Segalanya Bermula di Sini

Assalamualaikum w.b.t semua.

Nama saya Czar (bukan nama sebenar). Terima kasih buat admin yang sudi menyiarkan cerita saya. Kisah yang akan saya ceritakan sebentar lagi merupakan sebahagian daripada pengalaman saya sendiri. Segala-galanya bermula ketika saya berumur 16 tahun. Waktu tu cuti pertengahan semester pertama baru bermula. Memandangkan keadaan kesihatan datuk saya yang kurang baik, kami sekeluarga dijadualkan akan menghabiskan cuti seminggu di kampung.

Rutin seharian yang akan saya lakukan bersama dengan adik-beradik saya setiap kali balik ke kampung ialah menemani nenek pergi ke kebun. Sementelah ibu dan ayah pula akan bergerak ke tempat kerja yang terletak lebih kurang sejam setengah perjalanan dari kampung. Walaupun agak jauh untuk berulang-alik, tetapi ibu dan ayah gagahkan juga kerana takut sesuatu yang buruk menimpa atok.

Pagi yang damai itu, seperti biasa kami 5 beradik menemani nenek pergi ke kebun. Dalam perjalanan ke kebun, kami dipagut rasa hairan apabila melihat kereta ibu dan ayah dipandu menuju ke rumah nenek. Abang saya yang turut perasan akan kehadiran kereta ayah turut memanggil nenek yang sudah agak jauh ke depan. Kami pun berpatah balik ke rumah apabila melihat ibu menggamit pulang.

Sebaik sahaja sampai, ibu menyuakan kerusi lalu mengajak nenek duduk. Saya diarahkan mengambil segelas air untuk nenek bagi melepaskan haus dan lelah. Ibu kelihatan mengusap-usap belakang nenek. Nenek yang perasan akan kelakuan ibu bertanya apakah sebenarnya yang telah berlaku. Dengan penuh berhati-hati, ibu menyampaikan khabar duka buat nenek dan kami semua. Ya, atok telah pergi buat selama-lamanya. Kami semua terkedu. Saya mencuri pandang ke arah nenek dan kelihatan nenek sedang menyeka air mata yang bertakung di tubir matanya.

Upacara pengebumian arwah atok telah 3 hari berlalu. Nenek masih kelihatan tidak bermaya dan sering termenung. Malam itu saya membuat keputusan untuk menemankan nenek tidur. Sebelum memejamkan mata, saya melayan nenek bercerita tentang arwah atok. Saya tidak pasti bagaimana saya boleh terlelap, tetapi malam itu saya bermimpi tentang arwah atok. Berlatar belakangkan rangka rumah lama, atok memberitahu hajatnya untuk memberikan hadiah kepada saya. Tetapi saya harus mengambil sendiri hadiah tersebut yang telah diletakkan di atas sepohon limau kasturi di hujung rangka rumah tersebut. Saya mengangguk setuju lalu memulakan perjalanan ke arah pohon limau kasturi.

Hairan! Itulah perkataan yang bermain di benak saya ketika itu. Manakan tidak, rumah yang saya perlu lalui itu hanya tinggal rangka tetapi saya perlu memanjat dan menjelajah setiap rangka dan tiang rumah tersebut yang cukup tinggi dan saya hampir terjatuh kerana kayu alang tempat berpaut itu tiba-tiba patah. Namun saya berjaya juga sampai dan berdiri di bawah pokok itu. Sekali lagi saya diterpa rasa hairan, pokok limau kasturi ini sebenarnya hidup dalam realiti tetapi menunggu masa untuk m**i sahaja kerana usianya yang sudah terlalu tua. Menurut pakcik saya, pokok limau kasturi itu antara pokok yang tertua dan masih hidup yang telah ditanam oleh atok. Tetapi di hadapan ini saya melihat sebatang pohon yang gah berdiri subur dengan daun yang merimbun. Duri pohon tersebut yang kelihatan cukup tajam menggoyahkan sedikit niat saya untuk menaklukinya. Walau bagaimanapun, saya berjaya juga sampai ke puncak pokok tersebut dan mengambil satu bungkusan putih yang dikatakan sebagai hadiah oleh arwah atok. Sebaik sahaja bungkusan putih itu berada di tangan, saya terjaga dari mimpi.

Selama dua hari saya memendam rasa dari menceritakan mimpi itu kepada nenek. Sehinggalah hari ketujuh kepergian atok, ketika kami mengemaskan almari barang kepunyaan atok, saya terjumpa sebuah buku nota lama.

Saya sempat membelek buku tersebut dan terlihat beberapa nota dalam tulisan jawi dan gambarajah telapak tangan dan mata. Belum sempat saya membacanya, buku itu telah diambil oleh pakcik saya. Pakcik bertanyakan bagaimana dan dimana saya jumpa buku tersebut dan saya menunjukkan tempat di mana buku itu saya ambil. Menurut pakcik, dia telah mencari buku itu dari hari pertama kepergian atok tetapi tidak terjumpa dan saya dituduh menyembunyikan buku tersebut. Nenek yang terdengar pakcik memarahi saya datang menyelamatkan keadaan. Nenek meminta pakcik agar menyerahkan buku itu kepada saya kerana saya yang telah menemuinya. Tetapi pakcik enggan dan berlalu pergi. Dan pada hari itu saya telah menceritakan mimpi saya kepada nenek.

Berdasarkan mimpi tersebut, nenek telah memberitahu bahawa arwah atok telah mewariskan kepandaiannya kepada saya. Ketika itu saya baru berusia 16 tahun dan tidak arif tentang ilmu yang dikatakan telah diwariskan kepada saya. Saya tidak tahu bahawa dengan mewarisi ilmu tersebut, hijab saya akan terbuka, gerak hati saya lebih tajam, mimpi saya membawa makna tertentu dan kebolehan mengurut yang menjamin kesembuhan kepada pesakit. Dan yang lebih malang lagi, saya tidak tahu bahawa ilmu yang telah saya warisi itu sebenarnya adalah SAKA!

Ia datang menuntut janji untuk diwarisi secara turun temurun dari generasi ke generasi yang lain. Ia datang untuk memberikan khidmatnya kepada penyerunya. Ia akan berseteru dengan semua yang berseteru dengan tuannya. Diwarisi tanpa diminta dan dipuja. Ia datang lewat tabir mimpi dengan segala tipu dayanya. Membuangnya bererti d***h taruhannya! Ya Allah, aku berlindung kepadamu daripada tipu daya syaitan dan sekutunya. Hanya kepada-Mu tempatku berserah, dan hanya Engkaulah sebaik-baik penolong. Bantulah hambamu yang lemah ini dari tipudaya syaitan dan sekutunya. Aamin.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

czar

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

93 thoughts on “Segalanya Bermula di Sini”

  1. Nice..bercakap tentang hijab terbuka nie..nenek aku memiliki keistimewaan tersebut.. tapi teda siapa yang mewarisi nya sampai cucu nya sendiri termasuk aku..huhu

    Reply
  2. “Rutin seharian yang akan saya lakukan bersama dengan adik-beradik saya setiap kali balik ke kampung ialah menemani nenek pergi ke kebun. Sementelah ibu dan ayah pula akan…”

    Pandai awak guna perkataan ‘sementelah’. Jarang geng sajat nampak perkataan ni diguna terutama dlm FS ni.

    ‘Sementelah’ ni kata penyambung, lebih kurang macam perkataan ‘tetapi’ ‘manakala’ & etc… so kalau boleh elakkan guna perkataan2 macam ni sebagai permulaan kepada baris ayat baru.


    “Ia datang menuntut janji untuk diwarisi secara turun temurun dari generasi ke generasi yang lain. Ia datang untuk memberikan khidmatnya kepada penyerunya. Ia akan berseteru dengan semua yang berseteru dengan tuannya. Diwarisi tanpa diminta dan dipuja. Ia datang lewat tabir mimpi dengan segala tipu dayanya. Membuangnya bererti d***h taruhannya!

    Masih ramai lagi yang keliru beza antara ‘dari’ dan ‘daripada’

    Dari: Tempat/ jarak
    Daripada: perbuatan

    Tapi walau macam manapun geng sajat suka ayat atas tu..

    Bila baca balik ayat tu kan, geng sajat tefikir; awak ni writer ehh?

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.