Santau Gerak Geri

SANTAU GERAK GERI.

“Jangan lupa ke sekolah, hari ini keputusan Kertas Julai.”

Aku buat tak tahu. Melangkah malas aku menuruni tangga.

“Dengar tak?”

“Ya, Ibu. Dengarrrr…Pergi sekolah ambil keputusan Kertas Julaiiiii… ”

“Bagus. Ibu nak ke penjara tengahari nanti. Kamu nak ikut tak?”

“Tidak, Ibu. Kirim sahaja salam padanya.”

“Kau masih marah pada Ayah?”

Aku menolak perlahan pintu dapur biar tertutup sedikit. Malas aku hendak menjawab soalan Ibu. Risau-risau jawapanku nanti akan menyinggung hatinya. Ataupun mungkin aku akan tertinggi suara tanpa sedar padanya.

Bukannya aku tidak tahu kenapa dia bersungguh memujuk aku agar mengambil Kertas Julai. Ulangan subjek Bahasa Melayu pula tu. Entah apa yang pentingnya dalam kehidupan pun aku tidak tahu.

Adakah kerna Ibu dan Ayah ingin aku menyertai perkhidmatan awam sebagaimana mereka?

Yang memerlukan ‘Lulus’ Bahasa Kebangsaan sebagai syarat utama?

***

Hampir setahun kami dua beranak hidup tanpa Ayah. Bukan kerna ajal yang memisahkan kami. Ataupun kerna Ayah yang pergi membawa diri.

Tetapi Ayah kini sudah terasing dari kami di sebalik tirai besi. Kesalahannya amat berat dan hukumannya pula mandatori. Dituduh sengaja mendatangkan kecederaan hingga boleh menyebabkan m**i. Yang mana puncanya adalah gara-gara dirinya yang gagal mengawal emosi.

Ibu dan aku masak benar akan sikap Ayah yang panas baran. Pantang dilawan pasti akan keruh keadaan. Pendapatnya sahaja yang benar yang lain semua akan ditolak ke tepian.

Menganguk bererti selamat menggeleng mengundang kiamat. Kalau hitam katanya, janganlah kau berusaha untuk memutihkannya. Yang petak akan bulat, yang manis akan kelat.

Terkadang kasihan juga aku akan nasib Ibu, terpaksa mengiyakan biarpun dalam hati siapa yang tahu. Itulah pengorbanan besar seorang isteri, setianya utuh biarpun memakan diri.

Cuma aku yang kadang kala agak tertekan. Tetapi apa boleh buat, aku hanya seorang anak yang perlu patuh arahan. Cukuplah parut sebagai bukti, bengkak dan lebam menjadi saksi.

Namun aku perasan… sikap Ayah di kebun amat berlainan.

***

“Jai, kamu ke pondok ambilkan anak pokok rambutan.”

“Baik, Ayah.”

Ayah amat meminati berkebun. Kebun buah-buahan, bukannya bunga-bungaan. Dan sebagai anak lelaki dan juga anak tunggal dalam keluarga, Ayah akan sering mengajakku menemaninya berkebun di setiap hujung minggu.

Mana mungkin aku berani membantah. Lagipun Ayah tak bawa barannya bersama, panasnya ditinggalkan di rumah.

“Jai, itu bukan anak pokok rambutan. Itu anak pokok mangga.”

Lembut Ayah menegur kesilapanku. Kalau di rumah pasti berbakul seranah menjadi habuanku. Kadang terfikir juga kenapa, adakah hobi itu adalah salah satu terapi jiwa?

Hinggalah suatu hari… puncanya hanyalah batu.

Batu sempadan kawasan.

Batu sempadan ini lah punca segala-galanya. Bukan tamak bukan haloba tapi ini hak nak pertahankan harta. Ayah syak jiran kebun sebelah alihkan satu batu sempadan, buktinya anak pokok durian yang baru ditanam minggu lepas sudah berada di kawasan jiran.

Ayah memang jenis kuat ingatan, Atuk cakap masa kecil dulu Ayah tak suka mandi hujan.

Ayah panggil aku petang itu, berpeluh kami alihkan semula batu tu ke tempat asalnya. Tiba-tiba ayah buat isyarat seperti mahu berbisik. Satu persatu arahan diberinya, menggeletar lutut kakiku dibuatnya.

Terbeliak mataku minta kepastian, nak membantah memang tak punya keberanian. Ayah merenung dalam mataku tanpa kerdipan, seolah hanya pada akulah dia menaruh seluruh harapan.

Garau Ayah berbisik lagi, “Jangan risau, Jai. Kau badan kecil, memang dia tidak akan perasan.”

Tak logik alasan yang diberi, namun sebagai anak memang terpaksa menuruti. Ayah memang pantang dijawab biarpun kita mempunyai sebab. Dari air mukanya yang kian kemerahan, aku tahu dirinya sudah dikuasai baran.

***

Petang itu juga aku berbasikal mengayuh seorang diri ke hujung kampung. Mencari sahabat lama dari suku masyarakat asli. Dia pun turut menunjukkan reaksi tidak percaya, berulang kali bertanya minta kepastian.

Dia tahu kami sekeluarga ni Muslim, solat tak pernah tinggal. Kalau fardu memang saf paling hadapan, kalau sunat memang kami yang paling belakang. Zakat tangan kanan, sedekah tangan kiri. Tipu curi memang jauh sekali.

Menggeleng kepala bapa kawanku mendengar permintaanku. Tersengih dia kesumbingan sambil menghembuskan asap rokok gulungnya ke awangan.

“Tak pernah lagi kudengar nama begitu. Kalau angin atau tuju, itu memang sudah selalu.”

Kupujuk lagi bapak kawanku seraya menghulur sekotak rokok ke tangannya. Pantas huluranku bersambut, sengihnya kian melebar. Menampakkan karat di sebalik bibir.

“Bawakan aku pakaian si malang itu. Dan aku mahukan yang basah sedikit.” Arah Bomoh Ibai dengan serius.

“Basah?”

“Iya…basah. Kesan dari peluhnya pun sudah memadai.”

Tersengih aku mendengar. Giliran aku pula melebarkan senyuman. Manakan tidak, separuh daripada arahan Ayah sudah aku tunaikan.

“Juga… bawakan aku sesudu air liur puru bukit. Bisanya memang ampuh biarpun hanya sedikit. Si malang pasti dijamin m**i sebelum sempat dirinya merasa sakit.”

Ahhh… sudah. Kenapa aku pula yang harus mengambilnya? Bingung aku seketika memikirkannya.

“Kerna permintaan kau dan Ayah kau memang agak luar biasa. Inilah pertama kali aku dengar Santau Gerak Geri.”

***

Suara tangisan Mak Timah yang nyaring kian tenggelam dengan bunyi siren ambulans yang semakin kuat menghampiri. Orang kampung yang sejak tadi berkerumun di pondok kebun Pak Mael mula memberikan laluan.

Jasad Pak Mael masih lagi terbuntang kaku di anak tangga pondok. Matanya terbeliak tangannya terkuak. Seluruh kulit tubuhnya menggelembung dan perutnya besar mengembung. Mulutnya berbuih lidahnya terjuih.

Saling tak ubah seperti seekor puru.

Menggeleng kepala Pegawai Perubatan yang memeriksa jasad Pak Mael. Semakin kuat tangisan Mak Timah tatkala diberitahu suaminya mungkin m**i akibat keracunan. Mana mungkin Mak Timah terima alasan itu, sedangkan mereka laki bini tidak pernah menggunakan sebarang racun sewaktu berkebun.

“Jai, pergi simpan cangkul tu. Mari kita jenguk Pak Mael sekejap.”

“Apa yang hendak dijengukkan, Ayah? Bukankah Ayah tak suka Pak Mael?”

“Ayah hanya tak suka sikapnya, bukan orangnya. Lagipun tiada bukti dia yang alihkan batu itu. Ayah suruh kau pantau Pak Mael petang semalam tapi kau pula hilang entah ke mana.”

“Eh…mana ada Jai hilang. Jai buat apa yang Ayah suruh. Ayah tak perasan ke malam tadi Jai lewat pulang ke rumah?”

“Kau buat apa sampai lewat pulang?”

Air muka Ayah tiba-tiba berubah serius. Matanya tepat memandang ku. Dari riak wajahnya seolah dia benar-benar tidak tahu ke mana aku pergi petang dan malam tadi.

“Jai pergi menyuluh puru bukit, Ayah. Sebab petang semalam Bomoh Ibai pesan nak jampi air liur puru bukit dengan peluh dari baju Pak Mael. Katanya itulah syarat Santau Gerak Geri.”

Panjang lebar aku terangkan pada Ayah. Biarpun sukar, terasa lega juga pada akhirnya apabila dapat memenuhi misi yang diberikan . Calar balar tanganku sewaktu cuba menangkap puru bukit malam tadi kurasakan berbaloi.

Tersenyum puas aku memandang Ayah.

Tapi Ayah langsung tak membalas senyumku. Perlahan dia bangun dan menghampiriku. Air mukanya yang tadi serius kini bertambah dua rius. Aku mula rasa tak selesa.

“Jai, apa maksud kau Santau Gerak Geri?”

Perlahan dan tegas suara Ayah bertanya. Kelihatan urat hijau mula timbul di dahinya. Aku semakin resah. Itulah petanda barannya seolah mula merasukinya.

“Bukankah Ayah yang suruh aku santau Pak Mael semalam?”

“Aku yang suruh?”

“Ya, Ayah yang suruh. Sebab Ayah cakap aku badan kecil, memang dia tidak akan perasan.”

Terketar-ketar aku menjawab soalan Ayah. Dari jauh kelihatan sinar siren kereta polis yang mulai datang menghampiri pagar kebun sebelah.

“Cuba kau ulang apa yang Ayah cakap pada kau semalam.”

Menelan air liur aku cuba mengingati arahan Ayah semalam. Mukanya semakin bengis merenung aku. Ingatanku mula beralih ke peristiwa semalam.

“Jai, mulai petang ini kau akan memantau gerak geri Pak Mael. Kau badan kecil, memang dia tidak akan perasan.”

Bunyi siren kereta polis mulai senyap. Aku jeling dan perasan dua anggota polis mula keluar dari keretanya dan menuju ke pondok Pak Mael.

Ayah merapatiku dan berbisik perlahan, “Jai, memantau itu apa?”

“Memantau itu kata terbitan dari perkataan santau. Sama seperti memandu daripada pandu. Menyapu daripada sapu. Dan memandai daripada pandai.”

Tenang aku menjawab soalan Ayah. Tambahan pula, aku memang aliran sastera di sekolah. Setakat penggunaan kosa kata ini memang sering aku mendapat pujian di dalam kelas.

Buuuk…

Tiba-tiba sahaja Ayah menumbuk mukaku. Belum sempat aku jatuh, perutku pula ditendang. Kepalaku berpinar, perutku sakit dan senak. Terjelepuk aku tersungkur mencium tanah.

Kulihat wajah Ayah benar-benar berubah. Urat hijau di dahinya semakin kelihatan. Matanya menyala kemerahan. Giginya berketap menahan kemarahan.

Pokok ubi yang setinggi 7 kaki di tepinya dicabut begitu sahaja dengan sebelah tangan. Isinya dibuang pucuknya dipatahkan. Mengeliat aku ke kiri kanan mengelak libasan. Saling tak ubah gayaku bagaikan cacing yang kepanasan.

Merayu mendayu aku meminta pertolongan. Entah kenapa tiba-tiba Ayah mula dirasuki setan. Bersungguh-sungguh dia melibasku tanpa kasihan. Apakah ini adalah kerna kesan sampingan?

Gara-gara Ayah dan aku mengamalkan ilmu setan?

Aku semakin bingung.
Badanku semakin lemah.
Telingaku rasa berdengung.
Keluar pekat merahnya d***h.

Dalam kucuba menahan libasan, mataku menangkap akan dua kelibat tubuh badan berhampiran. Rupanya dua anggota polis di pondok Pak Mael tadi kini sudah pun berada berhampiran. Memujuk mereka pada Ayah dalam usaha menahan. Merengus Ayah menolak cuba melawan.

Sebelum mataku terpejam pengsan, kulihat Ayah telah pun bergari di tangan.

Tamat.
adamKJ

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

adamKJ

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

15 thoughts on “Santau Gerak Geri”

  1. Patutlaa maknya suruh ulang BM paper julai.. memantau kata terbitannya pantau. Menyantau barulah dari terbitan kata santau. 🤔

    Reply
  2. Salah sangka rupanya. Adui la anak. Awak tak faham maksud ayah awak. Memantau – > pantau. Menyantau – > santau.
    Memanglah patut ambil kertas Julai *facepalm

    Reply
  3. Aduiii la… Patut la kan, memantau la bukan santau 😂😂
    Santau gerak gerik !!!😅
    Ni nak kesian tapi kelakar sangat 😂😂😂👍👍👍

    Reply
  4. Tak ada arahlah kau nak marah atau berdendam dgn ayah. Memang patut kena belasah pasal biul tak faham arahan. Menyebabkan kematian pulak tu

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.