ZULAIKHA

“Sofea, belajarlah solat lima waktu”

Pesanan Mummy pada petang tadi membuatkan aku panas telinga.

“Utamakan solat wajib tu dulu sebelum urusan yang lain”

Hatiku terbakar saat Mummy mengingatkan aku agar menunaikan solat.

“Belajarlah membaca Al – Quran. Buatlah amal sebanyak mungkin sementara masih hidup ni..”
Kalau diikutkan hati mahu aku pekik sepuas hati ditelinganya.

DIAM KAU PEREMPUAN HIPKORIT!

Namun, aku masih waras dan boleh berfikir secara rasional. Aku tidak sampai hati untuk melukakan hati wanita yang pernah mengandungkan aku selama 9 bulan. Yang pernah bertarung nyawa melahirkan dan berpenat lelah membesarkan aku. Tetapi, sejujurnya aku tidak menyukai perubahan drastik Mummy daripada seorang yang jahil lalu bertukar kepada seorang yang warak setelah kehilangan Daddy.

Selepas pemergian Daddy hampir setahun yang lepas, Mummy membawa diri ke Indonesia. Pada awalnya, aku menyangka dia hanya mengambil angin di sana. Rupa – rupanya, pemergiannya itu adalah untuk mendalami ilmu agama. Aku terpegun melihat imej barunya semasa aku menjemput di airport pada tempoh hari, Mummy kelihatan seperti seorang wanita muslim di Mekkah. Kalau Mummy tidak menyapaku pada ketika itu mungkin aku langsung tidak mengenalinya.

Sementara aku pula masih lagi kekal dengan imejku yang tidak memakai hijab, mengenakan pakaian yang seksi serta tidak mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar. Pada pendapatku, tidak guna menjadi hipkorit. Mengapa harus berubah kerana manusia? Jika mahu berubah biarlah kerana Tuhan, bukan? Disebabkan itulah, aku tidak menyukai penghijrahan Mummy kerana pada asalnya dia bukanlah begitu. Namun, aku pendamkan sahaja perasaan ini.

“Sofea!”

Aku terperanjat saat disergah seseorang.

“Hish, kau ni. Bodohlah Alice!” Marahku pada Alice. Aku tidak suka disapa dengan cara begitu.
Alice tergelak setelah melihat responsku. Dia memang suka melihat aku terkejut. Kali ini sudah masuk ke seribu kali dia memperlakukan aku sebegitu rupa.

“Jom, keluar makan,” ajaknya sambil mencuit bahuku. Tiada maaf yang diucapkan atas perbuatannya sebentar tadi.

“Kau pergilah sendiri, jangan kacau aku!” Aku masih berang disebabkan adrenalinku yang masib belum stabil.

“Alah…. Okay, sorry sorry. Aku minta maaf. Janganlah marah, gurau je pon,” ucap Alice setelah menyedari kesalahannya.

“Makan kat mana?” Tanyaku pada Alice yang juga merangkap sebagai housemateku itu. Sakit hatiku beransur reda setelah mendengar permohonan maaf daripadanya.

“Mana – mana ajelah la. Lapar sangat ni,” jawabnya lantas melabuhkan diri di atas katilku.

“Okay, tunggu jap. Aku bersiap dulu,” ujarku lalu menghilangkan diri ke bilik air.


Sesudah mendapatkan makanan, kami berdua memilih meja yang berada dibelakang sekali. Alice dan aku mempunyai satu persamaan, kurang gemar sekiranya orang mendengar perbualan kami. Disebabkan itu, kami akan selalu memastikan untuk mendapat tempat duduk yang jauh daripada orang ramai agar tiada sesiapa yang dapat memasang telinga.
“Kenapa kau selalu moody sejak baru – baru ni?” Alice memulakan topik perbualan setelah menelan burger yang baru dikunyahnya tadi.

“Yeke? Takde apa – apalah,” aku mengelak daripada menjawab soalan itu kerana tidak pasti sama ada aku patut meluah pada Alice tentang penghijrahan Mummy.

“Tak payah nak menipu. Aku kenal kau, sis. Cepat share,” desak Alice. Sememangnya dia memahami aku dan atas sebab itu jugalah aku mahu dia menjadi housemateku.

“Kau sedih pasal arwah Daddy kau ke?” Tanyanya lagi.

Aku menggelengkan kepala. Sebenarnya, aku sudah pun move on dengan pemergian Daddy. Perasaan sedih itu tetap ada tetapi tetapi tidaklah ekstrem seperti dulu.

“Habis tu?” Alice mengerutkan dahi. Lalu, menyambung aktivitinya.

“Mummy aku dah berubahlah, Alice. Dia dah jadi alim…”

Akhirnya aku meluahkan apa yang terbuku di dalam hati. Sejujurnya, aku memerlukan seseorang untuk mendengar ceritaku.

“Pakai tudung labuh? Jubah?”

Aku mengiyakan pertanyaannya itu. Alice memang mengenali Mummy kerana kami berdua sudah berkawan semenjak daripada zaman sekolah menengah lagi.

“Sekarang ni Mummy aku dah rajin bersolat dan mengaji…”

“Eh, baguslah! Jadi apa masalahnya?”

Aku menjeling saat Alice memuji Mummy.

“Aku tak suka dia try hard nak jadi alim. I mean, kalau dia betul – betul nak berubah, kenapa tak buat masa Daddy aku masih hidup dulu, kan? Lepas tu over suruh aku ubah imej. Tak kuasa aku nak berhijab sekarang!”

Alice tidak memberikan sebarang komen. Mungkin dia tahu aku sudah mula emosi pada ketika ini.

“Aku okay kalau setakat dia ingatkan solat semua tu. Tapi, part tak boleh blah tu, dia ketuk pintu bilik aku sampai nak pecah tiap kali waktu subuh. Aku rimas, tahu tak?”

Alice memandangku sambil menghirup minumannya.

“Patutlah kau beriya – iya ajak aku tinggal kat luar,” akhirnya Alice bersuara setelah menghabiskan juadahnya. “Rupa – rupanya disebabkan isu ni,” sambungnya lagi.

“Betul!” kataku sambil menjegil mata.

“Hai, korang!”

Tiba – tiba seseorang menyapa kami.

“Aina? Kau takde kelas ke hari ni?”

Aina merupakan senior kami di kolej. Tetapi disebabkan dia telah gagal pada smester yang lepas maka dia terpaksa mengulang semula dan mengikuti batch kami.

“Baru habis, boleh duduk sini tak?” Tanyanya pada Alice. Tray yang berada ditangannya masih dipegang rapi.

“Tak boleh…” Usik Alice. “Gurau je, silalah duduk cik senior,” Aku tertawa melihat Aina tercenggang.

“Weh, korang tahu tak malam ni ada special event?” Aina melabuhkan punggungnya disisi Alice. Sementara aku pula sempat menyambut beg tangannya yang hampir terlepas daripada bahu.
“Event apa?” Tanyaku pula ingin tahu.

“DJ Snake ada concert malam ni kat Zouk,” ujar Aina. Dia mengangkat kedua – dua keningnya lalu menuang sos ke atas Fries.

“What? Bukan dah cancel ke tour dia tu? Tiba – tiba pula malam ni,” kata Alice. Ada nada kecewa pada suaranya. Sejujurnya, aku turut juga kecewa.

“Bukan cancel tapi kena postponelah,” tutur Aina. “Aku pergi tau,” katanya lagi.
“Mesti Tix dah sold out kan?” Aku mencelah percakapannya. Pada pendapatku, sekiranya ada lagi tiket kosong pasti akan aku beli.

“Yep, dah habis,” jawab Aina lalu menjamah makanannya.

Aku dan Alice berpandangan. Masing – masing mempamerkan reaksi wajah yang sugul. Manakan tidak, sudah lama kami berdua ingin bertemu dengan DJ Snake secara live. Dipendekkan cerita, kami berdua adalah peminat setianya.

“Tapi jangan risau, sis dah beli untuk korang,” Aina tersenyum setelah dia menyedari kami bersedih.

“Seriuslah?” Tanyaku seakan – akan tidak percaya.

“Ye, seriuslah ni. Nah,” Aina menghulurkan dua keping tiket kepada kami. Aku dan Alice tersenyum gembira.

“Berapa harga tiket ni, Aina?” Tanyaku pada gadis kecil molek itu.

“Murah murah je. RM800 tiap satu sis,” jawab Aina.

“Nanti aku transfer je lah kat kau. Whatsapp nombor akaun kau nanti,” kataku pula. Aku lega kerana harga tiket tidak semahal yang aku bayangkan. Setakat nilai ratus bukan masalah besar bagiku.

“Okay, no problem babe,” Aina tersenyum lalu menghabiskan sisa juadahnya.


Petang itu, Alice mengajakku ke 1 Utama. Katanya ingin membeli dress baru. Aku bersetuju untuk mengikutinya kerana aku juga ingin mencari sepasang heels baru untuk aktiviti malam ini. Setelah puas meronda selama beberapa jam, kami membuat keputusan untuk pulang ke rumah. Namun, Alice terlupa untuk menambah nilai kad Touch ‘n Gonya lalu dia terpaksa berbaris dan menunggu giliran untuk membayar parking kereta.
Aku membuat keputusan untuk menunggu Alice di dal
am kereta sahaja kerana terasa malas mahu menemaninya. Setelah aku melabuhkan punggung di dalam kereta, aku menghidupkan penghawa dingin sambil mendengar siaran radio.

Tok! Tok! Tok!

Aku terkejut saat mendengar ketukan pada tingkap kereta. Lalu aku menghalakan pandangan ke tingkap. Seorang gadis yang bertudung labuh serta berbaju kurung berwarna putih sedang berdiri di luar kereta. Tetapi pandanganku kabur – kabur akibat tinted yang dilekap pada cermin. Curious, aku menurunkan tingkap sedikit manakala lock kereta aku biarkan dalam mode berkunci.

“Assalamualaikum, cik. Nama saya Zulaikha. Saya nak minta derma untuk anak – anak yatim,” kata gadis itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Zulaikha.

“Err…” Aku tidak menjawab salamnya kerana aku kekok untuk berlakon alim.

“Boleh ke cik derma sedikit? Berapa sahaja yang cik mampu,” tuturnya lembut.

Lantas, aku membuka tingkap sepenuhnya. Dan, aku terpegun saat melihat Zulaikha dengan jelas. Pakaiannya bersih dan wangi. Kulit wajahnya gebu dan halus. Keningnya pula lebat tetapi bersikat rapi. Manakala, bulu matanya melentik asli dan bibirnya merah semulajadi. Pendek kata, Zulaikha persis seperti seorang bidadari. Belum pernah aku bertemu dengan seorang gadis yang jelita sepertinya lagi. Sedangkan aku sendiri merasa insecure dengan kehadirannya.

“Cantik…” Bisik hatiku.

“Hmm.. boleh ke cik derma?” Tanya Zulaikha sekali lagi.

Aku tersedar saat dia menegurku. Baru sebentar tadi aku terpukau dengan kejelitaannya.

“Berapa?” Tanyaku padanya kembali.

“Seikhlas hati cik,” ujar gadis berwajah ayu itu.

Aku melihat tabung transparent yang dipegang Zulaikha. Terdetik perasaan simpati setelah aku melihat tabungnya tidak berisi. Aku memandang wajahnya, berfikir sekiranya dia sudah mengalas perut.

“Nah, ambillah ni. Ikhlas,” Aku memasukkan beberapa keping not RM100 ke dalam tabungnya.
“Eh, banyak sangat ni!” Wajahnya kelihatan cemas setelah menyedari aku memberikan wang besar kepadanya.

“Takpe. Saya ikhlas menderma. Ambil sedikit buat duit makan nanti,” aku memberi jaminan agar dia tidak rasa bersalah dengan pemberianku.

“Terima kasih banyak – banyak, cik. Saya doakan semoga Allah merahmati dan melindungi cik selalu. Dan juga, semoga dilimpahi rezeki yang luas. Amin,” ucapnya. “Saya minta diri dulu, cik. Assalamualaikum, “ ucapnya lagi lalu berlalu pergi.

Lalu gadis yang bernama Zulaikha itu hilang disebalik deretan kereta yang berparkir di situ.

“Hoi, tengok apa tu?” Aku terperanjat saat Alice membuka pintu sebelah pemandu.

“Oh, ada seorang girl datang minta derma tadi,” kataku pada Alice.

“Mana?” Tanya Alice. Kepalanya meninjau – ninjau sekeliling parkir. “Orang yang selalu jual yaasin tu ke?” Tanyanya lagi.

“Bukan. Eh, teman aku pergi rumah parents aku jap? Aku nak ambil dress baru aku kat sana,” aku menukar topik perbualan.

“OK. Boleh jer, jom,” ujar Alice lalu memecut keretanya.


Sesampai sahaja aku di rumah, aku melihat Ibu Dewi sedang sibuk membersihkan laman. Ibu Dewi adalah pembantu rumah kami semenjak aku masih bersekolah rendah lagi. Sehingga kini, dia masih lagi bekerja walaupun usinya sudah pun meningkat. Dia menyapaku dan Alice saat kami memboloskan diri daripada perut kereta.

Tanpa membuang masa, aku terus mengajak Alice ke bilikku. Aku tidak mahu terserempak dengan Mummy kerana malas hendak mendengar “dakwahnya” nanti. Tetapi, apabila aku tiba di dalam bilik, aku terkejut apabila mendapati dress baru yang aku beli sudah pun hilang. Dan, sekali lagi aku tercengang apabila dress – dressku yang lain turut lesap. Lantas, aku bertanyakan hal itu kepada Ibu Dewi. Setelah mendengar penjelasannya, terbit perasaan geram kerana semua ini adalah angkara Mummy. Berang dengan tindakan Mummy yang melampau itu, lantas aku berlari ke dapur untuk membicarakan hal ini kepadanya.

“Mummy!” Teriakku saat melihat Mummy. Kelihatan Mummy sedang sibuk meyusun pinggan pada kabinet dapur.

“Assalamualaikum…bila kamu sampai?” Jelas sekali Mummy membuat – buat tidak tahu akan niatku mencarinya.

“Mummy jangan nak berlakonlah! Kenapa buang dress Sofea semua?” Aku tidak menjawab salam Mummy malah terus memarahinya.

“Mummy tak nak kamu pakai seksi lagi. Tak elok tunjuk aurat kat lelaki bukan muhrim,” jawapan tidak masuk akal yang diberikan oleh Mummy membuatkan aku panas hati.

“Mummy takde hak nak buang barang – barang Sofea! Itu semua Sofea punya, tahu tak?” Aku mengenggam tangan. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja aku bakar rumah ini sekarang. Masakan aku tidak sakit hati, dress yang belum sempat aku pakai sudah pun dibuang.

“Itu semua duit arwah Daddy dan Mummy. Jadi, secara teknikal barang Sofea semua hak milik kita orang,” ujar Mummy selamba.

“Tak payah nak melampau, Mummy! Kalau Mummy nak berubah jadi warak buatlah sendiri. Tak payah nak paksa Sofea sekali dengan cara begini, faham? Annoying tahu tak?!” Tanpa aku sedari, aku telah merampas pinggan daripada genggaman Mummy lalu aku campakkan ke atas lantai. Maka, serpihan kaca bertaburan memenuhi lantai dapur.

Mummy terperanjat dengan tindakanku tetapi dia tidak berbuat apa – apa. Malahan, dia terus menyambung aktivitinya. Reaksi wajahnya tenang sahaja walaupun aku sudah melampaui batas. Sementara Alice pula mengurut – urut lembut bahuku seperti sedang mencuba untuk menenangkan aku.

“Kau pakai aku punya jelah, ok? Benda kecil je ni, Sofea. Janganlah marah – marah,” bisik Alice. Aku tahu dia cuba memujuk.

“Dasar perempuan hipkorit!” Akhirnya aku mengungkapkan kata – kata yang sudah lama aku simpan.

Reaksi Mummy berubah saat aku melemparkan ayat itu. Wajahnya kelihatan sedih tetapi aku puas melihatnya begitu.

“Mummy minta maaf sebab dah buat kamu marah. Salah Mummy sebab dah biasakan kamu begini sejak kecil lagi,” kelihatan ada air jernih mengalir daripada kelopak matanya. “Mummy doakan semoga Allah membuka pintu hati kamu untuk berubah,” luah Mummy lagi lalu meninggalkan aku dan Alice di situ.

“Jom, Alice. Aku takde mood nak lama – lama kat sini,” aku menarik tangan Alice. “Dasar stupid bi**h!” celaku pula.

Akhirnya, kami berdua meninggalkan rumah itu.


Malam itu, aku dan Alice bergerak secara berasingan ke Zouk. Alice memaklumkan kepada aku yang dia sudah pun tiba bersama Aina ke lokasi dan konsert sudah pun bermula sejak sejam yang lalu. Manakala, aku pula terlewat gara – gara mencari dress baru. Walaupun sudah Alice menawarkan untuk memakai dressnya, aku tetap berkeras untuk membeli dressku sendiri kerana aku tidak selesa untuk memakai pakaian orang lain.

Namun, aku bernasib malang kerana parkir luar dan dalam kawasan kelab sudah pun penuh. Kini, aku cemas sekiranya aku tidak berjaya mendapatkan parkir dalam waktu terdekat, pasti aku akan terlepas konsert itu nanti. Sementara itu, jam pada dashboard keretaku pula sudah menunjukkan 12.35 A.M lalu menambahkan lagi kegusaranku pada ketika ini. Disebabkan aku tidak mempunyai pilihan lain maka aku membuat keputusan untuk memarkir kenderaan di hadapan kawasan RHB Bank.yang terletak lebih kurang 600 meter daripada kawasan kelab itu.
Setelah aku membuat satu U-Turn pada jalan raya Tun Razak, akhirnya aku sampai di kawasan parkir bank itu. Tanpa semena – mena, aku merasa seram setelah mendapati kawasan parkir sunyi sepi. Tiada satu pun kenderaan yang kelihatan berparkir di situ. Ditambah lagi dengan suasana yang kelam dan suram. Begitu juga dengan jalan raya, tidak ada kenderaan yang lalu lalang seperti biasa. Setahu aku, angka 12 masih kira terlalu awal bagi bandaraya besar seperti Kuala Lumpur untuk tidur. Tapi entah mengapa pada malam ini ia menjadi terlalu sepi.
Tanpa membuang masa, aku keluar daripada kereta dan mengatur langkah ke Zouk. Aku menyusur di tepi jalan yang dilindungi dengan zink berwarna biru. Aku merasa lega apabila melihat lampu kelab Zouk yang meriah daripada jauh. Sedikit sebanyak ini membantu untuk membuang perasaan seram yang menerjahku tadi. Lantas aku mengeluarkan telefon bimbit daripada beg tangan lalu menghantar mesej kepada Alice. Aku memberitahunya bahawa aku sedang berjalan kaki dan akan sampai lebih kurang dalam 10 minit sahaja lagi.

“Psst… Psst…”

Tiba – tiba, aku terdengar satu suara dan serta – merta langkahku terhenti. Aku menoleh ke belakang, bimbang sekjranya ada orang yang mengekoriku. Aku merasa lega setelah mendapati tiada sesiapa pun di situ. Kemudian, aku mempercepatkan langkah namun pergerakanku terbatas kerana heelsku yang tinggi.

“Psst…Psst…”

Sekali lagi suara itu kedengaran. Bunyinya seakan – akan memanggilku. Dengan serta – merta bulu romaku berdiri tegak. Aku berlari kecil sambil pandanganku dihalakan kepada kelab. Entah mengapa aku rasakan kelab itu terlalu jauh jaraknya walhal kalau dikira jaraknya hanya 600 meter daripada lokasiku sekarang.

“Nak ke mana tu?”

Tanpa semena – mena lenganku dipegang seseorang. Jantungku berdegup kencang apabila melihat seorang lelaki botak yang mirip seperti seorang penagih dadah. Dia senyum menyeringai ketika aku memandang wajahnya. Aku sendiri tidak pasti bagaimana aku boleh terlepas pandang akan keberadaannya di situ.

“Apa ni? Lepaslah!” Aku menepis tangannya. Pada masa yang sama, aku berpura – pura berani walaupun di sudut hati ini, aku gentar.

Lantas aku meninggalkan lelaki itu dan berlari selaju yang mungkin. Namun, sekali lagi langkahku terhenti saat aku melihat seorang lelaki memakai baju merah sedang menghalang jalanku. Rupa – rupanya, lelaki botak itu tadi tidak berseorangan. Aku yakin mereka berdua adalah geng.

“Kau nak apa, hah?!” Jerkahku kepada lelaki berbaju merah itu. Aku meneruskan lakonanku; berpura – pura berani.

Dia hanya tersenyum lalu menunjukkan sebilah pisau kepadaku. Lututku mula terasa longgar. Aku tidak tahu apa yang patut aku lakukan pada waktu ini.

“Jangan sampai aku call polis!” Idea untuk menelefon polis singgah diotakku. Aku menunjukkan telefon bimbit ke arahnya dengan harapan dia akan memberikan laluan kepadaku.

Tiba – tiba, lelaki berbaju merah itu memecut ke arahku. Begitu juga dengan lelaki botak itu. Jelas, mereka berdua cuba untuk mengepungku. Tanpa membuang masa, aku berlari ke arah jalan raya Tun Razak lantas menjerit meminta pertolongan tetapi entah mengapa tiada seorang pun yang aku lihat di situ. Kemudian, aku berfikir untuk menelefon polis akan tetapi situasi genting pada saat ini membuatkan aku tidak sempat untuk berbuat sedemikian.

Lalu aku membuat keputusan untuk berpatah balik ke kereta. Tetapi, aku bernasib malang kerana barang – barang peribadiku yang berada di dalam beg tangan menyukarkan aku untuk mendapatkan kunci keretaku itu. Akhirnya, aku berjaya ditangkap oleh dua lelaki itu tadi.

“Kau nak lari ke mana?” Lelaki berbaju merah itu menarik rambutku yang panjang. Sebilah pisau Rambo diacukan pada leherku.

“Jangan melawan…” Bisiknya pada telingaku. Aku mahu termuntah saat terhidu nafasnya yang berbau busuk. “Kau check beg tangan dia,” arahnya kepada lelaki botak itu pula.

Lalu beg tanganku diselongkar. Satu – persatu barang peribadiku ditabur ke atas lantai simen. Wang berserta dengan telefon bimbitku juga turut dirampas.

“Ambillah apa yang kau orang nak tapi jangan apa – apakan aku…” Pintaku kepada mereka. Aku tidak berani melawan kerana khuatir jika aku diapa – apakan nanti.

Tiba – tiba aku merasakan tubuhku diramas. Lelaki berbaju merah itu sudah mula menjalarkan tangannya. Aku panik kerana diperlakukan sebegitu rupa.

“Tolong…jangan….” Suaraku terketar – ketar merayu manakala tubuhku mengigil. Aku merasakan tapak tanganku sudah menjadi dingin. Sejujurnya, aku takut!

“Kenapa kau tak nak? Kau sendiri yang pakai macamni kan? Kau juga yang cari penyakit keluar malam – malam buta begini. Jadi, tanggunglah!” Kata lelaki berbaju merah itu lalu tertawa.
“Jom, bawa dia pergi belakang sana. Kita “kerjakan” dia dulu lepas tu kita zreeettt,” cadang lelaki botak itu pula sambil menunjukkan isyarat sembelih.

Aku tergamam setelah mendengar rancangan jahat mereka. Lantas, aku meronta – ronta minta dilepaskan.

“Tolong… lepaskan aku… aku janji takkan bagitahu kat polis…” Aku mula menangis dengan harapan lelaki – lelaki durjana ini bersimpati kepadaku.

“Kau ingat kita orang percaya cakap kau?” Mereka berdua tertawa pula lalu mengheret aku ke belakang bangunan.

“Jangan!” Aku sudah mula bertindak agresif dengan mencakar – cakar lengan lelaki berbaju merah itu. Kuku aku yang Panjang menembusi kulit lengannya. Fikirku, biarlah aku mati ditikam daripada menjadi mangsa perkosa penjenayah – penjenayah ini.

“Sakitlah, perempuan sial!” Lelaki berbaju merah itu mengadu. Kemudian dia membenamkan tubuhku dan memijak – mijak perutku pula. “Bogelkan dia,” dia mengarahkan gengnya itu.
Lelaki botak itu mengangguk dan menarik skirtku tetapi aku menepis tangannya.

“Jangan melawan!” Marah lelaki botak itu pual lalu menampar – nampar mukaku.

“Tolonglah…lepaskan aku….” Aku masih menepis tangan lelaki botak itu. Tetapi, kudratku sudah tidak sekuat seperti tadi. Aku menangis teresak – esak dengan musibah yang menimpaku kini. Jauh di sudut hati, aku berdoa semoga ada orang yang datang menyelamatkan aku.

“Allahu la ilaha illa huwal haiyul qaiyum la ta’khuzuu sinatunw wala naum…”

Tanpa semena – mena aku terdengar suara seseorang seakan – akan sedang mengaji. Suara itu seperti hampir dengan tempatku kini.

“Tolong! Tolong!” Aku menjerit sekuat hati dengan harapan orang itu mendengar jeritanku.

“Diam!” Lelaki botak itu menekup mulutku. Lantas, aku mengigit tangannya.

“Tolong saya! Kat sini!” Aku meninggikan lagi frekuensi suaraku. Bengang dengan tindakanku, lelaki botak itu mencekik leherku pula. Kemudian. kepalaku dihempas – hempas pada permukaan simen. Sakitnya hanya Tuhan yang tahu.

“Lepaskan dia!”

Sekonyong – konyong muncul beberapa orang daripada celah bangunan. Aku lega setelah melihat ada orang yang menyedari akan keadaanku kini.

“Zulaikha?”

Aku seakan – akan tidak dapat mempercayai orang yang sedang berdiri di hadapan aku kini adalah gadis yang aku temui pada petang tadi; Zulaikha. Kelihatan ada lima orang lelaki berbadan sasa dan tinggi disisinya. Namun, aku tidak dapat melihat wajah mereka dengan jelas akibat cahaya lampu yang samar – samar. Tetapi, jauh disudut hatiku, aku bersyukur dengan kehadiran mereka semua. Sepantas kilat, geng penjenayah itu terus meloloskan diri tetapi mereka dikejar dengan lelaki – lelaki yang berbadan sasa itu. Sementara, Zulaikha pula terus mendapatkan aku.

“Astagfirullahalazim.. awak tak apa – apa ke?” Wajahnya Zulaikha kelihatan cemas.

“Tolong panggil polis!” Teriakku lalu memeluknya tubuhnya. Aku menangis teresak – esak kerana trauma dengan kejadian yang menimpaku sebentar tadi.

“Jangan risau. Awak dah selamat. Marilah kita keluar dari sini,” Zulaikha memapahku keluar dari tempat itu.


Aku gembira kerana sudah terselamat daripada perbuatan jahat penjenayah – penjenayah itu tadi. Setelah aku selesai membuat laporan polis. Aku dibawa ke bilik pengecaman wajah, ternyata dua orang lelaki tersebut merupakan perompak dan perogol yang sudah lama dijejaki pihak polis. Kalaulah Zulaikha tidak muncul bersama lima orang sahabat lelakinya itu tadi mungkin sekarang aku sudah tidak bernafas lagi.

“Terima kasih sebab selamatkan saya tadi,” ucapku pada Zulaikha. Sejujurnya. aku benar – benar bersyukur atas kehadirannya tadi. Kalaulah dia tidak mengaji sepanjang melalui jalan itu pasti aku tidak perasaan akan keberadaannya.

“Saya tak buat apa – apa pun, cik. Allah yang hantar saya kepada, cik. Jadi, ucapkanlah terima kasih kepada Allah,” tutur Zulaikha lalu tersenyum manis. Dengan serta – merta aku tertunduk mendengar balasannya.

“Nah, barang – barang cik. Saya sudah tolong pungutkan tadi. Periksalah kalau ada yang hilang,” Zulaikha menghulurkan beg tangan berserta dengan telefon bimbitku.

“Terima kasih…”Aku menyambut pemberiannya itu lalu memeriksa satu – persatu barang yang berada didalam beg tanganku. Syukur, tiada yang hilang.

“Mana lima orang kawan lelaki awak tadi?” Aku memulakan topik baru setelah menutup beg tangan.

“Kawan? Lelaki?” Dahi Zulaikha berkerut mendengar pertanyaanku itu.

“A’ah. Kawan – kawan lelaki awak yang tinggi lampai tu,” aku mengangguk. “Yang kejar geng pejahat tu tadi,” sambungku pula. Aku cuba mengingatkan Zulaikha insiden yang baru berlaku beberapa jam yang lepas.

“Saya seorang diri saja tadi,” dakwanya pula.

Aku terkejut apabila Zulaikha mengatakan dia hanya bersendirian sebentar tadi. Aku yakin aku tidak berkhayal. Namun, reaksi wajahnya tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa dia sedang berbohong.

“Habis tu siapa yang kejar…” Aku tidak jadi meneruskan pertanyaanku kerana masih tidak dapat mempercayai apa yang aku telah lihat tadi.

“Masha Allah! Kalau betullah apa yang cik nampak tadi, mungkin itu adalah Malaikat – Malaikat yang Allah hantar untuk melindungi saya. Mungkin doa saya telah dikabulkan kerana saya selalu memohon agar Allah sentiasa melindungi saya kerana Allah sebaik – baik Pelindung. Barangkali juga, ini cara Allah membalas amal ikhlas yang saya kerjakan sebelum ini,” wajah Zulaikha tampak terharu. Lalu dia menadah kedua – dua belah tangan lantas mulutnya terkumat – kamit membacakan sesuatu. “Alhamdulillah…” ucapnya lalu menyapu muka dengan telapak tangannya.

Sekali lagi aku tertunduk malu. Bukan aku malu pada Zulaikha tetapi aku malu kepada Allah kerana selalu mengabaikan seruan-Nya. Namun begitu, Allah tetap membantuku ketika aku ditimpa musibah. Akhirnya, aku mengakui kebesaran Allah. Mulianya hati-Mu ya, Allah!

“Sofea!”

Tanpa semena – mena Mummy muncul dibalik pintu masuk balai polis. Kelibat Aina dan Alice juga turut kelihatan. Sejurus melihat kehadiran mereka, aku terus menerpa tubuh Mummy.

“Mummy… maafkan Sofea sebab dah lukakan hati Mummmy tadi!” Aku tidak melepaskan pelukan pada tubuh Mummy. Aku bersyukur kerana masih berkesempatan untuk melihatnya.

“Mummy dah maafkan kamu. Kenapa boleh jadi macam ni?” Mummy meraba – raba mukaku yang lebam. Wajahnya kelihatan sugul setelah melihat keadaan fizikalku yang separa kritikal.

Lalu, aku menceritakan tentang kejadian yang telah menimpaku. Bermula dengan detik – detik cemas di mana aku hampir diperkosa oleh dua orang penjenayah itu sehingga ke babak Zulaikha datang menyelamatkan aku.

“Oh, lupa nak kenalkan! Inilah Zulaikha…” Aku mencari – cari kelibat Zulaikha yang sudah hilang.

“Mana?” Tanya Aina dan Alice serentak. Mereka juga turut serta meninjau sekeliling lobi balai polis mencari kelibat Zulaikha.

Aku tidak menjawab soalan mereka lalu bergegas ke luar balai. Aku bimbang sekiranya Zulaikha pulang seorang diri.

“Encik, ada nampak seorang perempuan pakai tudung labuh putih lalu kat sini tadi tak?” Aku bertanya kepada dua orang pegawai polis yang sedang berjaga di luar. Tetapi, aku hampa apabila mereka menggelengkan kepala.

“Mana dia?” Tanya Mummy pula.

“Entahlah, Mummy. Tadi dia berdiri dengan Sofea kat lobi masa Mummy mula – mula sampai. Risaulah dia balik sorang – sorang,” jawabku masih lagi mencari kelibat Zulaikha.

“Mula – mula sampai? Mana ada siapa – siapa dengan kau masa kita orang sampai tadi.
Memang kau seorang je kita orang nampak,” sampuk Alice tiba – tiba. “A’ah weh. Betul,” sokong Aina pula.

Aku mengerutkan dahi tidak percaya dengan dakwaan Aina dan Alice. Aku yakin Zulaikha itu wujud dan bukan imaginasiku.

“Betul, Sofea. Memang kamu seorang diri aje tadi,” celah Mummy pula.

Aku terkesima setelah mendengar sokongan Mummy terhadap dakwaan Aina dan Alice kerana mustahil Mummy berbohong kepadaku. Namun, aku tetap mahu membuktikan bahawa Zulaikha itu wujud dan bukan imaginasiku semata – mata.

“Encik, sorry tanya. Masa saya buat report tadi ada seorang perempuan dengan saya, kan?” Aku bertanyakan hal itu kepada pegawai polis lelaki yang berada di kaunter. Dialah yang mengambil reportku sebentar tadi dan aku yakin dia ada melihat Zulaikha bersamaku.

“Takde. Memang cik seorang diri aje tadi di sini,” pegawai itu menggelengkan kepala.

Aku terfana setelah mendengar jawapan pegawai polis itu. Jadi siapa yang aku terjumpa di parkir kereta pada petang tadi? Siapa yang meminta derma kepadaku? Siapa yang menyelamatkan aku beberapa jam yang lepas? Siapa pula yang menemakan aku ke sini tadi?
Aku terduduk setelah mendengar penjelasan mereka semua. Sejujurnya, aku tidak mempercayai apa yang aku telah alami pada malam ini kerana aku yakin bahawa aku masih waras dan tidak berkhayal. Akan tetapi, terlalu banyak persoalan “Siapa?” yang bermain dimindaku pada ketika ini. Adakah ini rancangan Allah untuk menunjukkan kekuasan-Nya?

“Alhamdulillah, Sofea. Mungkin Allah yang menghantar “Zulaikha” sebagai peringatan kepada kamu. Bersyukurlah Allah masih sayangkan kamu,” Mummy mengenggam erat tanganku.

Air mataku mengalir membasahi pipi. Aku menangis kerana Allah masih memberikan aku kesempatan untuk bertaubat dan kembali ke jalan-Nya. Dan, aku terharu kerana menjadi antara orang yang terpilih untuk menyaksikan Kekuasaan-Nya. Masih terngiang – ngiang ditelingaku kata – kata yang diungkapkan Zulaikha.

“Barangkali juga, ini cara Allah membalas amal ikhlas yang saya kerjakan sebelum ini..”

Adakah ini balasan daripada Allah atas sedekahku yang tidak seberapa kepada Zulaikha?

“Wallahu a’lam bis-shawab” tiba – tiba kalimah itu tertutur dibibirku. Akhirnya, aku sudah tidak kekok untuk mengucapkan kalimah – kalimah Allah. Mummy tersenyum setelah mendengar ucapanku.

“Alhamdulillah. Jom, kita ke klinik,” ajak Mummy.

“Mummy, mulai hari ni Sofea nak jaga solat. Sofea nak belajar mengaji sekali…” Bisikku kepada Mummy. “Mummy tolong ajar, ya?” Pintaku lagi.

“Insha Allah” Jawab Mummy dengan wajah yang berseri – seri.

“Aku pun nak juga!” kata Aina dan Alice serentak. Aku tersenyum melihat gelagat mereka.

Namun. jauh disudut hatiku. Aku gembira dengan kehadiran “Zulaikha”. Walaupun singkat pertemuan kami berdua tetapi kesannya amat bermakna bagiku.

“Terima kasih Allah…” Bisik hatiku.

“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang tetap hidup, yang kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya)”
(Al-Baqarah 2:255)

P/S: Saya memang sengaja selitkan unsur keagamaan dan pengajaran dalam cerita ni. Saya harap Admin akan publish lagi cerita saya pada kali ni. Terima kasih banyak – banyak!

Kiko Firdaus
FOLLOW FB KAMI.

3 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.