Tetamu Yang Tak Diundang

As’salam penggemar2 FS… Saya berasal dari Singapura. Boleh panggil saya Lady Yan…
Saya ingin berkongsi pengalaman seram saya sendiri, yang terjadi sewaktu saya berumur 24 tahun di rumah pangsa rumah Mak dan Ayah saya di Geylang East. Semoga terhibur, Insya’Allah ?

Sebelum saya bercerita terus, harus saya terangkan dengan lebih teliti mengenai rumah orangtua saya tu. Rumah itu dikategorikan sebagai rumah pangsa 5 bilik, maksudnya, 3 bilik + 2 hall, anggaran 145m2.. Besar juga jika dibandingkan dengan 5 bilik di kawasan2 lain. Kedua-dua hall berasingan, satu di depan – ruang tamu, satu di belakang – ruang makan, dipisah dengan satu lorong yang menuju ke tiga-tiga bilik di belakang.

Saya mempunyai empat orang adik-beradik, saya anak yang pertama. Bawah saya, dua adik lelaki, Am & Mohd dan yang bungsu adik perempuan, As. Bilik Mak dan Ayah yang paling hujung di belakang, tengah2 bilik saya dan As, mengadap ruang makan dan sebelahnya bilik Am dan Mohd, dekat dengan ruang tamu.

Rumah kami Alhamdulillah sentiasa ada tetamu. Suka kami bila ada tetamu datang, Tak sunyi dan sekaligus boleh mengeratkan lagi silaturrahim, kan… Adakala ada tetamu dari Indonesia & Malaysia yang menginap di rumah kami untuk berapa hari.

Maka pada suatu hari tu, ada tetamu yg tak diundang pula yang datang… ?

Hari tu, kami ada dua tetamu wanita dari Jakarta dan Tg Pinang, kenalan Mak. Mereka menginap untuk satu malam di rumah kami sebelum mereka pulang. Mereka tidur bersama As di bilik saya. Kebetulan adik saya Mohd, lagi dalam kem (National Service – tentera), jadi saya pun beritahu adik saya, Am, yang saya akan tidur di bilik dia malam tu.

Ada dua katil di dalam bilik Am. Satu memanjang mengadap pintu bilik di tembok sebelah kiri. Saya tidur di katil Mohd, melintang katilnya Am, di bawah tingkap, jauh sikit dari pintu bilik.

Sudah pukul 10 lebih malam, si Am ni tak balik2… Merambu entah ke mana…! Tapi memang saya pun faham aje lah lelaki bujang ni mestilah merayap bebas, lagi2 ada motor sendiri… Jadi saya pun tidur dulu, badan paling ke kiri mengadap ke tembok, belakang saya, membelakangi pintu bilik… Itu lah permulaaan silap saya, paling ke kiri…! Biasanya saya akan mengiring badan ke kanan bila nak tidur, tapi entah kenapa malam tu boleh ke kiri pula…

Saya terjaga sekejap bila Am balik dan masuk bilik. Tengok jam pukul 1 pagi.
“Lambatnya balik…!” Si Kakak ni tegur… Menyengih saja si Am.
Lepas dia bersihkan diri, pintu dibiarkan tidak ditutup rapat dan terus dia tidur.

Dengan sekejap saja, kedengaran macam bunyi motor Harley Davidson yang tak menjadi..! Issshhhh… Am ni betul lah, dah balik lambat, ngorok kuat pula tu… Saya cuba tidur dan akhirnya tertidur juga dengan posisi yang sama.

Tidur saya lena untuk berapa jam saja… Tiba2 saya terjaga, tapi badan saya Tak boleh gerak langsung… Mata terkatup rapat, tak boleh buka….! Tangan memeluk bantal pun tak boleh diangkat… Issssshhhh… Dalam hati… Apa Hal ni…?? Saya cuba sedaya upaya untuk bergerak tapi tak boleh langsung.

Tiba2 bulu tengkuk saya meremang…

Saya terdengar ada suatu bunyi yang aneh… Bunyi dia macam gini, cuba bayangkan… Macam bunyi suratkhabar bila kita lipat bagi dua, lepas tu kita buka tutup, buka tutup, ulangi dengan cepat sekali…
Keppak, keppak, keppak, keppak, keppak, keppak……
Keppak, keppak, keppak, keppak, keppak, keppak……
Keppak, keppak, keppak, keppak, keppak, keppak……

Bunyian tu macam lalu dari ruang tamu hingga ke lorong menuju ke tiga-tiga bilik, macam lagi nak survey sesiapa yang masih berjaga….!!!!
(Issshhh, bila saya taip ni, bulu tengkuk ni berdiri, mengenang kembali keadaan masa kejadian tu…)

Bunyi tu dah sayup sikit bila dia sampai ke bilik Mak yang paling hujung tu, tiba2 dia u-turn lah dan saya dapat dengar bunyian keppak, keppak tu makin dekat kembali terus menuju ke bilik Am….!!! Agaknya dia dah dapat tahu yang saya seorang yang masih terjaga… Alahai… (Embrace, get ready for impact! Quote from movie- SULLY)
Nak tahu apa dia buat….?? ?

Makhluk itu terus masuk ke bilik Am dan saya rasa belakang saya macam kena vacuum…!! Rambut saya mengerbang ke belakang badan kerana kena sedut dengan angin yang kuat…!! Biasanya bila kita dengar cerita seram, selalunya diorang kena tiup embun lah, tiup telinga lah… Tapi saya pula bukannya kena tiup tapi kena “sedut”…!!! Ya Allah…?

Bukan itu saja, makhluk itu mulai mengeluarkan suara yang menyeramkan dekat dengan telinga kanan saya… Kuat pula tu…! Amat mengerikan! Tak pernah dengar seumur hidup saya… Susah nak terangkan… Bunyi suara tu macam TV yang sudah tamat siaran, atau TV rosak bila “ON” tapi tak Ada gambar, cuma bintik2 hitam dengan bunyi bising… Aaah, macam tu lah.. Tapi ditambah pula dengan suara yang amat garau dengan bahasa yang saya Tak faham langsung…!!!

Ya Allah… Masa itu, Tuhan saja yang tahu perasaan saya… Perasaan takut itu meluap-luap…!!! Dalam hati, apa benda ni? Datang dari mana? Kenapa tak semena-mena saya pula yang kena…?? Tiba2 teringat pada Am.. Ini mesti benda alah tu ikut si Am ni balik…!!! Entah ke mana dia dah merayap malam2 buta, dah tu balik tadi Tak solat Isyak, terus tidur…!! Isssshhhh siaplah dia nanti… (Masa tu memang saya yakin betul yang semua angkara si Am ni…!)

Walaupun tengah marah pada Am, tapi perasaan takut tu tetap ada… Jantung berdegab-degub dengan cepat… Bulu romantika saya meremang seremang-remangnya… Saya cuba baca ayat qursi, lidah ni kelu habis… Jadi terpaksa, saya baca dalam hati… Bila baca, suara garau tu macam hilang, sedutan angin sudah berkurangan tapi bila habis baca saja, dia datang balik… Kejadian ini, berlaku beberapa kali, betul macam berperang..!! Dah lah Tak boleh bergerak, Mata terkatup, rambut dan baju mengerbang ke belakang, bunyi suara garau meracau tu betul2 kuat pula di telinga… Hai, penat betul…

Akhirnya, baik2 takut saya jadi marah… Lalu dalam hati saya macam seolah-olah berteriak sekuat-kuatnya,”Hoiii… Aku ini manusia! Darjat manusia lebih Tinggi dari segala makhluk ciptaanNYA….!!!” Saya terus berikan segala fokus dan tenaga yang masih ada, untuk cuba lepaskan diri dari cengkaman makhluk itu, dan berteriak dalam hati,”Nyah kau dari sini…. ALLAAAAAAHU AKHBAAR……!!!!!!” Terus saya terlepas…

Alhamdulillah…!!! Ya Allah…. Saya berjaya melepaskan diri dan lekas2 bangun, hidupkan lampu, tutup pintu rapat2 dan terus kejutkan si Am….

“Am….!!! Bangun, bangun…!!!”

Am menggeliat sambil menguap panjang,”Apasal niiii..?”

“Eh, tadi ada nampak benda Tak, masuk bilik? Ada dengar apa2 tak? Kakak kena kacau tau… Kakak tak boleh gerak langsung, kena kacau teruk! Semalam Am pegi mana? Pegi tempat yang bukan2 eh? Balik tadi pun tak solat Isyak kan?” Soalan demi soalan si Am ni kena tembak…!! Dah geram sangat…

“Apa lah… Mana dengar apa2… Tak ada apa2 lah.. (Menguap lagi) Pegi tidur balik lah…” terus Am ambil bantal tutup muka.
Isssshhh budak ni…

Saya tercegat sekejap, tarik nafas panjang2. Bertuah betul si Am ni…

Tengok jam pukul 3.30 pagi.

Memang takut nak tidur balik, baca ayat qursi dan berzikir sampai terlelap sendiri…

Itu lah pengalaman yang tak dapat saya lupakan hingga kini..
Sekarang ni kalau tidur, sentiasa berpaling ke kanan. Bila imbas kembali, mungkin ada hikmahnya juga badan saya tu tak boleh bergerak. Sebab kalau tertoleh dan ternampak raut rupa dia yang ‘mengancam’ tu, haiii.. Lagi dasyat kan? Sekarang ni bila saya terbangun pada pukul 2 ke 3 pagi, saya cuba lazimkan pergi ke tandas, ambil wudhu’ dan solat Sunat Tahajjud. Insya’Allah kita akan lebih terpelihara dari gangguan2 yang tak diingini dan hidup kita lagi aman.

Tapi kan, sekarang bila fikirkan balik mungkin puncanya bukan dari Am, dari orang lain tak?
Hmmmm… Wallahualam bissawab…

Terimakasih FS & Semua.
Maaf Zahir Batin.
Wassalam…

Lady Yan

::Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 15 Average: 4.9]
Lady Yan

3 thoughts on “Tetamu Yang Tak Diundang”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.