KISAH UYAD 3

“Tapik, kenapa mak kau? Soal aku dengan Mamat serentak.

Mamat telan air liur menanti jawapan. Aku seka peluh, penat tarik Tapik tadi tak hilang lagi. Kami berdua pandang tapik, tunggu berita hangat. Tapi Tapik boleh pandang kami selamba macam takda perasaan. Sempat lagi dia koyak plastik gula-gula. Tak tahu dari mana datang gula-gula tu. Ah kau Tapik, kalau bab makan bagi kau je.

“Aku pun tak tahu sangat sebenarnya, kan aku balik lambat sebab main bola dengan kau tadi Uyad? Masa aku balik petang tadi, mak aku dah lain” jawab Tapik, butiran kata-katanya tak jelas sebab mulut penuh gula-gula.

Ye tak ye juga, tadi petang aku main bola sekali dengan Tapik ni. Dia antara geng aku bila main bola. Disebabkan badan dia yang semangat, dia selalu jadi goal keeper. Tapi macam tak berguna dia jadi goal keeper. Baik kau suruh batang balak je baring depan tiang goal ada juga fungsinya. Tapik ni kalau budak kampung sebelah rasuah dengan cekedis satu paket tu je, dia akan buat-buat tak nampak bila bola masuk goal. Mantap kan perangai beliau.

“Tapi kan, Jijah ada dekat rumah petang tadi. Kejap aku panggil Jijah” Tapik macam tahu-tahu kami nak juga dapatkan info apa yang terjadi. Mengaji malam tu entah ke mana. Duduk sibuk pasal hal orang. Ni kalau mak aku tahu aku melencong tak mengaji. Masak aku malam ni.

Tapik masuk semula ke rumahnya untuk cari Jijah. Isi belakangnya jelas kelihatan bergegar bila dia berjalan membelakangkan kami. Jijah ni kakak Si Tapik.

Aku berkalih pada Mamat. Mamat tiba-tiba betulkan songkok dia. Kejap pakai, kejap buang. Akhirnya dia buang, selit dalam poket. Macam ada je yang tak kena. Mamat keluarkan sikat dari kocek baju Melayunya, cermin sisi motor Pak Mail ayah Tapik jadi mangsa penglihatan kehodohan Mamat.

“Kau kenapa Mat?, over sangat. Kalau suka pun jangan nampak sangat” aku usik Mamat. Tersenyum tengok tingkah Mamat.

Jijah ni antara budak perempuan paling hot dekat kampung ni. Dengan putih melepak, ada taik lalat pula atas bibir belah kiri. Manis je kalau kau tengok. Kalau dengan Neelofa, 10 kali kalah Neelofa tu. Jijah ni tua setahun dari Mamat, crush Mamat sejak dari dulu lagi.

Badan aku dah naik berbirat tunggu Tapik, nyamuk tepi rumah Tapik ni bukan calang-calang. Satu aku tebah, 10 yang datang. Mamat masih membelek-belek mukanya di cermin sisi motor Pak Mail. Penat berdiri akhirnya aku duduk bertinggung. Tak lama kemudian aku nampak Tapik keluar dari celah orang kampung bersama Jijah. Walau muka tengah serabut, ayu wajah Jijah tak hilang. Padanlah ramai yang kemaruk pada Jijah.

“Hai Jijah, Jijah sihat?” tegur Mamat tersengih-sengih

Jijah tersenyum sahaja dengan sapaan Mamat. Nampak malu-malu. Alahai Jijah, muka macam Mamat ni taste kau ke. Lembut dia pun kalah kau Jijah.

“Jijah, kenapa dengan mak kau?” aku tanya tak sabar, letih dah jadi santapan nyamuk. Kalau borak dekat warung pun syok, kita boleh sedut air. Ni nyamuk yang sedut d***h kita.

“Ha, cerita la kak. Aku pun nak tahu jugak” Tapik menyampuk sambil kupas pisang lalu disuakan dalam mulut kecik dia dek ditarik oleh pipi yang gebu. Eh, dia kunyah pisang pula. Sempat lagi dia cari makanan. Padan la aku tunggu lama.

“Tu la kau, asyik main je. Bukan nak lekat dekat rumah” marah jijah. Terjengil mata Jijah memandang Tapik atas bawah. Merah padam muka Jijah yang putih mulus. Ralit jugak aku tengok taik lalat atas bibir dia. Kalau aku yang perempuan ni ralit apa lagi lelaki. Mamat tersengih macam kerang busuk. Mulut ternganga sikit lagi nak masuk langau.

“Dah la bergaduh, cerita la. Aku nak tahu jugak, tapi boleh tak kita bercerita dekat wakaf tu. D***h aku dah kering ni kena sedut nyamuk” ujar aku lalu menonong ke arah wakaf yang terletak di hujung kanan rumah Tapik. Nampak situ macam nyaman sikit, terang pun terang. Ni tak duduk bercerita tepi rumah dalam gelap macam nak mencuri.

Wakaf kayu tu ayah Tapik bina sebagai tempat dia membuat lukah. Pak Mail pandai buat lukah. Segala jenis lukah dia pandai. Bangsal tu penuh dengan lukah yang dah siap, ada juga yang belum siap. Jijah melabuhkan punggungnya atas lantai wakaf, Mamat nak duduk sebelah Jijah sempat aku tolak. Saja p****g stim.

“Cerita dia mula petang tadi, lepas asar. Kan masa kau nak keluar tadi Tapik, ayan nak ikut kau tapi kau tak bagi” ujar Jijah sambil memandang sayu ke arah rumahnya. Orang ramai berkerumun rumahnya masih belum berkurangan. Sesekali terdengar jeritan Mak Melah maknya Si Tapik. Meremang juga dengar. Raut wajah Jijah jelas kebimbangan.

………………….JIJAH…………………..

“Abang Tapik, Ayan nak ikut” aku dengar jelas suara Ayan dari bilik Tapik. Rumah aku ni hanya ada 3 bilik je. Tapik kongsi bilik dengan Along dan Angah. Disebabkan aku anak perempuan tunggal, aku dapat bilik aku sorang. Ayan tidur dengan mak ayah setentang bilik aku.

Aku tengok dari tingkap hujan lebat dari tengah hari tadi dah surut. Bau cempedak goreng semerbak dalam rumah. Agaknya mak tengah goreng cempedak yang ayah bawak balik dari kebun pagi tadi. Petang-petang lepas hujan ni sedap jugak telan cempedak goreng. Aku yang dari tadi melingkar macam ular sawa batik atas katil bingkas bangun. Hajatnya nak terus ke dapur, nak terkam cempedak goreng. Tapi dengar suara kecil Ayan dalam bilik Tapik di sebelah bilik, aku terus berhenti.

“Abang Tapik, boleh lah Ayan ikut” Ayan merengek sambil memegang kaki Tapik yang sedang menyarung seluar. Terhuyung hayang badan Tapik, nafas pun turun naik menahan mengah. Tu la banyak sangat makan. Pakai seluar pun dah mengah.

“Ayan kecik lagi. Ayan tak boleh ikut abang main bola. Ayan duduk rumah dengan Kak Jijah ye. Nanti abang belanja coklat” ujar Tapik bila dia nampak aku tercegat depan pintu bilik. Tapik mencapai bedak talkum dituang isinya di ketiak. Baik punya dia sapu, mengalahkan sapu bedak dekat muka.

“Tak payah melawa sangat Pik, kau pakai macam mana pun setara tu jugak gendut kau” sindir aku pada Tapik. Saja mengusik. Beria sangat berbedak, berminyak rambut tapi perutnya tu tak nak pulak kau hilangkan.

“Ah kak, kau memang tak boleh tengok aku senang. Aku nak pikat si Nurul tu” ujar Tapik mencebik memuncungkan bibir merajuk. Aku ketawa kecil tengok Tapik. Gendut macam mana pun adik aku jugak, asal sihat syukur.

Ayan memandang kami berbalah sambil terkebil-kebil. Ayan cuba membuat muka kesian namun Tapik tak perasan. Ayan ambik pendekatan extreme, dia cubit betis Tapik yang gebu untuk menarik perhatian.

“Abanggg!!! Ayan nak ikutt!!!” Ayan jerit sambil memulas betis Tapik. Cubitan jari kecil Ayan membuatkan Tapik menggelupur. Berbisa tangan kecil Ayan ni, kalau tangan dia kena muka kau terasa jugak woi.

“Ayan, Ayan main dengan Kak Jijah ya. Jom kita makan cempedak dekat dapur” pujuk aku sambil tarik tangan Ayan. Tak boleh dibiar budak kecil ni, nanti lunyai Tapik. Tapik harap je badan besar tapi hati kecik. Kejap lagi keluar air mata merajuk.

Aku tarik Ayan masuk dapur. Bau cempedak goreng makin kuat. Aku nampak ayah sedang khuysuk menghirup kopi panas. Mak ada di sebelah ayah.

“Jijah, Bang Long dengan Bang Ngah kau mana?” soal ayah terperit-perit matanya tahan panas air kopi.

Aku baru je nak ngap cempedak goreng letak semula atas piring.

“Along katanya pergi mancing dekat lubuk kampung sebelah. Angah pulak rasanya pergi rumat Mat Li. Tak tahu la buat apa, pagi lagi keluar” lapor aku sekali nafas pada ayah, aku sambung suakan cempedak goreng ke dalam mulut. Budak 2 ekor tu kalau hari cuti tak mahunya nak lekat dekat rumah.

“Abang nak pergi rumah Tok Daud, hantar lukah yang dia tempah tu. Mungkin lambat sikit abang balik” ujar ayah sambil berpaling ke arah mak. Mak mengangguk. Sebagai tanda faham ringkas. Ayah kalau pergi ke rumah Tok Daud memang lama, ada je nak dibualkan.

Aku berkalih kiri kanan, cari Ayan. Tadi aku rasa elok duduknya sebelah ayah, makan cempedak goreng yang ayah dah sejukkan untuk dia. Hilang pulak budak ni. Main dengan Iman, anak jiran sebelah rumah gamaknya. Tak jauh mana selalunya dia main, sekitar rumah ni jugak.

Ayah dah ke rumah Tok Daud. Lepas habis aku melantak cempedak goreng mak, aku berjalan ke halaman rumah. Niat nak cari Ayan. Aku duduk muka pintu. Kelibat Ayan masih aku tak nampak. Aku nampak jiran aku, Mak Yam tengah siram pokok. Dia berkalih pandang aku, aku senyum je sebagai tanda mesra.

“Mak Yam, jadi betul pokok kesum ni. Gemuk-gemuk” mak aku tegur Mak Yam sambil belek-belek daun kesum Mak Yam. Eh, datang dari mana pulak mak aku ni. Keluar dari pintu dapur la agaknya.

Mak aku semakin rancak berborak dengan Mak Yam. Berselera bercerita, entah apa yang dibualkan. Dari jauh aku dengar motor Honda bulat ayah. PET PET PET PET!!. Bingit bunyinya. Susuk pemandunya semakin jelas. Oh, along rupanya.

“awal balik Long? Ikannya mana?” tegur aku. Along menonong naik ke rumah. Dari jauh dengar Along balas.

“tak siap lagi ni, tertinggal barang nak hantar pada Naka”. Along ni kaki pancing. Kalau keluar mancing tak sehari suntuk tak sah. Dari jauh aku tengok Ayan berlari-lari sambil pegang sesuatu di tangan. Ayan berlari ke arah mak.

“Mak, tengok ni. Ayan jumpa minyak wangi. Tengok la mak” Ayan suakan botol kaca kecil yang ditangannya ke arah mak dengan teruja. Tapi mak buat endah tak endah.

“Dah jangan main, pergi buang Ayan, kotor” jawab mak, sekadar memandang sekilas botol di tangan Ayan. Masih rancak berborak dengan Mak Yam. Mak kalau berborak, dah nak maghrib pun tak hirau.

Ayan pun lari ke arah halaman rumah. Lalu diletakkan botol tu dalam motor Honda petak ayah. Kemudian berlari semula bermain entah ke mana. Tak jelas kandungan botol kaca tu. Aku sekadar tinjau dari muka pintu. Tak kuasa nak bangun. Tidak semena-mena aku terasa ada angin menerpa. Kuat. Dingin sangat anginnya seperti kau berdiri depan peti ais yang terbuka. Aku mengusap bulu lengan yang berdiri. Dingin tu macam melingkungi badan aku. Eh, nak hujan lagi ke getus hati aku.

“Jijah, nanti tolong gosok baju kemeja Along ya malam ni. Esok Along nak pergi bandar. Along balik lambat sikit, ada hal di rumah Naka. Along pergi dulu. Jangan lupa pesan pada mak ayah” ujar Along sambil start motor. Setelah Along pergi meninggalkan perkarangan rumah, angin dingin tadi pun seperti hilang bersama Along. Merinding aku pun dah hilang. Tak jadi hujan kot.

Tak lama kemudian aku nampak Along balik. Tak lama pun perginya dalam 15 minit je. Eh, tadi kata balik lambat, ni balik dah. Sampai je depan rumah Along matikan motor lalu berjalan ke arah wakaf. Along termenung di situ.

“Long, tadi kata balik lambat” laung aku pada Along. Along senyap tak membalas. Menunduk, memandang ke tanah. Dingin sejuk yang hilang sebentar tadi hadir tiba-tiba. Wajah Along pucat. Sakit ke Along ni?. Aku malas nak layan senyap Along. Bergaduh dengan Naka la kot. Aku bingkas bangun berlalu ke arah kerusi menghidupkan televisyen. Hajatnya nak tengok Usop Sontorian. Sekejap lagi nak mula.

“Long, Ayan, jom naik. Nak gelap dah ni. Tapik dengan Angah kau ni tak balik-balik lagi” laung mak membebel sambil berlalu ke dapur. Nak siapkan makan malam agaknya. Tak lama kemudian Ayan naik. Along masih duduk di wakaf. Dingin tadi semakin kuat. Pelik benar ni. Terasa kembang kepala. Kenapa pulak aku ni. Tak sihat ke?. Aku buat-buat tak tahu, mungkin terlampau banyak makan tadi kot.

Tengah aku melayan perasaan, tiba-tiba aku dengar benda jatuh di muka pintu hadapan rumah. Gedebuk. Kuat bunyinya. Aku berkalih memandang ke arah pintu. Jantung aku berdengup kencang. D***h di muka macam tak mengalir. Jika ditoreh tak keluar d***h rasanya.

Along!!. Along terlantar pengsan. Baru je aku bangun nak ke arah Along, aku dengar mak menjerit.

“AAAAaaaaahhhhhhh…..” mak bertempik dari dapur. Jika tadi hanya muka aku terasa tidak berdarah. Waktu ini satu badan aku terasa begitu. Jantung aku pam d***h semakin laju. Peluh takut mula keluar. Aku masih berdiri kaku. Kaki terpahat di lantai. Otak aku masih proses. Nak ke arah Along atau ke arah mak. Kenapa pulak mak menjerit macam tu sekali. Tak pernah aku dengar mak menjerit macam tu. Kalau menjerit sebab geli cicak tu aku pernah dengar. Tapi ni lain. Jeritan mak berlainan sekali. Membuatkan merinding aku semakin kuat. Kemuncaknya aku berlari ke arah dapur setelah Ayan keluar mendapatkan aku menangis.

“Kak Jijah, mak jadi hantu” ujar Ayan sambil menangis teresak-esak. Teringat perkataan “hantu” terpancul di mulut Ayan, larian aku ke arah dapur semakin perlahan. Aku melangkah setapak demi setapak. Masih teragak-agak ke arah mak. Aku berkalih ke arah Ayan yang sedang menangis tepi Along. Aku nampak Along bergerak sedikit. Perlahan-lahan mengosok badannya. Melihat Along mula sedar, aku terasa berani sedikit. Jantung aku yang tadinya seperti dah keluar berada di mulut, aku telan semula.

Aku menjenguk arah dapur. Saat ini aku terasa keadaan teramat sunyi. Bunyi cengkerik untuk dijadikan umpan memancing Along yang tergantung di pintu dapur pun tak bebunyi. Sehinggakan d***h tubuh aku mengalir pun aku dengar. Apa lagi bunyi jantung aku. Macam tabla bunyinya. DUP!! DUP!! DUP!! DUP!!. Aku menjengah perlahan. Mana mak aku ni?. Tiba-tiba aku dengar bunyi menderam. Sesekali berdengus kasar. Hidung aku menangkap bau hanyir yang kuat. Ekor mata aku cuba cari arah bunyi tu. Apesal hanyir sangat dapur ni? Mak lupa nak mop ke apa?

Aku nampak mak duduk mencangkung bawah meja makan. Membelakangkan aku. Badan mak bergerak-gerak. Mak macam tengah makan sesuatu. Bunyi mak mamah makanan bertambah kuat. Kot ye kalau lapar jangan la sampai makan bawah meja. Apa guna ada kerusi. Bau hanyir semakin kuat. Sesekali aku tahan nafas nak termuntah.

“Mak?” aku panggil mak perlahan. Aku berdebar tunggu respon mak. Mak masa normal pun seram apa lagi bila kena sampuk, bertambah ganda seramnya. Tangan aku terketar-ketar, terasa basah dek peluh. Masa ni aku berperang dalam diri. Pasti ke tu mak aku? Tapi tengok dari pinggang yang macam tong dram dan rambut beruban dua tiga helai tu, aku pasti itu mak aku.

Mendengar suara aku, badan mak berhenti bergerak. Namun tangannya masih belum diturunkan macam tengah nak suakan makanan ke dalam mulut. Melihat respon mak, aku perlahan-lahan bergerak ke hadapan mak.

“Allahuakhbar!! Mak!!” terkeluar suara jantan, terkejut tengok mak yang sedang memamah daging lembu dan ikan mentah. Daging dan ikan tadi aku nampak ayah bawa balik dari pasar sebelum dia ke rumah Tok Daud. Jeritan aku tak memberi kesan kepada mak, mak sambung meratah ikan mentah. Mata mak galak, merah seperti baru lepas menangis. Terbuntang biji matanya. Macam nak tersembul keluar. Muka mak pucat. Mulut mak comot macam budak-budak yang baru belajar makan aiskrim, tapi ni tak comot dengan aiskrim. Comot dengan d***h ikan dan daging. Bibir mak luka terkena tulang ikan. Mak baik punya selera ratah daging mentah macam makan medium rare steak yang Gordan Ramsay masak, aku jadi kembang tekak. Kat situ jugak aku termuntah. Takut aku bertukar geli.

Tengah aku layan muntah aku, hujung mata aku nampak Along dan Angah tarik mak keluar dari bawah meja makan. Along dah sedar, Angah dah balik dari rumah Mat Li.

“Mak, kenapa ni mak?, mak?” suara Along dengan suara Angah bertindih. Hingar bunyi di dapur. Dengan suara Along dan Angah menjerit panik, suara mak ketawa menghilai dan suara Ayan yang menangis memekak. Dengar mak menghilai macam tu, teringat aku pada cerita hantu Suzzanna dan Mak Lampir. Kembang kepala tak semena-mena. Sejuk tadi mula terasa.

Along dan Angah mengheret mak keluar ke kawasan ruang tamu. Mak mengelupur. Cuba lari dari pegangan Along dan Angah. Mak terpekik-pekik, menyumpah seranah. Mahu berdarah telinga kalau dengar lama. Mak dah la aslinya bersuara lantang. Kalah Beyonce kalau memekik.

“Angah, pergi panggil ayah”

“Ayah dekat mana Jijah?” tanya Angah.

“Ayah pergi rumah Tok Daud” jawab aku sambil menangis merangkul Ayan.

Sebelum Angah pergi mencari ayah, mereka terlebih dahulu ikat mak dekat tiang tengah rumah. Kalau dibiarkan Along kawal sorang, mahu lunyai Along. Along dah la sekeping, mak pula badannya tak ubah seperti pengusti Big Show.

**************************************************

“Ayah aku ingat nak panggil ayah kau Uyad, tapi ayah kau takde” ujar Jijah sambil lap air matanya. Menelan air liur setelah penat bercerita.

“Ha’ah, ayah aku takde dekat rumah” ujar aku perlahan. Sebak juga tengok Jijah menangis. Merah hidung dan pipinya yang putih. Aku berkalih ke arah rumah Jijah. Orang ramai dah berkurangan sebab masa Jijah tengah bercerita tadi aku dengar suara Along Jijah menyuruh jiran-jiran kembali ke rumah masing. Tak nak mengeruhkan keadaan katanya. Ye jugak, sibuk berkerumun rumah orang. Menyibuk mengalahkan reporter, semua nak tahu. Eh? Habis aku ni tak kurang jugak kan? Aku tersengih kelat.

Tiba-tiba aku terasa dingin angin yang agak kuat. Sejuk rasanya. Mengalahkan oversea. Aku tengok kiri kanan. Apa Malaysia turun salji ke? dingin sangat ni. Aku memeluk tubuh aku. Baju kurung berbunga batik aku tak mampu nak tebat sejuk ketika itu. Aku tengok Mamat dan Jijah tak memberi reaksi seperti aku. Tapik lagi la, dengan tidak berbaju. Baju tshirtnya diikat di leher, mengerbang seperti cape superman. Tak sejuk ke budak 3 ekor ni?

“Ayah kau tak balik lagi ke Jijah, lama betul pergi ambik ustaz” soal aku sambil peluk tubuh. Bukan biashe-biashe sejuknya.

“Haah, lambat sangat dah ni” balas Jijah sambil meninjau ke arah jalan besar. Melihat jika nampak kelibat kereta ayahnya.

Tiba-tiba kami mendengar jeritan Mak Melah, mak Si Tapik. Keadaan rumah yang reda sedikit sebentar tadi tiba-tiba jadi hingar. Kami berempat berkalih serentak. Aku tengok Mak Melah berlari nak keluar, namun berjaya di sekat oleh abang Jijah dan beberapa penduduk kampung yang lain di hadapan pintu. Semasa Mak Melah sedang ditarik kembali masuk ke dalam rumah aku nampak jelas ada satu tubuh sedang bertenggek atas bahu dan tangannya memeluk kepala Mak Melah. Rambutnya yang mengurai menutup sebahagian wajah Mak Melah yang sedang meronta nak keluar. Aku tak nampak jelas wajahnya, tapi benda tu baik punya parking atas bahu Mak Melah. Tak bergoyang sikit pon dia masa Mak Melah meronta. Aku syak dia gam tapak kaki dia dekat bahu Mak Melah pakai gam gajah. Aku nampak dia pakai baju merah. Bukan baju warna putih, tak tipikal macam cerita hantu Melayu. Advance sikit.

Dada aku berombak, nafas turun naik. Peluh mula menitik di dahi aku. Jantung aku berdebar. Aku tengok reaksi orang kampung. Mereka ni tak nampak ke apa yang aku nampak? Buta ke apa? Ada hantu bertenggek atas Mek Melah woi. Tangan aku menggeletar. Tak pernah aku rasa macam ni. Takut masa tengok angker dekat rumah Auntie Amu pun tak macam ni. Bukan calang-calang benda ni.

Tapik, Jijah dan Mamat serentak berlari ke arah rumah. Aku masih teragak-agak nak ikut. Buatnya benda atas bahu Mak Melah tu terkam aku. Tak ke naya. Tapi duduk sorang-sorang dekat wakaf ni seram jugak. Sejuk dia makin kuat.

“Mat, tunggu aku” aku laung sambil lari ke arah rumah Tapik. Aku jinjing nak tengok ke dalam rumah Tapik. Dengar suara Mak Melah menjerit kuat. Diselangi ketawa. Apa yang lawak aku tak tahu. Disebabkan badan aku yang kecik, aku berjaya mencelah di celah beberapa jiran Tapik.

Pangggg!!!! Aku tengok satu tamparan hinggap di muka Mak Melah. Along Tapik tampar maknya sendiri. Dada abang sulung Tapik turun naik menahan marah. Menggenggam penumbuk yang akan dilancarkan serangannya bila-bila masa.

“Apa ke bodoh kamu ni, kamu tampar pun bukan benda tu sakit. Yang sakitnya mak kamu. Aku lesing jugak budak ni” jerit Abang Kapi sambil memegang Mak Melah. Aku tengok ada dalam 5 orang pegang Mak Melah. Yang pegangnya pun sado macam The Undertaker tapi kalah dengan Mak Melah. Keluar juga peluh jantan.

Aku perasan benda tu dah takda atas bahu Mak Melah. Hilang dah wajah asli Mak Melah. Yang asal wajahnya macam Azean Irdawaty dah bertukar jadi wajah orang lain, wajah yang aku tak kenal. D***h kering di mulut Mak Melah tampak lagi merah kerana kepucatan wajahnya. Aku nampak ada beberapa orang kampung berkerumun sekeliling Mak Melah sambil membaca surah Yasin. Mereka membaca dengan khyusuk, tapi aku tahu tak khusyuk berdasarkan tangan yang menggeletar dan mata kejap-kejap memandang ke arah Mak Melah yang sedang menggila. Tajwidnya entah ke mana.

Di celah orang yang mengaji tu aku nampak perempuan duduk di belakang Mak Melah. Aku jenguk nak tengok tapi gagal dek dihalang oleh tubuh abang Undertaker tadi. Yang aku pasti dia memakai baju berwarna merah dan berkain batik.

“Uyad, jom balik. Dah lama sangat kita kat sini” Mamat ciut bahu aku. Aku tunjuk isyarat tunggu sekejap. Show baru nak mula kenapa nak balik dah. Tunggu ustaz sampai dulu baru kita balik.

Perlahan-lahan Mak Melah berhenti meronta, mulutnya terkumat kamit lemah menahan jeritan. Mak Melah terbaring pengsan. Kesian dia. Letih gamaknya. Nampak sisa air mata di pipinya. Melihat Mak Melah terbaring lesu, abang-abang Undertaker tadi melepaskan pegangan. Menyeka peluh di dahi. Penat macam bergusti dengan kerbau jantan. Duduk bersandar di dinding.

Ketika itu serta merta aku ternampak jelas perempuan tadi. Dia duduk membelakangkan Mak Melah. Bersimpuh di hujung kepala Mak Melah. Dari bentuk badan macam anak dara. Berselendang putih nipis. Badan dia bergerak depan belakang macam khyusuk berzikir. Dah kenapa berhimpun mengaji untuk orang sakit hadap dinding, kot ye pun malu takkan menghadap dinding gitu sekali. Orang di sekeliling pun buat macam tak peduli je dengan perempuan tu. Masing-masing menikmati suasana tenang sebab Mak Melah dah tertidur ke pengsan aku pun kurang pasti.

Aku tengok selendang perempuan tu semakin jatuh ke bahunya secara perlahan-lahan. Bergerak mengikut gerakkan kepalanya. Aku telan air liur. Perut aku memulas. Bukan memulas nak buang air tu. Memulas dia macam tali perut aku bergelut nak keluar ikut mulut aku. Tangan aku mengigil seiring gerakkan kepala perempuan tu yang perlahan-lahan mendongak. Selendang yang berada di bahu tadi telah jatuh ke lantai. Menampakkan rambutnya bersanggul. Tak tahu kenapa aku berdebar macam tu, akak tu nak dongak je kot. Betulkan urat, lama sangat mengaji fikir aku.

Aku terus perhatikan perempuan tu, wajahnya yang tadi menghadap dinding telah menghadap ke arah atap rumah. Posisi wajahnya sekarang menghadap atap berada seperti di pukul 12 jika kau lihat dari sisi. Aku ingat setakat itu sahaja. Tiba-tiba perempuan tu kembali menggerakkan kepalanya secara perlahan-lahan, sekarang berada di posisi pukul 11 semakin ke belakang. Ketika itu aku nampak bahagian dahinya. Putih licin. Aku menyeka peluh dingin dengan tangan aku yang juga berpeluh. Tapi mata aku tetap tertacap pada perempuan tu. Itu la omputih kata. Curiosity killed the cat. Walaupun takut aku terus perhatikan perempuan tu. Perasaan ingin tahu membakar jiwa budak-budak aku.

Yang dari awalnya perempuan tu menggerakkan kepalanya mendongak secara pelahan tiba-tiba dia pantas menyambung menggerakkan kepalanya. Jika tadi di posisi pukul 11 kini telah berada di posisi pukul 9!!!. Dia mendongak dan lipatkan kepala dia ke belakang macam takda batang leher woi!!. Hanya kepala terlipat ke belakang. Badannya masih tegak duduk bersimpuh seperti tiada apa-apa. Aku terkedu melihat aksi akrobatik kurang normal perempuan tu. Tadi dahi je aku nampak, sekarang wajah perempuan tu jelas terpamer walaupun wajahnya dalam keadaan terbalik. Mata perempuan tu merah menyala, macam ada api menyala dalam mata dia. Bahagian mukanya dari hidung hingga ke dagu menggelupas, merah dan kehitaman seperti kesan terbakar. Dia tersenyum tengok aku. menampakkan giginya rongak macam Mamat.

Serta merta aku jadi kaku. Mujur aku tak terkencing masa tu. Dada aku berdengup kencang. Mulut aku terkunci rapat. Aku dengar suara Mamat sebelah aku sedang berborak dengan Tapik. Tapi aku macam dalam dunia yang lain. Aku tak mampu nak tarik baju Mamat. Nak alihkan mata dari pandang perempuan tu pun aku tak mampu. Aku sahaja ke yang nampak perempuan tu?. Sebab aku dengar orang lain berborak seperti biasa. Tiba-tiba aku tengok bibir perempuan tu terkumat kamit dan ketika itu juga aku tengok Mak Melah yang sedang berbaring menggerakkan bibirnya seperti perempuan tu. Mak Melah lalu bangun sambil menjerit. Mak Melah dah sedar. Aku memejamkan mata takut.

“Uyad, mak kau datang Uyad. M**i la kita malam ni” Mamat tepuk bahu aku. Masa tu aku tersedar, kembali ke dunia nyata. Perempuan tu dah hilang. Mak Melah kembali meronta. Dari jauh aku dengar ngauman bunyi motor Scrambler. Dalam kampung ni ada sebiji je motor Scrambler iaitu motor pakcik aku. Pak cik aku selalu tinggal motornya dekat rumah aku bila ikut ayah jadi kelindan. Sah itu mak aku.

Dari jauh aku tengok mak aku bawak motor pakcik aku macam Indiana Jones. Bersinar gelang dan rantai emas dia walaupun dalam gelap malam.

“Kau naik sekarang, padanla aku cari dekat surau takda. Siap kau” mak jengilkan biji mata. Mak aih, kalah perempuan baju merah tadi. Aku dan Mamat menurut perintah naik ke belakang motor. Sebelum naik mak sempat hadiahkan cubitan manja sedas sebagai tanda balik nanti aku gulaikan kau. Masa ni nak menyesal pun dah tak berguna. Basikal aku tinggal tepi rumah Tapik.

Malam tu memang aku kena gulai dengan mak aku. Kena la libas dengan wayar TV dua tiga das. Pedih woi. Marah-marah pun, malam tu tidur dengan mak jugak sebab ayah belum balik lagi dari Betau. Apa yang terjadi di rumah Tapik malam tu aku tak tahu.

Subuh tu aku dengar ada orang ketuk pintu rumah aku. Aku dengar suara ayah menyahut. Ayah balik kot masa aku dah tidur malam tadi. Letih kena bedal dengan mak punya pasal.

“Pak Su nanti datang sekali ya” aku cam suara tu. Tu suara Pak Mail. Pak Su tu panggilan ayah aku. Lepas ayah sarapan aku tengok ayah bergegas menyarungkan baju.

“Abang nak pergi ke rumah Mail kejap” ayah bagitahu mak yang sedang mamah bihun. Sekejap je aku tengok ayah hilang dari pandangan. Aku tengok mak bangun, pergi ke arah bilik air. Nah, ini peluang bagus. Aku terus menyusup keluar, menyauk salah satu basikal aku. Aku nak ke rumah Tapik.

Sampai di rumah Tapik aku nampak ayah, Pak Mail, Along Tapik dan seorang pakcik berkopiah berusia 60-an yang aku tak pasti siapa berdiri di hadapan wakaf rumah Tapik. Ustaz yang Pak cik Mail panggil semalam mungkin. Tak sempat nak tengok ustaz tu sampai aku dah kena hambat balik dengan mak aku.

Di tangan pak cik tu ada piring kaca. Disebabkan tak ramai orang aku berani mendekati. Aku berani sebab ada ayah aku. Ayah aku pun rileks je. Tak menggelabah macam mak kalau aku buat hal. Aku tengok dalam piring kecil tu berisi beras dalam segenggam bersama beberapa hirisan kunyit hidup. Pakcik tu kemudiannya meramas dan mengaulkan hirisan kunyit bersama beras tu sambil membaca sesuatu lalu ditabur di sekitar wakaf.

“Acu gali tepak hok ambo lepar beras tu (cuba gali kawasan yang saya taburkan beras tu)” pakcik tu memberi arahan. Aku tengok ayah dan yang lain-lain mengali secara perlahan dan menguis-guis tanah yang telah ditaburkan beras.

“Rasanya yang ni dah” aku lihat ayah aku menunduk seperti mengambil sesuatu. Aku tengok ayah memegang botol kaca kecil. Ayah membalut botol tersebut dengan kain lalu diserahkan kepada pak cik tadi. Tak besar pun botolnya, hanya sebesar jari kelengkeng dewasa. Isinya seperti minyak bercampur air. Di atas minyak dan di bawahnya air. Airnya seperti bercampur dengan d***h. Aku nampak dalamnya juga ada taring atau tulang kecil, rambut dan secebis kain berwarna merah. Pakcik itu kemudiannya membacakan sesuatu lalu dihembuskan pada botol tersebut.

“Gi lepar dale sungai besar. Balut botol ni nge kain lepas tu letok la gapo-gapo nok buat dio tok timbul (pergi lempar dalam sungai, balut dengan kain dan letak apa sahaja untuk pastikan ia tenggelam)” pesan pak cik tu sambil menghulurkan botol tersebut kepada Pak Mail. Pak mail teragak-agak.

“Tak dok gapo doh, ambo kurung doh dio (takde apa dah, saya dah kurung dia)” pak cik tu macam tahu-tahu je apa yang Pak Mail fikirkan. Botol tu bertukar tangan.

“Ambo raso, ado hok wak kelik bare tu. Tadok tuan pun. Sajo nok ngaca. Doh bowok dio kelik tu gak suko la dio (saya rasa ada yang bawa balik botol tu, tiada tuan pun. Saja nak mengusik, dah ada yang bawa dia balik, dia suka la)” pak cik tu tersenyum menerangkan.

“Jijah ada cerita yang Ayan ada bawak balik botol lepas tu dia letak dalam raga motor masa saya berhenti di rumah ambil barang. Saya ingat saya keluar dari rumah tapi saya tak ingat masa bila saya balik lepas tu pengsan depan pintu rumah. Tak tahu pulak masa bila Ayan ambil dari raga motor saya lepas tu buang ke kawasan wakaf ni” terang Along Si Tapik kepada ayah, Pak Mail dan pakcik tu. Terhanguk-hanguk mereka tanda faham.

“Pak Samad ada cerita pada ayah, dia kata kamu lalu depan kedai dia petang semalam sambil bawa perempuan berbaju merah naik motor. Dia tegur kamu mengusik bawak mata air naik motor makan angin tapi kamu boleh menyumpah dan ludah depan kedai dia” ujar Pak Mail pada Along.

“Allahu ayah, Along memang tak ingat langsung. Along mana ada mata air. Sedar-sedar Along ada depan pintu rumah berbaring” Along membalas sambil mengurut kepala kebingungan.

“Kau bawak dia la tu jalan-jalan makan angin” ayah menyampuk sambil menunjukkan ke arah botol yang di pegang Pak Mail. Ayah boleh ketawa tengok Along kebingungan.

Aku mendengar perbualan mereka dengan teliti. Oh, maknanya benda yang bertenggek atas bahu Mek Melah dan perempuan berbaju merah tu asalnya dari botol tu la ya?. Padan la aku dingin semacam je bila duduk dekat wakaf tu semalam. Rumah dia ada dekat situ.

Ayah kata botol tu berisi minyak m**i b***h. Selalunya minyak m**i b***h ni digunakan untuk menganiaya orang. Orang yang terkena sihir minyak m**i b***h ni boleh jadi gila, lebih teruk m**i. Mungkin botol tu Ayan jumpa dekat mana-mana. Mungkin hujan lebat pagi tu menyebabkan botol tu timbul di permukaan tanah. Kawasan kampung aku ni kerap banjir. Mungkin di bawa masa banjir baru ni. Aku tengok ayah berlalu dengan kereta bersama Pak Mail. Pergi buang botol tu agaknya. Mak Melah pun dah beransur sembuh. Tapi masih lemah. Banyak kudratnya dah hilang. Ayah pun dah bekalkan air untuk pulihkan semangat Mak Melah.

“Tapik, petang ni jangan lupa” jerit aku pada Tapik yang sedang berdiri depan rumah. Tapik mengangkat ibu jari, tanda setuju. Apa pun jadi, bola tetap on. Sampai je rumah, niat aku nak sambung buat rumah atas pokok dekat hutan depan rumah aku tak kesampaian sebab sampai je depan pintu rumah, mak aku dah tunggu sambil pegang rotan setebal jari telunjuk. Kena lagi aku. Aku dengar Mamat ketawa mengekek dalam rumah. Haram jadah kau Mat. Ketawakan aku. Kau tunggu aku balas Mat. Dah dua dendam tak berbalas.

-Kali ni memang panjang aku bagi. Bernanah la mata kamu nak baca. Aku sedih ada orang kata aku mengada-ngada, nak 700 like baru nak sambung. Aku nak juga tengok ada tak orang support penulisan aku sambil-sambil upkan lagi FS ni. Tapi tula, aku mintak like je bukan duit. Ye dak? Kalau ada yang berminat lagi nanti aku up next story. Bye-bye- Uyad (20/9/20 4.16 AM)…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

UYAD

16 thoughts on “KISAH UYAD 3”

  1. Ramai je baca FS.. Cuma makin lama makin kurang org komen..yg menulis lbh ramai dari yg mengomen.. Dah bertahun saya baca FS.. Terus kan menulis.. Best baca kisah mistik ni

    Reply
  2. Jarang excited nak baca macam cerita ni walaupun intro panjang berjela2. Sebab watak tu dari sudut pandangan bebudak ni.. semua comel2. Haha.. nak lagii!

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.