Keluar Malam

Assalamualaikum Fiksyen Shasha dan pembaca sekalian. Terima kasih didahulukan jika cerita kedua yang saya hantar ni disiarkan. Aku dalam cerita ini merujuk kepada saya. Ok ini ceritanya.

Kisah ni asalnya makcik aku yang cerita kat aku. Alkisahnya paksu aku iaitu adik bongsu makcik aku dan arwah abah aku ni zaman mudanya suka keluar malam. Biasalah duduk kat kampung apalah sangat yang nak dibuat kalau bosan. Lagipun masa tu paksu aku tu masih lagi bujang dan tinggal berdua je dengan nenek aku. Masa tu nenek aku masih ada lagi.

Nenek aku jenis tak kisah kalau paksu aku tu nak keluar malam pun. Tapi mula-mula tu bising jugaklah nenek kalau paksu aku tu keluar tiap-tiap malam tapi lama kelamaan dia dah tak larat nak bising dah. Yelah apa tidaknya semenjak kebanyakan kawan-kawannya pindah ke bandar untuk mencari rezeki atau menyambung pelajaran tinggal paksu aku jela kat kampung. Tambahan pulak nenek aku tau paksu aku tu cuma keluar minum kopi dan bersembang kat kedai kopi di simpang masuk jalan sekolah tu je. Tak pernah pulak nenek aku dengar apa-apa yang tak elok pasal paksu aku tu dari orang kampung. Jadi nenek aku pun biarkan sajalah asalkan paksu aku tau jaga diri dan sampai masa balik.

Dalam masa keluar malam ni lah berlaku beberapa peristiwa yang agak menyeramkan kat paksu aku. Tapi orang kata usik usik manja lah kan. Paksu aku ni perangai dia apa apa hal dia cerita kat kakak dia iaitu makcik aku. Jadi ini lah yang makcik aku cerita.

Usikan pertama.

Paksu aku ni jenis nak kata berani sangat pun tak jugak. Ada sekali tu dia kena usik masa lalu kat sebelah rumpun buluh sebelum simpang jalan tu. Paksu aku cerita kat makcik, dalam pukul 12, paksu aku dah dua tiga kali tengok jam tangan dia. Tunggu punya tunggu sorang pun member ngopi paksu aku takdak keluar malam tu. Yelah masa zaman akhir 1980an dulu mana ada handphone nak bagitau kalau tak jadi keluar. Bukan macam zaman sekarang ni kalau tak nak telefon, boleh Whatsapp atau Telegram bagai.

Mulut pun dah terkuap-kuap menahan ngantuk. Bosan gila. Macam budak sekarang cakap pishang tu la. Jadi terkebil-kebil lah dia duk dengar geng-geng senior citizen duk menyembang. Kadang-kadang ada lah jugak paksu aku ni menyampuk, tapi kebanyakan masanya terangguk-angguk dan sengih jela.

Sedar tak sedar jarum jam dah beralih ke angka satu. Mata paksu dah tak tahan sangat dah. Dia pun decide nak balik jela. Sejuk berangin je malam tu. Ada tanda nak hujan. Tak menoreh lagilah esok ni fikirnya. Kick start dihenyak. Dicuba sekali, tak hidup. Dua kali pun tak hidup. Kali ketiga baru menderum bunyi enjin c70 tu.

Hujan akan turun bila-bila masa je lagi. Pendikit dipulas, masuk gear dan jalan meredah pekat malam. Paksu ambik keputusan nak ikut jalan shortcut. Dia kalau boleh tak nak kena hujan. Tapi masalahnya jalan tu agak angker sikit. Lagipun jalan tu tak ramai orang lalu. Tengah malam lagilah takde orang lalu. Paksu aku nekad jelah janji cepat sampai.

Jalan tu ada satu kawasan rumpun buluh. Paksu aku pernah dengar lah sebelum ni yang ada orang kena usik masa lalu situ. Paksu aku tawakal je. Bila dah sampai depan rumpun buluh tu tiba-tiba rumpun buluh kat situ bergoyang kuat. Ala macam orang tolak kuat-kuat. Terkejut lah paksu aku. Dah goyang buluh tu satu hal. Ini siap bunyi ketawa mengekek macam mengejek je. Entah makhluk apa tak tahu. Nasib baik dengar gelak je, kalau bagi nampak tak tau lah apa jadi kat dia. Paksu aku apa tunggu lagi, dipulasnya throttle sampai mencecet motosikal nasib baik tak tergolek.

Dah sampai rumah terus dia masuk cepat-cepat. Nenek aku tanya dah kenapa pucat lesi muka. Paksu aku pun cerita lah dari mula sampai akhir. Nenek aku gelak je. Dia cakap padan muka suka keluar malam sangat. Haha. Tapi paksu aku tak serik, malam esoknya macam biasa dia keluar lagi.

Usikan kedua.

Ada satu malam tu paksu aku dijemput ke majlis tahlil arwah salah seorang penduduk kampung tu. Dipendekkan cerita selesai makan apa semua dalam pukul 9.30 malam. Jadi kebiasaan selalunya lepas tahlil dan jamuan makan, geng pemuda jarang yang terus balik. Selalunya diorang melepak dulu bersembang baru diorang balik. Termasuklah paksu aku sekali malam tu. Almaklumlah malam masih muda kata diorang. Jadi bersembanglah diorang, lepas satu topik ke satu topik lain.

Sembang punya sembang, tengok jam dah dekat pukul 11 setengah. Jadi masing-masing dah mula mengantuk dan nak balik berehat. Termasuklah paksu aku. Paksu aku ni tabiat dia suka bawak motosikal sambil merokok. Dirabanya rokok dalam poket baju melayu. Bila dibukak kotak, alahai tinggal sebatang. Mana nak cukup ni, keluh paksu. “Ish, tak boleh jadi ni, kena cari stok.” rungut paksu aku. Lagipun besok pagi pagi lagi dia nak pegi menoreh. Stok rokok kena ada.

Nak tak nak paksu aku melencongkan motosikalnya ke kedai kopi tempat selalu dia lepak minum malam-malam tu. Kat situ je yang ada jual rokok kalau time macam tu. Dah dapat rokok yang dicari, tanpa buang masa paksu aku terus balik.

Malam tu nak kata macam nak hujan tak jugak. Tapi cuaca agak dingin dengan angin menghembus sesedap rasa. Takdelah kuat macam ribut tu. Sejuk pulak ngomel paksu aku. Bulan penuh pulak malam tu, cahayanya sedikit sebanyak membantu paksu aku menunggang motosikalnya. Yelah masa tu kat kampung mana ada lagi lampu jalan macam sekarang. Dia melajukan sikit motosikal tu supaya lebih cepat sampai. Tapi tak boleh laju sangat sebab jalan kampung ada tempat nya banyak lubang. Kalau laju masuk lubang tu boleh jadi terbalik motosikal.

Malam tu paksu aku tak lalu kat jalan yang dia kena usik dulu. Dia lebih rela ikut jalan yang jauh sikit asalkan tak kena usik macam hari tu. Dipendekkan cerita maka sampailah paksu aku kat rumah.

Okla sebelum tu aku cerita sikit pasal kedudukan rumah makcik aku dengan rumah nenek aku. Jarak antara kedua buah rumah tu dalam sepuluh ke lima belas meter je. Alah senang cerita kalau panggil dari rumah pun boleh dengarlah. Kecuali orang tu ada masalah pendengaran memang tak boleh dengar. Sabar ya, ada sebab aku cerita pasal kedudukan ni semua.

Nak dijadikan cerita malam tu makcik aku tak tidur lagi masa paksu aku balik tu. Jadi bila dia dengar bunyi motosikal paksu aku dari jauh tu dia pun bukaklah jendela rumah. Rumah kayu kat kampung aku memang zaman tu kebanyakannya ada jendela, tingkap nako belum femes lagi masa tu. Dari jauh makcik aku tengok motosikal paksu aku tersengguk-sengguk mengikut alunan jalan yang tak rata akibat ditambak batu kerikil. Tapi yang peliknya makcik aku cerita, dia perasan macam ada budak membonceng motosikal paksu aku tu. Bila paksu aku dah sampai depan rumah makcik aku cakap budak tu tiba-tiba melompat dari motosikal tu dan hilang dalam gelap. Hendak dikatakan anak jiran macam tak lojik pulak budak dalam umur sekolah rendah keluar time macam tu. Depan tangga rumah nenek aku tu ada lampu bulat warna kuning yang entah berapa watt punya. Tak clear sangat lah cahayanya.

Makcik aku tak puas hati. Dari jendela rumah dia tu dia tanya paksu aku. “Acu, budak mana kau bawak membonceng tadi tu.” Dia panggil paksu aku Acu. Paksu aku jawab, “Eh mana ada bawak sapa-sapa kaklong, aku sorang jelah. Hah sudah, kata makcik aku dalam hati. Malas nak memanjangkan cerita, makcik aku suruh paksu aku masuk rumah teruslah. Paksu aku yang dah sedia mengantuk tu tak banyak cakap terus masuk rumah dan tidur.

Keesokan paginya barulah makcik aku cerita kat paksu aku pasal malam tu. Berubah terus muka paksu aku. Sebab dia memang rasa motosikal dia agak kurang pickup malam tu. Tapi tak terlintas pulak masalah tu disebabkan ada ‘budak’ yang menumpang. Paksu aku hanya anggap motosikal dia berat sebab enjin dah lama tak servis. Selain dari pada tu takdelah pulak dia rasa meremang ke apa malam tu.

Sejak dari malam paksu aku terkena tu ada lah dalam dua minggu paksu aku tak merayau keluar malam. Nasib baik dia tak demam. Lepas dua minggu tu bila dah agak-agak keras semangat balik dia keluar malam lagi. Tapi nasib baik sekali tu je ‘budak’ tu tumpang paksu aku. Sejak kena tumpang tu paksu aku limitkan masa lepak dia paling lewat sampai pukul 10.30 je. Yelah makin lewat balik makin tinggi lah chance nak jumpa makhluk mistik ni. Tapi alah bisa tegal biasa bak kata pepatah. Paksu aku lepas kena dua kali tu banyak amalkan bacaan al mathurat masa dalam perjalanan. Semenjak paksu aku amalkan bacaan tersebut Alhamdulillah dia dah tak kena kacau dah lepas tu.

Makcik aku umur dia sekarang dah tujuh puluh tahun lebih. Banyak dah cerita aku dapat kalau aku bersembang dengan dia. Macam-macamlah, pasal hantu raya garu dindinglah, hantu raya panggil nama nenek aku lah. Nanti yang tu aku cerita lain kalilah ya.

Ok tu jelah cerita pasal paksu aku suka keluar malam. Pengalaman dia aku coretkan di sini untuk dikongsi. Yang baik itu dijadikan contoh teladan yang kurang baik tu jadikanlah pengajaran dalam kehidupan. Semoga kita semua terhindar dari godaan dan gangguan iblis, jin dan yang seumpamanya.

Sekian.
WM AZLI

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

WM AZLI

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 4]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.