Rumah Sewa Kampung Berapit

Salam sejahtera untuk semua pembaca setia FS. Moga sihat sentiasa. Kepada admins, terima kasih sudi menerbitkan kisah-kisah aku di sini. Bertambah sayang aku kat admins. Auummm…

Sedar tak sedar, dah 5 story aku terpapar di sini. Bermula dengan LANGSIAQ, NIGHT SHIFT, APEK AH SAI, SIHIR KUCING dan SENYUMAN LILY. Untuk makluman kepada yang dah baca kisah Sihir Kucing, Pi’e baik-baik saja. Ada lagi di kampung. Aku dah ziarah sahabat tu baru-baru ni. Terima kasih atas doa kalian.

Lily pula…hurrmmm! Sengaja aku biarkan tergantung. Kalau sambung nanti jadi novel cinta tangkap lentok berjurai air mata setebal 700muka surat. Baik tak payah la ye. Anggap je la kami tiada jodoh. Kalau rajin nanti-nanti la aku bikin novel cinta komedi.

Sekali lagi terima kasih tak terhingga kepada admins dan para pembaca FS. Tanpa anda, kami penulis cerita seram tidak tahu mana nak cerita. Nak cerita kat anak-anak, nanti besar jadi penakut. Nak cerita kat bini, bini lagi suka cerita kabi kushi kabigem. Nak cerita kat kawan-kawan, depa kata aku muhong. Jadi, kat sini je lah tempat aku melampiaskan nafsu menulis yang telah sekian lama berkabung dalam diri. Aku pula dah cuba sedaya upaya untuk buang klausa-klausa lawak dalam penulisan aku. Tapi tak jadi. Berasa macam bukan aku yang menulis. Macam skema, dibuat-buat, hipokrit, menipu diri sendiri dan para pembaca. 2 story dah aku cuba karang dengan gaya seram tahap Ju-On tapi lepas final review nampak macam jebon yang menulis. Muktamadnya, aku akan kekal dengan genre begini.

Anda mungkin tertanya-tanya, apasal writer ni kerap sangat publish story? Tiap hari jumpa setan ke? Tidak! Tetapi sejarah penulis iaitu arwah ayahnda aku sendiri seorang guru agama dan seorang pengamal rawatan Islam. Memang banyak yang ditempuhnya dan aku sebagai anak menjadi saksi. Sedikit sebanyak, tempiasnya terhinggap di batang tubuh ini.

Penampakan tidak selalu berlaku, tetapi setahun sekali pasti jadi. Dengan usia aku yang dah menjangkau 4 siri, banyak la juga yang boleh dikongsi. Cuma aku nak pesan di sini. Menurut ayahnda, guru-guru dan ustaz-ustaz yang banyak menjadi rujukan aku, yang hijabnya terbuka ini biasanya para Nabi dan Rasul, para wali serta para solihin. Kalau level-level kita yang kadang-kadang doa qunut pun ke laut jawa, itu bukan suatu kelebihan.

Malah suatu penyakit yang wajib diubati. Sebabnya, ada satu atau dua atau lebih kewujudan jin yang cuba menumpang dalam hati. Jangan sampai hati tu rosak, menimbulkan rasa riak dan ujub pada diri sendiri.

Macam biasa, genre aku SERAMEDI. Kisah-kisah aku ini kisah benar. Cuma diolah nama watak dan tempat sebenar demi menjaga sensetiviti orang keliling aku serta masyarakat setempat.

Maaf ya, intro berjela kali ni sebab kena jawab persoalan yang dibangkitkan pembaca pada kisah-kisah yang lepas. Baik. Episod ini berkisar tentang suatu kejadian seram masa aku sekolah dulu…di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Tahun 1996.

Aku sekolah swasta di situ. Tapi bukan swasta macam Sekolah Antarabangsa semua tu. Ini swasta untuk mana-mana murid tercicir pada exam SPM. Bukannya aku tak lulus SPM. Cuma aku tak puas hati dengan result dan ambil keputusan untuk sambung di sekolah tu. Depa kata sekolah tu bagus. Aku gasak je la. Hakikatnya dapat result paras hidung juga.

Tahun kedua di situ iaitu tahun aku kena exam STPM, aku menyewa sebuah rumah dalam kampung di belakang sekolah. Kami menyewa 9 orang. Rumah tu besar jenis rumah kampung dan terletak nun di hujung bendang. Kiranya kalau masuk kampung tu, rumah kami la dok belakang sekali. Asalnya rumah tu adalah surau dalam kampung tu. Tapi depa dah ada surau baru, maka surau lama dijadikan rumah sewa untuk budak-budak sekolah di situ sebab kami ni bukan semua asal Penang. Yang asal Langkawi dan Melaka pun ada. Dalam batch tahun 1996 dan 1997 itu ramai geng dari utara. Sewa sebulan RM10 sekepala. Lungguklah 50 orang sekalipun, sewanya tetap sama.

Rumah tu jenis dua tingkat dan 100% buatan kayu. Dibina pada tahun 1967 menurut penjaga rumah tu, Pak Ayob. Tingkat atas adalah ruang solat, ruang bawah untuk aktiviti keramaian dan stor simpanan barang-barang kenduri kendara. Tempat kami 9 orang budak sekolah ni kat ruang bawah. Nak study ke nak tidur ke semua di bawah. Ruang atas untuk solat sahaja.
Tetapi, kami jarang solat kat atas sebab….seram brader, walaupun ianya adalah bekas surau. Naskah-naskah Al-Quran lama masih banyak bersusun dalam almari usang. Sejadah lama dan tasbih masih bergantungan di dinding surau. Kami cuma naik bila nak berjemaah atau nak qiamullail beramai-ramai. Kalau takat 2 3 orang ja yang berjemaah kami solat kat bawah ja.

Bilik mandi kami terletak dalam kawasan kolah tempat berwuduk. Jadi, kolah tu dah jadi macam swimming pool kami. Berendam sampai kecut segala asset di badan. Belakang rumah tu pula ada bendang yang luas. Hang buka pintu belakang boleh terus tuai padi dan masak nasi goreng.

Sebelah rumah kami ada rumah sepasang suami isteri tua yang kami gelar Nek Sah dan Tok Su. Tua dah depa ni. Duduk berdua tanpa berteman anak cucu. Kami la jadi tukang teman, tukang pi kedai, tukang kemas rumah, tukang dengar cerita. Walaupun tua, rumah depa sangat bersih…lagi bersih dari rumah penghulu kampung. Satu perangai Tok Su yang aku perasan agak rare, kalau keluar malam dia suka guna lampu ayam. Ke surau, ke jamban..lampu ayam lah penemannya. Padahal zaman tu dah ada lampu suluh dolphine. Dan lagi Tok Su ni kecil orangnya.

Lepas dah jadi macam tok kami sendiri baru kami tahu yang ilmunya tinggi dan kederatnya bukan calang-calang. Aku pernah nampak dia pikul batang nyok(kelapa) seorang diri kat belakang rumah. Banyak nasihat baik-baik yang Tok Su ceramahkan pada kami. Time kena ceramah insaf la sat. Selang 3 hari bertukar balik jadi setan. Darah muda kan!

Satu hari tu, hari Jumaat cuti penggal 2 minggu kami semua pakat balik kampung. Jadi rumah tu terbiar kosong lah. Sebenarnya pada usia kawaq(nakal) macam tu hang tak berapa seronok nak balik rumah sendiri. Hang lagi suka melepak dan mereput dengan kawan-kawan. Betoi tak? Begitulah kami pun. Kami ada plan lain. Kami balik kampung macam biasa, tetapi dah berjanji akan datang awal 3 hari sebelum buka sekolah. Tak susah nak bagi alasan kat mak ayah….study group! Padahal nak pi menjahanam ja dengan geng.

Tiba tarikh yang dijanjikan…tepat jam 10 malam kawan aku call rumah. Dulu-dulu mana ada henpon.

Krrrrrrriinnnnnnggggggg………..bergegar telefon vintage kaler merah tu berbunyi. Aku yang dah sedia menunggu ni cepat-cepat angkat ganggang.

“Edi….aku kat simpang rumah hang. Mai lekaih..” Terdengar suara Jep begitu excited untuk kidnap aku dari rumah. Kami kawan baik. Tinggal pun di kampung sebelah je Jep tu. Kerja dia siang malam willie dan wikang dengan RXZ keliling kampung.

Terus aku pi salam mak ayah, pau sepuluh ringgit dan cabut. Jep sedia menunggu tepi jalan dengan RXZnya yang bunyi macam tongkang ubi punya hingaq. Tersengeh-sengeh dia dari jauh.

“Sapa lagi yang jadi ni? Takkan kita dua ja?” Soal aku sambil melompat atas sit belakang.

“Ada kot…..John, Kimi, Hasan, Kandaq, Mail Matropot. Haris dengan Misai ja konpom tadak. Depa dua budak skema” Jawab Faizal. Lalu trotlenya dipulas laju membelah lorong kampung yang gelap. Sempat lagi angkat tayar depan. Popelaq betoi la. Nyaris terlentang aku kat belakang.

Satu jam kemudian, kami tiba di lorong masuk Kampung Berapit, kampung yang terletaknya rumah sewa kami. Kat sini hang tak boleh nak rem motor sangat. Sat lagi cangkul singgah kepala. Orang kampung ni garang-garang hampa tau tak? Kami ni walaupun budak sekolah tapi kami hormat tempat orang. Hormat orang-orang tua di sini. Bukan macam kebanyakan budak-budak sekarang. Dah la bawa anak dara orang sampai tengah malam, masuk kampung orang dok buat perangai hero tamil. Aku seligi kepala tu mau??!

Jadi, motor kami pun perlahan-lahan menyusup ke dalam kampung. Kalau tadi bunyi macam tongkang ubi sekarang dah bertukar bunyi macam feri Pulau Pinang. Sloowwww…je. Kalau ada pakcik makcik nampak kami bawa motor malam tu dah tentu sekarang dah jadi menantu. Punya la sopan.

Tapi…sepanjang jalan masuk tu sunyi tak ada orang. Rumah-rumah orang kampung pun banyak yang dah gelap. Dah jam 11 malam. Perjalanan dari simpang masuk kampung ke rumah kami tak jauh…tapi kalau berjalan kaki mau 30 minit juga la. Tambah pula tengah malam macam ni, kena lalu tengah bendang lagi. Sesiapa nak jadi pelari pecut negara boleh la test masuk kampung ni berjalan kaki time tengah malam.

“Hang tau tak…baru ni aku balik malam macam ni jugak. Sampai kat pokok durian tu aku nampak…”

“DIAMMM….!!!!” Terus aku potong skrip Jep sebelum dia mula buka cerita pelik-pelik.

“Bagi sampai rumah dulu baru hang cerita na. Kita dok tengah bendang lagi ni.” Bentak aku dari belakang. Nak ja aku sagat muka dia dengan jerami padi. Mulut tu tak reti nak tengok masa. Kot ya pun nak cerita seram tunggu la lepas subuh.

“Taaaakkk….aku nak habaq ni. Masa lalu hari tu aku nampak buah durian Pak Ayob dok tergolek tepi jalan. Aku amik bawak balik bagi dia. Hang ingat aku nak cerita apa??” Jelas Jep. Aku pun…

“Ohhh….ok” Kepala tersedut balik ke dalam helmet.

Tiba di hujung kampung, ada simpang tiga. Tapi masih kena lalu jalan bendang. Kiri ke rumah kami, kanan menuju ke kubur. Kelihatan rumah sewa kami dari jauh. Dalam rumah nampak cerah. Tandanya geng lain dah sampai dulu. Tak sabaq dah ni nak menggelupoq dengan kawan-kawan. Nak main daun terup, nak main luku kepala, nak cerita hantu. Macam-macam dah plan ni. Esok pagi nak pi menjala ikan kat parit ban, petang nak pi kebun Pak Ayob…untung-untung dapat durian free. Allahu seronoknyaaa…. Tapi perasaan seronok tu tak lama bila kami tiba di rumah…..gelap!

“Aik…depa melawak apa ni Jep?” Soal aku pada Jep yang masih slow memandu RXZnya mendekati halaman rumah.

Sebaik tiba di depan rumah, aku turun dari motor. Jep masih atas motor kesayangannya. Aku agak gusar masa ni sebab Jep ni ada sejarah tinggalkan aku seorang diri masa kami kena tahan roadblock. Tak boleh harap gak dia ni. Buat ditinggalnya aku tang tu dalam gelap mau sawan aku sampai ke cerah.

“Saja akai depa ni. Dulu kan kita pernah buat benda sama kat Mail..” Kata jep tersenyum-senyum. Dia yakin geng lain ada kat dalam.

Aku pun melangkah menuju ke pintu. Gelap…sunyi…pintu berkunci dari luar. Jep pun turun dari motor dan mendekati aku. Enjin motornya ditutup supaya kami dapat memasang telinga akan keberadaan kawan-kawan kami kat dalam. Tak ada bunyi. Sunyi dan bening sama macam hati aku masa marka aku pindah sekolah dulu.

Kami pun menyusup diam-diam ke belakang rumah. Kot-kot depa dok menyorok kat belakang. Puak-puak jahanam ni bukan boleh dikira kalau bab nak dajalkan kawan-kawan. Sanggup je meniarap dalam bendang. Tetapi di belakang pun kosong. Pintu bertutup, hanya ada puputan bayu malam yang menghembus dedaun padi menimbulkan bunyi gemersik menggoncang gegendang telinga. Sesekali terdengar bunyi burung hantu sahut menyahut dari rumah burung di tengah bendang. Jep pandang muka aku, aku pandang muka dia. Terasa bersyukur juga waktu tu sebab aku lagi hensem.

“Kita silap hari kot bro?” Ujar aku pada Jep dan dia terus diam tak puas hati.

Langkah kami kembali menuju ke depan rumah. Waktu lalu di tepi kolah, tempat mandi kami tu…aku terdengar suara mengekek-ngekek dari dalam. Macam bunyi orang berbisik satu sama lain. Jep pun dengar sama sebab dia pun turut hentikan langkah dan memasang telinga.

Memang sah….depa ada kat dalam. Bergelak ketawa dok mengintai kami yang kat luar. Kuangjaq betoi.

“Sat aku nak ajaq depa…jom pi depan” Ujar jep berbisik ke telinga aku.

Aku pun follow jep menuju ke motor.

Preeeeeennnnngggggggg peng peng peng pengggg…….

Jep start motor dan menyuluh pintu depan. Aku cuma berdiri tepi tangga luar dengan hati yang tak berapa sedap. Dia nak buat gila dah ni. Aku risau orang kampung mai serbu sebab buat bising tengah malam.

“Woi hang takkan nak rem macam ni sampai ke cerah? Satgi Pak Ayob mai maki naya woi..!!” Aku warning Jep sebelum huru-hara berlaku.

“Eh…aku tak kata pun nak rem saja-saja…” Lepas dia kata macam tu terus Jep koyak trotle dan rempuh pintu rumah.

Preeeeennnngggg……..Gedeebbbummmmmmm….!!!

Tercengang aku kat situ juga. Lingkup la pintu rumah lahanat. Aku tak sangka dia nak langgar macam tu. Ingatkan dia nak buat bising ja…dejey dia ni pun. Awat la tak buka pintu elok-elok. Kan masing-masing ada kunci.

Dengan sekali hentaman, motor dia dah ada kat dalam. Pedal ayam pintu tercabut dan lekang jatuh ke lantai.

Preaaaaannnggg preeaaaaaaaannnggggggggggg prreaaaaaaannngggg…….jep terus memuntahkan asap motor sambil handle dipusing ke kiri ke kanan menyuluh seluruh inci rumah.

“Keluaq la woiiii…aku langgaq ampa satgi nih….!!” Teriak Jep disulami bunyi motor yang kian bingit. Mau terjaga satu kampung lagu ni.

“Woiii jangan main laaaaa……aku bakaq rumah satgi…” Sambung Jep lagi. Aku berasa dia bertindak begitu sebab dia dah kecut perut. Aku pun melangkah ke dalam rumah dan buka helmet Apollo yang sejak tadi melekat di kepala. Mata aku melilau sama mengikut gerak lampu motor Jep. Kalau tadi aku nak gelak terbahak-bahak, kini aku bertukar jadi cuak. Rumah KOSONG!!!

Tak nampak kelibat kawan-kawan kami dalam tu. Aku jenguk bawah pelantar yang menjadi katil kami….kosong! Aku cari belakang pintu….kosong! Belakang tangga….kosong! Terus aku tala ke kolah, tempat yang aku dengar bunyi bisikan tadi….KOSONG bhaaaaiii…!!! Lalu aku naik tangga nak jenguk ke surau atas. Kosong kosong kosong…Najwa Latif patut lahir dah masa tu. Kosong dan confirm tak ada orang. Tiba-tiba….

Preeeeeeennnnnggggggggg……..aku yang masih kat tangga terdengar bunyi motor jep diperah dengan kuat….dan pergi menjauh. Aduhai kawan…..gamak buat aku lagu ni. Aku pun berlari kedepan dan nampak asap motor Jep berkepul-kepul dalam ruang bawah tu. Ni baru betul makan asap. Haram jadah sungguh ditinggalnya aku sebatang kara di saat kecemasan macam ni.

Aku yang sedang menggelabah bertambah panik bila tak semena-mena ada bunyi ketawa yang agak kasar dari belakang….tetapi macam datang dari jauh…

“Hahahahahahaha……awalnya balik.”

Dengan sepantas kilat aku pusing belakang……KOSONG lagi…..uwwwaaaaaaa!!!!

Aku ni jenis takmau tunjuk yang aku tengah takut dalam situasi begini. Walaupun keringat dah banjir di setiap ruang roma, jantung dah berderap 200 bip per minit..aku cuba control ketakutan itu dengan pusing balik perlahan-lahan ke depan sambil menyapu muka. Harapan aku waktu itu, mak datang bawa kapak atau paling koman pun penyapu roman. Tetapi tidak. Yang ada depan aku hanyalah kegelapan. Dan suara di belakang tadi tu berbunyi lagi. Kali ini bukan dari belakang…

“Tepi sini…”

Tak boleh tahan. Aku yakin suara tu datang dari tepi tangga tempat aku berdiri sekarang. Betul-betul tepi aku. Terasa telinga bagai dihembus halus. Tak boleh lagu ni. Segala ilmu pertahanan yang ayah ajarkan mula meresap ke dalam diri. Jurus-jurus kilat harus dilancarkan….aku pejamkan mata rapat-rapat.

“Bismillahirrahmanirrahim…..”

Gedegangggggg….daun pintu rumah tu aku rempuh sekuatnya, sebab aku lari sambil tutup mata. Dengan kelajuan kilat jugalah aku hamburkan langkah menuju ke lampu motor Jep yang makin jauh ke simpang 3. Kalau ada orang kampung nampak kelaku aku waktu tu, sah-sah depa suspek penagih kena hambat polis.

“Jeppppp…..jeppppp…..tunggu aku la woiiiii…!!” Berdengung suara aku menjerit memecah kesunyian Kampung Berapit yang harmoni tu.

“Jepppppp….barua siaalllll..jangan tinggai aku woooiiii!!” Tercungap-cungap dah aku waktu tu. Cuba hampa lari sprint sambil terpekik terlolong menyanyi lagu Bahenol. Nanti dapat bayangkan keadaan aku masa tu macam mana punya penat. Ni kalau anjing datang hambat pun memang menyesal lah dia.

Dari jauh aku nampak Jep perlahankan motor dan berpaling ke belakang. Kemudian dia tekan lagi motornya ke depan. Betul ke nak tinggalkan kawan dia ni?? Tak guna punya member. Dalam hati aku dah mencarut sakan.

Setelah tiba di simpang tiga baru aku nampak dia berhenti dan mengundurkan motor. Nohorrommmm jauh kot aku lari baru hang nak gostan. Kamjat punya kawan.

“Tadi aku nampak hang lari…aku pun blah laaa…!!” Katanya sebaik nampak muka aku yang tak cukup oksigen.

“Bila masa aku lari? Aku ada dalam rumah tadi bhaaaii….hang yang blah dulu!!” Boleh gaduh besar putus sahabat dah ni.

“Sungguh haiiihh aku nampak hang lari keluaq dari belakang terus pi simpang. Aku nampak hang laju tadi paih tu berenti kat simpang ni. Tu yang aku hambat. Aku panggey hang buat taktau blah macam pelesit” Katanya dengan keras dan penuh yakin. Aku tak nampak ada riak-riak menipu di wajahnya yang cuak tak cuak sama banyak tu.

“Taaaak….aku dalam tu. Tobat baq hang aku memang tak lari kot belakang. Aku memang dari belakang tapi lari kot depan. Tu pun pasai aku perasan hang blah tinggai aku” Jawab aku dengan tegas.

“ Apa dah jadi ni?”
“Taktau…aku blurr ni. Pening. Penat!” Kata aku sambil membongkok memandang ke tanah. Jep pun matikan enjin.

Tiba-tiba lagi, banyak tiba-tiba ni…aku dengar ada sesuatu datang dari belakang menghampiri kami. Aku toleh nak melihat kot-kot orang kampung datang jenguk kami buat bising. Dalam samar-samar aku nampak orang tu berjalan tercungap-cungap menolak motor. Motor RXZ…sama macam motor Jep. Dan orang yang tolak motor itu pun sama macam Jep…

“Weh…hang blah pi mana? Motor aku mati tadi, overflow. Adoi”

Aku bingkas tegakkan badan dan kalih ke arah ‘Jep’ yang aku sumpah seranahkan tadi tu…. Blank! Jep tu dah hilang. Tak ada apa-apa depan aku. Yang ada hanya sepotong jalan di tengah bendang. Lantas cuping telinga aku mengembang bagaikan keropok ikan terkena minyak panas. Mata aku buntang melihat kekosongan dalam kegelapan. Feeling seram yang tadinya baru nak hilang kembali berputik ditambah tanda soal yang menguntum di dalam benak fikiran. Allahu….kalau tadi bukan Jep, yang baru datang ni memang benar-benar Jep kah???

“Edy…hang pasaipa? Dajey tinggai aku sorang situ. Seriau kot. Blah macam tu ja.” Jep membebel ke telinga aku yang kian berdesing akibat kepenatan. Aku hembuskan nafas panjang macam orang asma tak cukup nyawa. Bedebah, main kasar malam ni!

“Takpa jom balik. Takmau aku dok berdua malam ni.” Kata aku pada Jep dengan suara terketar-ketar menahan penat.

“Tu lah…aku rasa kita silap hari la. Esok kot?” Balas Jep sambil cuba menghidupkan motornya kat tengah simpang tu. Yang tadi aku dah kata silap hari tapi hang konfiden sangat…hareeeyyy!!

Preeeennngggggg peng peng peng peeeennnggg…..sekali tendang ja terus hidup RXZ tu. Aku pun celapak naik belakang dan kami gerak menyusur kesuraman Kampung Berapit menuju ke kepala simpang. Sambil tu, sempat aku toleh ke rumah sewa kami yang baru pertama kalinya buat hal setelah hampir setahun tinggal di situ. Dari dalam kelam aku nampak satu bentuk tubuh yang besar dan gelap sedang berdiri di tingkap surau atas yang terbuka. Wajahnya disimbah cahaya lampu ayam yang tergenggam kemas di tangan. Aku kenal wajah tu. TOK SU!!

Sekian…

p/s: Next…kisah kakak aku Tina Turner dengan jin pokok asam. Nak tak??

Edi Arjuna (nama pena baru ye admins)
Rumah Sewa Kampung Berapit
9.6 (96.34%) 71 votes

29 comments

  1. Kasyaf ada dua…kasyaf Allah & kasyaf jin…sama macam cerita edi…kasyaf Allah untuk orang yang macam mana dan kebanyakannya dapat kasyaf jin dan perlu diubati…

    Tapi kekadang jin bermasalah tu buat penampakan…tak kasyaf pun boleh nampak…

  2. Wehh ingat tengah tengah cerita je yang seram. Part last tu pun boleh tahan gak seram dia! Kenapa dengan Toksuuuu. Dia ke pedajay korang? Atauuu apaaaa? Cerita kau ni dah level level movie hantu kak limah do mengekek aku gelak tak henti hahahahahahahaha

  3. Ajer gampang tul setan dok ajak korang bergurau kot …nasib deme tu tak ngajak komer main nyorok2…tu lah dok membohong lg ngan mak ayah…kan dh kena …padan muka…lg satu pulak tu takder nama lain ker yg miker nk taruk nama…dh nama pelakon sinetron Indon jer….carilah nama yg komersial sikit…nnt bt citer lg seram yer…br nk terinzal udah hbs….

  4. Wehh sambung la kenapa tok su munculkan diri kt tingkap tu..
    Cite hangpa bagus sgt, kita selalu tunggu citer baru.. Tak sabar tggu kisah kakak tina turner tu

  5. MEnarik cerita bang,,,,,dapat bayangkan situasi masa tu hahaahha…boleh ajar saya menulia tak…teringin nak menulis pengalaman2 menarik juga hahaha….story mmg best!!

  6. Hang sekolah jit sin ka edi?ntah pasaipa aku tersangkut dalam semua cerita hang yang buat aku rasa nak baca dan baca hahahanat

  7. Kampung Berapit tu area mana en Edi Arjuna? ntah2 rumah tu pun dah x wujud dah pa..Kita kat berapit jugak nie..

  8. cita hg mmg sempoi mempoi.. ralit aku bca.. aku dok maki jep xguna punya memba tinggai kwn lagu tu jaa.. kasaq sungguh hantu melawak dok meghupa nk laga2 hgpa dua.. hg kata dia tinggai hg.. dia kata hg tinggai dia.. mmg setan punya syaitannnn..
    aku rsa hg ni skolah rempah ratuih ADABI.. betoi kaa??
    MAKTAB ADABI MASRIYAH

  9. Real. Pandai sungguh menulis. Aku siap rasa macam baru lepaih sprint. Buku kan saja lah cerita-cerita hang ni, Edy. (Btw, cantik nama pena baru). Aku heran depa dok bersungut kata cerita ni tergantung. Tergantung kot mana. Habih dah la ni. Try to read between the line, guys. Tak kan semua nak habaq. Cerita habis dengan cukup bergaya. Terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.