Jalan UTL Mantin

Selamat sejahtera. Ini merupakan kisah aneh yang aku pernah alami sendiri dalam hidup. Semuanya 100% datang daripada penulisan sendiri.

Sebelum itu, acap kali juga aku terdengar dan terbaca perkongsian orang ramai tentang pengalaman seram individual bertemu makhluk halus @ hantu. Perkara ini juga pernah aku rasai, cuma penglibatannya adalah secara langsung serta membabitkan dua pihak [iaitu aku dan housemate] sendiri. Apapun, kisah aku ini berlaku kira-kira sekitar tahun 2015.

Apa yang berlaku pada tahun 2015 adalah aku dan ex housemate aku [Din namanya] yang sama-sama menyewa sebuah apartment di Jalan UTL, Mantin. Blok yang aku menghuni kalau tak salah namanya adalah Blok DR. Unit blok ni sememangnya bersebelahan dengan Lebuhraya LEKAS dan kalau sesiapa yg lalu lebuhraya ni memang sah boleh nampak unit blok yang aku sebutkan sini.

Secara ringkasnya, perpindahan kami ke rumah sewa terbabit agak mengundang rasa kurang selesa serta perasaan yang bercampur-baur. Masakan tidak. Blok yg kami diami saja sudahlah kurang penghuni pada waktu tu [yang berpenghuni cuma aras kami dan bawah rumah kami]. Ditambah pula dengan persekitaran blok yang tampak kurang terurus. Aku masih ingat lagi yang aras kami tinggal tak ada jiran langsung. Kalau aku nak gambarkan suasana blok kami pada sebelah malam, bayangkan aja sendiri macam mana kami terpaksa menempuh dari rumah untuk turun ke bawah blok dengan lampu koridor yang satu pun tak menyala. Habis gelap gelita kata orang. Selama aku menyewa situ, agak jarang untuk aku keluar rumah pada sebelah malam. Berrmula selepas waktu maghrib [selain urusan beli-beli barang dapur & tapau makanan]. Melainkan kalau si Din rajin nak keluar lepak sama. Kami keluar pun jika perlu.

Bilamana aku mula tinggal di rumah itu, akan ada beberapa ketika aku mula rasa semacam perasaan yang tak selesa. Terutama sekali sebelah malam. Tiap kali bila aku bermalas-malasan dalam bilik samada lepas balik kerja ataupun waktu cuti hujung minggu, aku selalu merasakan diri aku seolah-olah diperhatikan dari arah sudut pelusuk rumah. Tak tau bagaimana nak terangkan. Bila aku lelap (tido), ada lah dalam beberapa kali aku bermimpi benda ganjil. Kadang-kadang aku ada bermimpi tentang rumah yang aku sewa. Aku pernah nampak entiti perempuan rambut panjang & budak kecik yang berdiri tercegat kat arah ruang tamu dalam mimpi aku. Aku pernah juga bermimpi kelibat budak yang berlari di ruang tamu dan melompat-lompat.

Seriously aku memang tak tau macam mana benda alah ni datang. Cuma aku boleh sahkan sini yang aku hanya mengalami mimpi-mimpi ganjil apabila aku berada di rumah sewa tu saja. Tapi bila aku keluar dari rumah, aku rasa cukup tenang. Sikit pun tak terfikir pasal benda-benda negatif yang terjadi di rumah sewa. Adapun kejadian yang paling (real) pernah menimpa diriku adalah ketika aku sedang tidur. Masa dalam tidur, aku betul-betul bermimpi satu lembaga hitam yang sedang berdiri menghadap aku didepan pintu bilik. Entah macamana aku tergerak untuk buka mataku dan bila aku buka sikit, memang jelas aku nampak lembaga hitam tengah berdiri depan arah katil. Sumpah seram.

Sepanjang keberadaan aku disana, boleh dikatakan lebih daripada tiga kali aku terdengar derapan selipar dari tangga aras atas. Persis bunyi orang berjalan turun ke bawah blok. Tapi masalahnya aras atas rumah sewa aku mana ada penghuni yang tinggal. Dah tu bunyi apa yang aku dengar tadi (?) Pernah sekali tu aku dengan Din sendiri terdengar bunyi orang berjalan betul-betul depan rumah sewa kami, masa kami sedang kusyuk melayan movie di laptop. Pada awalnya, memang kami ketakutan. Tapi bila dah biasa terdengar, lama-kelamaan kami pun mula rasa kurang sikit takut.

Yang lagi seram sebenar bagi aku adalah kisah yang datang daripada mulut Din. Pernah dia bagitau aku masa dia baru nak balik naik ke rumah sewa, Din terang-terang nampak kelibat yg menyerupai diri ‘aku’ dari arah tingkap bilik aku. Walhal aku takde kat rumah sewa masa tu sebab aku masih tengah bercuti di kampung. Benda tu tengah merenung ke luar tingkap dan ianya disaksikan sendiri oleh Din & kawan kami yang kebetulan datang untuk hantar Din ke rumah dengan kereta [yang ni memang kisah betul]. Memang malam tu Din tak jadi nak balik tidur di rumah sewa. Dia mengambil keputusan untuk bermalam di rumah kawannya sampailah aku balik dari kampung.

Din juga pernah mendakwa yang dia mendapati dirinya terdampar di ruang tamu pada siang hari usai bangun daripada tidur. Seolah-olah ada lembaga yang ‘mengangkat’ dia dari dalam bilik lalu pindahkan ke ruang tamu. Masa kejadian berlaku, aku tak ada di rumah sewa. Aku memang tergamam habis bila dengar masa tu. Macam mana boleh terjadi jangan ditanya. Aku sendiri tak boleh nak fikir dek akal. Tuhan je yang tau.

Untuk makluman pembaca, kisah aneh yang pernah berlaku pada aku ini merupakan kali pertama dan terakhir berlaku sepanjang aku menyewa disitu. Sampailah aku dan Din masing-masing dah pindah keluar dari blok unit. Sekian saja al-kisah.

Hantar kisah anda : fiksyensahsha.com/submit

Aboy
Rating Pembaca
[Total: 22 Average: 4.4]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.