KISAH UYAD 2.0 Part Akhir

Esok paginya aku sedar aku dah ada dalam bilik. Mungkin Ayah yang angkat aku naik atas lepas dia sampai rumah. Tak pasti pula aku dia sampai pukul berapa.

“Adik nampak dia ke semalam?” tanya ayah setelah hirup kopi panas.

Aik? Ayah tahu ke? Aku tak cerita lagi pada orang.

“Ha’ah” jawab aku ringkas sambil telan mihun goreng. Tak selesa aku nak cerita. Takut nak ingat balik. Pakcik depan aku ni berbalas senyuman dengan ayah.

“Lamanya ayah pergi semalam, kami tunggu sampai pukul 11 tak balik lagi” tanya Kak Long.

“Biasalah dia tahu kita nak halau dia, macam-macam la dia buat” jawab Pak Man. Aku kenal pakcik ni, rakan sepeguruan ayah. Banyak kali juga datang menziarah ayah dekat kampung.

“Mujur ada ayah. Kalau tidak, Ram memang patah balik dah” celah abang ipar aku.

“Jadi apa?” mak aku tanya tak sabar.

**************************************RAM*************************************

“Betul dah kan jalan ni ayah?” letih dah aku ni, dari petang tadi lagi terperam dalam kereta. Lekuk habis dah p******g aku. Tak jumpa rumahnya.

Aku kenal jalan nak ke rumah Pak Man ni. Cuma ingat-ingat lupa. Tapi tak mungkin sesat. Rumah Pak Man ni tak jauh pun dari kampung ayah, ada la dalam 2 jam jarak perjalanan. Aku pernah ikut ayah masa hantar barang ke rumah Pak Man dulu.

Kiri kanan jalan hanya kebun getah orang. Malam macam ni tengok pokok getah pun jadi takut. Rumah Pak Man ni jauh dari jalan besar. Kena masuk kawasan kebun getah dalam 1 kilometer baru jumpa rumahnya. Jalan kebun, kecil je tidak bertar, muat-muat sebuah kereta sahaja. Tak susah pun jalannya. Lepas jambatan jalan besar, belok kiri kemudian terus je sampai jumpa rumah papan cat warna merah gelap. Tu la rumah dia. Tapi aku rasa aku dah lalu jalan kebun ni ada dekat 15 minit. Takkan 1 km jalan tak habis lagi. Takkan la jalan kebun getah ni bertambah panjang.

Ayah masih tak jawab soalan aku tadi. Dia diam sahaja dengan matanya tertacap di bahagian bonet kereta.

Aku tengok kiri kanan, hajatnya nak cari lampu rumah orang. Boleh berhenti tanya jalan. Daripada berjalan tak ada tujuan macam ni. Tapi semua gelap gelita. Hanya lampu kereta aku yang nyala.

“Kena pula kita ni Ram” ayah cakap perlahan.

Seram pula suara ayah ni. Aku berkalih pada ayah. Ayah masih tengok depan, lebih tepat lagi tengah tenung tajam bahagian bonet kereta. Aku hilang kata-kata. Tak tahu nak cakap apa. Aku urut dahi. “kena pula kali ni”… ni maknanya dah masuk 2 kali kami kena game.

Tadi masa dekat waktu maghrib. Hati aku tengah maki kereta belakang aku. Dia boleh main high beam. Silau mata aku. Kalau terdesak sangat nak lintas. Tunggu la kereta sebelah sana surut dulu. Aku nak ke kiri pun jalan sempit. Sudahnya ayah suruh berhenti bahu jalan, nak suruh kereta tu jalan dulu. Tapi, kereta yang high beam kami tu pun berhenti sekali di belakang kami. Aku nampak pemandunya turun dari kereta kemudian berlari ke arah kami.

“Abang, maaf la. Saya nak bagi tahu abang yang saya nampak ada ular hitam sebesar lengan ni ha masuk ke dalam kereta abang. Saya pun tak pasti ular tu datang dari mana tapi saya nampak dia menyelusur masuk bawah kereta ni tadi. Sebab tu saya high beam abang nak bagi tahu” terang budak lelaki dalam usia 20-an tu.

Aku telan air liur. Ah sudah, ular datang dari mana pulak?

Budak lelaki tu pun dah berlalu pergi. Macam ada hal mustahak sangat nampaknya. Tapi dia bagi tahu ni pun dah syukur. Jalan pun semakin kosong. Tak ada kereta sangat. Time maghrib ni siapa nak keluar. Hantu setan tengah ligat.

Aku capai lampu suluh, nak menyusup bawah kereta terasa takut. Buatnya aku terlentang bawah kereta, elok ular tu ngap muka aku macam anaconda. Aku sekadar duduk bertinggung, menyuluh bawah kereta. Ayah tepuk bahu aku.

“Dah Ram, bukan ular tu. Mari kita jalan. Dia nak lengahkan kita” kata ayah kemudian terus masuk ke dalam kereta.

Dah kalau bukan ular, benda apa pula budak tadi tu nampak. Aku teragak-agak juga nak masuk kereta. Tapi bila tengok muka ayah serius yang lagi gerun daripada ular. Aku masuk kereta, sambung perjalanan. Aku malas nak panjang cerita. Dah ayah kata bukan ular, bukan la kot. Tapi dalam hati ni, gelisah takut tu ada lagi. Buatnya tiba-tiba ular tu belit kaki aku tak ke haru?.

“Ram berhenti sini” arahan ayah mematikan lamunan aku kejadian maghrib tadi. Aku berhentikan kereta tengah-tengah jalan. Kiri kanan gelap. Hanya ada cahaya lampu kereta dan cerah bulan je. Aku kalih tengok jam. 9.30 malam. Rasanya tadi masuk simpang pukul 9 tepat.

Aku pandang ayah. Tunggu tindakan atau arahan yang selanjutnya. Aku nampak ayah terkumat kamit. Mata dia masih pandang tepat ke arah bonet.

“Kau jangan sampai aku keluar!!. Aku keluar nanti sakit kau!!” ayah tiba-tiba jerit lantang.

Terkejut juga aku. Tak pernah tengok ayah tinggi suara macam tu. Ayah jenis tenang, suka bergurau. Walaupun kadang-kadang dia nampak macam cikgu displin. Bila dia jerit seperti tu terasa macam aku pula yang kena marah.

Ayah seolah-olah tengah marahkan orang yang berdiri di hadapan kereta. Sebab aku tengok mata dia pandang situ je dari tadi. Aku tengok di luar kosong. Tak ada sebarang makhluk pun.

“Dah Ram, jalan. Sekejap lagi jumpa la tu rumahnya” arah ayah ringkas.

Betul cakap ayah, Kami ke depan sikit je dah jumpa rumah Pak Man. Lampu laman rumah Pak Man menyala. Aku nampak Pak Man berdiri di depan pintu rumah. Seolah-olah tunggu kami. Pak Man ni tak ada anak bini. Dia tinggal sendiri dalam kawasan ni. Ambik upah menoreh getah.

“Lama Abang Husin, macam kena usik gayanya” ujar Pak Man tertawa kecil. Menghulurkan tangan bersalaman.

“Biasalah Man, benda banyak muslihat. Ada saja nak kenakan kita” balas ayah sambil geliat betulkan pinggang. Aku yang muda ni pun rasa berbisa badan, ayah apa lagi.

“Saya duduk tunggu tadi pun ada yang menjengah. Kuat juga bendanya Abang Husin”

“Ada lagi yang lagi kuat Man. Kita ada Dia, insha Allah semuanya baik-baik. Tadi benda tu duduk tutup jalan. Biar tak jumpa rumah Man. Elok duduk atas bonet kereta. Dari simpang depan dia duduk situ. Nak tengok juga selama mana dia nak duduk situ” ujar ayah aku ringkas.

Padan la ayah duduk tenung bonet kereta dari tadi macam nak tembus. Mujur benda tu tak tunjuk rupa dia pada aku.

*********************************************************************

“Ram, pergi ambik daun limau purut belakang rumah tu. Dengan tangkai dia sekali. Ambik mula dari pucuk. Agak-agak dalam panjang 2 jengkal” arah ayah aku ringkas.

Tak lama kemudian aku nampak Abang Ram kembali dengan tangkai daun limau purut. Aku nampak ayah serahkan tangkai daun limau purut kepada Pak Man. Nak buat tom yum ke?

“Yang lain duduk ruang tamu ya, Pak Man dengan ayah kamu ni nak buat kerja sikit” ujar Pak Man sambil tersenyum. Aku ingat nak follow sekaki nak belajar juga, tapi tak berani nak minta. Dengan patuh aku duduk dengan mak, Kak Long dan Abang Ram di ruang tamu.

Pak Man mulakan proses pagi tu dengan melaungkan azan ke setiap penjuru rumah. Merdu suaranya, macam suara arwah P Ramlee laung azan dalam filem Semerah Padi. Mendayu-dayu, kalau azan subuh macam ni, lagi lena aku tidur.

Mula-mula Pak Man naik ke tingkat atas. Ayah berdiri di hadapan pintu rumah. Menghadap ke dalam rumah. Seolah-olah menunggu sesuatu. Mulut ayah terkumat kamit. Aku dengar Pak Man melaungkan azan 4 kali masa di tingkat atas.

Selesai di atas, Pak Man kemudian turun dan berjalan ke arah dapur. Dia ulang lakukan benda yang sama dia buat di atas. Masa Pak Man tengah laungkan azan di dapur, kami dengar bunyi orang berlari di tingkat atas. Macam ramai bunyinya. Bukan macam seorang sahaja yang berlari. Aku tengok ayah masih khusyuk, mengalunkan ayat-ayat suci secara perlahan.

“DUMM!!!!…..”bunyi pintu bilik atas dihempas kasar.

Aku terkejut dengar hempasan pintu tu. Takut, tapi tak takut sangat sebab aku menyelit bawah lengan mak. Aku merapatkan badan aku ke arah mak. Mak tepuk tangan aku perlahan seperti tenangkan aku. Semua masih duduk diam atas kerusi di ruang tamu. Masing-masing terkumat-kamit mulut. Sebelum mula tadi ayah dah pesan jangan berhenti berzikir. Aku mula-mula je ikut berzikir. Lepas dengar orang berlari tu hilang dah zikir dekat mulut. Alif Ba Ta je dalam kepala.

Selesai Pak Man azan setiap penjuru rumah. Pak Man masuk ke ruangan dapur semula. Pak Man isi air dalam satu mangkuk kecil. Pak man celup tangkai daun limau purut tadi ke dalam air kemudian di renjiskan ke setiap genap kawasan dapur. Kemudian dia lakukan perkara yang sama di ruang tamu.

“Mari Abang Husin, kita buat yang dekat atas pulak” kata Pak Man lalu menapak perlahan anak tangga, masih merenjis air seperti tadi. Ayah membontoti Pak Man dari belakang.

Tak tahu lah apa yang ayah dengan Pak Man buat dekat atas. Tak ada sesiapa yang berani secara sukarela naik ke atas. Selama ayah dan Pak Man dekat atas tu, macam-macam aku dengar. Sekejap ada suara ketawa, sekejap bunyi orang menangis merintih. Bunyi menderam kasar pun ada. Perlahan sahaja bunyinya tapi tetap jelas. Macam suara perempuan. Macam ayah dengan Pak Man tengah tengok TV dekat atas. TV ada dekat bawah ni mana ada dekat atas.

Kemudian selepas 15 minit bunyi tadi pun berhenti, Pak Man dan ayah turun ke bawah. Aku nampak ayah pegang sesuatu.

Kami semua berkumpul di meja makan. Ayah letak benda yang dia pegang tadi atas meja makan. Satu bungkusan kecil. Saiz dan ikatan lebih kurang seperti sup bujut yang mak-mak guna masak sup tu. Tapi yang pasti tu bukan sup bunjut. Kain dia berwarna kuning lusuh, diikat dengan benang kasar merah. Tak tahu pulak aku dalamnya tu ada apa.

“Biar ayah dengan Pak Man je yang tahu siapa hantar benda ni. Dia nak buat kamu sekeluarga ni bergaduh sesama sendiri. Dibenci jiran tetangga. Dia hanya nak buat kamu pindah keluar dari rumah ni je” terang ayah aku.

“Katanya dia tak suka tengok kamu hidup bermesra dengan jiran-jiran. Dia tak suka tengok kamu peramah” tambah Pak Man sambil pandang ke arah Kak Long.

“Benda ni dia letak dalam kasut kamu. Yang jumpanya Melissa, dia yang bawa naik benda ni selit dalam almari pakaian. Ayah jumpa dalam bilik pakaian. Memang ada orang nak buat semua yang ada dalam rumah ni panas. Dia bukan nak bagi m**i ke apa. Niat dia memang nak ganggu ketenteraman rumah tangga. Nak suruh kamu tak tenang duduk rumah”

Aku tengok Abang Ram meraup muka. Menarik nafas lega.

Ada juga ya orang macam ni dalam dunia. Tak senang tengok orang senang.

“Kenapa Kakak buat naik benda ni ke atas?” soal Kak Long sambil memandang ayah.

“Kakak pun tak sedar masa tu. Bukan diri dia betul, benda tu guna kakak je” jawab ayah ringkas.

Nak marah pun tak boleh. Bukan dia sedar masa benda ni jadi.

“Dah la tu, benda dah lepas. Insha Allah tak jadi dah benda ni. Kita dah pulang semula benda tu pada penghantarnya. Kita tak balas balik tapi kita hanya pulangkan. Kalau kita balas, apa kurangnya kita dengan dia” jelas ayah mematikan perbualan.

Aku tengok wajah Kak Long. Aku rasa aku juga bersetuju dengan dakwaan Kak Long petang semalam. Orang yang buat Kak Nah adalah orang yang sama yang buat Kak Long. Kami semua pasti, cuma tiada suarakan. Cukup tanamkan dalam kepala.

Selepas ayah dan Pak Man jumpa bungkusan tu, gangguan tu pun dah berhenti. Kakak pun kembali normal, tak ada dah perangai “sawan” dia tu. Yus? Yus tu masih ada lagi menyewa dekat situ tapi bila dia berselisih dengan Kak Long mesti Yus alihkan pandangan. Macam sembunyikan sesuatu. Mesti dia tahu yang Kak Long dah tahu. Aku kalau diikutkan hati nak je pergi serang rumah si Yus tu tapi mengenangkan aku ni masih budak-budak masa tu tak jadi, kalau kena sekarang aku rasa mau penyek Yus tu aku smackdown. Dasar labi-labi.

Sekian terima kasih…

* Insha Allah cerita baru coming soon. Sentiasa support aku okeh. Lap u all- Uyad…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

UYAD

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 5]

14 thoughts on “KISAH UYAD 2.0 Part Akhir”

  1. aku layan cite uyad ni dari yang first ! mmg boek ah uyad . penceritaan jelas dan mudah paham . teruskan berkarya weh 🤗 aku sokong kau dari jauhh

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.