Khadam Harimau Cincin Jarum Mas

Tahun 2018.

Pada waktu itu, aku masih lagi bekerja di sebuah syarikat di Petaling Jaya, Selangor. Rutin hidup aku dan rakan-rakan sekerja pada masa itu adalah pergi kerja sebelum matahari terbit dan balik kerja selepas matahari terbenam, atau sewaktu keadaan menjadi sangat sibuk, ada masanya kami terpaksa berkampung di pejabat sehingga sehari atau beberapa hari.

Rakan sekerja yang duduk di meja hadapanku bernama Aina. Apabila ada sedikit kelapangan di celah-celah kerja yang menimbun, kami selalu berbual, sekadar mengurangkan tekanan kerja. Aina tinggal di sebuah taman perumahan teres di Klang bersama suaminya Hakim dan tiga orang anaknya, seorang perempuan berusia empat tahun dan dua orang lelaki berusia tiga tahun dan setahun. Hakim mempunyai syarikat sendiri dan menjalankan perniagaan berkaitan pembinaan rumah dan bangunan. Kadang-kadang ada juga dia terlibat dengan projek-projek dalam bidang lain bergantung kepada peluang yang ada.

Pada suatu hari, sewaktu seperti kebiasaannya kami berbual, Aina berkata kepadaku;

“En. Azim, ada perkara yang saya ingin minta pendapat En. Azim.”

“Boleh Aina, berkenaan apa ya?”

“Begini En. Azim. Tiga bulan lepas, suami saya, Hakim ada membuka sebuah restoran di Shah Alam. Dia berkongsi modal dengan seorang kawannya. Pada permulaan semuanya OK, pelanggan agak ramai, dan ada di antaranya yang menjadi pelanggan tetap,” Aina berhenti sejenak sebelum menyambung;

“Tapi masuk bulan kedua, pelanggan semakin berkurang. Kadang-kadang pula ada di antara pelanggan tetap bertanya kepada Hakim kenapa restoran selalu tutup. Sebenarnya restoran buka tujuh hari seminggu, hanya tutup pada hari-hari tertentu, iaitu mungkin hanya dalam dua atau tiga hari dalam sebulan. Jadi Hakim dah mula syak ada sesuatu yang tak kena. Tambahan pula ada suatu hari tu, kereta Toyota Hilux kepunyaan Hakim tiba-tiba rosak. Bila dia bawa ke bengkel, pomen yang periksa kereta tu pelik bagaimana boleh terjadi sebegitu. Sayapun sebenarnya kurang faham apa maksud pomen tu, tapi katanya kotak gear Hilux tu macam hancur dan dia sendiri tak pernah jumpa kes yang sebegitu.”

Aku cuma menggangguk sambil memberi sepenuh perhatian kepada cerita Aina.

“Hakim dan rakan kongsinya ada pergi berjumpa perawat untuk tengok-tengokkan apa sebenarnya yang sedang berlaku kepada restoran mereka. Perawat tersebut mengatakan bahawa restoran mereka telah disihir oleh peniaga kedai yang berhampiran. Entahlah En. Azim, sayapun tak tahu sama ada nak percaya atau tidak apa yang perawat tu beritahu,” keluh Aina.

“Jadi, sekarang bagaimana keadaan restoran tu? Dah pulih ke?” Soalku.

“Dah tutup En. Azim, lebih kurang sebulan yang lepas,” jawab Aina dengan nada kecewa.

“Allahu. Jika benarlah restoran itu disihir, semoga Allah memberi balasan yang setimpal kepada orang yang menyihir itu.”

“Tapi, ada masalah lain lagi. Saya tak pasti kalau En. Azim boleh bantu saya dan keluarga saya,” sambung Aina lagi.

“Maksud Aina?”

“Tak lama selepas restoran ditutup, sejak sebulan yang lalu, setiap malam Hakim bermimpi. Mimpi binatang buas, hantu dan makhluk-makhluk yang menyeramkan. Semua mimpi yang tak elok. Kerap juga sewaktu tidur, Hakim terjaga waktu tengah malam atau dinihari, dia seperti terpanggil untuk menyelak langsir di dalam bilik kami… dan di luar dia nampak ada makhluk hitam dan tinggi berdiri memandangnya.”

“Saya rasa itu adalah rentetan kesan daripada sihir restoran tu, saya pun bukan pandai sangat, tapi InsyaAllah saya akan cuba bantu setakat yang termampu, sama-samalah kita doakan agar semuanya selamat. Kalau boleh kita fokuskan kepada ikhtiar kita untuk sembuh. Tentang siapa yang tujukan sihir, saya cadangkan Aina jangan terlalu fikirkan sangat, kita serahkan semuanya kepada Allah,” kataku cuba memujuk hati Aina.

“Baiklah. Terima kasih En. Azim.”

Selepas beberapa kes seperti dalam kisah-kisah Tikus Pemusnah, Tuan Sheikh dan Gangguan Jin, aku lebih memilih untuk melakukan operasi yang lebih ringkas berbanding dengan cara menangkap atau berdialog dengan makhluk-makhluk yang mengganggu. Bagiku, tak penting untuk mengetahui makhluk-makhluk yang mengganggu tu datang dari mana, bagaimana rupanya atau berapa ekor semuanya. Keutamaanku adalah berikhtiar merawat sakit dan menghapuskan gangguan yang ada.

Biasanya aku akan cuba mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai kes yang cuba aku bantu. Dari situ aku akan cuba mengenal pasti jenis kes, iaitu sama ada ianya penyakit fizikal semata-mata ataupun berkaitan dengan gangguan makhluk halus. Jika ianya berkaitan gangguan makhluk halus, aku akan klasifikasikan pula sama ada ianya adalah kategori sihir, saka, khadam, jin yang menyinggah atau gabungan lebih dari satu kategori. Selepas itu barulah aku akan membuat tindakan. Untuk kes berkaitan makhluk halus, aku akan hantar amaran dan memberi tempoh tertentu kepada makhluk yang berkaitan, dan kemudiannya aku akan musnahkan semuanya jika mereka masih berdegil.

Akibat tugasan kerja yang datang bertali arus, hanya beberapa hari selepas itu barulah aku dapat luangkan sedikit masa untuk berikhtiar menyelesaikan masalah suami Aina. Aku hantar amaran kepada makhluk hitam yang dilihat oleh Hakim diluar rumahnya, yang aku yakin makhluk itulah ketua kepada puaknya. Anak buah biasanya akan mengikut arahan ketuanya. Seperti kes-kes sebelum ini, aku beri kata dua… hentikan gangguan, ambil balik semua sihir dan racun, dan jangan ada niat untuk mengganggu lagi, jika berdegil aku akan musnahkan ketua dan puaknya sekali.

Selepas aku ikhtiarkan, Hakim tidak lagi bermimpi buruk. Makhluk hitam tinggi di luar rumah juga telah tiada. Alhamdulillah, segalanya telah selesai… atau… itulah yang aku, Aina dan Hakim sangka.

Beberapa hari kemudian.

Sewaktu cuti hujung minggu, Aina bersama Hakim dan anak-anaknya pulang ke kampung mereka di Melaka. Hakim memandu kereta kedua mereka iaitu Honda Civic. Toyota Hilux biasanya digunakan untuk urusan perniagaan atau bila ada banyak barang yang perlu dibawa sahaja. Sampai masanya mereka kembali ke rumah mereka di Klang, Hakim memandu keretanya melalui Lebuh Raya Utara Selatan, waktu itu selepas Asar dan menghampiri waktu solat Maghrib. Sewaktu sedang memandu itu, tiba-tiba kedengaran bunyi yang kuat di atas bumbung kereta, seperti ada benda berat jatuh ke atasnya, tetapi kereta tidak sedikitpun goyang, dan jika dilihat dari dalam, bumbung kereta juga tidak terjejas. Tak lama kemudian mereka terdengar bunyi, seperti kain berkibar ditiup angin yang hujungnya menyentuh pada kereta berulang kali.

Terasa tidak sedap hati, Hakim memandu keretanya masuk dan berhenti di kawasan rehat dan rawat yang terdekat. Hakim dan Aina keluar dan memeriksa sekeliling kereta, mencari punca bunyi tadi. Rupanya jalur getah yang menutupi sekeliling cermin hadapan kereta sebahagiannya di sebelah kiri telah tercabut dan terjuntai. Juntaian getah itulah yang ditiup angin dan berkibar menyentuh bahagian kiri kereta sewaktu Hakim memandu tadi. Mereka agak pelik bagaimana getah yang melekat kuat itu boleh tercabut begitu sahaja. Mereka juga masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang menyebabkan bunyi yang kuat pada bumbung kereta mereka tadi sedangkan setelah diperiksa dengan lebih teliti, memang bumbung kereta langsung tidak terjejas.

Itu baru permulaan serangan gelombang kedua.

Selang beberapa hari, sewaktu di pejabat, Aina mengadu kepadaku, “En. Azim, sejak tiga hari lepas, Hakim ada bermimpi lagi.”

“Mimpi? Mimpi yang bagaimana?”

“Pada malam pertama, Hakim bermimpi melihat harimau di dalam zoo. Malam kedua, dia bermimpi harimau juga, tapi kali ini harimau itu berada di sebelah Hakim. Malam ketiga pun Hakim mimpikan harimau yang sama, harimau tersebut sedang berlawan dengan seekor ular,” Aina menceritakan dengan lebih terperinci.

“Sebelum ini, semasa Hakim bermimpi setiap malam tu, ada tak dia mimpikan harimau yang sama seperti yang dalam mimpi tiga malam ni?” Tanyaku inginkan kepastian.

“Saya rasa tak sama. Sebelum ini setiap malam dia memang bermimpi buruk, tapi mimpinya lain-lain.”

Mimpi binatang buas adalah salah satu daripada tanda-tanda gangguan jin, selain daripada mimpi binatang berbisa, berada atau jatuh dari tempat tinggi dan lain-lain yang dikategorikan sebagai mimpi buruk. Bermimpi harimau yang sama tiga malam berturut-turut, walaupun ianya juga tanda wujudnya gangguan jin, tetapi aku dapat rasakan bahawa ia pasti ada maksudnya yang tersendiri. Dalam mimpi itu, harimau tersebut seolah-olah bertindak menjadi penjaga Hakim. Dari pengalamanku, jin penjaga ini biasanya adalah dari jenis saka keturunan, tetapi berdasarkan cerita Aina kepadaku, dan berdasarkan pertimbanganku dari beberapa sudut dan simptom-simptom yang ada, aku agak pasti yang harimau tersebut bukan dari jenis saka.

Malam itu, aku melakukan operasi seperti biasa, iaitu operasi dua langkah… amaran dan musnah. Selepas itu aku berdoa memohon kepada Yang Maha Kuasa agar menunjukkan jalan kepadaku tentang punca gangguan yang dihadapi oleh Hakim kali ini. Aku tahu, jika aku musnahkan makhluk-makhluk itu sekalipun, sekiranya masih ada punca yang aku tidak ketahui, potensi untuk gangguan tersebut berulang adalah besar.

Hari berikutnya.

Aina ada maklumat baru untukku, “En. Azim, semalam Hakim ada beritahu saya, dia ada sebentuk cincin. Selama ini saya tak berapa kisah pun tentang cincin yang dia pakai, sebab itu saya tak terfikir nak beritahu En. Azim. Tetapi selepas Hakim beritahu saya tentang cincin itu barulah saya terfikir, agaknya cincin itu ada kena-mengena ke dengan mimpi harimau tu?”

“Bagaimana dia dapat cincin tu? Beli atau ada orang berikan kepada dia?”

“Kata Hakim, dia dapat batu cincin itu dari salah seorang pekerja binaannya. Hakim nampak pekerja tersebut sedang memegang batu itu, tiba-tiba pula Hakim jadi berminat dan meminta untuk membelinya, tapi pekerja tersebut memberikannya secara percuma. Mengikut kata pekerja itu nama batu tersebut ialah Jarum Mas. Selepas itu baru Hakim ikat batu itu jadikan cincin.”

“Bila Hakim mula pakai cincin itu?” tanyaku lagi.

“Dalam dua bulan lepas.”

“Saya rasa mungkin inilah jawapan kepada punca Hakim bermimpi harimau tiga malam berturut-turut sebelum ini, insyaAllah kita akan tahu juga nanti,” aku memberikan teoriku kepada Aina.

Teoriku juga, walaupun Hakim telah memakai cincin tersebut selama dua bulan, tetapi simptomnya baru sahaja muncul dalam masa seminggu kebelakangan ini kerana sebelum ini makhluk hitam yang datang daripada sihir tuju telah terlebih dahulu menguasai Hakim dan keluarga. Hanya bila aku musnahkan makhluk hitam tersebut barulah khadam harimau cincin Jarum Mas pula yang dominan mengganggu.

“Nanti kalau boleh, bawa cincin itu dan tunjukkan kepada saya, ataupun boleh juga nanti ambil gambar dan hantarkan kepada saya untuk saya ikhtiarkan sesuatu,” kataku kepada Aina.

“InsyaAllah En. Azim.”

Aku ada dua orang sahabat baik. Mereka bekerja di syarikat yang berlainan, seorang di Bangsar dan seorang lagi di Solaris Mont Kiara, jadi, Petaling Jaya adalah lokasi yang paling strategik untuk kami berjumpa. Memang menjadi kebiasaanku akan berjumpa mereka berdua di restoran mamak tak jauh dari pejabatku setiap beberapa minggu sekali, terutama pada malam yang keesokannya adalah hari cuti, sama ada cuti hujung minggu ataupun hari kelepasan am, jadi kami tak perlu risau untuk balik awal. Pada kami, itulah terapi melepaskan tekanan kerja sepanjang minggu kerana kami bertiga akan berbual apa sahaja topik, dari teknologi maklumat, gajet terkini, isu semasa, keagamaan, mistik dan lain-lain, sehingga tak sedar masa menginjak ke dinihari.

Hari itu hari Jumaat. Hari yang sama Aina memberitahuku tentang kewujudan cincin Jarum Mas kepunyaan Hakim. Pada sebelah malamnya aku berjumpa dengan dua sahabatku seperti biasa. Bila malam semakin larut, keadaan di restoran mamak semakin meriah, tetapi untuk diriku, aku merasakan suatu kelainan. Tidak semena-mena mataku tiba-tiba menjadi gatal dan dan kemerahan. Bahagian dalam hidung berhampiran saluran pernafasanku juga tiba-tiba terasa pedih. Aku menggosok perlahan di sekitar sekeliling mata dengan harapan dapat mengurangkan rasa gatal, tetapi semakin lama semakin terasa gatal dan sakitnya. Kali ini aku tak banyak berbual seperti kebiasaannya, kerana aku lebih banyak memejamkan mataku, menahan kesakitan. Aku cuma mendengar topik demi topik yang kedua sahabatku bualkan, dan hanya sekali sekala sambil mata terpejam itu aku menyampuk perbualan mereka. Keadaan itu berterusan sehingga akhirnya aku meminta diri untuk pulang ke rumah lebih awal dan meninggalkan mereka berdua menyambung perbualan, kerana pada waktu itu aku sudah tidak dapat menahan sakit dan pedihnya mata dan dalam hidungku.

Esoknya. Aku diserang batuk berkahak beserta demam dan pening. Dalam dadaku terasa sesak dan sakit. Bila aku solat, sewaktu dalam sujud, aku rasa seperti ada benda berketul yang berat menekan dadaku dari dalam. Tak lama kemudian, kerongkongku pula luka akibat batuk yang kuat dan berterusan. Aku hampir tidak dapat bercakap kerana suaraku hampir tidak keluar. Mataku masih merah dan sakit. Sepanjang hidupku bukan tidak pernah batuk, tetapi kali ini ia adalah batuk yang paling teruk yang pernah aku alami. Merasakan bahawa sakitku itu ada kaitan dengan khadam harimau cincin Jarum Mas kepunyaan Hakim, aku tidak boleh tunggu sehingga Aina membawa cincin itu kepadaku ataupun menghantarkan gambar cincin itu kepadaku, malam itu juga aku jalankan operasi. Oleh sebab makhluk-makhluk tersebut yang terlebih dahulu mengisytiharkan perang denganku, jadi kali ini aku tidak memberikan amaran. Aku terus musnahkan semua makhluk yang menghuni batu cincin tersebut.

Hari berikut, mataku semakin sembuh, semakin kurang merah dan gatalnya. Batuk masih ada, masih agak teruk, tetapi ada sedikit kurang berbanding sehari sebelumnya. Demam sudah tiada, cuma pening masih terasa. Sambil terbaring di rumah, aku hantar mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada Aina;

Aku: “Salam Aina, saya dah bersihkan cincin tu. Kalau ada masa nanti minta Hakim tanam ya.”

Aina: “Wslm. Oh ya ke? Belum sempat lagi saya nak bawa cincin itu tunjuk kepada En. Azim.”

Aku: “Tak apa. Tak payah bawa. Saya terpaksa bersihkannya dahulu, sebab khadamnya dah mula menyerang saya.”

Aina: “Serang? Serang yang bagaimana En. Azim?”

Aku ceritakan kepada Aina apa yang telah dan sedang berlaku kepadaku.

Aina: “Allahuakbar. Saya minta maaf banyak-banyak En. Azim, terpaksa hadapi semua ini untuk bantu saya.”

Aku: “Tak apa Aina, saya buat semua ini pun kerana Allah. InsyaAllah Dia akan lindungi kita.”

Aina: “Baiklah En. Azim. Tapi saya masih nak minta maaf, dan saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kerana membantu saya sekeluarga. Hanya Allah yang dapat membalas budi En. Azim.”

Aku: “Semuanya atas izin-Nya jua. Terima kasih atas doa.”

Selepas hari itu, akibat kesibukan kerja, ditambah pula dengan kurangnya kefahaman tentang pentingnya untuk segera menanam cincin tersebut, Hakim hanya menanamnya seminggu selepas itu.

Beberapa hari sebelum cincin itu ditanam.

“Ibu! Ibu! Irfan takut!!” Irfan, anak lelaki Aina yang berusia tiga tahun menekap mukanya dengan kedua tapak tangannya sambil menjerit ketakutan.

“Kenapa Irfan?! Irfan takut apa?” Soal Aina cemas sambil memeluk Irfan, dilihatnya jam dinding pada masa tu menunjukkan pukul 11.45 malam.

Aina dan anak-anaknya sudah terlelap tadi, tapi Aina tersedar setelah mendengar jeritan Irfan yang ketakutan.

Irfan tidak menjawab soalan Aina, sebaliknya dari celah jari-jari tangannya, matanya liar melihat ke satu sudut dalam bilik tidur mereka. Apabila melihat sahaja ke sudut tersebut, dia kembali memejamkan matanya sambil memeluk ibunya, “Ibu, Irfan takut!”

Situasi itu berlaku dalam tempoh lebih kurang lima belas minit. Dalam tempoh tersebut Aina cuba membaca ayat Kursi dan menghembuskan ke arah sudut yang Irfan lihat tadi, tetapi Irfan masih lagi ketakutan bila dia mengintai dari celah jari-jarinya ke arah itu.

Buntu, tak tahu apa yang harus dilakukan, Aina menghantar mesej kepadaku. Pada masa itu aku sebenarnya telahpun tidur. Aku tidur agak awal malam itu kerana keadaanku yang masih belum sihat. Aku jarang dapat mesej pada masa-masa sebegitu kerana aku sendiri jenis yang kurang menggunakan aplikasi WhatsApp, biasanya aku hanya berbalas mesej dengan sahabat-sahabat rapatku ataupun hanya bila ada perkara-perkara penting. Kalau jadi ahli mana-mana group pun, selalunya aku hanya jadi pembaca senyap, hanya menyampuk bila aku rasakan perlu. Jadi, bila telefonku berbunyi dengan nada mesej masuk, aku agak mesti ada perkara penting.

Aina: “Salam En. Azim, maaf mengganggu malam-malam macam ni. Anak saya Irfan sedang ketakutan sekarang ni, seperti nampak sesuatu. Dah lima belas minit macam ni. Saya dah cuba baca ayat Kursi dan hembus, tetapi Irfan masih lagi ketakutan.”

Sebaik sahaja membaca mesej dari Aina itu, memandangkan makhluk tersebut sedang mengganggu, tanpa apa-apa amaran aku terus musnahkan. Selepas itu baru aku membalas mesej Aina.

Aku: “Bagaimana sekarang? Irfan masih macam tu?”

Aina: “Dia dah semakin tenang En. Azim.”

Aku: “Alhamdulillah. Saya dah buang makhluk itu tadi.”

Aina: “Alhamdulillah. Apa tadi tu ya?”

Aku: “Entahlah Aina, saya tak susul makhluk apa dan dari mana, saya terus musnahkan sahaja. Tapi saya rasa ianya ada kaitan dengan cincin yang Hakim pakai.”

Aina: “Hakim tiada sekarang ni. Dia outstation ke Johor Bahru selama seminggu.”

Aku: “Tak apa. Nanti bila dia balik, pesan kepadanya kalau boleh tanam cincin Jarum Mas tu dengan segera. Walaupun saya telah bersihkannya sebelum ini, tetapi makhluk lain akan mengambil alih tempatnya menghuni cincin tersebut selagi cincin itu tidak ditanam”

Aina: “Baik En. Azim. Nanti saya sampaikan kepada Hakim.”

Aku: “OK. Nanti beritahu saya kalau dah tanam ya.”

Aina: “Baik. Terima kasih kerana menolong kami tadi.”

Aku: “Sama-sama Aina. Syukur kepada Allah.”

Keesokan harinya Aina bertanyakan kepada Irfan apa yang dia nampak menyebabkan dia ketakutan sebegitu. Jawapan Irfan ialah, dia nampak Black Panther. Aku cuma tergelak bila Aina menceritakan kepadaku jawapan Irfan itu. Mungkin makhluk yang Irfan nampak itu berwarna hitam. Mungkin juga berupa harimau, sebab itu dikaitkan dengan Black Panther.

Sepanjang sebelum cincin tersebut ditanam, kadang-kadang ada di bahagian-bahagian tertentu pada tubuhku terasa berdenyut sakit. Denyutan itu kadang-kadang di kaki, ada masa di betis, lengan atau lain-lain bahagian, sentiasa berubah tempat. Ada masanya pula betul-betul di tengah tapak kaki kananku terasa seperti ada jarum yang menyucuk. Memang setiap kali ada kes yang sedang cuba aku ikhtiarkan, perkara sebegini akan berlaku. Aku tahu itu adalah cubaan serangan dari makhluk-makhluk yang sedang aku perangi. Bila ada kes yang aku kendalikan, aku akan pagar diriku terlebih dahulu, tetapi jika Allah izinkan, pagar itu boleh sahaja tembus oleh serangan makhluk-makhluk tersebut. Setiap kali berlaku, aku akan tarik dan musnahkan makhluk dan racun yang sedang cuba dikenakan kepadaku.

Malam berikutnya, aku bermimpi bertempur dengan empat orang bomoh. Dalam mimpi tersebut, aku tumbangkan tiga orang daripadanya, dan bomoh yang terakhir melompat tinggi hingga ke awan dan aku mengejarnya dengan di kedua-dua belah tanganku memegang erat dua bilah sabit yang berlumuran darah yang banyak, sehingga darah itu menitis dari sabit-sabit tersebut.

Hanya selepas beberapa hari berikutnya, iaitu setelah Hakim menanam cincin Jarum Mas tidak jauh dari rumahnya, barulah semuanya pulih seperti sediakala. Tiada lagi gangguan di rumah Aina dan keluarganya. Aku juga boleh tidur lena, tiada denyutan sakit di tubuhku, tiada juga mimpi yang pelik-pelik. Suaraku kembali pulih selepas seminggu, tetapi batuk yang aku hidapi hanya sembuh sepenuhnya selepas dua minggu.

Bak seperti sebuah ungkapan, ‘Ku Sangka Panas Hingga Ke Petang, Rupanya Hujan Di Tengah Hari.’

Seminggu selepas Hakim menanam cincin.

“Ibu! Irfan takut! Ibu! Ibu! Irfan takut!!” Di rumah Aina, pukul 12.00 tengah malam, Irfan kembali ketakutan.

Kali ini Hakim ada di rumah. Sama seperti sebelumnya, Aina dan Hakim cuba membaca apa-apa ayat Al-Quran yang mereka ketahui dan hembuskan ke arah yang dilihat oleh Irfan, tetapi tiada apa-apa perubahan.

Sekali lagi Aina menghantar mesej kepadaku;

Aina: “Maaf mengganggu En. Azim. Irfan jadi seperti hari tu balik. Dah puas kami baca apa-apa ayat yang kami tahu, tetapi Irfan masih macam tu.”

Aku: “Tak apa. Sekejap ya.”

Aku buat isyarat memancung dengan tanganku dengan niat memusnahkan makhluk yang mengganggu Irfan.

Aku: “Bagaimana Irfan sekarang?”

Aina: “Alhamdulillah dah semakin OK. Kali apa pula yang mengganggu ya?”

Aku: “Mungkin jin yang menyinggah. Sebab Irfan dah ada tanda. Kalau betul ini adalah jin yang menyinggah, insyaAllah ia tak akan mengganggu lagi.”

Aina: “Oh begitu. Harap-harap semua baiklah selepas ini.”

Aku: “InsyaAllah. Banyak-banyakkanlah berdoa.

Malam berikutnya, kejadian yang sama berulang lagi. Irfan kembali menjerit ketakutan sambil memanggil ibunya. Perkara yang sama juga aku lakukan, iaitu terus memusnahkan makhluk yang mengganggu. Kali ini aku membuat panggilan telefon dan bercakap dengan Aina;

“Aina, saya rasa gangguan semalam dan malam ini bukan jin yang menyinggah, sebab gangguan jin menyinggah biasanya tidak berulang secepat ini.”

“Habis tu En. Azim, dari mana pula datangnya ya?”

“Saya tak pasti. Tapi saya kuat merasakan bahawa mesti ada puncanya. Aina tahu ke mungkin ada apa-apa lagi barang yang ada di rumah Aina? Mungkin barang lama atau barang antik?”

“Tak tahulah En. Azim. Seingat saya tak ada pula barang-barang macam tu.”

“Tak apa. Nanti kalau ada apa-apa maklumat jangan lupa beritahu saya ya.”

“Baik En. Azim. InsyaAllah.”

Esoknya. Aina memberitahuku bahawa Hakim ingin bertemu denganku. Kebetulan hari itu aku cuti sakit, jadi aku menjemput Aina datang ke rumahku bersama Hakim dan anak-anak mereka pada sebelah malamnya.

Malam itu, di rumahku, Hakim menyatakan tujuannya ingin bertemu denganku;

“Sebenarnya En. Azim, saya nak minta maaf banyak-banyak.”

“Minta maaf? Kenapa pula?” Susah aku nak agak kenapa Hakim berkata demikian.

“Sebenarnya semasa outstation minggu lepas, saya bermimpi. Dalam mimpi itu ada seorang… saya kurang pasti orang atau apa sebab tak berapa jelas wajahnya, dia kata cincin Jarum Mas itu bukan kepunyaan saya, jadi kalau saya tak mahukannya, dia suruh saya pulangkan balik kepada tuannya. Jadi, selepas balik dari outstation, saya pergi gali semula dan bawa balik cincin itu, saya letak dalam sebuah peti di rumah. Itulah yang saya nak minta maaf sebab sepatutnya saya tanya En. Azim dulu tentang mimpi saya tu dan sebelum buat apa-apa. Selepas dua malam Irfan ketakutan, saya terfikir mungkin cincin inilah puncanya,” jelas Hakim sambil menghulur cincin Jarum Mas yang dibawanya kepadaku.

Aina hanya menggelengkan kepala. Dia sendiri tidak tahu yang Hakim telah menggali, mengambil kembali cincin tersebut dan menyimpannya di rumah mereka.

Aku bukanlah peminat cincin, jadi tak banyak yang aku tahu mengenai batu-batu cincin. Pertama kali aku melihat cincin batu Jarum Mas. Di dalam batu cincin tersebut jelas kelihatan ada banyak jalur-jalur halus seperti jarum. Mungkin dari situ ia mendapat namanya.

“Sebenarnya selepas Hakim tanam cincin ni dulu, saya dah bersihkannya, tetapi akan ada makhluk lain yang akan menjadi penghuninya. Jadi saya putuskan hubungan cincin ni dengan Hakim dan keluarga, supaya makhluk yang baru ada pada cincin ni tidak akan mengganggu. Tapi bila Hakim ambil balik cincin ni, ia dah jadi hak milik Hakim semula, hubungannya dengan Hakim dah kembali ada, sebab tu khadam barunya kembali mengganggu. Tak apalah, dah Hakim tak tahu, apa boleh buat, inipun salah satu cara Allah memberi pengalaman dan mengajar kita,” kataku sambil tersenyum. Aku tak marah kepada Hakim, kerana aku tahu bukan mudah untuk faham perkara-perkara sebegini.

“Jadi, pada pendapat En. Azim, perlu ke saya pulangkan balik cincin ni?”

“Pemilik asal ada ambil tahu ke tentang cincin ni selepas dia beri kepada Hakim dulu?” Tanyaku.

“Tak ada pula. Dia seperti tak kisah pun.”

“Kalau begitu, saya cadangkan Hakim buang sahaja cincin ni. Nanti tanam seperti sebelum ini.”

“Baiklah, nanti saya akan tanam secepat mungkin.”

“Jangan lupa ya, bila nak tanam nanti beritahu saya.”

“Baik En. Azim. InsyaAllah.”

Kali ini, Hakim telah belajar dari pengalamannya. Jadi dia tidak bertangguh lagi dan menanam cincin tersebut pada keesokan harinya.

Lebih kurang dua bulan selepas itu, iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri. Aina, Hakim dan anak-anaknya berkunjung ke rumah salah seorang saudara mereka di Rawang. Rumah itu pula depannya mengadap hutan. Petang itu anak-anak Aina bersama kawan-kawannya bermain dan bergelak ketawa di hadapan rumah saudaranya itu. Setelah pulang ke rumah mereka di Klang, pada sebelah malamnya, Irfan diganggu lagi. Mungkin ada makhluk yang tertarik untuk mengikut Irfan memandangkan dia sudah ada tanda akibat gangguan yang sebelumnya.

Esoknya, seperti sebelum ini, Aina bertanya kepada Irfan apa yang dia nampak. Kali ini Irfan menjawab dia nampak Joker… dan Joker itu sedang memegang adik Irfan yang berumur setahun iaitu Aiman. Hakikatnya pada masa itu Aiman sedang tidur dalam buaian.

Sehari selepas kejadian Irfan melihat Joker memegang Aiman, ada sesuatu yang berlaku kepada Aiman. Setiap kali tiba waktu makan, dia akan menangis semahu-mahunya, lebih kurang setengah jam dia menangis, selepas itu barulah Aiman akan makan seolah-olah kelaparan yang teramat sangat. Seminggu perkara itu berlarutan sehinggalah Aina bertanya kepadaku tentang kemungkinan kaitannya dengan Joker yang Irfan nampak. Setelah aku pulihkan semangat Aiman, Alhamdulillah Aiman kembali seperti sedia kala. Kali ini memang betul gangguan itu datang dari jin yang menyinggah, dan itulah gangguan terakhir yang terjadi.

Sehingga sekarang, setelah lebih setahun kejadian-kejadian itu berlaku, tiada lagi apa-apa gangguan yang dialami oleh Aina, Hakim dan anak-anaknya. Alhamdulillah, syukur kepada Yang Maha Esa.

Dalam ikhtiarku membantu kawan-kawan dan ahli keluargaku dari gangguan makhluk halus, banyak kali juga aku diserang. Ada di antaranya serangan di alam nyata, aku pernah tumbang sewaktu nak sujud dalam solat, pernah juga kakiku tiba-tiba rasa teramat sakit, tapi selepas hilang begitu sahaja selepas makhluk dan sihirnya aku tarik dan musnahkan. Ada juga serangan di alam mimpi, seperti didatangi makhluk berupa wanita bermata satu berbaju kurung yang menghembuskan asap merah beracun ke arahku, pernah dikepung oleh ramai lembaga hitam, diekori oleh makhluk-makhluk berupa manusia tetapi berkecai menjadi debu hitam bila aku musnahkan, dan beberapa lagi siri serangan.

Dalam banyak-banyak kes, kes khadam harimau cincin Jarum Mas inilah yang aku diserang paling teruk sehingga aku terpaksa mengambil cuti sakit selama hampir dua minggu, terasa hampir serik untuk terlibat dengan kes-kes sebegini lagi, sehingga kedua sahabat baikku mengatakan kepadaku;

“Kau kena berhenti tolong orang.”

Tetapi setelah aku renungi kembali segala apa yang telah aku lalui, aku mengingatkan diriku bahawa aku lakukan segalanya kerana Allah jua, jadi aku tidak patut berputus asa. Semua itu adalah ujian daripada-Nya untuk menghapuskan dosa dan meningkatkan darjat hamba-Nya.

Dan yang paling aku pegang ialah kata-kata Ustaz Alif, Mudir sekolah Maahad di mana aku mengajar silat yang sampai sekarang aku masih ingat. Kata-katanya amat ringkas, tetapi cukup untuk aku jadikan sebagai azimat penguat semangatku;

“Cikgu bantu orang, Allah akan bantu Cikgu.”

Mohon sahabat-sahabat doakan agar aku terus sabar dan tabah dalam membantu insan-insan yang memerlukan. Semoga Allah melindungi kita semua.

Mungkin ini adalah nukilan terakhir dariku buat masa ini. Jika diizinkan Allah, aku akan menulis lagi pada masa-masa yang akan datang. Terima kasih kepada Admin FS yang menyiarkan semua nukilanku sebelum ini. Kepada pembaca FS yang tertinggal kisah-kisah sebelum ini, boleh ikuti melalui pautan seperti di bawah:

  1. Gerimis Malam (https://fiksyenshasha.com/gerimis-malam/)
  2. Prolog: Cik Baju Putih Dan Tikus Pemusnah (https://fiksyenshasha.com/prolog-cik-baju-putih-dan-tikus-pemusnah/)
  3. Tuan Sheikh (https://fiksyenshasha.com/tuan-sheikh/)
  4. Sofea (https://fiksyenshasha.com/sofea/)
  5. Gangguan Jin (https://fiksyenshasha.com/ganguan-jin/)
  6. Saka Dan Khadam Tongkat (https://fiksyenshasha.com/saka-dan-khadam-tongkat/)

Kepada sahabat-sahabat FS yang dihormati, aku memohon maaf kerana belum sempat menjawab semua soalan yang dikemukakan melalui email. Untuk sahabat-sahabat yang bertanya, aku boleh dihubungi melalui email: [email protected] atau FB: https://www.facebook.com/abdulazim2017.

Maaf juga jika ada masanya nanti aku agak terlewat membalas email atau FB messenger, kadang-kadang kesibukan kerja hakiki tidak memungkinkan untuk aku membalasnya dengan segera. Aku akan berusaha sedaya upaya untuk menjawabnya bila ada kelapangan dan akan cuba membantu atau memberi panduan setakat yang termampu. InsyaAllah.

-AZIM-

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Azim
FOLLOW FB KAMI.

13 comments

  1. Jangan menyerah kalah en.azim, semoga sentiasa istikomah dalam membantu org2 yang memerlukan, inshaAllah ganjaranNya amat besar di sisi Allah, semoga dipermudahkan segala urusan en.

  2. bile baca cerita2 azim , teringat seorang lagi writer tp beliau the kembali ke-rahmatullah. Kalau pernah baca , nama arwah guna adalah kucing kelabu…..- Fifi

  3. Saya ada satu batu jarum emas ni. Perlu ke saya buang. Sebab seorang sahabat bagi pada saya sebab saya tengok cantik. Tak tahu la ada unsur mistik atau tidak.

    1. Tak semua batu ada khadam. Kalau ada khadam, gangguan juga akan ada. Nak tahu ada gangguan atau tdk adalah melalui tanda2 gangguan jin spt mimpi binatang, hantu, tempat tinggi, ditindih, lebam dll mimpi yg menakutkan.

  4. salam ck azim.. nk tanya, kenapa tiap kali masuk opis jantung saya berebar laju.. kalau tak masuk opis jantung saya mcm normal saja..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.