PERMINTAAN TERAKHIR SI PEMBELA SAKA

Salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca Fiksyen Shasha. Sebelum itu, ingin saya memperkenalkan serba sedikit tentang diri saya. Saya merupakan lepasan sekolah menengah di salah satu sekolah kluster di Sarawak dan sedang menunggu keputusan tawaran UPU. Di kesempatan ini, izinkan saya untuk menceritakan sebuah kisah benar yang dialami oleh penduduk kampung saya pada beberapa tahun yang lepas.

Kisah ini dialami sendiri oleh pakcik dan makcik serta nenek saya sendiri pada tahun 90an dahulu. Pada zaman ini, mereka masih menetap di kampung yang terletak di bahagian pedalaman Sarawak iaitu Ulu Baram. Segelintir penduduk kampung saya pada zaman ini masih belum lagi mempunyai kepercayaan agama yang kukuh seperti sekarang dan masih lagi mengamalkan kepercayaan agama pagan. Hanya segelintir sahaja yang sudah menganuti agama Kristian.

Kisah ini diceritakan lagi oleh ibu saya sendiri, yang pada waktu tersebut baru menginjak dunia remaja. Kejadian hitam berlaku sewaktu seorang nenek yang tinggal beberapa pintu selang dari rumah kami meninggal dunia akibat penyakit. oh yaa, lupa pula kampung kami ini rumahnya seperti rumah panjang. Jadi,seperti biasa orang kampung berkumpul dan bekerjasama membuat upacara pengebumian nenek tersebut. Namun, sesuatu tragedi pelik terjadi sewaktu pakcik saya dan orang kampung yang lain dalam perjalanan ingin mengebumikan mayat nenek tersebut. Keranda nenek tersebut secara tiba-tiba bergoyang tanpa henti seperti ada orang merayu untuk dikeluarkan dari keranda tersebut.

Pelik bukan, tuan-tuan dan puan-puan ? Saya sendiri tidak percaya kerana hanya melihat kejadian seperti ini berlaku hanya dalam televisyen sahaja tapi disebabkan nenek saya bercerita hal yang sama, saya turut percaya. Beralih kepada cerita tadi, sewaktu orang kampung ingin menanam mayat nenek tersebut, keranda itu selagi lagi bergoyang dengan lebih kuat lagi. Orang kampung terkejut dengan peristiwa tersebut kerana tidak pernah lagi kejadian seperti itu berlaku di kampung kami. Cuaca pada hari itu juga sangat gelap dan hujan juga turun dengan lebatnya. Mujur ada seorang daripada orang kampung sempat menangkap gambar kejadian tersebut.

Rupa-rupanya ada satu entiti berwarna hitam dengan muka yang sangat bengis duduk di atas keranda nenek tersebut. Selepas itu, orang kampung bergegas pulang ke rumah masing-masing kerana tidak ingin kejadian buruk lain menimpa lagi. Malangnya, orang kampung sekali lagi dikejutkan dengan berita sedih yang menjadi sejarah hitam buat orang kampung kami sehingga kini. Lima orang daripada orang kampung telah m**i lemas disebabkan air pasang dan ombak yang menebalikkan sampan mereka sejurus selepas mereka mengebumikan mayat nenek tersebut.

Apa yang menyeramkan ialah, tempat mereka lemas tersebut berdekatan dengan bukit di mana tempat nenek tersebut dikebumikan. Semua orang kampung sangat bersedih ketika itu. Selepas kejadian tersebut, barulah ahli keluarga nenek tersebut membuka mulut bahawa mendiang nenek tersebut mempunyai permintaan terakhir sebelum dia pergi. Nenek tersebut menyatakan hasrat kepada suaminya untuk m******h lima ekor anak ayam jika dia meninggal nanti. Namun, permintaan tersebut tidak diendahkan kerana suami dan anak-anaknya tidak percaya kepada benda karut tersebut dan menganggap perkara tersebut hal ringan.

Bukan itu sahaja, nenek itu turut ‘membela’ saka dan ilmu hitam yang diturunkan oleh bapanya . ‘Benda’ tersebut sangat kuat dan bisa sehingga pada zaman bapanya masih hidup dahulu, bapanya dapat berjalan di atas air. Hal ini kerana mereka membela segala jenis jin hantu air. Jadi tidak hairanlah mereka mempunyai “hubungan” dengan jin dan hantu air di kawasan sungai Baram ketika itu. Kalaulah permintaan terakhir nenek tersebut ditunaikan, sudah tentu lima orang tersebut tidak akan diambil untuk tebusan buatnya. Dua orang daripadanya merupakan makcik saya sendiri.

Tragedi tersebut telah menjadi titik hitam buat seluruh orang kampung saya sehingga kini. Syukur pada zaman era langit terbuka ini, semua penduduk kampung saya telah mempunyai pegangan agama masing-masing yang kukuh. Namun, kita mesti beringat bahawa kita juga berkongsi alam dengan makhluk seperti ini tetapi hanya kuasa Tuhan sahaja yang mampu mengatasinya.

Sekian sahaja daripada saya dan maaf jika penulisan saya berterabur. Pembaca sekalian bolehlah memberi pendapat di ruangan komen agar saya dapat memperbaiki kesalahan-kesalahan saya kerana saya masih mempunyai banyak kisah seram yang lain untuk diceritakan. Stay safe and stay home.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Cathrina Keling

5 thoughts on “PERMINTAAN TERAKHIR SI PEMBELA SAKA”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.