Aku baru dua minggu pindah ke rumah sewa lama dekat pinggir bandar Batu 18. Rumah teres satu tingkat, nampak biasa je dari luar, tapi senyap dia luar biasa. Dindingnya tebal, cahaya dari luar pun susah nak masuk. Tapi aku suka, boleh fokus tulis skrip filem aku yang tertangguh.
Tuan rumah, seorang lelaki tua bernama Pak Jais, cuma sempat pesan satu perkara sebelum aku terima kunci:
“Kalau malam-malam kau rasa lain macam, jangan tengok cermin. Dan jangan buka langsir. Biar saja gelap. Malam kat sini… tak suka dilihat.”
Aku cuma gelak kecil. Dalam hati, aku fikir orang tua tu mesti ada pengalaman pelik sendiri. Aku bukan jenis percaya cerita-cerita karut. Tapi semua tu mula berubah bila malam keempat aku duduk situ.
Malam tu hujan renyai-renyai. Kilat sesekali menyambar tapi tiada guruh menyusul. Aku tengah siapkan skrip depan laptop, sambil buat kopi di dapur. Lampu ruang tamu malap, cahaya dari dapur jadi satu-satunya sumber terang. Aku perasan satu perkara aneh masa tu.
Tak ada bayang.
Cawan kopi yang aku pegang, tak ada bayang. Laptop atas meja, juga tak berbayang. Aku berdiri, berdiri betul-betul bawah cahaya. Sepatutnya ada bayang aku jatuh ke lantai, tapi lantai kosong. Bersih. Tak ada pantulan, tak ada bentuk. Seolah-olah cahaya menolak kehadiran aku.
Aku cuba tenangkan diri. Mungkin otak aku penat. Tapi bila aku masuk ke bilik air aku betul-betul tergamam.
Bayang aku juga tak muncul dalam cermin.
Aku lihat jelas bilik air di belakang aku, jubin, tuala, segala-galanya dalam cermin… kecuali aku. Aku berdiri depan cermin, muka aku pucat, nafas makin berat, tapi cermin tetap kosong.
Aku undur perlahan. Masuk semula ke ruang tamu.
Jam dinding tunjuk 2:33 pagi.
Waktu-waktu begini, suasana rumah jadi terlalu senyap. Aku terdengar sesuatu dari arah dapur bunyi kerusi ditarik perlahan. Aku tahu aku tinggal seorang. Aku tak pernah salah dengar.
Aku melangkah perlahan ke arah dapur, cuba buka lampu.
Lampu tak menyala.
Aku seluk poket, keluarkan telefon tapi skrin gelap. Mati, walaupun petang tadi penuh bateri. Aku pandang ke arah cermin kecil tergantung di dinding dapur. Masih kosong… tapi kali ni, aku nampak sesuatu mula muncul perlahan-lahan.
Bukan bayang aku.
Tapi siluet lain. Seorang lelaki tinggi, berjubah kelabu, mukanya kabur macam bercampur kabus. Dia berdiri tepat di tempat aku berdiri, tapi dia hanya wujud dalam cermin, bukan di dunia nyata.
Dia mula angkat tangan… dan tunjuk ke arah tingkap ruang tamu.
Langsir berayun perlahan.
Aku rasa darah aku membeku. Aku berpaling, dan dari sudut mata, aku nampak ada wajah mengintai di celah langsir.
“Malam ni… tiada bayang… kerana aku yang berdiri di tempatmu…”
Aku meluru ke pintu depan, cuba buka namun pintu terkunci. Aku cuba pintu dapur juga terkunci. Semua tingkap berkunci dari dalam, tapi sejuk angin malam masuk seolah-olah rumah ni terbuka luas untuk makhluk lain.
Ketukan mula kedengaran dari dalam dinding.
Satu.
Kemudian dua.
Tiga. Empat. Lima.
Semua arah.
Ketukan dari siling, dari bawah lantai, dari dalam almari. Rumah yang tadi sunyi kini bergema dengan bunyi ketukan yang tak tahu dari mana puncanya.
Dan di tengah-tengah semua tu, aku terdengar bisikan.
“Kau tak patut sedar… bayang tak patut lenyap… tapi kau dah celik…”
Aku dah tak tahu nak buat apa. Aku baring bawah meja, selubung diri dengan selimut. Aku cuma ingat aku pejam mata sambil baca apa saja ayat yang aku tahu.
Pagi esoknya, aku terjaga di ruang tamu. Matahari mula masuk perlahan-lahan melalui celah langsir. Cahaya pagi menyentuh kulit aku… dan aku cepat-cepat periksa.
Alhamdulillah…bayang aku kembali.
Sejak hari tu, aku tak berani tinggal seorang lagi. Dan aku terus pindah dari rumah sewa tersebut.
