Insiden di Padang Serai

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, syukur atas segala nikmat dan kesihatan yang diberikan-Nya. Ribuan terima kasih kepada pihak admin yang sudi menyiarkan kisah saya sebelum ini. Hari ini, saya ingin berkongsi satu pengalaman peribadi yang mungkin tidak terlalu seram, tetapi cukup membuat saya tidak lena kerana ia menimpa diri saya sendiri.

Saya tidak mahu membuang masa, mari kita selami kisah ini.

Pada suatu hari Jumaat yang cerah, pasukan bola sepak saya telah dijemput untuk perlawanan persahabatan di kawasan utara, yang mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit perjalanan dari ibu kota. Kami, seramai 25 orang termasuk pegawai, sepakat untuk bertolak pada jam 10:30 pagi agar sempat berehat dan menunaikan Solat Jumaat di daerah tersebut. Ini penting supaya kami tidak keletihan dan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas jika bertolak selepas waktu tengah hari.

Kami bergerak menggunakan kenderaan sendiri. Saya dan rakan saya, Razi, menumpang kereta seorang kawan sepasukan, Syamil. Tepat jam 10:30 pagi, kami bertiga sudah bersedia di lobi. Perjalanan lancar. Setibanya di sana, kami mencari sarapan ringkas dan berehat di perkarangan sebuah masjid berhampiran stadium mini, menanti waktu khutbah dan solat.

Selesai solat, kami melepaskan lelah sebentar. Waktu perlawanan tiba, pasukan kami menentang pasukan tuan rumah dan kami berjaya menang dengan keputusan 5-1. Saya, yang bermain sebagai pemain tengah utama, menjaringkan dua gol.

Kebetulan, saya ada memaklumkan kepada seorang rakan lama, Malek, yang kini menetap di sana kerana tugasan kerjanya. Selepas perlawanan tamat dan kami bersalam-salaman, saya terdengar suara yang amat saya kenali dari tempat duduk penonton. Malek! Dia datang sebagai penyokong.

Saya mendekati Malek. Dia terus mempelawa, “Wei bro! Jangan terus balik. Jom singgah rumah aku. Isteri aku dah masak lauk kenduri. Aku share location. Datang ya!”

Mendengar ajakan makan percuma, sudah tentu saya tidak menolak. “Baik, Malek. Kami balik hotel dulu, mandi dan solat Maghrib. Lepas tu kami ke rumah kau.”

Lebih kurang jam 7:30 malam, kami bertiga (saya, Razi, dan Syamil) bergerak ke rumah Malek. Kami menikmati juadah yang sangat lazat. Kira-kira jam 9:15 malam, kami meminta diri untuk pulang.

Sepanjang perjalanan pulang ke hotel, saya mula berasa gatal yang teramat sangat di bahagian bawah buku lali kaki kiri. Rasanya seperti digigit serangga berbisa, dan saya terpaksa menggaru tanpa henti.

Pada hari Ahad, saya dapati buku lali saya mula berasa panas dan membengkak. Hari Isnin, selepas waktu kerja, saya singgah sebentar di padang latihan.

“Jurulatih, saya tak dapat sertai latihan. Kaki saya bengkak,” kata saya kepada Jurulatih Kamal.

“Eh, kamu kena tackle keras ke hari Jumaat tu?” tanya Jurulatih Kamal.

“Tak ada, jurulatih. Perlawanan berjalan baik,” jawab saya.

Jurulatih Kamal menasihati saya berehat dan merendam kaki dalam air sejuk. Saya kemudian singgah ke klinik. Doktor memberikan ubat surut bengkak dan krim sapuan. Namun, saya dapati kawasan yang bengkak itu semakin hari semakin naik ke atas. Rasa gatal sudah tiada, yang tinggal hanya rasa panas yang membahang di kawasan bengkak.

Apabila bengkak itu mula mencapai paras betis, saya kembali ke klinik. Doktor mengesyaki saya mungkin mengalami alahan yang teruk. Saya hanya mengiyakan dan makan ubat yang diberikan.

Kira-kira dua minggu berlalu. Ketika saya sedang berehat di sebuah gerai makan, seorang makcik tua menegur saya. Kebetulan saya memakai seluar pendek, dan bengkak di kaki saya jelas kelihatan.

“Kenapa ni, nak?” tanya makcik itu.

Saya ceritakan tentang insiden selepas perlawanan bola tempoh hari. Makcik itu terus berkata, “Anak ni, ada terpijak ‘benda’ di kawasan sana. Kalau nak baik, kena pergi tabur beras kunyit di padang tu balik.”

Saya hanya mengangguk tanda faham, namun dalam hati, saya tidak mahu melakukannya. Rasanya seperti menjamu makhluk halus pula.

Memasuki minggu ketiga, bengkak itu kini mencecah bahagian lutut. Pada ketika ini, amat sukar untuk saya berjalan. Bengkaknya seperti kesan gout yang sangat besar. Bayangkan, ketika sedang menaip di pejabat, bahang panas dari lutut saya boleh terasa hingga ke tangan.

Semasa saya duduk di tepi padang melihat rakan-rakan berlatih, seorang kenalan rapat Jurulatih Kamal datang mendekati.

“Aiman, apa kata saya bawa kamu jumpa seorang ustaz? Kalau rawatan moden tak jalan, kita cuba rawatan Islam,” cadangnya.

Saya setuju. Dia terus menghubungi ustaz tersebut, menanyakan masa lapang beliau malam itu.

Takdir Allah, rezeki saya untuk bertemu ustaz itu. Ustaz meminta kami datang selepas Isyak dan membawa dua botol air mineral. Malam itu, kami bergegas ke rumah ustaz. Saya menceritakan kronologi penyakit dari awal, menekankan yang saya tidak pernah dicederakan dalam perlawanan.

Semasa berbual, ustaz itu memegang kaki saya dari lutut hingga ke hujung ibu jari. Kemudian beliau berkata, “Kita ikhtiar ya. Penyakit ini datang dengan izin Allah, dan sembuh juga dengan izin-Nya.”

Ustaz meminta saya meluruskan kaki dan memulakan rawatan dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran, zikir, dan doa-doa tertentu. Saya dapat mengikuti bacaan ustaz itu, yang diulang tiga kali pada ayat-ayat tertentu. Selepas hampir 30 minit, ustaz berhenti dan bertanya, “Kamu ada pergi ke rumah usang atau rumah kosong?”

Saya terpinga-pinga, “Eh, tak ada ustaz. Lepas main bola, kami terus balik.” Saya tidak menceritakan tentang rumah Malek kerana saya fikir tiada kaitan.

Ustaz menutup mata seketika, kemudian membuka sedikit dan berkata, “Ada. Kamu pergi ke sana hari Jumaat. Selepas main bola, kamu singgah rumah kawan, dan kamu meletakkan kereta berhampiran dengan rumah kosong, kan?”

Saya terkejut, “Betul ustaz! Depan rumah kawan saya memang ada rumah kosong. Kami letak kereta di situ. Tapi kami tak masuk ke dalam rumah tu.”

Ustaz menyambung, “Haa, di situ lah kamu terkena. Kebetulan, masa kamu keluar dari kawasan itu, kamu terpijak sisa makanan yang dijamu kepada mereka. Kamu tak sengaja.”

Ustaz menjelaskan lagi, “Makhluk itu marah. Anak dia yang berpaut di kaki kamu. Anak jin itu yang menggigit, sebab itu kamu gatal. Ia berpaut, sebab itu bengkak itu makin lama makin naik ke atas. Benda ni kalau dah sampai ke pangkal paha, memang susah nak pulih. Mujur kamu cepat berubat.”

Kami yang mendengar terkejut bercampur geli hati.

Ustaz kemudian mengambil garam kasar yang dicampur bijan hitam. Beliau menyerahkannya kepada saya dan meminta saya membacakan Al-Fatihah dan Selawat Nabi sebanyak tujuh kali. “Lumurkan dari lutut hingga ke ibu jari. Buat pada waktu pagi dan sebelum Maghrib. Dan mulai esok, kamu dilarang keluar rumah selepas Maghrib selama tiga hari berturut-turut,” pesan ustaz.

Ustaz menambah, “Saya tidak boleh memegang kaki awak lagi. Anak jin itu marah dan panas sangat bila saya sentuh.” Perkataan ustaz itu membuatkan saya meremang bulu roma.

Saya meneruskan rutin kerja seperti biasa. Pada hari ketiga rawatan, saya singgah di kafeteria pejabat. Seorang rakan sekerja yang dikenali pandai mengubat menegur saya.

“Kamu berubat di mana?” tanya dia.

Saya memberitahu nama ustaz itu. Kemudian, dia berkata, “Kamu nampak pokok kelapa di luar tu? Pergi ke sana. Kamu memalingkan badan membelakangi pokok itu, kemudian gosok kaki kamu yang gatal tu pada batangnya.”

Saya tergelak, “Abang ni biar betul? Nanti orang kata saya gila pula, gosok-gosok dekat pokok!” (Pada masa ini, bengkak dan gatal sudah mula menurun balik ke buku lali, dan panas sudah berkurangan.)

Rakan itu terus bersuara tegas, “Pergi sajalah! Ibu bapa dia tengah tunggu di situ, nak ambil anak dia balik.”

Saya terdiam. Saya tidak pernah menceritakan apa-apa pun mengenai ‘anak jin’ kepada dia. Saya hanya sebut nama ustaz. Tanpa berlengah, saya berjalan keluar dan melakukan seperti yang disuruh. Rakan itu melihat dari jauh.

Selepas saya selesai menggosok kaki saya di pokok itu, dia memanggil saya kembali, “Haa, dah! Dah. Mari sini balik.”

Sampai di meja, dia berkata, “Okeylah tu. Sekejap lagi dia balik lah. Alhamdulillah, kamu serasi dengan rawatan ustaz tu.”

Saya bertanya kepadanya, “Macam mana abang tahu ada anak jin di kaki saya?” Rupa-rupanya, dia dikurniakan kelebihan untuk melihat perkara yang tidak dapat dilihat oleh orang lain.

Alhamdulillah, pada hari keempat, gatal, sakit, panas, dan bengkak di kaki saya hilang sepenuhnya. Saya dapat bermain bola semula seperti biasa.

Syukur kepada Allah SWT kerana memberikan kesembuhan.

Begitulah kisah pengalaman saya. Mungkin tidak terlalu seram, tetapi cukup mengajar saya supaya lebih berhati-hati dan menjaga adab di tempat orang. Saya memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kesalahan ejaan atau tatabahasa. Insya-Allah, di waktu lain, saya akan kongsikan kisah lain pula.

Terima kasih kerana sudi membaca.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.