Hospital Butterworth Penang

Hi admin. Sihat ka? Ni ada cerita. Mau takmau sila publish jugak. Kesian depa kena berkurung dalam rumah akibat Covid19.

Tahun 2002. Bertempat di sebuah hospital swasta di Butterworth, Penang.

“Encik. Kami kena operate untuk buang ketumbuhan tu. Kalau biar lama-lama nanti jadi lagi besar, lagi susah kita nak buang.”

“Ohh. Bahaya ka benda tu doktor?”

“Emmm. Benda tu dia macam ‘risa’ gak la. Bole jadi bahaya kalau dah bernanah. Encik ni dah tahap bernanah, kena buang ya.”

“Ohh ok ok. So, kena bedah pungkoq saya la ni?”

“Ya la. Dah kat situ gak dia nak tumbuh pun. Kita potong kat tulang sulbi tu. Tapi tak boleh jahit balik. Kena dressing sampai luka tu kering. Kalau jahit, takut dia jadi balik.”

Allahu. Aku dengaq tang dressing tu boleh agak dah macam mana aku melalak nanti. Beberapa tahun lepas aku accident, kena dressing jugak. Habis semua doktor dan nurse aku tendang.

Macam mana aku boleh kena ketumbuhan tu? Entahlah. Tiba-tiba ja dia muncul kat tulang cenonggeng aku. Sakit baq ampa. Duduk sakit, berdiri sakit, tidur sakit. Time naik motor pi kerja lagilah azab. Dok sat sat kena berdiri atas motor. Rider sebelah kata aku poyo acah-acah Mc Doohan baru menang race. Dia taktau cenonggeng aku tengah pedih. Pedih hingga membawa ke pinggang.

Sampai ke satu tahap, ia mengeluarkan air bisa dan nanah. Mau takmau, aku kena tala ke hospital. Dan itulah buat pertama kalinya aku check in hospital dalam tempoh yang lama.

Best juga dok hospital ni. Makanan orang mai hantaq. Dok tak dok, nurse mai tanya habaq. Lawa lawa pulak tu. Cuma yang tak bestnya, hang m**i kutu. Boleh dok terlentang atas katil tengo tv tengok kipas tengok dinding. Nak hisap rokok pun tak boleh. Bilik aku tu boleh menempatkan 4 orang pesakit. Tapi hanya 3 katil yang berpenghuni. Aku, seorang uncle tua berbangsa cina di sebelah aku dan seorang lelaki India yang duduk berdepan dengan katil aku. Katil satu lagi kosong.

Di kabinet katil uncle tu, ada sebuah radio kecil yang tak henti-henti mengumandangkan mantera Buddha. Mantera la kot. Bunyinya mendayu-dayu macam lagu Siam tu. Bila dengar lama-lama jadi ralit la pulak. Macam kita yang muslim jugak la, suka pasang ayat Al-Quran guna radio.

Malam pertama tu juga, lepas kaum keluarga aku balik, kawan-kawan jemuan aku pulak datang. Cek, Apek, Jan dan Kaka. Jam 9 malam depa sampai ke wad aku. Hospital swasta ni hang nak pi melawat jam berapa pun boleh.
Depa ajak aku hisap rokok kat tangga hospital.

“Boleh ka isap rokok kat tangga?” Tanya aku pada Cek.

“Boleh. Yang tak bolehnya dalam wad ni. Tangga tu mana ada orang.” Jawabnya penuh yakin.

“Mana hang tau? Kalau kena tangkap macam mana?”

“Tarak kena tangkap haih. Aku penah masuk dah sini. Memang situ port aku isap rokok.”

Oh. Dah biasa buat kerja keji macam tu rupanya. Tapi aku ikut jugalah. Tak tahan dah ni, sehari suntuk tak hisap rokok. Depa pula bawa bekalan nasi kandar untuk aku. Masalahnya malam tu aku kena puasa sebab esok pagi nak operate. Jadi, boleh telan asap je lah.

Tangga kecemasan tu agak suram kerana bukan semua lampu dibuka. Tingkat yang aku duduk tu lampunya ditutup, tingkat atas dan bawah dibuka. Sambil dok pump candu tu kami berbual-bual dengan rancak. Tapi, ada la sorang mamat ni seperti yang aku ceritakan dalam kisah Chalet Pantai Cenang, mulut puakanya itu sentiasa mengundang bahaya.

“Berasa meremang plak dok hospital ni. Hang tak rasa apa-apa ka Di?” Kata Kaka dengan asap rokok berkelun-kelun keluar dari hidung. Dah macam dapoq arang mak aku dah muka dia.

“Ishhh hang ni. Mulut tu boleh tak kalau tak sebut bukan-bukan??” Balas Apek.

Sebaik Apek membidas kenyataan Kaka, pintu di tingkat atas terbuka dan tertutup dengan kuat. Kalau tak silap aku tingkat 5. Kami di tingkat 4.

Krreeeekkkk……baaaammmmm!!!

Aku jenguk ke atas, kot-kot security buat sport check boleh kantoi kami dok hisap candu kat situ. Tapi tak nampak kelibat apa pun. Tak ada tanda-tanda ada orang naik atau turun.
Kemudian, Jan pula bersuara….

“Sungguh la. Aku pun berasa meremang. Tengok ni bulu lengan aku semua tepacak dah ni. Tandas mana mana tandas? Dari tadi aku dok tahan berak…aduiii.” Katanya. Nak terberak rupanya. Memang la meremang. Dajeyyy.

Dah Jan nak terberak, kami memutuskan untuk berpisah di situ. Depa nak balik, aku kena tinggal dalam wad. Maka tinggallah aku seorang diri dalam wad tu bertemankan seorang uncle yang dah uzur sangat dan seorang India yang patah kaki akibat kemalangan. Kemudian, datang seorang nurse muda masuk ke wad dan menutup radio yang sedang bermantera di katil uncle sebelah aku. Nurse tu buat pemeriksaan rutin sebelum keluar dari situ.

Jam 2 pagi. Macam biasa, kalau tidur ditempat baru memang aku susah nak lena. Gigihlah macam mana pun, pejamlah hingga berkerut urat dahi pun tetap susah nak lena. Keadaan dalam wad sunyi sepi. Sekali sekala ja nurse masuk untuk cek uncle di sebelah aku. Kesian, uncle tu dah uzur sangat. Nafas dia turun naik perlahan dan nampak lelah. Selama aku duduk sini dari pagi tadi dia hanya tidur. Tak ada pun waris yang datang meneman. Aku nak ajak bersembang pun dia dok pejam ja.

Tidak lama kemudian, perut aku memulas. Masuk angin. Pundi kencing terasa penuh. Tandas memang dah tersedia dalam wad tu. Aku turun dari katil dan berjalan menuju ke tandas untuk membuang hajat. Terdengar jelas bunyi selipar jepun aku memecah kesunyian dalam wad. Pesakit India di katil depan aku pun dah nyenyak tidur.

Dah selesai urusan di tandas, aku balik ke katil dan baring. Pun sama, mata tak boleh pejam. Dok terkelipok kelipok tengok siling, tengok kipas, tengok tv yang kosong. Nak saja aku panggil doktor suruh bius aku sampai pengsan. Susah betul nak lena.

Hingga jam 3 pagi, mata aku dah mula menerima signal untuk tidur. Aku baring ke kanan dan menarik selimut ke bahu. Dalam fikiran, masih bermain-main dengan situasi esok hari. Aku bakal dilondehkan oleh nurse, bakal dibius, bakal dipotong mengikut kehendak doktor. Kalau dia silap potong tang lain, nak potong belakang tapi pi potong depan pakai membujanglah aku sampai ke tua. Lantaklah. Tidur dulu esok pikiaq lain.

Ada kot setengah jam aku sempat lena, tiba-tiba aku terjaga sendiri akibat datangnya bunyi mengeruh yang kuat dari uncle di sebelah katil aku. Tirainya tertutup. Memang aku tak nampak. Tapi boleh dengar dia mengeruh. Dah orang tua-tua lagu tu la. Takkan hang nak pi marah dia pulak. Aku biarkan dan tutup telinga aku dengan bantal.

Selang beberapa minit, bunyi lain pula yang datang. Mantera Buddha dari radio uncle tu terpasang. Mendayu-dayu ja bunyinya. Perlahan tetapi sampai ke telinga aku. Makin lama makin jelas seolah-olah volumenya dimainkan seseorang. Adoi. Apek ni pun. Macam mana aku nak tidur?
Aku tekan butang kecemasan untuk memanggil nurse masuk ke dalam. Sumpah aku malas nak turun katil waktu tu.

“Ya encik. Ada apa?” Soal nurse sebaik dia datang ke katil aku.

“Boleh tolong tak? Bagi slow sikit volume pakcik sebelah tu. Saya susah nak tidoq.”

Nurse tu menyelak tirai uncle di sebelah. Aku nampak dia sedang tidur nyenyak sama macam tadi. Tak beralih pun.”

“Eh. Tadi saya dah tutup radio tu. Sebab waris dia pesan boleh tutup bila dah malam. Nanti ganggu orang lain.”

“Ohhh. Rasanya dia bukak pulak tu. Tadi memang off pun.”

“Ye ke? Macam mana dia bukak? Pakcik tu lumpuh satu badan. Uzur sangat dah.”

“Errkk…..???” Aku terberhenti di situ.

“Takpa encik. Saya tutup ja. Encik sambung tidur. Esok sepuluh pagi dah nak masuk OT.”

“Ok ok. Terima kasih ya.”

Nurse tu beralih ke katil sebelah dan matikan radio yang berbunyi tadi. Kemudian, dia tutup lampu dan keluar dari wad. Suasana kembali sunyi, membenarkan aku untuk menyambung tidur.

Namun, radio tu berbunyi semula setelah selang beberapa minit. Sekali lagi ia mendayu- dayu bagai meminta untuk dihempuk ke lantai. Hati ni bersabar lagi sebab di sebelah aku tu orang tua. Walaupun berlainan agama tapi aku tetapi kena hormat. Jadi, sekali lagi aku biarkan. Segan pula nak panggil nurse masuk semula ke dalam wad. Aku tekup telinga dengan bantal dan pejamkan mata dengan harapan boleh lena sampai ke pagi. Malangnya, harapan aku berkecai bila hadir pula bunyi ni…

“Hmmmmm….hmmmmmmmmmmmmm……hmmmmmmm……”

Panjang dan berdengung. Seolah-olah uncle sebelah tu sedang menyanyi sama mengikut alunan mantera tu. Ini tak boleh jadi. Ni hospital, bukan pusat karaoke keluarga jalan Chain Ferry. Aku bangun, turun dari katil dan berjalan menuju ke katil uncle tu dengan niat nak tengok dia ok ke tak. Buatnya dia m**i malam tu, lagi tak tenang tidur aku.

Tirai yang memisahkan katil kami diselak. Tau apa aku nampak? Uncle tu sedang tidur sama macam tadi. Tangan lurus ke bawah, badan terlentang mengadap siling wad. Dadanya turun naik perlahan. Bunyi berdengung tadi pun dah hilang. Kat sini aku dah start musykil.

Agak mustahil uncle tu yang buka radio. Nurse dah cakap tadi, uncle tu lumpuh. Nak angkat tangan pun tak boleh. Mustahil dia yang buka radio tu. Tapi fikiran aku masih positif. Takmau fikir yang bukan-bukan walaupun hati ni dah berkecamuk. Aku biarkan ja radio tu terpasang. Untung-untung aku boleh lena dengan kesyahduan mantera tu.

Aku kembali ke katil dan baring. Kali ni aku baring ke kiri, menghadap ke tingkap hospital yang bertutup dengan langsir. Tiba-tiba, radio uncle tu terhenti sendiri. Hilang bunyi mantera. Hanya bunyi nafas turun naik dari 2 pesakit yang berkongsi bilik dengan aku tu. Terus terasa tenang jiwa aku.

Aku pun bangun duduk untuk betulkan pinggang yang terasa perit. Kesan ubat painkiller dah makin berkurang. Sebaik aku tegakkan badan, waktu itulah aku ternampak satu tubuh kurus kering sedang berdiri dengan gaya membongkok di kepala katil pesakit India kat depan aku.

Tubuh tu nampak tua, berkepala botak dan gaya dia bongkok tu seolah-olah sedang merenung tepat ke wajah pesakit India tu. Mulanya aku ingatkan waris India tu datang melawat. Melawat apanya jam 3 pagi macam tu? Tapi bila aku nampak dia pakai baju berwarna biru muda, maksudnya itu patient. Bukan doktor atau nurse mahupun pelawat. Di pergelangan tangannya ada tag menandakan dia memang pesakit di sini.

Aku tenung lama-lama manusia tu…dalam gelap tu tak berapa nak nampak. Tenung punya tenung baru aku perasan, itu uncle yang menghuni di katil sebelah aku. Apa dia buat kat situ? Masa ni belum terfikir apa-apa lagi. Maklumlah tengah mamai ayam.

Tapi…entah macam mana mata aku terpandang kaki dia. Uncle tu terapung bhai. Kaki tak jijak lantai pun. Tang sinilah semangat menggelabah biawak aku datang. Perlahan-lahan aku baringkan tubuh tanpa sedikit bunyi pun. Nak bernafas pun macam takmau keluar. Jantung bergegar kencang. Kalau doktor cek dada aku sekarang ni, sah dia kata aku kena heart attack.

Aku berbaring kembali ke posisi tadi, mengadap ke tingkap dan tarik selimut hingga menutup kepala. Mulut ni dah berkumat kamit macam-macam surah dan doa. Tapi tu lah…..time klimaks macam ni hang baca apa pun jadi tak menentu dah. Main sebut ikut sedap mulut. Aku diamkan diri macam tongkoi kayu di dalam selimut sambil berdoa agar natang tu tak singgah untuk buat check up di katil aku pula.

Namun, doa aku tidak dimakbulkan. Ujian ini tetap datang untuk menguji keimanan aku yang memang dah sedia menipis bak kulit bawang.

Hampir 15 minit aku membeku di dalam selimut, sehinggalah telinga aku terdengar bunyi nafas lelah bergema di belakang aku. Terasa seperti ada seseorang menekan tilam aku. Bunyi nafasnya sangat ketat. Tarik panjang lepas pun panjang siap bunyi wheezing kot dalam. Kot ya pun hang ada asma, pi la jumpa doktor. Yang singgah mai kat aku buat apa lahaaaiiii. Aku pun tunggu nak kena potong esok ni hanat.

“A’uzubikalimatillahi taaammatiminsyarrima kholaq.”

“Bismillahillazi laa yadhurru….” ….sampai habis.

Dua kalimah tu aku guna untuk bentengkan diri. Aku ulang-ulang sampai keriing air liur sambil dok berdoa jangan la dia landing sebelah aku. Kalau dia buat macam tu, ada 2 kemungkinan ja yang bakal berlaku. Sama ada aku kencing tilam atau dia yang kena penendang.

Lama juga dia menempek di belakang aku macam tu. Walaupun tak nampak, tapi aku yakin dia ada di situ. Tak boleh jadi. Mana boleh tahan macam ni. Dengan buntut aku sakit, badan berpeluh-peluh. Kaki pula nak krem dok mengerekot dari tadi. Aku terpaksa ambil langkah drastik sebelum aku pengsan lebih awal dari yang doktor jadualkan.
Dengan hati yang penuh tekad…..

“Hiyyaaaaahhhh……!!!!!”

Aku himbau tangan ke belakang dengan laju. Terus aku bangun duduk dan berdepan dengan makhluk tu….

“Haaiiyaaaa…hiyyaahhh…wattcchhaaaa………..!!!” Tangan dilibaskan ke kiri dan kanan. Dengan kaki pun terangkat sama gaya tendangan tanpa bayang.

Tapi….aku hanya berkungfu sorang-sorang. Tak ada pun kelibat sesiapa di tepi katil aku. Aku pandang kiri kanan, tak ada. Sunyi, sepi dan gelap. Pesakit India depan aku pun tidur m**i. Jam di dinding dah menunjukkan pukul 5 pagi. Cepatnya masa berlalu. Padahal tadi aku berasa lambat sangat nak siang.

Aku bangun, masuk ke tandas dan ambil wudu’ untuk segarkan badan. Tak ada makna dah nak tidur waktu macam ni. Spoil. Spoil yakmat….

Hingga ke cerah, aku berbaring di katil tanpa tidur. Usai solat Subuh, nurse mula masuk ke wad untuk buat pemeriksaan rutin. Aku tanya nurse…

“Cik. Apek sebelah tu dah lama ka dok sini? Sakit apa?”
“Dah dekat sebulan encik. Sakit tua ja. Dulu memang waris dia dok tunggu tiap malam. La ni selang satu malam ja mai teman. Ada hari anak dia mai teman, ada hari dia dok sorang ja.”

“Memang dia tak sedar dari hari pertama admit ka?”

“Eh tak. Lately ni ja makin uzur. Kerja tidur ja dia. Tapi pagi ni waris dia nak mai ambik dah. Nak rawat kat rumah ja pasai dok sini pun tak boleh buat apa. Bill makin mahal.”
“Ohh ok ok.”

Lega sungguh bila nurse cakap macam tu. Sebab tadi aku dah berkira-kira macam mana dengan malam ni? Lepas operate sah-sah aku kena stay situ lagi. Bukan boleh blah macam tu ja. Tapi bila nurse bagitau uncle tu nak balik dah, terus hilang segala kerisauan aku. Pun begitu aku sendiri pun taktau gangguan tu datang dari mana. Adakah dari uncle tu atau memang benda tu memang dok ada sini. Tapi aku dah plan siap. Malam ni salah seorang kawan aku kena mai teman.

Baik. Dah habis ka cerita ni?

Belum lagi tuan tuan. Belum lagi.

Jam 8 pagi. Kalau tadi aku mengelebah dengan setan. Sekarang ni aku menggelabah dengan benda lain pulak dah. OPERATION.

Aku kira, di siang hari tu tiada apa lagi yang patut aku takutkan. Maklumlah dah siang. Tapi aku silap. Seorang nurse berbangsa cina masuk berjumpa aku. Gaya macam nurse senior tapi lawa bukan main. Cantik macam pelakon korea Winter Sonata. Yang bestnya, bahasa Melayu dia sangat bagus.

“Encik Edi ya?”

“Ya saya.”

“Ok. Kita nak bawa encik ke OT ya. Sebelum tu kita nak kemaskan encik dulu.”

“Nak kemaih? Kemaih apa?”

Sambil tersenyum, dia tunjukkan aku sesuatu di tangannya…..sebilah pisau cukur cap Gillette.

“Ehhh…kenapa kena cukoq janggut? Kalau nak bedah memang kena cukoq janggut ka?” Aku raba-raba janggut aku yang sejemput. Tak ada la serabut sangat. Misai pun baru cukur ja sebelum aku admit sini. Rambut pun pendek. Kacak ja aku pagi tu…

“Taklah. Kita bukan nak cukoq janggut, kita cukoq bulu kat punggung encik. Kan nak bedah tang situ?”

“Haaaahhh…..cukoq bulu pungkoq?????” Sungguh, macam nak tersemboq balik segala breakfast yang aku telan tadi. Ini lagi seram dari apa yang berlaku malam tadi.

Lebih menyeramkan, bila nurse amoi tu panggil budak-budak praktikal pula masuk ke katil aku. Tak ramai, ada kot 8 orang. Cukup untuk buat aku berasa seperti dicabul beramai-ramai. Tersenyum-senyum depa tengok aku dengan muka cuak atas katil.

Kebetulan time tu, 2 orang kawan baik aku pun masuk sama. Depa disuruh menunggu di luar tirai. Dari jauh aku dapat dengar depa dok terbahak-bahak kat penjuru bilik. Bedebah betoi.

“Ok ladiiiesss. Sini ya. I nak tunjuk macam mana kita nak cukur bulu di punggung patient. Mula sekali, kita londehkan dulu abbiang hensem ni ya…..”

Sekian….tak gamak aku nak sambung. Biar aku simpan ja rahsia ni hingga ke hari tua. Kalau aku sambung satgi ampa tak lalu makan dua tiga hari. Terima kasih.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Edi Arjuna

9 thoughts on “Hospital Butterworth Penang”

  1. En Edi… Ada kaa cerita seram Hospital Butterworth kat Pantai Road tuu… Cerita laa hat tuu… Kami sedaq-sedaq dah tak beroperasi dah tempat tuu… Tak merasa pii berubat sebab dah tutup… Mesti banyak cerita dia… Sila habaq pengalaman sapa-sapa pun tak paa in your next change… Tk

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.