Kisah Misteri Jambatan Usang

Aku nak ceritakan satu kisah yang masih menghantui fikiran aku sampai sekarang. Kisah ni berlaku masa aku balik kampung tiga tahun lepas. Kampung aku ni terletak di hujung daerah, dikelilingi bukit dan sungai. Satu-satunya jalan pintas nak masuk kampung adalah melalui sebuah jambatan kayu usang yang dibina sejak zaman atuk aku muda.

Jambatan tu panjang, lebih kurang lima puluh meter, merentasi sungai yang airnya keruh kemerahan. Kayunya reput di sana-sini, paku-paku lama timbul macam duri. Tapi orang kampung tetap guna sebab kalau nak elak jambatan tu, kena pusing jauh hampir satu jam.

Petang tu, aku balik kampung sebab ada kenduri arwah Tok Su. Lepas selesai makan-makan, aku duduk di serambi rumah Mak Ngah. Orang tua-tua kampung mula buka cerita lama. Satu cerita yang terus meremangkan bulu tengkuk aku.

Kata Pak Cik Rahman, jambatan kayu tu dulu pernah jadi lokasi mayat-mayat orang kampung dijumpai, hanyut dan tersangkut kat tiang bawah jambatan masa zaman darurat. Ada juga cerita masa zaman Jepun, orang tempatan yang ditangkap askar didera di atas jambatan tu sebelum mayatnya dicampak ke sungai.

Sejak itu, jambatan tu tak pernah sunyi dari kisah seram. Ramai kata waktu Maghrib, selalu nampak bayang putih berjalan perlahan melintasi jambatan, hilang sebelum sempat sampai ke hujung. Pernah juga ada budak kampung yang kena rasuk selepas balik memancing katanya dia ditegur “perempuan cantik” yang menunggu di tengah jambatan.

Aku tak berapa nak percaya sangat. Mungkin sebab aku dah lama tinggal di bandar, dah terbiasa fikir logik. Tapi malam tu, bila aku nak balik rumah atuk, aku terpaksa lalu jambatan tu sebab rumah atuk memang betul-betul di seberang.

Jam masa tu hampir pukul 11 malam. Langit gelap pekat, bulan separuh saja nampak, redup di balik awan. Aku pakai motor perlahan-lahan atas jambatan sebab takut kayu reput patah. Angin malam sejuk, bunyi air sungai berkocak macam bisikan panjang.

Sampai di tengah-tengah jambatan, tiba-tiba aku tercium bau wangi bau bunga melur bercampur kemenyan. Bau tu pelik sebab tak mungkin ada orang bakar kemenyan malam-malam atas jambatan. Serentak tu, bulu tengkuk aku meremang. Lampu motor tiba-tiba malap, berkelip-kelip sebelum terus padam.

Aku cuba hidupkan balik tapi enjin tak mahu menyala. Dalam sunyi tu, aku dengar bunyi tapak kaki perlahan-lahan berjalan atas papan jambatan, seolah-olah dari belakang aku. Bunyi tu makin dekat. Aku pejam mata rapat-rapat, baca ayat Kursi dalam hati.

Bila aku buka mata balik, lampu motor menyala semula. Tapi masa tu, dalam cahaya samar lampu, aku nampak bayangan kain putih panjang beralun di hujung jambatan, seperti orang berdiri menunggu. Tak bergerak, hanya berdiri memandang ke arah aku.

Aku tak tunggu lama. Terus pulas throttle sampai motor melompat ke depan. Tak pandang belakang langsung sampai selamat masuk ke halaman rumah atuk.

Esoknya, aku cerita pada Mak Ngah. Dia hanya diam lama, sebelum bersuara perlahan.

“Jangan tegur kalau kau nampak… jangan juga pandang lama. Sebab jambatan tu dah lama jadi laluan dia. Kita tumpang lalu je…”

Sejak kejadian tu, tiap kali balik kampung, kalau nak lalu jambatan tu waktu malam aku akan pastikan tak seorang pun. Kadang-kadang bila motor lalu, aku rasa macam ada mata memandang dari bawah jambatan. Bau melur itu sekali-sekala datang menyapa, seolah-olah mengingatkan aku yang jambatan tu bukan sekadar kayu usang atas sungai, tapi pintu yang menghubungkan kita dengan alam lain, yang diam-diam masih setia menunggu penumpang seterusnya.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.