dengan Cahaya tu?”

Aku buat tidak tahu kerana mataku masih kabur, aku bangun mencapai tuala dan terus ke bilik air walaupun masih teraba-raba. Di dalam bilik air, aku mandi dan menangis, meminta supaya Allah tidak membuatkan keadaanku yang lemah ini berlarutan kerana aku ada peperiksaan pada keesokan harinya. Aku ingin buktikan kepada orang-orang yang aku sayang bahawa aku boleh berjaya. Usai solat subuh badanku masih lemah, aku tidur kembali. Pagi itu aku terjaga dalam pukul 8, aku lihat semua rakanku tidak sihat, ada yang mengadu hendak demam. Kami sama-sama tidur kembali setelah berbual. Mungkin kerana kami tidur lewat malam tadi jadi tubuh kami lemah, tapi nenek dalam mimpiku, aku dugakan sekali sahaja dia datang.

Rupanya setelah beberapa tahun, ketika aku di kolej jururawat dia mengunjungiku lagi di dalam mimpi. Malah bukan mimpiku sahaja, mimpi rakanku juga… Oleh kerana ia datang kepadaku untuk mengajar dan datang kepada rakanku meminta supaya menjaga diriku, maka aku percaya ini bukanlah sihir tetapi saka.. apa pun ia tidaklah aku terima ia sebagai sebahagian dari kehidupanku..

*****************

Sekian sahaja untuk kali ini. Ada masa Cahaya ceritakan lagi.. Cahaya rasa sudah terlalu panjang. Ini hanya kisah mengimbau kenangan.. sebagai pengajaran dan pembelajaran buat yang mencari jawapan.. memang ia menganggu kehidupan, tetapi kenapa harus kita rasa terseksa terus menerus kerananya. Lumrah setiap manusia melalui ujian yang pelbagai, dengan itulah kita menjadi kuat, inshaaAllah…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Cahaya Yang Utama

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.